Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 28 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu 5 ( Singgahsana )


Catatan 5

Aku bertanya kepada Tekong, dia & awak-awak sudah makan ke belum. Tekong kata mereka memang lewat makan. Segankah hendak makan; entahlah. Sememangnya Fairuz masak banyak untuk semua orang makan. Aku yang leka dengan joran, kian lapar & antara kalangan yang lewat makan. Fairuz memasak gulai kari ayam.

Perlu diingat tidak semua Tekong membenarkan penyewa botnya membawa makanan daging, ayam atau apa jua makanan berkaki. Maka itu ada pesanan orang tua di laut tidak boleh menyebut binatang berkaki. ayam, lembu, kambing & sebagainya; Kena kiaskan benda lain. Kononnya ikan tak suka disebut benda yang berkaki, sebab dia sekadar ada sirip untuk berenang. Jika baca sejarah Nabi pun, semasa Nabi Adam a.s lagi ikan telah kecoh sebagai pemberi maklumat sekalian penghuni laut. Memang ikan ini jenis kecoh. Begitu juga sembahyang Asar yang pertama oleh nama Nabi Yunus a.s setelah dimuntahkan dari perut Ikan Nun. Memang sejarah manusia & ikan ini tidak dapat dipisahkan.

Maka itu tidak hairan jika ikan lumba-lumba adalah antara spesis ikan yang cerdik. Jadi jika kita ke laut sememangnyan kena pandai memahami habitat ikan & pantang larangya. Tidak hairan jika pergi dengan Eddie untuk merisik Kelah di lubuk sunyi memang pantang berbual atau bersuara lantang.

Unjam demi unjam kami singgah, hasilnya tidak seberapa hinggalah unjam menjelang ke senja, agak banyak dapat menaikkan ikan Uji Rashid@Lolong, ikan Selar yang agak besar. Aku perasan awak-awak yang menggunakan Apollo buatan sendiri banyak menaikkan ikan Uji Rashid & Sela ini. Aku banyak menaikkan dengan menggunakan mata dua. Aku terdengar dia berbual dengan Tekong, di pasaran tak kurang dari RM8 harga ini yang sebesar kami dapat. Namun tidak lama ikan ini dapat dijinakkan, lantaran datang lagi si Maharajalela. Bot Pukat Tunda; bagaikan kapal puaka Flying Dutchman dengan Kapten berwajah sotong Davy Jones. Ganas gila. Langsung tidak kesihan si pengail kecil seperti kami.

Kami berlabuh di sini agak lama hinggalah ke magrib. Menjelang jam 6:30 petang kami bermula mencandat sotong. Memang ini pengalaman pertamaku mencandat sotong; Candat yang sesuai di sini ialah jenis yang ringan. Bermata kecil. Aku membawa dua jenis candat, keluli yang berat yang boleh dicucuk ikan tamban & yang kecil ringan. Yang ringan bbenar-benar rajin melekat sotong,terkadang mengena dua ekor sekali gus. Yang keluli memang payah sangkut.

Jika mencandat sotong elok dibawa banyak jenis mata candat. Tentunya lain tempat lain jenis candat yang sesuai.

Kebanyakan kami membawa jenis keluli yang berat, maka tidaklah banyak dapat sotong. Sebaiknya ikatlah candat yang ringan ini sebanyak 3 serangkai. Sotong akan tertarik dengan bentuk candat ini. Selain candat yang sesuai peranan lampu di bot juga dapat menarik sotong datang. Jika di Thailand warna lampu juga memainkan peranan. Sotong elok diasingkan dengan tangkapan ikan lain sebab dia selalunya mengeluarkan cecair hitam. Jika rajin banyak anak sotong timbul & boleh disauk. Anak sotong yang segar sememangnya kegemaran semua jenis ikan. Jika berumpankan sotong perlulah dipotong bersaiz panjang untuk ikan mudah nampak.

Menaikkan sotong memang tidak ada beda sangat dengan memancing udang, kena cermat jangan disentak ganas. Sikit ganas sotong akan terlepas.

Menjelang magrib Fairuz sudah siap buat gulai kegemaranku. Asam pedas ikan kembung yang baru naik. Memang manis rasanya. Ada pula ulaman & budu. Tidak cukup sepinggan; Cumanya ada masalah di bot yang kami sewa. Tiada tandas lalu terpaksalah berpada-pada jika makan. Buang air kecil memang tiada masalah. Buang air besar bagaimana; Terdesak sangat adalah cara alternatif.

Mandi di bot memang menyegarkan, lepas mandi kena kopi segar. Sayangnya sejak aku ada masalah buah pinggang aku tak berani mahu minum kopi. Aku memilih teh sahaja. Kopi banyak keladaknya takut berkumpul di dalam buah pinggangku. Bila telah masuk ke hari kedua aku bermusafir. Sakit nampaknya tidak menyerang tentunya limpahan kesyukuran aku panjatkan buat Ilahi. Bukannya apa... belum sampai seminggu aku kena tahan di Wad kecemasan lantaran sakit kronik yang aku hidapi. Dengan kelapangan & limpahan kesihatan yang baik tentunya satu rahmat buat aku untuk dapat berihat seketika.


Waktu Isya hujan turun agak lebat. Kebiasaannya hujan di laut tidaklah berlarutan lama. Bagaikan hujan lalu sahaja. Memandangkan sotong pun nampak merajuk tidak mahu timbul, tekong berpindah ke kawasan batu karang. Ada beberapa buah bot yang bermalam di kawasan batu karang yang memang banyak terdapat perbagai spices ikan. Tapi nampaknya semua kurang berminat memancing malam. Abang Man memang sejak siang mabuknya tak reda. Eddie, Sharil, Fairuz awal-awal telah tidur. Aku & Kapten Faizal sahaja yang rajin mencuba. Sesekali Reza terjaga & membaling umpan sebelahku tapi umpama orang dalam mimpi. Mengingau memancing. Aku lebih suka menggunakan mata tiga. Malam-malam sebaiknya menggunakan tanduk bagi mudah ikan menangkap umpan. Ada tanduk asyik tersangkut.

Kami dikejutkan dengan sambaran ikan yang memang besar, kemungkinan Haruan Tasik yang memagut umpan di koyan tekong. Nampak kelibatnya mengelilingi bot. Sayangnya tali kail terputus mungkin lantaran ia sempat menyelinap ke gugusan karang.

Arus agak deras lalu aku mengambil batu yang sederhana berat & menghayutkan umpan sotong. Syoknya aku yang tak pernah tewas dengan semangat mencuba dapat Ikan Tambak yang agak besar.

Melihat taburan bintang di dada langit di tengah samudera sesungguhnya adalah satu saat yang payah digambarkan. Berbaring di dalam gelap sambil mendongak di langit, bot yang dilambung ombak bagaikan buaian besar. Amat asyik & sayu di hati. Sering kita baca, roh mereka yang soleh meninggal dunia naik ke langit. Tentunya roh itu berada jauh di celahan bintang-bintang. Nabi Isa a.s pun masih hidup di langit sana. Kita tidak dapat menyelami seluruhnya penghuni di langit sana. Entah kita ini berada di galaksi mana, roh@ itu entah di galaksi mana. Jika kita dilambung ombak di lautan, sememangnya kudrat kita tidak sebanyak mana. Menatap bintanglah satu keasyikan yang tiada taranya.

- bersambung

Perhatikan candat sotong jenis yang ringan bermata kecil, aku & SharilSmart dengan si Sotong Penyabong

Jumaat, 25 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu 4 ( Singgahsana )


Catatan 4

Bot terus meredah ombak, dari wajah semua nampak sedikit kehampaan. Mana nak duga lautan dalam. Apatah lagi bergantung dengan huluran yang amat kerdil; Seutas tali kail!.

Memang asyik dibuai ombak. Jika aku kecil arwah emak suka mendendangkan laguan arwah Normadiah untuk melelapkan aku di buaian. Bilamana sudah tua-tua begini siapalah mahu mendodoikan aku. Jauh sekali nak lelap dibuaian. Mila: Huh jika mahu suruh urutkan badan pun selalu menyuruh Azim yang mengurut atau sapukan minyak panas. Peluang memancing ke laut dalamlah aku kembali dapat didodoikan oleh ombak. Dodoian alam! aduhai alangkan nikmatnya.

Fairuz sibuk menyediakan makanan tengah hari. Masakan Fairuz adalah antara masakan paling sedap di dunia. Terutama masakan Asam Pedas dengan ikan kembung yang baru naik dari laut. Beruntung mereka yang mengikut trip bersama Fairuz. Dia tidak pernah minta bantuan memasak tetapi semuanya beres.

Hari masih awal, aku terbayangkan keluarga ikan tenggiri yang pernah kami jinakkan setahun lalu. Pastinya ianya masih banyak mengintai kami dari perkampungannya. Harap-harap ada yang sudi dilamar.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan sergahan pukat tunda. Di perlabuhan Tanjung Gemuk memang terdapat banyak bot pukat tunda berlabuh. Nampaknya sekitar tempat kami mengail ini pun ia bermaharajalela. Satu petanda yang tidak baik. Pasti gerombolan ikan-ikan tenggiri umpamanya lari lintang pukang bilamana semua sahabatnya terperangkap di jaringan pukat. Siapa mahu mengawal kehadiran pukat tunda ini. Seharusnya kementerian perikanan mengeluarkan garis panduan kepada bot pukat tunda ini. Mestilah menunda ikan jauh-jauh dari pantai untuk menjaga periuk nasi nelayan. Aku tidak pasti apakah memang telah ada garis panduan bagi bot pukat tunda ini.

Dada bot pukat tunda ini tergadang & sombong amat. Menurunkan pukatnya. Aku dengar awak-awak bersungut. Aku tidak faham cakapnya, sebab loghat Terengganu.

Aku terbayang rencana di TV, tentang pencerobohan pukat tunda dari luar ke pengairan kita. Memang menjejaskan pembiakan di tukun yang kita bina. Kesayuan itu terasa lantaran pentanda di unjam pertama jelas ikan amat kurang. Mungkin faktor bulan gelap. Air pula terlalu jernih, arus pula agak deras. Kaki pancing atau sifu di MFN pasti tahu ketika mana ikan banyak.

Aku lihat Kapten Faizal masih dengan kepulan asapnya. Eddie memang tak banyak berbual, kota rajin berbual pun dengan Reza. Eddie ini seorang penulis, rajin hantar artikel ke malajalan Sirip. Mesti dijiwanya banyak yang difikirkan. Aku tak pandai menulis & tiada siapa pun mahu menunjukkan bagaimana mahu tembus hasil karya ke majalah sepert Sirip itu. Dia pemburu kelah yang berkaliber. Isterinya pun banyak membantu, dia kata sebelum dia hantar ke editor isterinya adalah jurusunting tanpa gaji. Bagus kata isterinya barulah dia hantar. Jika sebaliknya kenalah diolah lagi.

Mila pula, bila aku suruh baca pun buat sardin sahaja. Jika dulu aku rajin menghantar puisi ke akhbar & majalah, adalah juga yang tersiar. Mila katakan kerja seni aku buang masa, penghayal & buang masa. Maka itu untuk membuangkan resah minat menulis ini aku banyak bertumpu ke internet. Dunia siber lebih luas. Tak payah kena tapisan seperti di akhbar. Memang susah mahu tembus hasil kreatif di akhbar. Jika calang-calang orang memang langsung putus daya usaha.

Teringatkan minat Eddie kepada rimba & lubuk-lubuk yang tersembunyi di sana. Sememangnya bagiku satu pengalaman yang berguna & payah lekang dari ingatan. Aku teringin mahu menjejak kaki ke lubuk-lubuk tersebut. Tapi mahu pergi dengan siapa, kelengkapannya bagaimana?. Aku memang teringin berbual panjang dengan Eddie, saat mengail beginilah masa terbaik.

Sebenarnya turun ke laut sekadar minat dan bukanlah tangkapan itu misi utama. Dengan siapa kita pergi, rombongan bagaimana, Jalinan ukhwah, ikatan persahabatan itu juga amat penting dijalinkan jika telah satu bot@kapal. Berlayar ke laut dengan kumpulan pengail: Ibarat membina sebuah kehidupan kecil sementara. Kita terkepung dalam satu bahtera menyabungkan kudrat & takdir. Kesepakatan, saling memberi panduan, saling bergantung sesama kekawan, kemesraan & bergabung tenaga untuk menjadikan rombongan mengail@memancing itu indah diingati. Biarpun tiada tangkapan yang banyak sementelah jika dapat ikan yang besar tentulah lebih meriah & manis dikenang.

Entah kenapa aku masih terkenang Fareez, Pak Wahid kenangan di Penyabong bersama mereka tahun lalu memang amat manis; Kekinian cuma ada Fairuz, SharilSmart & Reza.

" Abang iDAN makan!, makanan sudah siap ini! " Fairuz mengejutkan aku. Cekap dia memasak.

" Tak lapar lagi Fairuz, makanlah dulu, tekong awak-awak kita sudah makan ke? "

" Sudah kasi tahu! "

Sejam lebih untuk sampai ke ujam buluh. Teringat tahun lalu, di sinilah bot kami hampir karam. Semuanya senyap ketika itu. Tekong Tenang yang berhempas pulas sendirian. Awak-awak terbangun dari tidur, tapi tercegat sahaja. Memang rasa mahu tolak sahaja awak-awak itu ke laut. Aki mahu menolong masa itu, mahu berdiri tenguk pun payah, gigi ombak mengganas, menyeringai. Jika baca catatan aku di Pari Jelmaan, aku ketika itu asyik menjeling pelampung keselamatan. Ada dua sahaja yang di bawa Fareez & Fairuz ketika itu.

Kali ini aku nampak banyak pelampung keselamatan tersedia oleh tekong di dalam bot. Ingatan aku kepada mereka yang turun ke laut dalam, pastikan masalah pelampung keselamtan ini diutamakan. Jangan ambil mudah. Aku takut bak kata aku tadi, Ibarat membina sebuah kehidupan kecil sementara. Kota jadi lain pula apatah lagi aku pernah tebaca ada bot pengail yang dilanggar kapal durjana.

Di unjam ini aku masih ingat, banyak ikan Delah memagut umpanku. Aku pernah dapat penuh sejambak Apollo. Jika Apollo itu ada enam mata, enam ekorlah ikan Delah aku naikkan Sesuai guna Apollo yang saiz agak besar, 14 umpamanya, cangkukkan umpan hirisan kembung pada mata kail. Memang Delah suka kembung segar.

Aku amat ghairah! terbayangkan Delah yang besar-besar bakal memenuhi bakulku!.

Apollo diturunkan sehingga batu ladong mencecah dasar. Setelah mencecah dasar cepat-cepat menaikkan sedikit Apollo, agar apabila ikan memagut umpan tidak ditarik ke batu karang & tersangkut.Turun naikkan Apollo agar mata kail akan tersangkut di mulut ikan.

Harapan aku merisik delah nampaknya gagal. Kerap kali apabila dinaikkan Apollo umpan habis dimakan. Tentunya ikan kecil & mata 14 tidak sangkut. Untuk mengail ikan kembung kecil memang sesuai mata saiz 12 ke bawah.

Perlulah diingat akan petua memancing, jika mendapat ikan kecil jangan sesekali dibiarkan mati di lantai bot, lepaskan sahaja ke laut. Ikan kecil ini mengikut pesan orang tua akan memanggil ikan besar memagut kail kita.

Kapten Faizal & Sharil yang memancing di sebelahku banyak juga menaikkan ikan kunyit, sela, anak kerapu & sesekali naik ikan buntal. Amat berkurang ikan kembung kecil yang boleh dibuat umpan menangkap tenggiri. Reza & Eddie menggunakan mata dua.

Tekong Belia & Awak-awak rancak memancing di ruang hadapan bot. Amalannya sama, mereka berdua terus mengasingkan ikan di kotak ais yang berbeda. Sesekali mata kail awak-awak sangkut di mata apolloku. Arus deras, awak-awak pula menggunakan batu ringan. Dua tiga kali Tekong Belia mengalihan bot di sekeliling unjam. Huh! masih tiada kejutan ikan besar menyambar umpan. Makin lesu, peluit bot dibunyikan untuk menuju ke unjam seterusnya.

- bersambung

Senjakala Penyabong... Mana tenggiri ini tidak menyapa kami


Sabtu, 19 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu 3 ( Singgahsana )


Catatan 3

Aku menelan ubat tahan mabuk yang dibawa oleh Firus, tenguk ubatnya macam telah lupus saja. Sudah ada yang jadi serbuk bukan pil lagi. Sharil & Abang Man mencapai dariku terus menelannya.

Melihat kepada kelengkapan pancing Abang Man, aku rasa kecil sahaja. Boleh kata semuanya barangan baru, bukan satu dua set pancing. Menigikut kata Sharil inilah kali pertama Abangnya ke laut dalam. Seimbas melihat dari anggaran mata kasar pasti mahal belaka. Siap dengan kekotak ais ikan yang masih bau kedai. Berbanding aku paling mahal pun kekili pancingku yang aku beli dari dari Pak Wahid, ABU Cardinal 757. Itulah harta pusaka yang paling aku sayang. Silap-silap mesin pancing ini boleh dihantar ke mazium. Aku hanya banyak menyimpan kekili pancing yang hanya sesuai mengail ikan puyu atau suku sakat talapia sahaja. Kekotak ais ikan aku pula dari polistrin yang Fairuz hendak buang.

" Jika dapat ikan banyak macam hari tu tak muat kotak polistrin ... taruh dalam plastik saja.." Bisik hatiku. Macam yakin sahaja di Penyabong ini banyak ikan.

Aku melihat ada serombongan keluarga Malayu dengan anak kecilnya menaiki bot untuk ke Kelong Pulau Aceh. Dari percakapan mereka mungkin orang tempatan. Bila aku congak-congak bayaran keluarga ini, mesti melebihi 1K. Tak kurang dari enam dikira dewasa, seorang tentunya RM150 bila berenam tentunya sudah RM900, kanak-kanak lagi yanmg tak kurang tiga, empat orang.

Aku terbayang anakku yang bungsu Azim;

" Nanti ayah balik bawa ikan tenggiri iyer..! "

" InsyaAllah, kalau ada rezeki "

Aku memang jarang beli ikan tenggiri, faktor hargalah tu. Asyik Ikan Kembang, Sela, ikan Uji Rashid, Azim suka ikan keli, memang kena beli selalulah. Naik Mila muak & bersungut... macam tak ada ikan lain. Kalau Mila yang ke pasar, adalah dia beli ikan berkelas, Mila memang orang kaya Pulau Carey; Mampulah dia!. Paling mudah aku beli ayam saja. Semua keluarga baham. Sesekali beli udang di TESCO atau Giant yang memang bersebelahan rumahku. Ikan yang berkelas di laut dalam memang jarang dapat dirasa oleh anak-anakku.

8:25 pagi, barulah datang bot yang dinanti. Tekong lain bukan Tekong Dali. Nampak muda belia, kulitnya tidak terbakar macam tekong yang bayangkan. Awak-awaknya macam hero hindustan berwajah misteri, rambutnya beruban tak boleh disikat, mungkin sebaya aku. Masa mudanya mesti dia ini kacak macam aku muda-muda dulu.

Kami memunggah barangan bagaikan nelayan sejati. Kesilapan terjadi lantaran Fairus amat cepat mengikat pemegang joran pancing badan bot (Rod Holder), ianya tertujah dari dinding bot. Nyaris tak patah atau terhumbat ke laut lantaran bot bergesel sesama sendiri semasa mahu bertolak. Pemegang joran itu berharga RM150 lebih lantaran ianya dibuat dengan aluminium. Kelam kabut awak-awak merenggangkan badan bot dengan bot yang bergesel.

Kami pun menuju ke unjam yang teramatlah jauh. Sejam berlalu tak sampai-sampai. Abang Man, Reza & Fairuz memasang tiga batang joran di belakang bot. Memancing secara tunda. Aku sekadar membawa tiga set pancing. Tiga sifu ini jangan ceritalah, memang tak main pancing longgokan.

Jika menggunakan Apollo mata 14, payah mahu lekat ikan tetapi elok ditaruh umpan kembung segar, insyaAllah dapat ikan yang agak besar.

" Reza berapa iyer Reza beli pancing ini? "

" Dalam RM400 lebih abg iDAN... "

" Nanti kalau Reza jemu nak pakai, jual kat abg iyer! "

Sekadar bergurau. Reza memang cermat dengan barangannya. Tenguk pakaiannya pun sudah tahu. Dia kata nak jadi macam pengail Jepun, kelaut pun pakai kemas gila. RM400 lebih, Huh jika sebut Fairus pula bebaru ini beli kekili dengan harga 1K lebih. Emmm tak tercapai aku.

Dia jam bot dilambung ombak, tak juga sampai unjam yang dicari. Tekong yang muda belia, biarlah aku panggil Tekong Belia ...kurang mengemudi bot, awak-awak sahaja yang mengemudi. Keliru aku, mungkin juga Tekong Belia ini sekadar sambilan, awak-awak ini tentunya taraf tekong. Biarlah.

Aku melihat Faizal asyik dengan rokok, aku tidak pasti dia hisap rokok apa, nampak macam Surya sahaja.

" Fairus, Faizal tu sudah kawin ke belum? "

" Belum "

" Nampak sudah lingkungan 30an kenapa iyer dia masih tak jumpa jodoh? "

" Abang iDAN tanyalah dia...! "

Aku penyelitkan Surya di bibirku & merapati Faizal dan memulakan bualan. Deru enjin bot bercumbu dengan desiran ombak, sememangnya payah berbual. Terpaksa menguatkan suara. Faizal rupanya dibesarkan di Taman Seri Serdang, cuma neneknya orang Sungai Merab Luar. Bila aku tanya tahukan mana rumah Datuk Amran Kasimin, dia tak tahu.

" Faizal kerja kat mana iyer? .. "

" MAS "

" Paramugara ke? " Memang dia smart.

" Tak, Pilot "

Barulah aku tahu dia adalah juruterbang. Kena panggil dia Kapten Faizal. Padanlah dia selamba saja dilambung ombak, biarpun memang jarang dia menaiki bot sekecil ini. Pernah sekali semasa di luar negara dia mengikut kekawannya memancing. Banyak juga pengalaman dia ceritakan. Paling bosan kalau keluar negara sampai sebulan lebih di negara orang. Padanlah payah dia mahu bernikah.

Dua jam lebih barulah kami mula mengail di ujam. Aku memasang Apollo Saiz 10. Naiklah beberapa ekor Kembung, Sela & banyak sangat ikan Buntal. Petandalah tu, jika ada ikan buntal memang ikan lain takut kot. Bila dilepaskan ke laut nampak ia kembungkan badan macam belon. Mungkin Buntal mengucapkan terima kasih cara begitu. Delah pun tak naik. Jauh sekali ikan yang Tambak atau ikan lainnya. Di depan bot Tekong Belia & awak-awak nampak aktif memancing. Nampaknya mereka pakai koyan & menggunakan Apollo yang dibuat sendiri. Mereka terus mengisi ian yang ditangkap ke dalam kotak ikan yang mereka bawa, bukan di kotak kami.

Fairuz tidak pun mencuba memasang mata kail tenggiri. Kami cuma memakai Apollo & mata dua. Tak sampai setengah jam. Penat membaling Apollo, kot lekat seekor dua. Memang tiada ikan. Mata dua pun sama, taruh umpan sotong, tak sudi langsung menghidunya. Taruh umpan kembung segar. Kosong. Umpan habis. Ikan tak naik.

" Entah-entah anak seluang kot yang curi umpan ini " Keluh hati sayuku. Seluang dari Jenaris sesat ke laut.

Semua berwajah sayu, tak seceria mana. Di laut jangan bersuara angkuh. Memang ada setengah tekong akan terasa hati kalau kita cakap yang tak sedap di telinganya. Jangan keluar ayat " Tiada ikan " kot tersinggung memang dia tak akan bawa ke lubuk yang banyak ikan.

Unjam yang dituju memakan masa lebih dari 2 jam; Hampa. bak kataku di Pari Jelmaan.

Laut bagiku adalah alam buana yang tidak dapat kita terokai sepenuh akan khazanahnya. Daratan tidak sebesar mana berbanding lautan. Pengail sekadar dapat menghulurkan talian halus ke dasar hati laut. Mata kail sekadar cincin untuk mengikat hati ikan, sotong, udang atau penghuni yang lain. Cintanya ikan kepada pancing adalah ketentuan Ilahi. Rezekilah kalau ikan & pancing dapat bersatu.

Cincin@mata kail ditolak nampaknya. Ikan & pancing memang tidak dapat bersatu.

Peluit bot dibunyikan, nampak ikan dari permukaan lautan berlonjak terbang. Nampak megah si ikan terbang meniti air. Camar yang hinggap di pelampong terbang, nampak putih bersih, cuaca amat cerah, laut amat tenang, arus tidak mengganas; Ikan tiada. Sayu!.

Sauh ditarik, bot bergerak ke unjam seterusnya.

Abang Man telah muntah, mabuk laut; Pancingnya terdongak ke langit & dia lena di perut bot...Aku tenggelam dengan kelabunya bayangan Surya di bibirku. Memerhati laut luas. Harapan masih ada.

- Bersambung

Si ikan Yu 4

Jumaat, 18 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu 2 ( Singgahsana )

Pulau-pulau yang menujah kelemut ombak di Penyabong. Damai & sepi sendiri.

Catatan 2

Aku terbayang akan wajah Tekong Tenang semasa pertama kali aku ke Penyabong. Kenapa aku gelar dia Tekong Tenang? Pertamanya dia amat penyabar. Dari wajahnya terpancar akan keikhlasan dia mengemudi bot. Keduanya ..paling aku trauma adalah awak-awaknya. Dari awal kami menjejak kaki ke dalam bot sampailah kami balik. Tidur semata si awak-awak ini. Adalah dia bangun sekejap seperti masa bot kami tersangkut buluh atau bangun makan jika lapar. Huh! kalau aku jadi Tekong Tenang mau aku campak dia ke laut, janganlah sampai lemas. Sudah jadi kes lainlah pula. Banyak lagi ciri-ciri yang baik ada pada Tekong Tenang ini. Beruntung pengail yang dapat tekong sebaik dia.

Siapa pula tekong kami kali ini?. Mengikut kata Fairuz ialah tekong Dali (Bukan nama sebenar). Dia pernah sekali mengail dengan Tekong Dali ini. Puncanya adalah sebelum itu Fairuz pergi ke Penyabong memang tidak dapat ikan yang banyak. Semasa di jeti dia tertembung dengan kumpulan pengail yang sesama pulang dari laut. Nampak ketara mereka mendapat ikan yang banyak berbanding kumpulan Fairuz.

Bagi kaki pancing memang tidaklah mengutamakan hasil tangkapan tetapi pastinya teruja jika hari yang sama, tempat yang sama ada kumpulan lain yang dapat menangkap ikan yang besar-besar. Secara lojiknya mesti pengaruh tekong juga memainkan peranan, pandai mencari lubuk, tahu unjam mana yang banyak ikan.

Memang banyak lagi faktor untuk mendapat tangkapan ikan yang lumayan. Pengaruh air pasang, arus, terang gelapnya bulan, lokasi, gangguan pukat tunda dan selebihnya tentulah kemahiran si pengail; Apa umpan yang sesuai, mata kail yang bagaimana, Apollo saiz berapa, mesin jenis apa, tali warna apa dan banyak lagi. Yang pastinya memang kena belajar hingga mahir. Jika tidak memang akan jadi TRIP KUMPAU@MANGKOR yang dicatatkan oleh Si Pengail 2.

Trip Kumpau

Pandangan dari jeti di Penyabong di awal pagi

Penyabong memang antara persekitaran laut yang cantik. Jeti yang diusahakan oleh penduduk tempatan seharusnya dapat perhatian kerajaan. Buat masa ini semua kemudahan di jeti dipantau olah penduduk tempatan. Bayaran tempat letak kenderaan, cukai kepala & kemudahan awam masih dalam kawalan penduduk tempatan. Jangan terkejut jika ke sini, aku sendiri seram tenguk ada kira bonzer yang mengawal, wajahnya memang ganas mirip lanun dalam filem Pirates of the Caribbean. Kalau ada Captain Jack Sparrow yang bercelak tu sejuklah hati. Captain Jack Sparrow sememangnya lanun baik. Memang seram jika tertembung bonzer Penyabong ini.

Penyabong boleh menarik pelancung yang ramai, bukan sekadar mengail bagi kaki pancing tetapi sesuai juga tempat keluarga bersantai dengan adanya Kelong Pulau Aceh. Sejak dulu ramai kalangan pelancung dari Singapura yang rajin menginap di Kelong Pulau Aceh. Satu kepala menginap sehari semalam di sini dengan kadar sekitar RM150 termasuk makan minum tentunya kadar berpatutan sebab pengunjung boleh memancing.

Bayaran bot memancing di sini bagi hari cuti umum sekitar RM750 tentunya bukan menjadi halangan bagi kaki pancing jika layanan tekongnya sebagus Tekong Tenang pun syarat pemancing tahu. Sebaiknya awak-awak akan memasak & memang segala tangkapan adalah milik penyewa bot. Teruntuk buat Pengail...

Emmm hayalan aku terganggu, entah berapa lama aku terlelap, sedar-sedar aku telah sampai di daerah Rompin.

" Ish mana datangnya pula dewan sebasar ini? " Reza bersuara.

" Emmm biasalah dewan besar di perkampungan cina! "

" Jalan masuk ke Penyabong sahaja ramai cina di dalam semuanya orang kita " Fairuz bersuara.

Hampir setahun aku tidak berkunjung ke Penyabong. Memang banyak berubah. Jalan ke Penyabong telah dibesarkan. Ada seperkara sahaja yang tidak berubah. Periuk api yang masih bertaburan di jalanraya. Selamba sahaja sekumpulan lembu tidur di panasnya jalanraya. Kerbau di Penyabong memang amat gemuk & sasa. Awas memang tak boleh memandu laju sepanjang perjalanan 14km ke Jeti Penyabong. Kerbau itu hitam, memang tidak nampak dalam gelap..!

Suluhan lampu Wira hampir samar dihalang kabus dinihari. 3:13 pagi. Sasaran waktu yang Fairuz jangka ditepati. Laju juga Fairuz memandu mungkin lantaran kelewatan Sharil Smart. Suluhan lampu Waja mereka yang mengekori di belakang sesekali menyilaukan cermin belakang. Aku terbayangkan surau Kampung Penyabong. Sunyi. Paling peliknya tiada pun jemaah yang sembahyang subuh. Berkunci depan belakang. Harap-harap pintu pagarnya tidak berkunci. Tahun lalu kami lepak di baikoni belakangnya.

Peta Ke Penyabong

" Baru bercat pintu pagarnya " Aku melihat pagarnya nampak cantik bercat.

" Mungkin ada menteri kot baru datang ke Penyabong ni! "

Eddie keluar kereta & membuka pintu pagar. Macam tahun lalu masih tidak berkunci.

Antara panorama yang sempat dirakam oleh Fairuz di lautan Penyabong

Sakit kronikku tidak menyerang. Aku mencapai Surya di beg galasku untuk mencari ilham di Penyabong. Aku bukan peminat Surya sebenarnya, jarang aku merokok, kot sekali sekali jika stres sangat atau berjalan jauh untuk menghilangkan mengantuk. Tidak ketemu Surya sehari pun tidak kisah.

Aku melihat Faizal memang asyik merokok putus berubung. Segak machoo Faizal ini. Usia tentunya sekitar 30an masih tak kawin. Itu saja maklumat yang aku tahu dari Sharil. Faizal adalah adik ipar kepada Abang Man. Aku memang tidak menjangka dia adalah juruterbang MAS. Memang teringin mahu menimba pengalaman dia di langit biru. Harap-harap dapat berbual panjang dengan dia.

Aku memasang ubat nyamuk yang dibawa Fairuz, tapi tiada kakinya. Tawakal sahajalah kot boleh menyala sampai ke pagi.

Memang payah aku mahu terlelap, lantaran dengkuran Sharil & abangnya Abang Man amat kuat. Tentunya sekuat dengkuranku yang paling dibenci oleh Mila. Cuma Anif sahaja yang sanggup tidur denganku. Azim anakku yang bungsu awal-awal lagi akan tarik bantal lari jauh jika aku cuba nak tidur di sisinya. Memang masalah bagi mereka yang berdengkur dalam bab tidur beramai.

Sedar-sedar hari telah subuh. Tiada Tok Bilal azan di surau ini. Aku bangun dalam suram subuh, ambil wuduk & sembahyang sendirian. Bab sembahyang terkadang memang jadi perkara sensitif waktu pengail berkumpul. Titik.

Sedar-sedar hari telah subuh. Tiada Tok Bilal azan di surau ini. Aku bangun dalam suram subuh, ambil wuduk & sembahyang sendirian. Bab sembahyang terkadang memang jadi perkara sensitif waktu pengail berkumpul, apatah lagi ketika terumbang-ambing di dada laut. Titik.

Seorang demi seorang bangun. Jam 7:30 kami bertolak ke jeti yang sekitar 1km. Makan dua keping roti canai di kedai mirip arwah Opah Bi buat. Payah mahu cari Makcik tabur roti canai. Di Penyabong ada. Aku lihat bonzai yang ditanam tahun lalu di sekitar gerai. Cantik nampak menjadi & subur. Duduk di gerai ini terubat rasa rindu akan kampung halaman. Terbayang arwah Opah Bi, redup desaku Desa Tualang dengan teduhan pepohon rambai amat damai.

Di pantai Penyabong nampak penuh kereta di tempat letak kereta. Banyak plet Singapura. Mesti mereka tidur di Kelong Pulau Aceh. Hanya ada sekumpulan pemancing dari Kuala Lumpur. Tidak seramai tahun lalu.

Deburan ombak bagaikan ditelan gigi laut. Senyap sepi. Tiada angin basah. Cuaca cantik, panorama tenang. Kali kedua aku menjejak pantai Penyabong, pandangan di pantai Penyabong tetap indah.

Kami mencari troli & mengangkat barangan di pondok jeti. Fairus cuba menghubungi Tekong Dali. Dapat dihubungi, tetapi katanya bot dia tersadai di air cetek. Tidak boleh berlabuh. Air surut. Memang payah diterima akal, bot lain banyak berlabuh; Dali ooo Dali. Fairuz pula sejak Khamis lagi telah telefon Tekong Dali untuk memastikan kami pergi. Habis nak pergi dengan bot mana ni?... Hari telah jam 8:00 pagi lebih!

- bersambung

Menunggu Makcik Roti Canai menjamu kami. Dari kiri Kapten Faizal, Abang Man, Sharil, iDAN, Eddie & Reza.

Khamis, 17 Mei 2007

Sayunya Si ikan Yu ( Singgahsana )


Reza terlena... Awak-awak terusan mencari unjam

Aku, pEnGaiLSejaTi@Fairuz, giGi pAchU@Reza, SharilSmart, Abg Man, Kapten Faizal & Eddie meredah kelkatu malam. Kiri kanan jalan gelap gelita, jauh sekali ada cahaya neon secerah Putrajaya. Kami baru sahaja makan malam di Simpang Empat. Sejam dua lagi jika tiada aral melintang akan sampailah kami ke Penyabong. Buat kali keduanya aku ke Penyabong. Memancing di laut dalam.

" Banyaknya kelkatu " Aku cuba mencelah bualan Fairuz, Reza & Eddie, sambil aku meraba-raba pinggangku.

" Hujan tadi abg iDAN tentulah kelkatu keluar! " Jawab Fairuz yang memandu NAY 6094 di sebelahku.

" Tak ada pula kelelawar! " Tak siapa menjawab bualanku.

Mereka bertiga terusan rancak berbual, tak putus-putus sejak dari Bandar Baru Bangi lagi. Aku tidak dapat mencelah bualan mereka, lantaran memancing laut bagiku sekadar impian yang amat sukar untuk dicapai. Nak pergi setahun sekalipun payah. Mereka bertiga ini sudah aku anggap sifu. Sudah biasa mengikut trip yang kosnya mencapai RM500 ke atas. Semua kalangan geng Malaysian Fishing Netforum (MFN) hafal di mulut mereka. Nama Cikgu Zahari, Krogoth, Volvo & entah siapa lagi tak lekang di mulut mereka. Aku memang terasa kosong, cuma dapat bayangkan wajah baik Cikgu Zahari di akhbar & TV. Selebihnya aku tidak dapat bayangkan, jika aku mengikut trip Cikgu Zahari pasti aku amat segan & malu, sebab nak ikat mata kail pun aku tak pandai. Jauh sekali cantik seperti Kawan Uar yang memang kaki pancing tapi bukan geng MFN.

Forum pancing geng MFN ini juga amat jarang aku buka, adalah sesekali aku buka & sempat menulis pengalaman aku mengail dengan anak-anak. Jadi nak cerita dapat ikan yang besar-besar memang tiada. Rasanya sekadar melihat pengail yang menjinjing ikan yang besar-besar.. buat aku katakan tadi sekadar impianku. Jauh sekali untuk mencapainya sebab aku tahu untuk pergi kelaut dalam begitu bukan bajet yang sedikit.

Bila sebut Reza, aku sendiri amat mengagumi kepandaian dia mengail di laut dalam. Tenguk alatan pancing dia satu mesin pun aku tak mampu beli. Samalah Fairuz sekali beli pancing sampai mencecah 1K lebih. Jika murah barangannya selalu tidak lasak. Huh! aku akan terkenang kereta perangku yang berlubang nak tampal dia pun aku masih tak cukup duit. Apatah lagi nak beli mesin pancing semahal itu.

Aku sekadar pengail di tapak lombong, paya, tasik-tasik atau ikan air tawar. Sekadar mampu mengikuti trip bayaran bajetnya kecil. Seperti paling murah untuk ke Pulau Angsa yang sekadar memerlukan RM150 belum masuk persediaan di segi alatan memancing... Mampulah aku. Banyangkan sekeping@jambak Apollo sekarangpun harganya sekitar RM2.00. Pengalaman aku tahun lalu memancing ke Penyabong tidak akan cukup jika sekadar 5 jambak Apollo. Paling selesa kena ada 10 jambak Apollo. Batu ladong sekitar RM1.50 ke RM2.50 mengikut Sais. Takkan nak bawa 5 ketul batu ladong; Ini kes orang yang jarang memancing seperti aku. Payah amat mahu menjimatkan Apollo yang asyik sangkut di batu karang.

Aku memang tidak suka meminjam peralatan pancing orang lain, takutnya rosak apatah lagi jika terhumban ke laut, mampukah hendak menggantinya?. Jika gantipun selalunya mesti ada kenangan setiap peralatan bagi yang empunya, takkan sama dengan yang diganti.

Bila aku congak-congak sepanjang hayat aku mengail tak sampai pun sepuluh kali aku mengikut trip mengail ke laut dalam. Paling jauh ke Laut Pasifik mengikut kekawan Jepunku semasa aku kerja sambil belajar di sana. Dasar Pandang Ke Timur. Itu pun kebetulan mereka tahu aku suka memancing. Mereka yang merancang segalanya.

Abang Man tengah leka pancing tunda & Kapten Faizal yang selalunya terbang di awan biru... leka memerhati desah ombak biru Penyabong

Fairuz tak habis bercerita bagaimana bagusnya tekung & awak-awak di Thailand yang baru sahaja dia pergi. Aku mengintip-intip bualan mereka. Bot mereka amat lapang biarpun kecil. Makanan di bot semuanya mereka sediakan. Pengail dilayan bagaikan pelancung. Memang mereka amat suka pengail dari Malaysia berbanding pengail pribumi mereka sendiri. Tiga orang Sifu terus bersembang...

Aku leka melihat kelkatu yang jatuh di cermin Wira Fairuz, bagaikan hujan lebat yang berdendang samba di cermin depan. Fairuz tak berani memasang viper takut lagilah kabur cermin keretanya. Memang kelkatu ini tak takut maut bak Mat Rempit, mati katak di cermin kereta. Sesekali aku menguatkan MP3 Modulator, angin yang mendesah dari luar menenggelamkan laguan yang kusalin siang tadi. Sebab ingin mengumpul lagu MP3lah aku jadi kelam-kabut senja tadi. Sampai lewat sedikit dengan temujanji kami jam 9:30 malam. Untuk mendapatkan lagu yang asyik bagiku bukannya mudah. Apatah lagi ingin memenuhi thumb drive 1GB yang boleh muat sekitar 200 lagu memang mengambil masa. Dalam komputer di pejabatku memang ada lebih dari 3000 lagu MP3. Tapi ingin mencapai selera pendengar setua aku memang mengambil masa.

Berjalan jauh memang setengah orang perlukan amat hiburan. Radio asyik hilang siaran.


" La.. tak pasang lampu lori ini " Keluh Fairuz.

" Haa aah ... pakai lampu suluh sahaja .. " Eddie beralih dari topik pengalaman dia memancing kelah bersama dengan TheDerhakaStudent@Ujang.

Memang handal pemandu lori di Pahang, boleh memandu dalam gelap hanya dengan sebiji lampu suluh. Entah-entah lori jelmaan kot. Aku menjeling jam di kereta Fairuz 2:22 pagi. Ish!.

Aku memakan ubat-ubatan yang terpaksa aku telan saban hari. Memang berat hati aku mahu mengikut trip mengail yang diilhamkan oleh Fairuz ini. Lantaran kesihatan aku yang agak meruncing. Baru Isnin minggu ini aku di tahan di wad kecemasan Hospital Daerah Kajang. Sakit, buah pinggang, darah tinggi & beberapa sakit lagi merisaukan aku. Sayogia aku telah berjanji untuk menyertainya, memang rasanya tidak baik untuk aku menarik diri.

Tidak dapat aku bayangkan jika di laut aku diserang sakit yang aku hidapi bak Isnin lalu. Mana hendak cari doktor di tengah laut. Tak kan hendak patah balik bot, memutuskan keghairahan orang mengail. Pengail bila sudah mula mengail mana boleh diganggu. Sejak dari Jenaris lagi aku risaukan sakit aku kot menganggu rakan-rakanku mengail. Memang aku telah berdoa & sembahyang hajat agar sakitku tidak sampai menganggu rakan mengail, selamat pergi, selamat di laut pun selamat pulang ke rumah. Malahan aku sampaikan pergi jumpa Dukun Kim Loy di Taman Seri Serdang, mencari ubat sebagai langkah persediaanku untuk ke laut. Ubat yang perlu aku telan saban hari tak kurang dari empat jenis. Memang Fairuz selalu kata ubat-ubatan bagaikan kacang buatku.

Bandar Muadzam Shah, tertera papan tanda di persimpangan. Penyabong semakin menggamik. Aku terbayang akan jetinya & Kelong Pulau Aceh..

- bersambung

Situs Peribadi Eddie
Comments for this entry:


Untitled
anonymous | Posted on 22.5.2007 at 9:40 AM
huh,,, bestnya pergi mengail ye abg idan mak ai..mahalah mahalnya peralatan memancing ni... aduhai,,,,tak mampu gue

Sayunya Si ikan Yu
Riki Rahman | Posted on 24.5.2007 at 8:44 PM
Lain daripada yang lain. Kemas. Unik. Rendah diri. Kalau MFN ini satu kembara penulisan kreatif, kamulah "Azizi Hj. Abdullah" kami. SYABAS!