Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 15 Februari 2014

Mengharap salji turun di Malaysia

 Oleh Rozaman Ismail

SEJAK beberapa hari ini heboh pasal cuaca sejuk dan salji yang melanda negara-negara Asia Tenggara.
Semuanya bermula apabila satu video memaparkan rakaman salji turun di sebuah kawasan hutan yang didakwa sebuah negeri di utara Indonesia melata di laman media sosial.

Rakaman video itu disiarkan oleh saluran berita Chelms Ford News menerusi segmen berita antarabangsa, bertajuk Highly Unusual Phenomenon Shocked Indonesia - First Recorded Snowfall In Indonesia Surprises Local Scientist and Residents.
 
Video berdurasi seminit 48 saat itu merakamkan hujan salji di satu kawasan hutan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan liar. Antara yang kelihatan jelas, pohon pisang dan pohon palas. Kedua-dua pokok jenis ini biasanya tumbuh di kawasan beriklim tropika atau Khatulistiwa.

Tanpa menamakan negeri dan tempat kejadian, video tersebut hanya melaporkan kejadian berkenaan berlaku pada suatu pagi yang amat dingin.

Juga tidak ada temu bual langsung dengan penduduk di kawasan terlibat.

Anehnya tidak satu pun media di Indonesia melaporkan fenomena luar biasa ini!

Tahun lalu fenomena yang sama dilaporkan berlaku di Vietnam dan Mesir - satu catatan sejarah luar biasa.
Kejadian 'aneh' di Indonesia itu kemudiannya dikaitkan pula dengan fenomena cuaca sejuk di
negara-negara Asia Tenggara yang diketahui beriklim tropika.

Beberapa kawasan di rantau ini mencatatkan penurunan suhu luar biasa. Khabarnya di Mandalay suhu mencecah 13 darjah Celsius, Hanoi (10). Bangkok (15), Filipina (21).

Cuaca sejuk luar biasa ini yang sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu di wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand dilaporkan sudah meragut 63 nyawa.

Di Malaysia beberapa kawasan turut mengalami fenomena yang sama.

Kuala Krai misalnya mencatatkan suhu 17.5 darjah Celsius, Kuala Lumpur (21), Cameron Highlands (12), Lubuk Merbau (18.7), Temerloh (19.9), Batu Pahat (20.7) dan Sibu (21.2).

Maka ramailah dilaporkan 'berselimut' ke tempat kerja atau ke sekolah pada waktu pagi dek cuaca sejuk luar biasa ini. Sesetengahnya ambil peluang bergaya dengan baju sejuk atau sweater ke tempat kerja.

Pada waktu malam pula, tak perlu lagi menghidupkan pendingin hawa sehingga berjam-jam lamanya. Cuaca sejuk di luar sudah mencukupi.

Setelah beberapa kawasan di negara ini 'dilanda' cuaca sejuk luar biasa, timbullah pula cerita Malaysia bakal menerima salji. Kalau negara sepanas Mesir boleh menerima salji, tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia.

Bagaimanapun realitinya hanyalah satu mimpi untuk melihat salji di Malaysia.

Di tanah tinggi Genting Highlands dan Cameron Highlands yang sejuk sepanjang tahun belum pernah dilaporkan salji turun.

Hujan salji hanya berlaku di negara beriklim sejuk dan sederhana di hemisfera utara dan hemisfera selatan yang mengalami cuaca di bawah paras 0 darjah Celsius.

Malaysia terletak di garisan Khatulistiwa dan hanya ada dua musim - panas dan hujan. Cuacanya pula lembap dan panas sepanjang tahun.

Jabatan Meteorologi sudah menjelaskan kelmarin. Mustahil bagi negara seperti Malaysia dan Indonesia menerima salji kerana suhu yang dicatatkan adalah tinggi sepanjang tahun.

Suhu udara 'sejuk luar biasa' yang berlaku sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tiupan angin timur laut yang agak kencang dari Tanah Besar China. Negara itu pada masa ini masih mengalami musim sejuk. Tempiasnya sedikit terbabas ke negara ini.

Litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia membantu merendahkan lagi suhu pada awal pagi dan waktu malam. Menurut jabatan berkenaan keadaan sebegini akan berterusan sehingga awal minggu depan.

Seronok juga kalau Malaysia ada musim salji. Rakyat tidak perlu bersusah-susah lagi ke London bagi menikmati cuti musim sejuk atau merasai pengalaman Winter Sonata di Korea.

Tahun Melawat Malaysia 2014 juga pasti lebih lengkap dan semarak.

Dengan cuaca di Malaysia termasuk suhu politik yang 'panas' sepanjang tahun, alangkah bagusnya kalau ada salji.

Lebih ramai yang menghabiskan masa berkualiti di rumah bersama keluarga berbanding di luar.

Sekurang-kurangnya menonton Liga Perdana Inggeris atau rancangan realiti televisyen Running Man sambil pekena ubi kayu dengan kopi panas.


Harap-harap kalau ada salji tak ramai lagi orang berkhemah atau berhimpun di Dataran Merdeka kerana mahu 'melepaskan perasaan' di tengah-tengah malam buta kerana tak tahan dengan sejuk yang mencucuk-cucuk!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan