Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN,br>roni.ridwan@kosmo.com.my
SEBAHAGIAN artis, khususnya golongan
pelakon bergambar bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) dalam
pertemuan santai antara badan tersebut dengan Persatuan Seniman pada 1
Ogos lalu.
SEMENJAK Akta Hak Cipta diwartakan pada tahun 1987, ternyata ia telah
memberi keuntungan kepada penggiat seni terutamanya golongan penyanyi,
komposer, pemuzik dan penulis lirik tanah air.
Menerusi akta tersebut, golongan yang terbabit berhak untuk
memperoleh royalti menerusi jualan album, siaran lagu di radio,
televisyen serta persembahan artis yang diadakan di kawasan terbuka.
Malah, terdapat beberapa syarikat telah ditubuhkan yang berperanan
mengutip royalti seperti Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik
Malaysia (MACP), Pelaku Persembahan Muzik (PPM) dan Pengutip Royalti
Persembahan dan Hak Artis Berhad (Prism).
Namun, kini isu yang mula dibangkitkan sekarang mengenai royalti yang
sepatutnya dinikmati oleh para pelakon apabila produk mereka sama ada
drama atau filem yang diulang siar di stesen-stesen televisyen.
Biarpun isu tersebut merupakan isu berbangkit sejak sekian lama, kali
ini Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tampil dengan mengemukakan
cadangan untuk menubuhkan sebuah badan yang akan bertanggungjawab
mengutip royalti untuk pelakon.
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, jika selama
ini penyanyi, komposer, penulis lirik dan pemuzik yang menikmati
royalti, sekarang sudah tiba masanya golongan pelakon menikmati faedah
yang sama.
“Buat masa ini pihak Seniman akan mengemukakan cadangan mengenai
penubuhan sebuah badan pengurusan mengutip royalti pelakon yang dikenali
sebagai Malaysian Screen Actors Guild Berhad (MSAG).
“Kalau dilihat, sekarang ini banyak drama atau filem yang diulang
tayang banyak kali, namun pelakon tidak mendapat royalti. Jadi, kami
merasakan sudah tiba masanya golongan pelakon mendapat faedah seperti
yang diperolehi mereka yang terbabit dalam bidang nyanyian,” ujarnya.
Zed berkata demikian dalam satu majlis santai bersama Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah beberapa pelakon popular tanah
air seperti Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Jehan Miskin, Zizan Nin, Fizz
Fairuz, Siti Saleha, Beego, Ramona Zamzam dan Roslan Shah yang turut
diberi peluang untuk memberikan pandangan dan luahan masing-masing pada
majlis tersebut
Berkenaan dengan penubuhan badan kutipan royalti tersebut, Zed
menjelaskan buat masa ini ia masih lagi di peringkat cadangan dan
berharap agar ia dapat direalisasikan dengan secepat mungkin.
SERIUS. Barisan artis berpeluang menyuarakan pendapat serta dilema mereka kepada Ismail Sabri.
“Apa yang kami lakukan sekarang adalah mengemukakan cadangan kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
untuk mendapatkan sokongan. Sekiranya berjalan lancar kami jangka badan
tersebut akan ditubuhkan pada tahun ini,” ujarnya.
Setiausaha Kehormat Seniman, Zahrin Ishak pula memberitahu penubuhan
MSAG ini akan mengikut cara seperti dipraktikkan oleh sebuah badan
profesional yang dikenali sebagai Screen Actors Guild (SAG) yang sudah
ditubuhkan sejak tahun 1933 di Amerika Syarikat.
“Biarpun matlamat utama badan ini diwujudkan untuk mengutip royalti,
namun ia turut menjalankan beberapa fungsi lain seperti menjaga
kebajikan, penetapan kadar bayaran dan had waktu bekerja seseorang
pelakon,” jelasnya.
Bersatu
Sementara itu, Ismail Sabri berkata majlis santai yang diadakan itu
merupakan kesinambungan majlis Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 yang
dianjurkan pada 24 Jun lalu dengan melibatkan kehadiran seramai 600
golongan seni daripada pelbagai cabang seni.
Ujarnya, pada pertemuan kali ini, beliau dapat mendengar dengan lebih
lanjut mengenai setiap luahan dan pandangan daripada pelakon yang hadir
dan pihaknya akan cuba menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.
“Sebelum ini kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan lebih terarah
kepada golongan yang terlibat dalam bidang nyanyian. Jadi, pertemuan
yang diadakan ini akan memberi fokus kepada pelakon.
“Menerusi pertemuan ini memang banyak input yang diperoleh dan pihak
KPDNKK akan cuba mempertimbangkan segala luahan dan cadangan yang
dikemukakan termasuk penubuhan MSAG yang telah dicadangkan oleh
Seniman,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut menegaskan para artis di
negara ini supaya lebih bersatu, misalnya dengan mewujudkan sebuah
persatuan sahaja yang bertanggungjawab untuk membela nasib mereka.
“Salah satu punca yang menyukarkan golongan artis ini untuk menuntut
hak disebabkan mereka sendiri tidak bersatu. Bagi saya dengan adanya
sebuah sahaja persatuan, ia lebih mudah untuk kerajaan menyalurkan
sebarang bantuan yang diperlukan," saran Ismail Sabri.
Beliau juga menambah, wujudnya terlalu banyak persatuan untuk anak
seni tanah air telah menyebabkan kerajaan sedikit sukar untuk memberi
bantuan. Justeru, beliau menyeru agar semua artis sepakat dengan hanya
memiliki sebuah persatuan sahaja untuk kebaikan semua.