Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Jumaat, 9 Mei 2008

Kerjaya: Warkah Untuk PM

Bertalu-talu telefon bimbitku berdering. Kebetulan aku buka telefon bimbitku. Semua yang mengenali aku telah tahu perangaiku. Hanya membuka telefon bimbit jika aku mahu menggunanya. Maka itu isteri aku pun selalu meracau tiap kali mahu menghubungi aku. Entah kenapa aku amat benci dengan deringan telefon.

Lebih aneh nombor rahsiaku pun ada orang yang tidak dikenali menghubungi. Siapa? siapa yang memberi nombor ini...

Bila aku lihat ada tiga panggilan tidak berjawab aku terus dail. Memang terkejut amat aku, Pengarah K & K UPM, mahu berjumpa aku esok Selasa jam 9:00 pagi. Puas aku cari maklumat ingin tahu kenapa aku dipanggil. Aku hanya dapat melihat gambar di internet akan wajah Pengarah tersebut. Tingkat empat setahu aku Naib Canselor sahaja di sana

"Mila kena gosokkan baju ayah... esok ayah kena jumpa orang besar-besar.." Aku berselimut tebal demam bukan main kuat sejak semalam.

"Apa halnya"

"Entahlah Mila tapi kalau ikut laman web yang ayah baca pengarah itu yang akan jawab segala komplen tentang UPM"

"Mesti adalah yang orang komplen tentang ayah.."

Aku terdiam & malas mahu berfikir banyak, apatah lagi dalam keadaan demam yang terlalu keras. Biasalah orang kena sakit darah tinggi, buah pinggang & terbaru diabetes jangan runsingkan sangat hati. Baik fikir yang baik-baik. Nak buat apa memberatkan keadaan.

Selasa Pagi:

Aku menerima panggilan dari Delila SU Pengarah K & K, masa itu aku baru terjaga dari terlelap sebab demam aku masih tak kebah. Jika kekawan biasa mahu jumpa aku; pasti aku tak akan pergi. Bila terbayangkan bilik pengarah teruja juga aku ingin melihatnya. Pasti ada perkara yang penting amat jika tidak tak kan pula beriya-iya sangat mahu ketemu aku.

Aku terpaksa memandu kereta perangku lantaran tak larat memerah kapcai. Ngam-ngam aku sampai di waktu yang dijanjikan. 9:00 pagi. Setelah berlumba bagaikan formula one di jalanan.

Warkah Untuk PM emmm..! itu isu rupanya. Bila aku amati semula akan ayat aku tulis warkah untuk PM itu sememangnya agak kasar & amat tidak berkias. Rasa malu pun ada lantaran aku tidak pun menganggap serius amat isu yang aku utarakan.

Memanglah aku pernah membuat memorandum tentang masalah kerjaya kami tetapi ditepis seadanya oleh pihak pendaftar. Senang saja jawapan dari mereka. Kami tidak ada kelulusan jadi tak layak dinaikkan taraf jawatan kami. Pengalaman kerja memang langsung tidak diambil kira. Maka itu ramai sahabatku terpaksa membawa nasib keluar. Aku teringat Saufie menjadi tenaga pengajar di Giat Mara. Subuh menjadi Juruteknik di syarikat Swasta. Syafik ambil opsyen awal tumpukan kerja di bengkelnya. Din langsung tak dapat terima hakikat sakit jiwa di kampung, Jamal pun sama katanya terpaksa mendapatkan rawatan mental di Hospital Bahagia. Ramai yang berhenti lantaran memang amat sifar kebajikan bagi golongan N1 dulunya ramai dari kalangan Pelayan Makmal. Entahlah dari hari ke sehari aku makin kehilangan kawan.

Memanglah jika berjumpa rakan lamaku, mereka akan tergelak besar melihat betapa setianya aku dengan UPM. Paling aku rasa sakit & terhimpit bilamana Mila selalu perli aku tentang kerjayaku. Bukannya apa di syarikat dia berkerja rakan kerjanya dulu sekadar budak pejabat sekarang telah menjadi Pegawai Kanan bukan sekadar Kerani... tak sampai pun dua puluh tahun berkerja.

Lain padang lain belalang, mungkin aku memang manusia yang mahal rezekinya. Aku sekadar dapat menyedapkan hati sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan