Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Jumaat, 25 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu 4 ( Singgahsana )


Catatan 4

Bot terus meredah ombak, dari wajah semua nampak sedikit kehampaan. Mana nak duga lautan dalam. Apatah lagi bergantung dengan huluran yang amat kerdil; Seutas tali kail!.

Memang asyik dibuai ombak. Jika aku kecil arwah emak suka mendendangkan laguan arwah Normadiah untuk melelapkan aku di buaian. Bilamana sudah tua-tua begini siapalah mahu mendodoikan aku. Jauh sekali nak lelap dibuaian. Mila: Huh jika mahu suruh urutkan badan pun selalu menyuruh Azim yang mengurut atau sapukan minyak panas. Peluang memancing ke laut dalamlah aku kembali dapat didodoikan oleh ombak. Dodoian alam! aduhai alangkan nikmatnya.

Fairuz sibuk menyediakan makanan tengah hari. Masakan Fairuz adalah antara masakan paling sedap di dunia. Terutama masakan Asam Pedas dengan ikan kembung yang baru naik dari laut. Beruntung mereka yang mengikut trip bersama Fairuz. Dia tidak pernah minta bantuan memasak tetapi semuanya beres.

Hari masih awal, aku terbayangkan keluarga ikan tenggiri yang pernah kami jinakkan setahun lalu. Pastinya ianya masih banyak mengintai kami dari perkampungannya. Harap-harap ada yang sudi dilamar.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan sergahan pukat tunda. Di perlabuhan Tanjung Gemuk memang terdapat banyak bot pukat tunda berlabuh. Nampaknya sekitar tempat kami mengail ini pun ia bermaharajalela. Satu petanda yang tidak baik. Pasti gerombolan ikan-ikan tenggiri umpamanya lari lintang pukang bilamana semua sahabatnya terperangkap di jaringan pukat. Siapa mahu mengawal kehadiran pukat tunda ini. Seharusnya kementerian perikanan mengeluarkan garis panduan kepada bot pukat tunda ini. Mestilah menunda ikan jauh-jauh dari pantai untuk menjaga periuk nasi nelayan. Aku tidak pasti apakah memang telah ada garis panduan bagi bot pukat tunda ini.

Dada bot pukat tunda ini tergadang & sombong amat. Menurunkan pukatnya. Aku dengar awak-awak bersungut. Aku tidak faham cakapnya, sebab loghat Terengganu.

Aku terbayang rencana di TV, tentang pencerobohan pukat tunda dari luar ke pengairan kita. Memang menjejaskan pembiakan di tukun yang kita bina. Kesayuan itu terasa lantaran pentanda di unjam pertama jelas ikan amat kurang. Mungkin faktor bulan gelap. Air pula terlalu jernih, arus pula agak deras. Kaki pancing atau sifu di MFN pasti tahu ketika mana ikan banyak.

Aku lihat Kapten Faizal masih dengan kepulan asapnya. Eddie memang tak banyak berbual, kota rajin berbual pun dengan Reza. Eddie ini seorang penulis, rajin hantar artikel ke malajalan Sirip. Mesti dijiwanya banyak yang difikirkan. Aku tak pandai menulis & tiada siapa pun mahu menunjukkan bagaimana mahu tembus hasil karya ke majalah sepert Sirip itu. Dia pemburu kelah yang berkaliber. Isterinya pun banyak membantu, dia kata sebelum dia hantar ke editor isterinya adalah jurusunting tanpa gaji. Bagus kata isterinya barulah dia hantar. Jika sebaliknya kenalah diolah lagi.

Mila pula, bila aku suruh baca pun buat sardin sahaja. Jika dulu aku rajin menghantar puisi ke akhbar & majalah, adalah juga yang tersiar. Mila katakan kerja seni aku buang masa, penghayal & buang masa. Maka itu untuk membuangkan resah minat menulis ini aku banyak bertumpu ke internet. Dunia siber lebih luas. Tak payah kena tapisan seperti di akhbar. Memang susah mahu tembus hasil kreatif di akhbar. Jika calang-calang orang memang langsung putus daya usaha.

Teringatkan minat Eddie kepada rimba & lubuk-lubuk yang tersembunyi di sana. Sememangnya bagiku satu pengalaman yang berguna & payah lekang dari ingatan. Aku teringin mahu menjejak kaki ke lubuk-lubuk tersebut. Tapi mahu pergi dengan siapa, kelengkapannya bagaimana?. Aku memang teringin berbual panjang dengan Eddie, saat mengail beginilah masa terbaik.

Sebenarnya turun ke laut sekadar minat dan bukanlah tangkapan itu misi utama. Dengan siapa kita pergi, rombongan bagaimana, Jalinan ukhwah, ikatan persahabatan itu juga amat penting dijalinkan jika telah satu bot@kapal. Berlayar ke laut dengan kumpulan pengail: Ibarat membina sebuah kehidupan kecil sementara. Kita terkepung dalam satu bahtera menyabungkan kudrat & takdir. Kesepakatan, saling memberi panduan, saling bergantung sesama kekawan, kemesraan & bergabung tenaga untuk menjadikan rombongan mengail@memancing itu indah diingati. Biarpun tiada tangkapan yang banyak sementelah jika dapat ikan yang besar tentulah lebih meriah & manis dikenang.

Entah kenapa aku masih terkenang Fareez, Pak Wahid kenangan di Penyabong bersama mereka tahun lalu memang amat manis; Kekinian cuma ada Fairuz, SharilSmart & Reza.

" Abang iDAN makan!, makanan sudah siap ini! " Fairuz mengejutkan aku. Cekap dia memasak.

" Tak lapar lagi Fairuz, makanlah dulu, tekong awak-awak kita sudah makan ke? "

" Sudah kasi tahu! "

Sejam lebih untuk sampai ke ujam buluh. Teringat tahun lalu, di sinilah bot kami hampir karam. Semuanya senyap ketika itu. Tekong Tenang yang berhempas pulas sendirian. Awak-awak terbangun dari tidur, tapi tercegat sahaja. Memang rasa mahu tolak sahaja awak-awak itu ke laut. Aki mahu menolong masa itu, mahu berdiri tenguk pun payah, gigi ombak mengganas, menyeringai. Jika baca catatan aku di Pari Jelmaan, aku ketika itu asyik menjeling pelampung keselamatan. Ada dua sahaja yang di bawa Fareez & Fairuz ketika itu.

Kali ini aku nampak banyak pelampung keselamatan tersedia oleh tekong di dalam bot. Ingatan aku kepada mereka yang turun ke laut dalam, pastikan masalah pelampung keselamtan ini diutamakan. Jangan ambil mudah. Aku takut bak kata aku tadi, Ibarat membina sebuah kehidupan kecil sementara. Kota jadi lain pula apatah lagi aku pernah tebaca ada bot pengail yang dilanggar kapal durjana.

Di unjam ini aku masih ingat, banyak ikan Delah memagut umpanku. Aku pernah dapat penuh sejambak Apollo. Jika Apollo itu ada enam mata, enam ekorlah ikan Delah aku naikkan Sesuai guna Apollo yang saiz agak besar, 14 umpamanya, cangkukkan umpan hirisan kembung pada mata kail. Memang Delah suka kembung segar.

Aku amat ghairah! terbayangkan Delah yang besar-besar bakal memenuhi bakulku!.

Apollo diturunkan sehingga batu ladong mencecah dasar. Setelah mencecah dasar cepat-cepat menaikkan sedikit Apollo, agar apabila ikan memagut umpan tidak ditarik ke batu karang & tersangkut.Turun naikkan Apollo agar mata kail akan tersangkut di mulut ikan.

Harapan aku merisik delah nampaknya gagal. Kerap kali apabila dinaikkan Apollo umpan habis dimakan. Tentunya ikan kecil & mata 14 tidak sangkut. Untuk mengail ikan kembung kecil memang sesuai mata saiz 12 ke bawah.

Perlulah diingat akan petua memancing, jika mendapat ikan kecil jangan sesekali dibiarkan mati di lantai bot, lepaskan sahaja ke laut. Ikan kecil ini mengikut pesan orang tua akan memanggil ikan besar memagut kail kita.

Kapten Faizal & Sharil yang memancing di sebelahku banyak juga menaikkan ikan kunyit, sela, anak kerapu & sesekali naik ikan buntal. Amat berkurang ikan kembung kecil yang boleh dibuat umpan menangkap tenggiri. Reza & Eddie menggunakan mata dua.

Tekong Belia & Awak-awak rancak memancing di ruang hadapan bot. Amalannya sama, mereka berdua terus mengasingkan ikan di kotak ais yang berbeda. Sesekali mata kail awak-awak sangkut di mata apolloku. Arus deras, awak-awak pula menggunakan batu ringan. Dua tiga kali Tekong Belia mengalihan bot di sekeliling unjam. Huh! masih tiada kejutan ikan besar menyambar umpan. Makin lesu, peluit bot dibunyikan untuk menuju ke unjam seterusnya.

- bersambung

Senjakala Penyabong... Mana tenggiri ini tidak menyapa kami


Tiada ulasan:

Catat Ulasan