sekadar gambar hiasan-kredit foto dari mynewsshub.com |
Sepertinya satu pesta pula apabila berita cuaca sejuk yang melanda
Pantai Timur akan turunnya salji. Penduduk Malaysia diminta bertenang
dan janganlah menyebarkan berita atau mengada-adakan cerita yang belum
pasti terjadi. Setakat ini melalui pembacaan saya, cuaca di Pantai
Timur, sejuk dan mengalami penurunan suhu yang mendadak. Belum memberi
petanda bahawa salji akan turun.
Setelah membaca beberapa laporan berita di akhbar, saya menyifatkan laporan akhbar Sinar Harian
sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada kita semua tentang
perubahan cuaca sejuk ini. Jadi, saya petik berita tersebut untuk
perkongsian bersama.
KOTA BHARU - Keadaan suhu sejuk dan mendung seharian mencetuskan suasana baharu yang tidak pernah dialami masyarakat negara ini.
Tidak terkecuali di Kelantan, apabila beberapa lokasi di negeri ini mencatatkan suhu terendah dalam sejarah.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan dan Terengganu, Jenuwa Husin
berkata, penurunan suhu dan udara yang sejuk dialami beberapa daerah di
negeri ini merupakan satu rekod baharu.
Menurutnya, daerah Kuala Krai mencatatkan suhu penurunan minimum
sehingga 17 darjah Celsius pada jam 7 pagi kelmarin berbanding 21.8
Celsius suhu purata.
“Penurunan suhu di Kuala Krai itu adalah yang paling minimum manakala
Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu
dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.
“Di antara punca utama penurunan suhu itu ialah disebabkan tekanan suhu
sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain
daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang
masih belum tamat,” katanya.
Menurutnya, fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun
timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya
awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Beliau berkata, disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran
pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza
dengan keadaan biasa.
Dalam masa sama, Jenuwa berkata, amaran ketiga angin kencang dan laut
bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam
bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.
“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan
ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan
Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan
Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.
Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12
hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di negeri ini mendapati keadaan
cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid
sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada jam 11
pagi.
Seorang penduduk di Kuala Krai, Rosdi Ismail, 49, berkata, perubahan
mendadak suhu sejak selepas banjir gelombang kedua begitu dirasai.
Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang dikelilingi bukit menyebabkan kesannya begitu terasa.
“Setiap kali keluar rumah untuk ke tempat kerja saya akan memakai baju
sejuk kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk sekarang,” katanya.
Suhu di Besut 19 darjah Celsius
Suhu di kawasan Besut pula mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah
Celsius pagi kelmarin, menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah
dicatatkan di daerah itu.
Jenuwa berkata, suhu itu disifatkan sebagai satu rekod kerana suhu biasa
yang dicatatkan paling minimum bagi dua kawasan itu sebelum ini
hanyalah sekitar 23 darjah Celsius.
Katanya, daerah lain di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang dan
Kemaman mencatatkan sedikit penurunan iaitu sekitar 21 darjah Celsius
berbanding hari biasa.
Selain itu katanya, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan, angin kencang
timur laut berkelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ombak melebihi
5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan
dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.
Menurut beliau, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor
Timur turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan
keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.
“Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti
pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.
Seorang penduduk di Besut, Yusof Ali, 72, berkata, keadaan suhu sejuk
dirasakan sejak beberapa hari lalu, memaksa dia memakai baju lebih
tebal.
Menurutnya, seingatnya, kali terakhir suhu sejuk berlaku di daerah ini
ketika dia berusia 15 tahun, kira-kira 57 tahun lalu dan tidak berlaku
lagi selepas itu sehinggalah ia berulang sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan