Perjalanan Tidak Dirancang
hahaha meh laa pergi candat muroh je nii.. kalau nak gi bagi nama!
Itu antara ayat pertama yang rakan baik Fareez; Ayoh_Der di MFN mempelawa pemancing yang berminat untuk mencandat sotong di Perairan Terengganu. Aku memang tak kenal siapa Ayoh_Der ini.
Seminggu dua lalu memang aku mendengar Fairuz, Fareez & kekawan Fareez di UKM merancang untuk mencandat sotong di Terengganu. Aku tak galak sangat membuka MFN, sementelah aku memang jarang turun ke laut. Kot-kot setahun sekali dua. Aku lebih banyak memancing ikan air tawar seperti di paya terbiar, tapak lombong terkadang kalau gian sangat tak memancing di perairan yang luas, aku pergi ke Empangan Semenyih. Dapat anak-anak ikan sahaja, jadi aku rasa tiada pengalaman menarik untuk dikongsikan. Memang aku bukan Pemancing Tegar.
Melihat ahli MFN yang dapat ikan besar-besar tentunya aku makin terasa kecil untuk giat berforum di MFN. Aku lebih banyak menumpukan penulisan di Jurnal@Blog peribadiku sendiri.
Wajah si garang sotong & musuhnya, sotong ini memang besar! antara yang dapat kami candat di perairan Kuala Terengganu.
"Abang iDAN nak ikut tak kami candat sotong?" Tetiba Fairuz muncul di muka pintu makmalku.
"Kenapa?, ada kawan yang menarik diri ke..?" Aku dapat firasat dari cara Fairuz bertanya... nampak ghairah sangat; pun soalan yang tak pernah aku jangkakan tetiba keluar dari mulutnya.
"Haa ahh! ada seorang kawan Fareez tak jadi pergi pada saat akhir; Ada orang taja abg iDAN jangan risau, abg iDAN hanya perlu bayar sekadar duit tambahan untuk tol sahaja..." Fairuz menyebut bayaran yang memang tak munasabah untuk menyertai trip mereka. Aku diam sahaja sebab aku sedang asyik menulis artikel.
Sejak kebelakang ini aku tetiba begitu rajin mahu menjadi Penganalisa Politik, berangan mahu setara dengan mana-mana penulis mampan di negara Malaysia ini. Menjadi-jadi pula artikel aku, tiap kali hantar cepat amat ditapis & disiarkan oleh Editor Blog yang aku hantar. Bayangkan dalam sejam dua aku lihat tak kurang 4,000 pelayar membacanya. Memang Blog Politik ini mendapat perhatian ramai.
"Puas saya dail telefon bimbit abg iDAN, saya makan nasi Kak Midah pun tak habis tadi, Fareez nak tahu jawapan abg iDAN segera!" Rasa bersalah pula aku macam endah tak endah saja Fairuz bersungguh-sungguh mahu aku pergi. Perhatianku lebih ke artikel yang kutulis.
"Okey! kalau abg iDAN tak mahu bayar, saya taja abg iDAN.... janji abg iDAN pergi!" Bab taja menaja ini aku memang bagaikan jadi tertampar. Duit bagiku bukanlah isu utama. Bagiku jika mahu turun mengail ke laut dalam sekadar RM100 ke RM300 memang teramat murah. Aku memang risaukan kesihatanku sejak kebelakangan ini.
"Bila pergi tu?"
"Jumaat lepas magrib kita bertolak, pagi Ahad kita balik dari Terengganu!"
"Ahad tu.. Boleh sampai Kajang sebelum magrib tak?"
"InsyaAllah boleh!!!, sekitar lima jam perjalanan sahaja!kita kan dah ada lebuhraya"
Aku mencongak-congak, katakan bertolak jam 10:00 pagi, emmm! sekitar jam 3:00 petang boleh sampai. Aku tetap meragui kenyataan Fairuz. Aku pernah berbual dengan Uztaz Halim yang rajin ke Kuala Terengganu menguruskan projek konkriknya. Dia mengatakan perjalanan ke sana mesti mengambil masa enam ke tujuh jam. Itu jika jalan tak sesak. Syukria yang kampungnya di Cendering pun mengiyakan. Aku membayangkan jauh amat Kuala Terengganu itu.
"Okey jadi!!!, kalau boleh sampai sebelum magrib rasanya tak jadi masalah! minggu ini aku memang tiada ke mana-mana.."
"Tak tanya Kak Mila dulu, kot dia ada hal lain!" Fairuz tu berprasangka.. aku ini jenis ikut telunjuk bini kot. Ada ada saja hal Mila bila cuti hujung minggu. Aku terpaksa jadi pemandu bini selalu.
"Rasanya okey, telefonlah adik Fairuz tu katakan pada Fareez abg kau ini nak ikut mencandat sotong itu"
Wajah Fairuz nampak cerialah amat. Dia terus telefon Fareez. Aku menghulurkan duit sebagai tanda aku akan menyertai rombongan mencandat sotong yang diwar-warkan oleh Ayoh_Der.
- Bersambung
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan