-
Keratan akhbar Sinar Harian 30 Disember tahun lalu.
CUACA tidak menentu sejak akhir-akhir ini mencetuskan
pelbagai spekulasi dan turut menjadi topik hangat yang sering
diperkatakan oleh pengguna laman sosial.
Selain itu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan
mesej berantai berhubung pelbagai teori perubahan cuaca ekstrem pada
masa ini hingga menyebabkan masyarakat mudah percaya tanpa mengambil
kira fakta sains.
Dakwaan salji turun di negara beriklim tropika, Indonesia juga adalah
satu lagi laporan berita palsu pihak tidak bertanggungjawab untuk
mencemaskan masyarakat selepas insiden penurunan salji di Vietnam dan
Mesir.
Fenomena salji di Malaysia juga adalah satu perkara mustahil walaupun cuaca sejuk luar biasa sedang melanda negara ini.
Hal ini kerana, Malaysia terletak di garisan Khatulistiwa yang mempunyai dua musim sepanjang tahun.
Sebelum ini, isu anjakan kutub bumi yang dikaitkan dengan hari kiamat
juga heboh di kebanyakan blog, namun wujud pertikaian berhubung
kebenaran perkara itu.
Bagaimanapun, teori sains yang dijelaskan Pentadbiran Aeronautik dan
Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) ini diharap dapat merungkai kekeliruan
paparan sebelum ini.
Medan magnet bumi pernah menyongsang
Menurut saintis, medan magnet bumi sebenarnya menyongsang beberapa kali sejak beribu tahun lalu.
Dalam kata lain, jika manusia hidup kira-kira 800,000 tahun lalu dan
memegang kompas di tangan mereka, ia akan menunjuk ke arah selatan.
Ini kerana, kedudukan kompas magnetik ditentukan berdasarkan kutub bumi
dan arah Utara-Selatan akan berubah 180 darjah jika kutub medan magnet
terbalik.
Persoalannya kini adalah, adakah keadaan tersebut akan memberi kesan dramatik?
Hasil daripada rekod fosil dan geologi diperoleh daripada ratusan tahun
ketika berlakunya penyongsangan kutub menunjukkan ia sebenarnya tidak
memberi kesan dahsyat seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Proses penyongsangan kutub adalah satu peraturan alam yang tidak dapat
dielakkan sejak 20 juta tahun lalu dan ia berlaku setiap 200,000 hingga
300,000 tahun sekali.
Bagaimanapun, kutub tidak menyongsang sepenuhnya kerana medan magnet
saling menarik dan menolak antara satu sama lain, di mana beberapa kutub
turut muncul pada latitud pelik ketika proses tersebut.
Saintis meramalkan proses pembalikan terbabit telah berlaku beratus
kali sejak lebih tiga bilion tahun lalu, namun ia dikatakan berlaku
lebih kerap atau setiap sejuta tahun sekali selepas Zaman Dinosaur.
Tiada perubahan drastik pada flora, fauna
Kajian ke atas aktiviti medan magnet dan rekod fosil diperoleh dari
endapan teras pada permukaan laut dalam dikatakan boleh memberi
penjelasan kepada saintis berhubung perubahan kutub magnetik.
Medan magnet bumi ditentukan berdasarkan pemagnetan lava kerana ia
berada di dasar laut di Rabung Tengah Atlantik, di mana benua Amerika
Utara dan Eropah berpecah.
Difahamkan, lava membeku itu sebenarnya mampu mewujudkan rekod
orientasi medan magnet pada masa lalu seperti bunyi rekod pita rakaman.
Kali terakhir kutub bumi menyongsang adalah kira-kira 780,000 tahun
lalu yang turut digelar saintis sebagai pembalikan Brunhes-Matuyama.
Rekod fosil menunjukkan proses tersebut tidak memberi perubahan drastik terhadap flora dan fauna.
Selain itu, endapan teras pada zaman terbabit juga tidak menunjukkan
sebarang perubahan dalam aktiviti glasier berdasarkan jumlah isotop
oksigen pada permukaan tersebut.
Keadaan itu membuktikan proses penyongsangan kutub tidak akan
menjejaskan putaran paksi bumi walaupun kecondongan paksi bumi memberi
kesan besar kepada iklim dan pengglasieran.
Proses penyongsangan kutub juga sebenarnya tidak tetap dan ahli
geofizik agak pasti bumi mempunyai medan magnet kerana teras besi
padunya dikelilingi lautan cecair logam panas.
Aliran cecair besi di dalam teras bumi mencipta arus elektrik yang seterusnya mewujudkan medan magnet.
Saintis dapat mengukur pergerakan dalam teras dengan memerhatikan perubahan di dalam medan magnet,
Menurut kajian mereka, kutub magnet bumi telah berganjak pada jarak lebih 1,100 kilometer (km) sejak awal abad ke-19.
Bagaimanapun, anjakan tersebut didakwa berlaku lebih cepat pada masa
ini dengan anggaran jarak kira-kira 64 km setahun berbanding kira-kira
16 km setahun pada awal abad ke-20.
Medan magnet tidak hilang
Satu lagi hipotesis mengenai penyongsangan kutub mengandaikan proses
itu akan menyebabkan bumi kehilangan medan magnet yang berfungsi sebagai
pelindung daripada ribut solar.
Saintis mendakwa medan magnet sememangnya boleh berubah-ubah tetapi
tidak ada sebarang petunjuk bahawa ia akan hilang sepenuhnya.
Medan magnet yang lemah akan menyebabkan peningkatan jumlah kecil
radiasi solar tetapi kesan itu tidak membawa maut kerana atmosfera tebal
bumi mampu memberi perlindungan terhadap kemasukan zarah matahari
secara terus.
Kajian sains menunjukkan penyongsangan kutub magnet dari skala masa
geologi adalah satu fenomena yang biasa berlaku sejak ribuan tahun lalu.
Bagaimanapun, keadaan yang menyebabkan proses itu berlaku tidak dapat
diramalkan sepenuhnya kerana sebagai contoh gerakan kutub utara mungkin
boleh bertukar haluan.
Rekod geologi berusia jutaan tahun juga menunjukkan pembalikan kutub
tiada kaitan dengan senario hari kiamat seperti yang dihebohkan banyak
pihak dengan tujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat pada ketika ini.
Sumber: http://www.nasa.gov/topics/earth/features/2012-poleReversal.html