Aku, pEnGaiLSejaTi@Fairuz, giGi pAchU@Reza, SharilSmart, Abg Man, Kapten Faizal & Eddie meredah kelkatu malam. Kiri kanan jalan gelap gelita, jauh sekali ada cahaya neon secerah Putrajaya. Kami baru sahaja makan malam di Simpang Empat. Sejam dua lagi jika tiada aral melintang akan sampailah kami ke Penyabong. Buat kali keduanya aku ke Penyabong. Memancing di laut dalam.
" Banyaknya kelkatu " Aku cuba mencelah bualan Fairuz, Reza & Eddie, sambil aku meraba-raba pinggangku.
" Hujan tadi abg iDAN tentulah kelkatu keluar! " Jawab Fairuz yang memandu NAY 6094 di sebelahku.
" Tak ada pula kelelawar! " Tak siapa menjawab bualanku.
Mereka bertiga terusan rancak berbual, tak putus-putus sejak dari Bandar Baru Bangi lagi. Aku tidak dapat mencelah bualan mereka, lantaran memancing laut bagiku sekadar impian yang amat sukar untuk dicapai. Nak pergi setahun sekalipun payah. Mereka bertiga ini sudah aku anggap sifu. Sudah biasa mengikut trip yang kosnya mencapai RM500 ke atas. Semua kalangan geng Malaysian Fishing Netforum (MFN) hafal di mulut mereka. Nama Cikgu Zahari, Krogoth, Volvo & entah siapa lagi tak lekang di mulut mereka. Aku memang terasa kosong, cuma dapat bayangkan wajah baik Cikgu Zahari di akhbar & TV. Selebihnya aku tidak dapat bayangkan, jika aku mengikut trip Cikgu Zahari pasti aku amat segan & malu, sebab nak ikat mata kail pun aku tak pandai. Jauh sekali cantik seperti Kawan Uar yang memang kaki pancing tapi bukan geng MFN.
Forum pancing geng MFN ini juga amat jarang aku buka, adalah sesekali aku buka & sempat menulis pengalaman aku mengail dengan anak-anak. Jadi nak cerita dapat ikan yang besar-besar memang tiada. Rasanya sekadar melihat pengail yang menjinjing ikan yang besar-besar.. buat aku katakan tadi sekadar impianku. Jauh sekali untuk mencapainya sebab aku tahu untuk pergi kelaut dalam begitu bukan bajet yang sedikit.
Bila sebut Reza, aku sendiri amat mengagumi kepandaian dia mengail di laut dalam. Tenguk alatan pancing dia satu mesin pun aku tak mampu beli. Samalah Fairuz sekali beli pancing sampai mencecah 1K lebih. Jika murah barangannya selalu tidak lasak. Huh! aku akan terkenang kereta perangku yang berlubang nak tampal dia pun aku masih tak cukup duit. Apatah lagi nak beli mesin pancing semahal itu.
Aku sekadar pengail di tapak lombong, paya, tasik-tasik atau ikan air tawar. Sekadar mampu mengikuti trip bayaran bajetnya kecil. Seperti paling murah untuk ke Pulau Angsa yang sekadar memerlukan RM150 belum masuk persediaan di segi alatan memancing... Mampulah aku. Banyangkan sekeping@jambak Apollo sekarangpun harganya sekitar RM2.00. Pengalaman aku tahun lalu memancing ke Penyabong tidak akan cukup jika sekadar 5 jambak Apollo. Paling selesa kena ada 10 jambak Apollo. Batu ladong sekitar RM1.50 ke RM2.50 mengikut Sais. Takkan nak bawa 5 ketul batu ladong; Ini kes orang yang jarang memancing seperti aku. Payah amat mahu menjimatkan Apollo yang asyik sangkut di batu karang.
Aku memang tidak suka meminjam peralatan pancing orang lain, takutnya rosak apatah lagi jika terhumban ke laut, mampukah hendak menggantinya?. Jika gantipun selalunya mesti ada kenangan setiap peralatan bagi yang empunya, takkan sama dengan yang diganti.
Bila aku congak-congak sepanjang hayat aku mengail tak sampai pun sepuluh kali aku mengikut trip mengail ke laut dalam. Paling jauh ke Laut Pasifik mengikut kekawan Jepunku semasa aku kerja sambil belajar di sana. Dasar Pandang Ke Timur. Itu pun kebetulan mereka tahu aku suka memancing. Mereka yang merancang segalanya.
Abang Man tengah leka pancing tunda & Kapten Faizal yang selalunya terbang di awan biru... leka memerhati desah ombak biru Penyabong
Fairuz tak habis bercerita bagaimana bagusnya tekung & awak-awak di Thailand yang baru sahaja dia pergi. Aku mengintip-intip bualan mereka. Bot mereka amat lapang biarpun kecil. Makanan di bot semuanya mereka sediakan. Pengail dilayan bagaikan pelancung. Memang mereka amat suka pengail dari Malaysia berbanding pengail pribumi mereka sendiri. Tiga orang Sifu terus bersembang...
Aku leka melihat kelkatu yang jatuh di cermin Wira Fairuz, bagaikan hujan lebat yang berdendang samba di cermin depan. Fairuz tak berani memasang viper takut lagilah kabur cermin keretanya. Memang kelkatu ini tak takut maut bak Mat Rempit, mati katak di cermin kereta. Sesekali aku menguatkan MP3 Modulator, angin yang mendesah dari luar menenggelamkan laguan yang kusalin siang tadi. Sebab ingin mengumpul lagu MP3lah aku jadi kelam-kabut senja tadi. Sampai lewat sedikit dengan temujanji kami jam 9:30 malam. Untuk mendapatkan lagu yang asyik bagiku bukannya mudah. Apatah lagi ingin memenuhi thumb drive 1GB yang boleh muat sekitar 200 lagu memang mengambil masa. Dalam komputer di pejabatku memang ada lebih dari 3000 lagu MP3. Tapi ingin mencapai selera pendengar setua aku memang mengambil masa.
Berjalan jauh memang setengah orang perlukan amat hiburan. Radio asyik hilang siaran.
" La.. tak pasang lampu lori ini " Keluh Fairuz.
" Haa aah ... pakai lampu suluh sahaja .. " Eddie beralih dari topik pengalaman dia memancing kelah bersama dengan TheDerhakaStudent@Ujang.
Memang handal pemandu lori di Pahang, boleh memandu dalam gelap hanya dengan sebiji lampu suluh. Entah-entah lori jelmaan kot. Aku menjeling jam di kereta Fairuz 2:22 pagi. Ish!.
Aku memakan ubat-ubatan yang terpaksa aku telan saban hari. Memang berat hati aku mahu mengikut trip mengail yang diilhamkan oleh Fairuz ini. Lantaran kesihatan aku yang agak meruncing. Baru Isnin minggu ini aku di tahan di wad kecemasan Hospital Daerah Kajang. Sakit, buah pinggang, darah tinggi & beberapa sakit lagi merisaukan aku. Sayogia aku telah berjanji untuk menyertainya, memang rasanya tidak baik untuk aku menarik diri.
Tidak dapat aku bayangkan jika di laut aku diserang sakit yang aku hidapi bak Isnin lalu. Mana hendak cari doktor di tengah laut. Tak kan hendak patah balik bot, memutuskan keghairahan orang mengail. Pengail bila sudah mula mengail mana boleh diganggu. Sejak dari Jenaris lagi aku risaukan sakit aku kot menganggu rakan-rakanku mengail. Memang aku telah berdoa & sembahyang hajat agar sakitku tidak sampai menganggu rakan mengail, selamat pergi, selamat di laut pun selamat pulang ke rumah. Malahan aku sampaikan pergi jumpa Dukun Kim Loy di Taman Seri Serdang, mencari ubat sebagai langkah persediaanku untuk ke laut. Ubat yang perlu aku telan saban hari tak kurang dari empat jenis. Memang Fairuz selalu kata ubat-ubatan bagaikan kacang buatku.
Bandar Muadzam Shah, tertera papan tanda di persimpangan. Penyabong semakin menggamik. Aku terbayang akan jetinya & Kelong Pulau Aceh..
- bersambung
Situs Peribadi Eddie
Comments for this entry:
Untitled anonymous | Posted on 22.5.2007 at 9:40 AM huh,,, bestnya pergi mengail ye abg idan mak ai..mahalah mahalnya peralatan memancing ni... aduhai,,,,tak mampu gue |
Sayunya Si ikan Yu Riki Rahman | Posted on 24.5.2007 at 8:44 PM Lain daripada yang lain. Kemas. Unik. Rendah diri. Kalau MFN ini satu kembara penulisan kreatif, kamulah "Azizi Hj. Abdullah" kami. SYABAS! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan