SAYA berumur 24 tahun. Saya selalu mandi wajib dengan menyembur bahagian sulit sehinggakan terasa geli (tidak pasti keluar air mani atau tidak).
Sebenarnya pada waktu itu saya tidak tahu dengan cara itu menyebabkan saya berhadas besar kembali (jika keluar air mani). Selepas itu saya solat dan mengaji seperti biasa.
Saya juga berbuat demikian pada bulan Ramadan. Sudah semestinya puasa saya tidak sah.
Saya tidak berapa pasti berapa lama saya berbuat demikian hinggalah saya tahu yang geli pada bahagian sulit boleh mengeluarkan air mani.
Bagaimana dengan solat dan puasa saya selama tempoh itu? Bagaimana harus saya menggantikan semula solat dan puasa saya?
YATI, Terengganu
MELAKUKAN perbuatan di atas termasuk dalam merangsang atau mencapai keghairahan seksual dengan cara onani (melancap). Ia boleh berlaku dengan pelbagai cara dan keadaan.
Ia boleh berlaku secara tidak sengaja atau secara sengaja apabila bahagian badan yang boleh menyebabkan keghairahan seksual dirangsang seperti kemaluan dan sebagainya.
Ini yang sebenarnya berlaku pada kebanyakan orang dan juga anda sendiri.
Apabila ini terjadi, ia membabitkan implikasi hukum kerana dalam Islam setiap perbuatan hamba tidak terlepas daripada hukum sama ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Contohnya dalam perbuatan onani antara implikasi hukum termasuk hukum perbuatan itu sendiri, apabila sudah berlaku apa akibatnya kepada seseorang dan tindakan yang seharusnya diambil selepas itu.
Berkenaan hukum onani, perbezaan pendapat berlaku di kalangan ulama. Ada yang mengharamkan, makruh dan membolehkan dengan alasan tertentu (lihat Qaradawi 1995: 170-71).
Ini kerana perbuatan onani tidak membabitkan perbuatan jenayah terhadap orang lain.
Ada yang menerimanya sebagai alami dan semula jadi. Ini kerana setiap manusia ada dua keinginan iaitu nafsu makan dan seksual.
Islam sebagai agama fitrah mengakui hakikat biologi manusia ini.
Dengan sebab itu, Islam sentiasa membicarakan perkara yang berkaitan perbuatan manusia seperti mengenai makanan, pakaian, perkahwinan, jenayah dan sebagai.
Semuanya ini dibicarakan kajian fiqah.
Cuma apa yang penting dalam Islam, bagaimana seseorang hamba Allah dan manusia itu sendiri mengawal dirinya supaya tidak terikut-ikut dengan nafsu semata-mata.
Islam datang bagi menyedarkan manusia mengenai kedudukan mereka yang sebenarnya.
Seterusnya mengenai akibat daripada perbuatan onani, antaranya apabila terkeluar air mani seseorang dalam keadaan hadas besar.
Apabila ia berpuasa, puasanya menjadi batal kerana mengeluarkan mani dengan sengaja.
Apabila berhadas besar, ia hendaklah mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar supaya kembali menjadi suci untuk melakukan ibadat kepada Allah.
Bagaimanapun, sekiranya perbuatan onani tidak sampai mengeluarkan air mani tetapi hanya air mazi sahaja terkeluar akibat keghairahan seksual, seseorang itu tidak dalam hadas besar dan tidak perlu mandi wajib.
Dia hanya perlu membersihkan diri daripada air mazi itu kerana hukumnya najis sahaja berbanding dengan air mani yang dihukum bersih dan tidak najis.
Anda sendiri hendaklah mengenal pasti sama ada anda berada dalam hadas besar atau tidak dengan memastikan ia air mani atau ia air mazi.
Air mani (sperma) ialah air yang mengandungi sperma atau benih berwarna putih pekat keluar daripada faraj ketika nafsu syahwat memuncak.
Air mazi (prostatic fluid) pula ialah air berwarna jernih yang keluar apabila nafsu syahwat mula bangkit. Asalnya daripada tindak balas kelenjar Skene (Skene gland) dalam faraj wanita apabila dirangsang atau terangsang (lihat http://en.wikipedia.org/wiki/Skene%27s_gland).
Sesudah mengenal pasti semuanya, tindakan seterusnya boleh dilakukan seperti mengganti solat dan puasa yang terbatal semampu mungkin.
Sekurang-kurangnya anda hendaklah memohon keampunan Allah s.w.t kerana ia dilakukan dalam keadaan ‘jahil’ berkaitan perkara di atas.
Dengan itu, anda boleh memperbaiki diri supaya tidak terikut-ikut lagi melakukan perbuatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan