PENUTUP siaran berita stesen radio Klasik Nasional menuntut pendengar menggunakan bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian kerana bahasa itu jiwa bangsa.
Rayuan itu berisi sedikit kerunsingan kerana sebelum ini pun pelbagai slogan kita laungkan menuntut masyarakat mengguna dan memperkasa bahasa sendiri daripada berkiblatkan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.
Malangnya, masih ramai antara kita mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga di kampung pun orang Melayu sudah bercakap Inggeris sesama Melayu sedangkan kita kaya dengan kosa kata bahasa sendiri, malah ada antara kita yang tidak tahu semuanya makna dan untuk menggunakan bahasa kita.
Sikap itu menunjukkan kita memperlekeh bahasa sendiri dan bagaimana kita mampu mengetengahkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa kalau kita sendiri malas atau memandang rendah kepada bahasa sendiri.
Pelbagai kempen diadakan oleh pihak pemerintah melalui media massa dan slogan dapat ditemukan seperti ‘Cintailah Bahasa Kita’, ‘Bahasa Jiwa bangsa’, diharap tidak tinggal sebagai slogan saja tetapi usaha untuk memperkemas serta merealisasikan slogan itu patut disertakan dengan tindakan bersepadu.
Apa yang dapat kita lihat, di sekolah kita sudah mempunyai ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ tetapi di manakah silapnya sehingga kita tidak dapat melahirkan generasi yang benar-benar sayang dengan bahasa sendiri, menggunakan bahasa sendiri tanpa segan silu.
Apakah pengisian sebenar ‘minggu’ atau ‘bulan bahasa’ di sekolah sehingga pelbagai gaya bahasa diguna pakai oleh pelajar sehingga menjejaskan imej Bahasa Kebangsaan.
Di sekolah, pelajar Melayu gemar menggunakan bahasa pasar, bahasa rekaan mereka sendiri sedangkan mereka inilah yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa sendiri.
Jika kita toleh kepada rancangan televisyen membabitkan temubual dengan remaja, yang mereka gunakan bahasa pasar dan bahasa ciptaan mereka yang sukar difahami golongan dewasa.
Untuk mengembalikan kegemilangan dan martabat bahasa Malaysia, kesedaran tinggi amat penting bagi setiap warga negara terutamanya masyarakat Melayu sama ada di peringkat rendah, pertengahan dan atasan bagi memastikan bahasa kita berada di tahap sewajarnya.
Pelbagai kempen susulan perlu mengekori kempen yang telah sedia ada dan mesti juga disertai dengan usaha meyakinkan khalayak terhadap bahasa kebangsaan supaya ia diguna pakai dan dipercayai keberkesanannya.
Selama ini, kita nampak subjek bahasa Malaysia (dulu bahasa Melayu), di sekolah belum cukup memberi keyakinan kepada masyarakat menggunakan bahasa berkenaan sebagai bahasa komunikasi secara keseluruhannya kerana ramai yang mempelajarinya hanya untuk lulus peperiksaan dengan tujuan menjawat jawatan yang mensyaratkan lulus mata pelajaran terbabit.
Di papan tanda kedai, sudah banyak kali diperkatakan mengenai kesalahan bahasa termasuklah papan tanda yang mengetepikan bahasa kebangsaan. Malah, percubaan membuang perkataan bahasa Malaysia di papan tanda pernah dicuba oleh pihak-pihak tertentu.
Masalah juga timbul apabila golongan elit Melayu di bandar lebih banyak bercakap bahasa Inggeris sesama bangsa daripada menggunakan bahasa sendiri. Di samping menggunakan bahasa rojak yang bercampur-campur ‘I’ dan ‘you’ dan pelbagai lagi, persepsi orang asing kepada kita mudah saja iaitu kita sebagai negara bekas tanah jajahan masih terjajah dari segi bahasa, pemikiran dan kebanyakan aspek hidup lain.
Mustahil golongan muda Cina dan India tidak boleh bercakap bahasa Malaysia kerana di sekolah mereka sudah diajar dengan bahasa tersebut malah ada antara mereka lebih pandai berbahasa Malaysia daripada orang Melayu.
Sikap orang Melayu yang awal-awal lagi mendidik bangsa asing bercakap Inggeris memburukkan keadaan. Maka oleh itu, tidak hairanlah dalam pelbagai urusan surat-menyurat sesetengah bank, syarikat pemaju perumahan dan sebagainya ditulis dalam bahasa Inggeris.
Tidak ketinggalan juga sikap pakar bahasa yang sering menukar itu dan ini dalam bahasa Malaysia merumitkan keadaan. Tidak hairanlah nama bahasa kita sendiri sudah ditukar beberapa kali, sekejap ‘bahasa Melayu’, sekejap ‘bahasa Malaysia’ dan tidak mustahil suatu masa nanti, akan digunakan semula ‘bahasa Melayu’.
Orang asing melihat kita tidak mempunyai identiti dalam bahasa apatah lagi orang kita. Inilah antara masalah yang menunjangi bahasa kita dan nasib masa depannya kerana keyakinan kita sendiri terhadap bahasa ibunda tidaklah menebal.
Kita tidak tahu nasib bahasa kita sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Adakah bahasa kita akan lebih teruk dicampur-aduk dengan bahasa asing atau sebaliknya bergantung kepada generasi sekarang mendidik, memandu arah dan meletakkan bahasa di peringkat sewajarnya.
Soalnya, sekarang pun ramai yang menganggap bahasa kita sudah terpinggir. Jika tidak diwajibkan mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah, sudah lama bahasa kita tinggal sebagai sejarah.
Bahasa kita sudah dikenali dan dipertuturkan dengan meluas sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai lingua franca yang menyatukan pelbagai bangsa pada zaman itu.
Sehingga kini, bahasa tetap memainkan peranan yang sama iaitu ke arah membentuk dan memperkukuh perpaduan kaum di negara kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa. Jika tidak menerusi bahasa yang sama, kehidupan dan aktiviti masyarakat kelihatan akan berkelompok, berpuak-puak dan tidak akan mencapai keharmonian seperti yang diharap-harapkan.
James T Collins dalam bukunya ‘Bahasa Melayu Bahasa Dunia’, terjemahan Alma Evita Almanar, 2005, antara lain menulis bahawa Reid (1988) menyimpulkan kedudukan bahasa Melayu pada abad Perdagangan sebagai bahasa yang menjadi alat perhubungan kerana masyarakatnya berbual menggunakan bahasa Melayu, walaupun mereka berasal dari pelbagai negara termasuk Filipina, Cina, India dan sebagainya. Mereka menjalankan urusan perniagaan dalam bahasa Melayu di pelabuhan.
Kesimpulannya, bahasa kita sudah mantap penggunaannya sejak zaman berzaman, cuma kita sendiri yang mampu meneruskannya jika kita benar-benar sayang akan bahasa kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan