SEMENJAK Akta Hak Cipta diwartakan pada tahun 1987, ternyata ia telah memberi keuntungan kepada penggiat seni terutamanya golongan penyanyi, komposer, pemuzik dan penulis lirik tanah air.
Menerusi akta tersebut, golongan yang terbabit berhak untuk memperoleh royalti menerusi jualan album, siaran lagu di radio, televisyen serta persembahan artis yang diadakan di kawasan terbuka.
Malah, terdapat beberapa syarikat telah ditubuhkan yang berperanan mengutip royalti seperti Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Pelaku Persembahan Muzik (PPM) dan Pengutip Royalti Persembahan dan Hak Artis Berhad (Prism).
Namun, kini isu yang mula dibangkitkan sekarang mengenai royalti yang sepatutnya dinikmati oleh para pelakon apabila produk mereka sama ada drama atau filem yang diulang siar di stesen-stesen televisyen.
Biarpun isu tersebut merupakan isu berbangkit sejak sekian lama, kali ini Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tampil dengan mengemukakan cadangan untuk menubuhkan sebuah badan yang akan bertanggungjawab mengutip royalti untuk pelakon.
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, jika selama ini penyanyi, komposer, penulis lirik dan pemuzik yang menikmati royalti, sekarang sudah tiba masanya golongan pelakon menikmati faedah yang sama.
“Buat masa ini pihak Seniman akan mengemukakan cadangan mengenai penubuhan sebuah badan pengurusan mengutip royalti pelakon yang dikenali sebagai Malaysian Screen Actors Guild Berhad (MSAG).
“Kalau dilihat, sekarang ini banyak drama atau filem yang diulang tayang banyak kali, namun pelakon tidak mendapat royalti. Jadi, kami merasakan sudah tiba masanya golongan pelakon mendapat faedah seperti yang diperolehi mereka yang terbabit dalam bidang nyanyian,” ujarnya.
Zed berkata demikian dalam satu majlis santai bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah beberapa pelakon popular tanah air seperti Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Jehan Miskin, Zizan Nin, Fizz Fairuz, Siti Saleha, Beego, Ramona Zamzam dan Roslan Shah yang turut diberi peluang untuk memberikan pandangan dan luahan masing-masing pada majlis tersebut
Berkenaan dengan penubuhan badan kutipan royalti tersebut, Zed menjelaskan buat masa ini ia masih lagi di peringkat cadangan dan berharap agar ia dapat direalisasikan dengan secepat mungkin.
“Apa yang kami lakukan sekarang adalah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mendapatkan sokongan. Sekiranya berjalan lancar kami jangka badan tersebut akan ditubuhkan pada tahun ini,” ujarnya.
Setiausaha Kehormat Seniman, Zahrin Ishak pula memberitahu penubuhan MSAG ini akan mengikut cara seperti dipraktikkan oleh sebuah badan profesional yang dikenali sebagai Screen Actors Guild (SAG) yang sudah ditubuhkan sejak tahun 1933 di Amerika Syarikat.
“Biarpun matlamat utama badan ini diwujudkan untuk mengutip royalti, namun ia turut menjalankan beberapa fungsi lain seperti menjaga kebajikan, penetapan kadar bayaran dan had waktu bekerja seseorang pelakon,” jelasnya.
Bersatu
Sementara itu, Ismail Sabri berkata majlis santai yang diadakan itu merupakan kesinambungan majlis Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 yang dianjurkan pada 24 Jun lalu dengan melibatkan kehadiran seramai 600 golongan seni daripada pelbagai cabang seni.
Ujarnya, pada pertemuan kali ini, beliau dapat mendengar dengan lebih lanjut mengenai setiap luahan dan pandangan daripada pelakon yang hadir dan pihaknya akan cuba menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.
“Sebelum ini kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan lebih terarah kepada golongan yang terlibat dalam bidang nyanyian. Jadi, pertemuan yang diadakan ini akan memberi fokus kepada pelakon.
“Menerusi pertemuan ini memang banyak input yang diperoleh dan pihak KPDNKK akan cuba mempertimbangkan segala luahan dan cadangan yang dikemukakan termasuk penubuhan MSAG yang telah dicadangkan oleh Seniman,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut menegaskan para artis di negara ini supaya lebih bersatu, misalnya dengan mewujudkan sebuah persatuan sahaja yang bertanggungjawab untuk membela nasib mereka.
“Salah satu punca yang menyukarkan golongan artis ini untuk menuntut hak disebabkan mereka sendiri tidak bersatu. Bagi saya dengan adanya sebuah sahaja persatuan, ia lebih mudah untuk kerajaan menyalurkan sebarang bantuan yang diperlukan," saran Ismail Sabri.
Beliau juga menambah, wujudnya terlalu banyak persatuan untuk anak seni tanah air telah menyebabkan kerajaan sedikit sukar untuk memberi bantuan. Justeru, beliau menyeru agar semua artis sepakat dengan hanya memiliki sebuah persatuan sahaja untuk kebaikan semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan