Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 31 Disember 2006

DIINTAI PUTERI BUNIAN 4 ( Siri Famili )


Episod Akhir

.. terasa seluruh sendi amatlah sengalnya. Aku meraba-raba perut boroiku, sebu dahiku, panas; Aku bangun mencapai panadol & ke dapur mencari air. Kemudian menyingkap tudung saji kot ada lagi makanan. Masih ada gulai tempoyak & ikan talapia goreng yang aku kail siang tadi.

Begitu berselera aku makan biarpun hampir dinihari, rasa macam bersahur pula. Aku terbayang wajah Puteri Bunian yang bujur sirih. Putih cantik & galak matanya. Mata aku hilang mengantuk, terbayang pula wajah ibunya bunian, secantik Puteri Bunian tetapi kenapa dia amat marah padaku. Payah amat senyum. Ah! mimpi pastinya adalah mainan tidur. Lagipun tentunya khayalan aku semata melihat imbasan puteri itu. Mana mungkin ujudnya Puteri Bunian. Jika makhluk bunian itu dapat kita lihat, tempat penginapan entah di mana. Apakah paya itu perkampungan mereka. Huh entah-entah putaran bak puting beliung kecil itu sekadar silap pandang, atau sekadar asapnya Suryaku sendiri. Titik.

Sesekali pulang ke kampung berjuadah pula masakan kampung yang telah sebati dengan rasa & citarasa sejak lahir lagi... Terasa amat lazatnya; berselera. Ikan air tawar dimasak gulai tempoyak, ulam-ulalam memang tak puas makan. Aku menghabiskan sisa makanan dalam pinggan & bangun menghantarnya ke besen basuh. Kemudian mencapai Surya. Demam masih tak kebah. Wajah bujur sireh Puteri Bunian makin samar.

Belum pun sempat aku mengelamun, Surya pun masih berbaki; Aku telah mula rasa mual ingin, rasa hendak muntah lagi. Meluru ke bilik air; ceritanya sama. Muntah lagi terus muntah lagi. Memang tekakku terima apa jua makanan, apatah lagi dapat merasai kuih kegemaranku. Putu Piring. Cumanya kenapa sejak senja tadi perut aku menolak semua. Huh hampir lemah seluruh anggota badan, asyik muntah-muntah.

Aku menyambung tidur berharap akan bersambung mimpiku tadi. Tiada.


Kiambang & Rumput-Rampai berbunga kuning ini makin banyak menurapi permukaan paya@tasik bekas tapak lombong & burung pindah secantik ini banyak hinggap di sekitar Desa Tualang. Gambar ini dirakam di Kg Bakap.

Sarapan pagi juga sama, masih perut aku tak boleh terima. Mila sibuk ingin pergi ke rumah Ujee & Mun di Kampung Sentang. Ujee & Mun memang ambil berat sangat akan kami jika pulang ke kampung. Tidak bertandang ke rumah mereka rasa terkilan hati Mila. Mereka sibuk ajak makan tengah hari di rumah mereka. Aku menguatkan diri untuk bertandang di rumah mereka. Badan aku semakin lemah lantaran semua yang aku makan termuntah kembali.

" Abg iDAN tambahlah lagi, makan merulam memang berselera! " Desak Ujee. Dia begitu selera makan berulam.

" Badan tak berapa sihat... emm sayang tak boleh makan lebih-lebih, memang banyaknya Ujee kutip ulam... Terima Kasihlah " Perbagai jenis ulam ada, Pucuk Misai Kuching, Pucuk Kayu Manis, Silom, Pegaga & banyak lagi. Rajinnya Ujee mencari ulaman. Dia tahu memang aku suka makan berulam. Mila menjeling aku, dia masih tak sudah menjamu selera. Bagaikan makan tak mahu berhenti.

Sebaik sahaja aku selesai makan, aku terasa loya & meluru ke bilik air. Cerita yang sama, habis semua terkeluar. Keluar sahaja dari bilik air, aku menelan Panadol; ubat itu sahaja yang ada. Demam masih tak kebah. Kasihan Ujee aku perasan dia terkilan aku macam kurang selera. Dia tahu aku ini memang pantang jumpa ulam. Makan mesti bertambah tak cukup dua pinggan. Hari ini seleraku ketara tersekat. Apakah lantaran panggilan Puteri Bunian.

Opah Bi mula sibuk menelefon Wan Bidah. Mesti pasal aku;

Aku teringat Arwah Apak, jika aku dilihat kurang sihat, dia pandai jampi serapah & mengubat cara kampung. Antara lain caranya aku panggil bertemas. Apak bertemas dengan menggunakan Bawang Merah, Kunyit Hidup atau Limau Nipis. Kalau Bawang Merah dia akan belahkan dua. Aku tak pasti apa maksudnya Apak akan paling tidak tiga atau lima kali mencampak Bawang ke dalam piring yang berisi air. Bawang yang terlentang atau tertiarap ada maksudnya.

" Panas badan sahaja .. bukan ketegor " Sering ayat itu keluar dari mulut Arwah Apak. Mungkin dia hendak menyedapkan hatiku.

Kemudian air di dalam piring itu Apak suruh minum & Bawang tadi Apak suruh sapukan di setiap sendi & pelipat badan. Kunyit Hidup sama juga kena cari Kunyit yang bentuknya bulat & dibelah dua. Jika ada Limau Nipis lagilah sesuai digunakan untuk bahan bertemas.

Yang anehnya, selalunya akan cepat pulihnya demam jika melarat juga demam barulah Arwah Apak akan bawa aku ke klinik Batu Gajah atau Gopeng.

Menjelang Asar aku terpaksa memohon diri kepada Ujee & Mun. Demam sejukku amat kuat ketika Zuhur, menjelang Asar agak reda. Selang beberapa minit aku tiba di rumah Opah Bi, Wan Bidah sudah datang dengan kapcainya.


Azim terpaksa guna pelampung jika tidak banyak ranting di dasar paya yang akan menyangkut mata kail... paya yang aku pergi & ketegor dek puteri Bunian itu jauh lebih jernih airnya dari paya ini.

" iDAN cari paku iDAN... " Sebaik sahaja Wan Bidah duduk di meja makan dengan piring yang berisi air.

" Nak betapa batang paku? "

" Sebatang sahaja sudah cukup "

Tak jauh beda cara bertemasnya Wan Bidah. Air dalam piring sama, kecuali paku. Arwah Apak tak pernah guna paku. Wan Bidah meletak paku sebatang & nampak dia seperti membaca jampi serapah.

" Semalam pergi ke mana iDAN.. demam ini pasal kes semalam "

" Memancing... tak jauh dari Redang Sawa "

" Ketegor ni... Taman dia tu iDAN kacau, dia marah "

" Siapa? ... "

" Orang tua perempuan "

Aku teringat mimpi aku, aku terbayang emak Puteri Bunian.

“ Ibu tak izinkan dia makan ikan yang dia tangkap… kalau puteri memenangi dia carilah silauan yang boleh buat dia cepat meninggalkan taman kita…” Ayat itu tergiang di telingaku. Ayat dalam mimpi.

Aku cuba ingatkan wajah bujur sireh Puteri Bunian. Payah nak ingat lagi wajah Puteri Bunian. Emmm kata orang tua-tua kalau kita ingatkan seseorang & amat payah nak ingat wajah dia, pastinya dia rindu & ingatkan kita. Wah.. dah perasan aku ini.

" Minum air ini, tanda pohon maaf, insyaAllah nanti iDAN akan pulih "

Aku terus minum air dari dalam piring yang dihulur oleh Wan Bidah.

" Paya yang mana satu iDAN pergi ni? "

" Paya yang banyak batu-batu tertujah timbul & bersebelahan dengan paya yang ada pokok bakung banyak anggerik kat situ "

" ooo padan ler, memang paya itu keras sikit, tiga tahun lalupun ada anak orang Redang Sawa mati lemas di situ " Aku diam sahaja.

Aku ini memang redah sahaja, tak tanya orang tempat nak pergi itu bahaya ke tidak. Balik kampungpun setahun sekali. Memang tak tahu perkembangan sebenar Desa Tualang ini. Apatah lagi kampung di persekitarannya.

Mila tersenyum sebab aku tak sibuk lagi merayau mencari lubuk mengail. Azim sibuk bertanya bertanya bila lagi ayahnya hendak pergi memancing. Magrib itu aku tak demam lagi. Makan malam pun berselera. Tak muntah-muntah lagi. Opah Bi masak Asam pedas ikan lampam.

Aku terkenang akan Wan Bidah; memang dia anak kepada Arwah Pak Abu Bakri, semua orang-orang kampung tahu... handal ilmu Pak Abu ini. Ramai orang bercerita pasal Pak Abu. Berbagai ilmu dia ada. Orang kata jika dia teringin nak makan gulai ikan Baung, dia cuma menautkan saja kailnya di Sungai Keruh, kemudian dia akan terus ke Kota Bharu mencari bahan rempah ratus untuk gulainya. Balik dari Simpang ( Terkadang Kota Bharu itu orang kampung aku panggil Simpang ) pasti kailnya tadi akan mengena ikan Baung. Jadi tak hairan Wan Bidah handal dalam hal perdukunan ini. Paku & air itu rasanya tak penting. Percaya dengan bertemas, Paku, Bawang, Limau Nipis, Kunyit Hidup, Jampi penawar boleh menyembuh penyakit akan boleh jatuh syirik; sekadar ikhtiar, sembuh, pulih, adalah keizinan Allah Azzawajallah itu yang pasti.

Aku teringat akan paya yang penuh batu-batan dengan kembangan anggerik, megar hijaunya bakung belibis yang terbang, bangau berkawan. Teringat akan haruan dicelahan samai. Teringat akan Puteri Bunian... tapi amat payah untuk ingat akan wajah bujur sirehnya, amat payah untuk kukenang akan mata yang galak untuk kutenung. Aku rindu amat ingin ke Tamannya lagi, tapi bila!.

- Selesai

Istilah:

Ketegor = Sampuk


antara respon di Forum Pancing

01/01/2007
JoranPanjang.
aduh....
bila membaca cerita tu seperti teringatkan seseorang yang punya aroma penulisan seperti itu.... tuan nuri angkasa....
gaya penampilan yang membuatkan orang tak lekang dari terus mengikutinya...
tahniah.....

12/21/2006
CoolFish
pasal puteri bunian...
kita cuba untuk membuat pilihan tapi akhirnya bukan kita yang memilih.
mungkin alam nyata orang tidak mengenali kita.. tapi alam yang lain mungkin dia tahu asal usul kita. Tak salah untuk mengenal, tapi salah untuk dikenali.....
budi bahasa amalan yang mulia.
teruskan menulis...carilah apa yang tidak dicari.

12/19/2006
Krogoth
Terpesona teman dengan cara penyampaian & jalan cerita yang begitu menarik!!!
Terharu bila membaca cerita Kg Bakap.......kampung arwah ayah teman. Tempat di mana teman belajar memancing.....kampung yang indah yang telah hilang dari muka bumi!!


1 ulasan:

  1. Terima kasih lantaran sudi membaca catatan ini. Sekarang tanah sekitar tasik ini habis dipagar oleh orang luar; saya begitu terkilan sebab tak punya kuasa menghalang.

    Sayang amat tasik ini akan menjadi milik orang luar & penduduk kampung tak lagi boleh masuk memancing atau melihat keindahan samai pun pohonnya nak redup damai di paya ini.

    BalasPadam