Sabtu, 1 Mac 2014
Cabaran Tinggal di Asrama (Siri Pertama)
Teringat bagaimana si Anif anak ketiga aku amat stres bila tinggal di asrama STTJ Seremban. Semua tahu sekolah ini menjadi idaman ramai para pelajar. Malahan ramai ibu bapa teruja nak masukkan anak mereka ke sini. Masa si Anif diterima masuk ke STTJ; dalam taklimat Pengetuanya yang bahasakan dirinya Ibu; ada sekitar 2,000 permohonan mereka terima; tempat disediakan sekadar sekitar 200 pelajar.
2. Maka STTJ membuat keputusan keutamaan diterima masuk bergantung PMR yang cemerlang pelajar mendapat semua A atau 7A sahaja kebanyakan yang dipilih. Dalam kelayakan untuk masuk ke Sekolah Teknik taklah sebegitu kecemerlangan yang perlu tapi nampaknya pelajar kita semakan pintar; Pastinya ini disebabkan hasil pengajaran amat dedikasi cikgu kini yang rata-rata hebat & berilmu/berpelajaran tinggi. Mana tidaknya kini cikgu yang mengajar di sekolah rendah pun rata-rata kalangan pemegang ijazah atau lebih dari itu ada master amat hebatnya pendidikan cikgu ini.
3. Kenapa si Anif stres tinggal di asrama. Stres pasti bersebab. Apa yang dia sungutkan; kenapa dia rasa tak sesuai. Adakah kejutan budaya hidupnya seharian?. Atau ada pengaruh lain buat dia amat tak suka suasana asrama STTJ.
4. Yang aku tahu bulan awal dia di asrama dia mengadu jam tangan kesayangan kena curi. Itu hanya masalah kecil; aku cakap pada dia ayah pun dulu lama tinggal di asrama kejadian kecurian ini memang biasa. Anif kena fikirkan tak semua keluarga mampu sedia semua keperluan anak mereka. Jam itu pun kita beli tak mahal mana; sian rakan Anif yang curi tu; dia teringin nak pakai jam macam Anif punya tapi tak mampu. Kita sedekah sajalah. Nanti ayah belikan baru sama macam tu.
5. Bila aku menungkan aku terasa angin juga sebab bagiku tak guna seseorang pelajar itu pandai atau menjadi seorang hebat jika dia dah besar nanti moralnya teruk; mencuri boleh membuat seseorang itu jadi lemak; nanti dah kerja pasti akan suka ambil rasuah; Rasuah itu dianggap lebih ringan dosanya dari mencuri. Banyak aku membebel pasal ini di blog aku yang dulu; malahan aku ada hantar e-mel ke pihak sekolah tentang masalah kecurian ini. Cadanganku agar diadakan kem motivasi tentang kelakuan sivik juga menghormati hak orang lain.
(Teringat masa abang sulong Anif...si Afiz belajar di Poli Shah Alam... Komputer riba yang baru kami beli... tak habis koyak plastik lagi; rakan serumah sewa Afiz curi; memang bukan orang luar sebab pandai pencuri ini pilih; mana komputer baru... bateri mana satu... padahal ada beberapa lagi komputer riba di gerobok yang sama dia tak usik pun. Kebetulan masa tu dia seorang-seorang baru pindah seminggu dua di rumah rakan akhir yang nak konvo; Afiz masa tu baru nak masuk tahun dua. Pelajar tahun akhir yang memang bidang komputer yang terghairah nak kebas komputer riba baru ni; dah komputer mereka semuanya dah terbabas.)
6. Aku lebih teruk menuduh atau bersangka buruk dengan STTJ ini; minda aku sentiasa mengatakan kenapa harus simpan pelajar yang jahat ini; kenapa tak buat perangkap seperti SMT Gombak. Apatah lagi aku sering berbual dengan emak ayah pelajar ketika aku mengambil si Anif TIAP MINGGU di tahun empat; mereka juga mengadu kejadian kehilangan duit kerapberlakau; Pelajar yang di Tahun Lima pun pernah berbual dengan aku; sejak dia di Tahun Empat lagi kejadian kecurian sering berlaku. Sampai STTJ menghadkan pelajar hanya boleh bawa duit RM30 sahaja untuk belanja poket dalam dua minggu. Selalunya selang seminggu pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
7. Kenapa aku katakan "mengambil si Anif TIAP MINGGU" demi memujuk dia agar menyesuaikan diri. Kes si Anif dah kira masuk ke kes perlu dikaunseling. Jadi Pengetua memahami masalah kami dan sentiasa menyokong kami agar si Anif ini tetap tinggal di asrama. Ada banyak amat jasa Ibu sebagai Pengetua ini yang aku amat sukar lupai. Memang seorang Ibu yang amat prihatin & jenis seorang wanita yang menghormati akan pandangan seorang ayah. Aku berhutang budi dengan Ibu ini dalam banyak perkara.
6. Kemuncak kes kecurian ini sebenar telah diselesai semasa si Anif di Tingkatan Lima; Aku tahu sendiri si maling atau siapakah punca angkara membuat semua pelajar cemas. Aku pasti ianya tak berulang lagi. tak perlukan aku ceriterakan di blog siapakah maling ini. Tapi sama sekali ianya tak pun melibatkan pelajar STTJ; fikiran aku yang bersangka buruk terhadap pelajar STTJ nampaknya amat naif. Pihak sekolah telah pun meladeni masalah ini dan aku pasti pihak sekolah telah pun mengekang masalah kecurian ini agar tidak berlaku lagi.
7. Ada lagi yang si Anif ini streskan... macam drama misteri pula... dia mengadu nampak lembaga hitam; lembaga aneh ada merata di STTJ... buat aku rasa gusar. Aku ni hebat juga dalam membuat tafsiran/tinjauan bebenda ghaib ini; Katanya di pokok besar; tak banyak mana pokok besar di STTJ. Di depan pintu utama luar pagar tu memang ada. Pokok pulai yang memang besar; tapi itu bukan hak milik STTJ. Dalam hatiku berkata... ini mesti si Anif buat ceritera. Agar aku perkenankan impiannya nak sekolah semula di SMK Saujana Impian. Sekolah lamanya.
8. Aku pernah hantar e-mel ke pihak sekolah; agar tebang saja pokok tua dalam kawasan sekolah. Mungkin bukan atas pengaruh e-melku kebanyakan pokok yang dah uzur memang STTJ telah tebang & cantas. Hanya tinggal pokok renek sahaja; tak mungkin hantu atau jembalang minat nak bertapa di pokok itu.
- bersambung.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan