KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kemungkinan setiap guru selepas ini perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi membolehkan sebarang penambahbaikkan dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi bayangan itu berkata, ia perlu bagi membolehkan aspek kefahaman serta kesedaran mengenai integriti dapat disebar luas kepada warga pendidik.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga pendidik termasuk penilaian secara berkala, memerlukan penglibatan serta usaha bersungguh-sungguh dari semua peringkat pengurusan pendidikan.
"Justeru strategi serta pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti setiap warga pendidik bukan sahaja sentiasa tinggi tetapi dapat dipertingkatkan lagi.
"Ini kerana sebagai pendidik, guru-guru mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk sahsiah pelajar. Ia menjadi prasyarat utama kepada kejayaan kita melahirkan generasi yang berintegriti.
"Bagi menjayakan hasrat itu, kepimpinan organisasi pendidikan harus mempunyai kefahaman jelas mengenai aspek berkait integriti supaya pembudayaan itu dapat disuburkan dalam organisasi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran 2012, di Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.
Pada pertandingan pidato tersebut, penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik, Mohd. Rafee Mohamad muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, piala iringan serta piala pusingan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setiap bakal pendidik juga perlu mendalami falsafah dan budaya integriti sebagai persediaan untuk menjadi seorang guru yang berwibawa.
''Guru yang berwibawa tidak hanya dinilai dengan kebolehan melahirkan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran tetapi turut dinilai dari segi keupayaan mendidik murid menjadi insan mulia,'' ujarnya.
Beliau berkata, tugas seorang guru tidak hanya terhenti setakat mengasah kecerdasan minda murid tetapi juga mendidik jiwa serta sanubari mereka agar menjadi insan mulia dengan sentiasa mengamal nilai-nilai murni dalam kehidupan.
iDAN:
Aku benci mendengar masalah pelajar asrama yang masih mencuri; buli pun tidak menghormati insan lain. Sampaikan tiada rasa keselesaan pelajar tinggal di asrama yang terpaksa berjauhan dengan keluarga. Minggu lalu aku masih mendengar ibu mengeluh anaknya kehilangan wang RM200 di STTJ.
Aku pernah menyuarakan agar pihak sekolah mengada ceramah atau bengkel modal insan; kesedaran sivik agar pelajar/murid sentiasa bersikap jujur lagi amanah. Tak guna berpelajaran tinggi tetapi masih mencuri, menjadi samseng atau rosak moralnya.
Semua kalangan kita mahukan anak-anak mendapat keputusan cemerlang tapi akan jadi satu musibah jika moral anak-anak tidak terdidik dengan baik. Nak buat apa seperti hari ini Cuti Umum pelajar tak dibenarkan balik kampung tapi dikurung di asrama tanpa satu pun aktiviti pendidik moral dijalankan. Hanya ada aktiviti sukan atau koko yang tidak melibatkan semua pelajar. Malahan semasa aku melawat ke STTJ secara mengejut; hampir dua jam aku mencari Warden asrama pun tidak ditemui. Sementelah ada kerani yang datang buat kerja lebih masa sambil membawa anak memberi maklumat salah dan mengunci diri di pejabat tanpa ada sikap mesra pelanggan.
Angin rasanya seluruh badan lantaran terpaksa bersalai lebih dari dua jam. Sudahlah anakku dalam bermasalah; ditimbulkan lagi masalah pelik lagi benar ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan