Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 17 Julai 2006

..:: Teramat Rindu - Part 6 Akhir ::..

Posted on: Jul 17, 2006 - 11:25 AM by idanradzi

Melalui kakaknya, dapatlah Dr Bambang melunaskan hutang- piutangnya terutama untuk membina rumahnya. Memang sebahagian keluarga Dr Bambang adalah warganegara Malaysia. Ayahnya memiliki kad pengenalan Malaysia lantaran lama bekerja di sini biarpun asalnya lahir di Indonesia. Ibunya memang warganegara Malaysia. Bilamana konfrantasi Malaysia Indonesia melanda, kebetulan ayahnya membawa ibu Dr Bambang ke Indonesia, maka memang sebahagian adik beradik Dr Bambang lahir & menetap saja di Indonesia. Ada pula adik beradik Dr Bambang yang kekal di Malaysia.


Konfrontasi Indonesia-Malaysia atau yang lebih dikenalpasti sebagai Konfrontasi Rumpun Melayu adalah konflik perebutan & masa depan pulau Kalimantan, antara Malaysia dan Indonesia pada tahun 1962 hingga 1966. Perang ini berawal dari keinginan Malaysia untuk menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961. Keinginan itu ditentang oleh Presiden Soekarno yang menganggap Malaysia sebagai "boneka" Britainia. Anggapan ini ternyata dangkal apabila "peperangan" ini terhenti sejurus berlaku pergolakan di Indonesia yang menyaksikan Presiden Soeharto mengambilalih kuasa dari Presiden Soekarno.... boleh melayari laman web tentang konfrantasi ini di internet. dengan menaip "Konfrontasi Indonesia-Malaysia" di mana mana enjin capaian akan terdapat banyak cerita tentang sejarah & pergolakan konfrantasi ini.

Kakak Dr Bambang menasihatkan agar dia berhijrah mencari kerja ke Malaysia; Kakaknya yang memberi lorong agar Dr Bambang berkerja di Fakulti Kejuruteraan UPM ini. Dalam keadaan hura-hara melayan kerenah isteri pertamanya. Dr Bambang berkemas-kemas untuk ke Malaysia bersama dengan isteri mudanya. Waktu itu isteri pertama membawa rajukan hati & tinggal bersama keluarganya. Dia memang kerap memohon untuk berpisah.

Sememangnya keadaan kewangan Dr Bambang amatlah tidak kukuh. Kenapa Dr Bambang nikah lagi satu memanglah amat payah untuk aku menerimanya. Apakah cukup sekadar alasan ingin membantu adik teman rapat supaya tidak terusan menjanda; atau ada sebab yang lain. Apakah keadaan rumahtangga Dr Bambang memang tidak bahagia sebelum dia membuat keputusan berpoligami?. Atau sementelah keadaan rumahtangga yang aman bahagia menjadi purak peranda atas kesilapan Dr Bambang mencorak rumahtangganya?.

Bagi aku berpoligami itu memang dibolehkan oleh Agama tetapi poligami itu seharusnya membahagiakan bukan menambahkan masalah. Isteri tua memang ada hak menentang poligami jika diperlakukan ketidakadilan. Keadilan itu adalah teras berpoligami. Jodoh pertemuan memang bukan perancangan kita. Aku akur itu. Kenapa aku katakan aku akur, sebab ramai pasangan yang bahagia & sepakat dalam menempoh hidup berpoligami. Tidak sepakat tidak reda antara suami isteri selalunya yang menjadi segalanya meruncing. Keluargaku juga ramai yang berpoligami.

Memang kita tak punyai hak mempersoalkan keizinan Ilahi menemukan seseorang itu dengan dunia poligami. Kecukupan jodoh sama ada satu, dua, tiga atau empat memang ketentuan Dia Nan Esa.

Pada saat akhir setelah Dr Bambang mendapat tawaran bekerja di Malaysia. Isteri pertama tiba-tiba muncul & mahu mengikut mereka ke Malaysia. Bilamana tiada pilihan lain, Dr Bambang terpaksa membawa kedua-dua isterinya ke Malaysia. Bersama empat orang cahayamata. Tiga cahayamata dengan isteri pertama. Seorang anak tiri isteri mudanya.

Di Malaysia memang keadaan tambah gawat lantaran kerenah isteri pertama tidak mahu bertolak-ansur dalam banyak perkara. Dalam setahun sahaja isteri pertama tinggal di Malaysia tercetuslah keretakan yang menunggu belah. Isteri kedua memiliki cahayamata kedua dengan Dr Bambang. Memang menjadi tambah besar keluarga Dr Bambang. Isteri muda Dr Bambang banyak mengalah & dapat menerima seadanya. Yang tua yang selalu tak puas hati. Timbullah masalah SMS & gangguan orang ketiga dihati isteri pertama lalu kembali ke seberang meninggalkan Dr Bambang.

“Dr bagaimana kini keadaan isteri Dr di sana?”

Aku cuba mencungkil keadaan mereka. Sebab memang aku tahu biarpun mereka sudah dua tahun lebih berpisah tapi mereka pernah ingin rujuk semula. Isterinya pernah datang kejap ke Malaysia untuk rujuk, tapi lantaran payahnya mencari Wali Hakim ketika itu isterinya mendadak kembali ke Indonesia. Setelah itu mereka terusan berutus SMS.

“Entahlah iDAN”

“Kenapa tak rujuk saja Dr demi anak Dr yang satu itu.”

“Kalau dulu isteri muda saya ini tak kisah bermadu, tetapi kini bilamana lama madunya lari; Memang agak payah untuk dia dapat menerima isteri pertama saya. Apatah lagi dalam keadaan saya yang masih tak dapat kerja terjamin. Kontrak saya dengan UPM akan habis pada November ini. Jadi saya masih tak dapat memikirkan masalah rumahtangga saya.”

“Cubalah memohon di mana mana Universiti lain.” Desahku.

“Kos hidup di Malaysia ini iDAN terlalu tinggi, gaji saya RM5,000 lebih di sini pun tak dapat menabung, bagaimana mahu saya teruskan kehidupan di sini. Lagipun di sini tempoh berkerja pendik berbanding kami di sana, hingga 65 tahun boleh berpencen”

“Kalau macam itu jadilah Dr nak pulang ke seberang November nanti?”

“Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri iDAN, lagipun tenguk SMS isteri pertama saya ini…”

Aku menatap skrin Nokia Dr Bambang. Membaca apa yang ditulis oleh isteri pertamanya. SMS CINTA. Memang patut dia kembali ke Indonesia.Dr Bambang terus mencapai Suryanya. Menghulur sebatang kepada aku. Dicelahan asap Surya aku terbayang akan mata sayu kerinduan anaknya di sana.

TAMAT

- Moralnya kisah Dr Bambang ini ialah; Pertama, masalah berpoligami dalam Agama kita memang perlukan persepakatan dari semua pihak. Isteri-isteri kena dapat menerima seadanya demi suami dapat berlaku adil. Masalah Dr Bambang boleh selesai jika isteri yang pertama tidak membuat kerenah. Sebab yang muda banyak berkorban, malahan memang mampu untuk berkerja di Malaysia jika ada yang dapat menguruskan anak-anaknya.

- Masalah kewangan keluarga memang lazimnya tidak mencukupi jika berpoligami sebab keluarga yang tentunya besar. Jadi jika mahu segalanya sempurna memang dalam satu keluarga kena sekurang-kurangnya ada dua pendapatan. Bukan perkara ganjil suami & isteri berkerja. Memang sudah jadi kelaziman di Malaysia.

- Keduanya, bilamana ada masalah keluarga jangan diadukan atau mencari jalan keluar dengan orang ketiga selain kedua ibu & bapa sendiri. Agama menyarankan begitu. Jika isteri masih punyai ibu & bapa seharusnya berunding dengan kedua ibu & bapa suami isteri; Mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi menyelamatkan hubungan rumahtangga. Kes Dr Bambang isteri pertama mengujudkan orang luar ke tiga yang kata Dr Bambang bagaikan fatamorgana. Lelaki yang tempat isterinya mengadu itu, berSMS & mungkin bertelefon. Tentunya mereka kenal semasa rumahtangga Dr Bambang kecoh di Indonesia lagi . Pun semasa dia lari pulang ke Indonesia mungkin mereka dapat berjumpa. Orang luar ketiga ini selalunya semata-mata ingin menangguk di air keruh. Masalah akan tambah rumit kalaupun kembali rujuk tinggal bersama; bolehkah seorang suami melupakan sikap tidak setia seorang isteri sebegini?. "

- Kisah ini masih tergantung, cinta dalam rumahtangga masih amat rapuh. Kasih sayang anak-anak memang amat kabur, terutama anak di seberang bersama ibunya. Anak memang selalu jadi mangsa jika berlakunya perceraian. Usia semakin tua apakah akan menjaminkan bersemi cinta baru tulus & semurni dulu.

Khamis, 13 Julai 2006

..:: Teramat Rindu - Part 5 ::..

Posted on: Jul 13, 2006 - 11:09 PM by idanradzi

Setelah sedawa, aku pergi mencapai bekas abu rokok. Saat paling sedap merokok adalah semasa lepas makanlah. Kena pulak masakan pedas minang. Memang nikmat orang merokok ini. Tapi dalam dada entah apa jadi!.

“Isk basi pulak rasanya teh ini.” Sungut Dr Bambang akan teh dalam botol yang dibawa ke hulu hilir. Katanya merokok tanpa ada teh memang kurang nikmat. Teh itulah ulaman rokoknya.

“Laa... Dr tertelan ke teh basi itu?.”

“Bukan basi, tapi dah sejuk sangat mungkin kerana penghawa dingin kereta.”


Aku terbayang Dr Bambang bawa isteri muda & anak-anaknya bakan di restoran masakan minang. Maknanya sekarang Dr Bambang ada lima cahayamata. Seorang anak tiri, seorang cahayamata dia dengan isteri muda, tiga orang lagi anak dari cinta pertamanya. Isteri pertama.

Bagaimana iyer asalnya Dr Bambang boleh beristeri dua?.

Semasa Dr Bambang menyambung belajar PhD di Jepun. Dia, Pak Subari & Pak Agos (Nama sebenar saya terpaksa rahsiakan) memang amat rapat. Mereka rajin bertadarus, berusrah atau berdiri malam bersama. Semasa itu masing-masing telah berkeluarga & punyai cahayamata. Oleh kerana keintiman mereka, masing-masing telah sepakat jika terjadi sebarang kemungkinan. Kemalangan, meninggal dunia atau sebarang musibah, mereka yang tinggal mestilah menjaga keluarga yang ditimpa musibah. Boleh juga bernikah dengan isteri kawan mereka yang menjadi janda. Itu janji mereka bertiga. Maknanya keluarga mereka bertiga telah bagaikan satu keluarga besar. Masing-masing akrab & saling bantu membantu. Dr Bambang menyudahkan PhD di Jepun lebih dari tujuh tahun. Dia bermasalah dengan penyelarasnya, pensyarah yang memantau PhDnya belum punyai pengalaman untuk mengeluarkan pelajar PhD sepertinya.

“Saya terpaksa majukan lapuran PhD saya itu pada seorang Prof yang memang pakar dalam robotik itu iDAN, dia mengaku memang penyelidikan saya itu telah sempurna & lebih dari mencukupi untuk saya memiliki PhD. Barulah penyelaras saya benarkan saya viva & tamat pengajian saya.” Sungutnya pada suatu petang.

Apabila Dr Bambang pulang ke Bandung kampung halamannya. Dia menziarahi rumah Pak Agos. Di sanalah dia ketemu jodoh dengan isterinya sekarang. Adik perempuan Pak Agos memang telah lama menjanda. Seorang janda muda punyai seorang cahayamata. Setelah berbincang dengan Pak Agos akan niatnya untuk melamar adiknya, Pak Agos memang berbesar hati & bersetuju Dr Bambang bernikah dengan adiknya.

Masalah yang pasti, kerutinan hati seorang isteri ialah; isteri pertama Dr Bambang tidak dapat menerima madunya. Tidak mahu bermadu. Bikin kecoh perbagai hal.

“ Masa itu iDAN saya tengah mendirikan rumah kediaman. Belanja membina rumah itu tidak mencukupi. Saya terpaksa memujuk isteri pertama menjual kereta hasil wang simpanan semasa di Jepun, demi menampung perbelanjaan membina rumah kediaman itu.”

Semasa tempuh tiada rumah sendirilah isterinya tinggal bersama keluarganya. Emm.. bayangkan kalau isteri tua bikin kecoh. Wang simpanan pula habis. Projek membina rumah pula terbengkalai. Di Indonesia bukan mudah untuk mendapat kerja. Gaji pensyarah seperti Dr Bambang adalah sekitar RM600 campur elaun dapatlah sekitar RM800 duit Malaysia. Bagaimana mahu menyara dua keluarga. Dr Bambang menghubungi kakak kandungnya yang menetap di Tapah Perak.

- bersambung

Isnin, 10 Julai 2006

..:: Teramat Rindu - Part 4 ::..

Posted on: Jul 10, 2006 - 03:03 AM by idanradzi

Dari simpang empat DBP ke Plaza Low Yat sebenarnya tidaklah jauh sangat berbanding mahu terus ke Dataran Merdeka, mengarah ke Puduraya & akan bertemu juga Penjara Pudu. Cumanya pertama kali kami ke Plaza Low Yat sangkut lama di depan Penjara Pudu membuatkan Dr Khairi jeran untuk mengikut jalan yang aku cadangkan. Jadi aku tak mahu komen apatah lagi mengeluh lantaran terperangkap lebih dari sejam mengikut jalan yang Dr Bambang lalui. Bila aku congak-congak dah lebih dua jam perjalanan kami.


Melihat Puduraya memang teringat masa aku tak punya kenderaan sendiri. Berulang alik ke Kota Bharu Perak dengan isteriku Mila mengambil masa lebih dari separuh hari. Lebuhraya pun tiada di zaman dulu. Memang kalau musim perayaan akan terperangkap lama di sekitar Tanjung Malim ke Ipoh. Sungkai yang lengang bertukar ke arus kenderaan yang terhinjut-hinjut. Kesesakan yang kadang-kadang sampai enam ke lapan jam baru sampai ke Kota Bharu. Apatah lagi kalau naik bas loncat. Isk kes bas loncatlah yang membuatkan Mila balik raya ke kampungnya, serik nak ikut aku pulang beraya naik bas loncat... maka berayalah sendirian tanpa isteri.

"Emmm padanlah lambat, trafik yang jaga, polis trafik kat Malaysia ini lembab betui kan iDAN" Dr Bambang mengganggu lamunanku.

"Ikut polis trafiknya juga Dr, kalau yang mahir & pantas mengawal jalan mesti akan lancar."

"Patutnya dia kena gunakan masa juga. Kasi lalui mengikut masa yang seimbang. Kalau asyik hendak kasi lalui dari satu arah terlalu lama, memang jadi sesak begini."

" Biarlah Dr, kita dah terperangkap begini, masa ada lagi. Selalunya kedai komputer di Plaza Low Yat tu akan tutup sekitar lapan malam. Kita ada masa kira-kira sejam lagi. Urusan sayapun kejap saja. Cuma hantar router, Dr pula cuma nak tambah ram kat Note Book... kejap ajer tu."

"Kedai komputer di Sungei Wang tu iDAN tutup jam berapa?"

"Lambat sikit kut banding dengan Low Yat!. Harap-harap jam 9:00 lebih baru tutup."

Sunyi amat sekitar Imbi Plaza, nak menuju tempat letak keretapun memang lapang. Senang dapat ruang letak kereta, tidaklah payah seperti selalu aku ke Plaza Low, kena turun jauh ke aras bawah tanah.

Ram DDR2 sekitar RM200 untuk 512MB. Dr Bambang beli ram yang gerentinya boleh tukar serta merta. Memang pengeluaran Acer, aku sendiri tak pernah dengan jenamanya. RM230 untuk 512MB. Selalunya di kedai biasa sekitar RM175, tapi tak tahu pula tentang gerenti. Entahlah bagi aku ram memang jarang meragam, belum pernah lagi rosak terpaksa hantar ke kedai dalam masa masih ada gerenti. Masalahnya Dr Bambang tak mahu gerenti yang terpaksa tunggu sampai berminggu. Malahan kalau router yang aku hantar untuk klim gerentinya, mesti lebih dari sebulan barulah siap. Maka itu kalau nak pakai Streamyx di Malaysia ini memang kena ada dua router atau ADSL modem. Kilat kuat sangat di Malaysia. Selalunya modem akan terbakar melalui kabel telefon.

"Isk tak cukup wang pula ni iDAN, boleh guna wang iDAN dulu, nanti saya jolok kad."

"Ada ni tak ada masalah, baru saja gaji. Kebetulan baru saja keluar duit."

Bila tambah saja ram, komputer Dr Bambang masih lembab, aku syak kena serang virus. Wakil penjual itu juga mengesyaki begitu.

" Anak yang mana satu yang suka main permainan komputer tu?"

"Yang lelaki itulah yang pernah datang makmal tempuh hari. Saya pun kadang-kadang ikut main."

"Saya pula memang buta pasal permaian komputer ini."

Selain nak beli ram, cadangnya Dr Bambang hendak ke Plaza Sungei Wang mencari CD permainan komputer. Aku memang suka beli perisian di Mines IT City, sekitar RM3 dah dapat perbagai jenis perisian.

Setelah selesai hantar router, dan beli ram kami menyeberang ke bangunan Plaza Sungei Wang untuk sembahyang magrib. Dalam perjalanan ke surau isteri Dr Bambang telefon, minta belikan sate minang. Memang rutin begitulah, Jika ke KL Dr Bambang mesti makan di Kampung Baru, kedai masakan minang. Dia memang sering membawa isterinya makan di Restoren Minang yang sama.

Di Plaza Sungei Wang memang tak banyak terdapat CD permainan, jadi sebelum ambil kereta di Plaza Low Yat, elok cuba cari-cari di sana. Huh! satu pun tak berkenan di hati Dr Bambang.

"Semuanya CD lama iDAN!"

Aku memanglah tak kenal mana CD permainan lama, mana pula yang baru. Memang Dr Bambang amat prihatin dengan cahayamatanya, sampaikan dia boleh tahu mana CD permainan lama & baru. Dia boleh tahu mana satu CD yang telah ada & mana satu pula corak permainan komputer yang anak-anaknya minati.

Bagaimana ayah yang sebaik Dr Bambang boleh terpisah dengan anaknya?. Ayah yang sentiasa rapat dengan anak-anaknya boleh dipisahkan kasih sayang mereka. Apakah niat seorang isteri yang mahu berteduh di pohon cinta lain akan dapat membahagiakan jiwa anak-anaknya. Intimkah jalinan seorang ayah tiri dengan anak tirinya?.

Jauhnya aku melayani keraguan hatiku. Keraguan & protes diriku terhadap kesetiaan seorang isteri. Memang tidak adil jika suaminya amat baik.

Setelah terhimpit dengan kesesakan, kamipun sampai di Kampung Baru. Aku tak banyak bercakap semasa makan, sebab memang lapar sesangat waktu itu. Apatah lagi dengan asakan pergolakan jiwa ini. Permasalah teman, permasalah diri bagaikan kait mengait.

Aku jamah rendang hati & tauhu. Berkuahkan masakan asam pedas. Memang pedas. Lantaran aku memang ada darah Minangkabau jadi pedas bagaimana sekali pun aku tetap menyukai masakan minang. Jam pun dah sekitar jam 10:00 malam. Memang dah lewat waktu makan malam kami.

- bersambung

Rabu, 5 Julai 2006

..:: Teramat Rindu - Part 3 ::..

Posted on: Jul 05, 2006 - 10:59 AM by idanradzi

Jika terusan memikirkan masalah rumahtangga, memang tiada penghujungnya. Kasih sayang seorang isteri seharusnya semakin bertambah bilamana telah meningkat usia. Seharusnya anak-anak akan menjadi pengikat kasih sayang. Bertambah erat jalinan rumahtangga. Tetapi kenapa masih ada ego dari sebelah pihak. Apakah yang dicari di dunia yang sementara ini?.

Kenapa kita lupa saat-saat bahagia. Bagaimana rebana berombak irama, sepasang kekasih diarak. Pelamin terhias indah, kamar pengantin samar mewangi. Kenapa kita lupa, jika dulu bergelar kekasih tetapi kekinian bergelar suami isteri. Kita telah tinggal di sebuah bahtera rumahtangga tetapi bilamana dilanda cabaran Ilahi; Kita bagaikan mengoyak pakaian pengantin kita. Kita bagaikan meroboh pelamin impian. Kita sanggup cakar wajah hati kekasih kita yang telah mutlak jodoh & milik kita.


Kita mimpikan pula cinta luar, cinta durjana yang membakar batin murni ikatan dari Ilahi. Cinta liar yang mencakar batin pasangan kita.

Kekinian, kali kedua aku keluar dengan Dr Bambang sebab Komputer Bimbit jenama Acernya. Belumpun sampai tiga bulan sudah meragam. Gara-gara anaknya. Kena hantar untuk dibaiki. Masih ada jaminan namun mesti lebih dari sebulan baru siap dibaiki. Cuaca di KL sama, nama lagi Kuala Lumpur, bagaikan tak mahu hilang lumpur & banjir …hujanlah sangat. Tak habis-habis hujan.

“iDAN, bagi saya bisikan dari lelaki yang menggoda isteri saya itu sekadar fatamorgana. Saya lepaskan isteri saya pergi dengan penuh keyakinan, sesungguhnya isteri saya itu hanya sekadar mengejar fatamorgana. Fatamorgana itu iDAN tak mungkin tercapai. Untuk menggapainya pun saya tidak yakin dia akan mendapatnya Jika tercapai pun pasti isteri saya akan menyesal nanti. Di mana mahu dibuang kasih ibu terhadap tiga anak saya? Itu yang saya nak cakapkan dengan isteri iDAN. Saya tak mahu lantaran kita mengikut desahan & sepi hati kita. Anak kita jadi mangsa. Memang saya amat bungkam sekarang mendengar tangisan anak bungsu saya… nun jauh di seberang. Saya tak dapat nak dakap dia iDAN. Rengekan dia, sedu sedan dia iDAN memang amat merobek hati saya”

“…”

Aku bisu. Aku gigit mentol Surya. Basah. Aku rasa kelopak mata aku panas. Merah. Kawal perasaanmu iDAN. Aku sedut pekat asap, dalam-dalam. Dari cermin Kancil titis hujan semakin deras, sederasnya cinta seorang perempuan beralih pergi.

Aku nampak bayang diriku berumur lima tahun disuram hujan.
Aku nampak wajah arwah ibu.
Aku nampak wajah arwah ayahku resah kehilangan dua isterinya.
Aku nampak wajah isteriku yang amat berbalam.
Aku nampak anak bungsuku Hazim.
Aku teringat kata-kata Dr Bambang ingin ketemu isteriku.
Aku nampak segala kepayahan & keperitan.

Memang keinginan Dr Bambang untuk menemui isteriku satu niat yang ikhlas. Tapi aku rasa dia tidak akan dapat menyelami sepenuhnya keadaan & konflik yang berlaku. Belum pasti Kak Mila itu dapat menerima nasihat dari orang yang dia tidak kenali.

Aku lain. Dr Bambang lain. Masalah aku lain. Masalah Dr Bambang lain. Tak payahlah hendak campuradukkan masalahku & masalah Dr Bambang.

Aku tiada kesempatan mahu bercerita panjang masalah keluargaku. Aku sibuk dengan pemantauan makmal, Dr Bambang pula sibuk dengan pelajar, rayuannya untuk menyambung kontrak cuma dilanjutkan hingga ke November 2006. Setelah itu mungkin kami tidak ketemu lagi. Masa itu tentunya aku tidak akan tertekan dengan masalah kronik begini. Bertubi-tubi. Harap-harap begitu.

“Saya rindu amat pada anak saya yang bungsu… iDAN”

Sedutan rokok Surya makin dalam. Sambil menyedup asap semahu-mahunya, Dr Bambang meneguk teh yang sentiasa dibawanya dalam botol.

“Kesian dia, rindunya kepada ayahnya sampai menangis di telefon memang menggangu fikiran saya.” Entah berapa kali dia sebut perkara sama. Aku tahu memang Dr Bambang hendak lepaskan resah yang sesak di dada. Biarlah.

“Masa anak Dr itu berpisah dengan Dr… umurnya berapa iyer?”

“Tujuh tahun.”

“Emmm tentunya dia masih ingat saat perpisahan itu. Masa saya umur lima tahun saya pun berpisah dengan emak saya. Semuanya masih jelas dalam ingatan. Masa itu emak lari rumah sebab ayah saya kawin tiga…” Aku teringat arwah emak, lari ke Taiping. Kelam stesyen keretapi Malim Nawar mengurung jiwaku. Aku mencari kasih emakku di sana. Aku masa itu umur lima tahun, anak Dr Bambang pula berumur tujuh tahun semasa berpisah dengan ayahnya. Payah mencari kasih ibuku seperti payahnya anak Dr Bambang mencari kasih ayahnya.

“Kenapa dia sahaja yang mahu mengikut ibunya?”

“Dia masih mentah iDAN, dia yang memilih untuk ikut ibunya. Yang lain tahu perangai ibunya. Maka itu mereka tak mahu ikut ibu mereka ke Bandung.”

Jalan menuju Dataran Merdeka semakin sesak. Aku nampak Dr Bambang makin gelisah. Hujan pula mencurah-curah. Sudah lebih sejam kami terperangkap dalam kesesakan. Memang KL padat dengan kenderaan, bilamana cuaca hujan tentunya kenderaan tidak lancar makin tenatlah jadinya.

“Pak Subari ada cerita pasal surat yang Dr tulis. Masa bila Dr beri surat itu pada isteri Dr, di rumah atau semasa di lapangan terbang?. Apa nasihat Pak Subari bilamana mendengar Dr nak ceraikan isteri Dr?” Sekadar mendapat kepastian biarpun aku tahu Pak Subari menentang segala tindakan Dr Bambang.

Pak Subari masih belum menyiapkan PhD dia di fakultiku. Pak Subari memang telah lama kenal baik denganku. Selalunya pelajar luar memang lebih rapat denganku berbanding dengan pensyarah. Sebabnya memang kami selalu jadi Jampuk berjaga malam.

“Pak Subari memang tak benarkan saya menceraikan isteri saya. Dia kata nanti dulu, sabar dulu. Biarpun dari perbuatan isteri saya memang sudah patut sangat saya membiarkan dia pergi. Batas kesabaran suami terkadang ada hadnya iDAN” Dia memegang kemas stereng kereta. Menukar gear rendah & menekan-nekan pedal minyak.

“Isteri muda saya pun tidak mahu saya ceraikan madunya. Jangan lafazkan cerai, kecuali dia yang sungguh-sungguh meminta cerai… pesan isteri muda saya”

Aku menyalakan sebatang lagi rokok, entah kali yang ke berapa batang. Aku merenggangkan sedikit tingkap, agar asap rokok tidak terus menyesakkan dada sesama kami.

“Tentang surat itu memang saya keberatan untuk menyerahkannya. Bila dia minta dari awal kami bertolak ke lapangan terbang. Saya bilang nanti di mahkamah saja saya akan serahkan surat itu. Cuma surat itu memang saya bawa bersama semasa menghantarnya di lapangan terbang.” Dr Bambang terusan membuat penyelasan.

“Maknanya semasa itu cuma Dr, anak yang bungsu & isteri Dr sahaja di kereta?.”

“ Haa ahh… kami bertiga saja, yang lain tidak ikut ke lapangan terbang. Dalam mobil dia berkeras mahukan saya mencerai dia, dia yang beriya-iya sangat mahukan surat yang saya tulis itu. Surat jatuhnya talak jika dia tetap dengan keputusan dia mahu pulang sendirian ke seberang. Saya kasi surat itu dalam mobil… bilamana dia terusan mendesak untuk memilikinya. Memang hati saya terluka dengan segala SMS isteri saya, saya tak dapat terima keujudan seorang lagi lelaki dalam diri isteri saya. Biar SMS, biar e-mel sekalipun yang datang melamar kasih dalam rumahtangga saya. Saya bukan cemburu buta, tapi itu tandanya cinta dalam rumahtanga saya telah roboh” Aku diam saja.

“Memang patut saya biarkan dia pergi tapi saya keberatan nak berpisah dengan dia. Malahan saya tetap memujuk dia. Saya bilang tak ada ruginya duit tambang ke Bandung telah kita beli, batalkan saja kepulangan, kita buat hal hidup di Malaysia. …namun dia berkeras juga nak pergi.” Aku terus berdiam diri saja, aku tahu memang Dr Bambang mahu lepaskan semua resah dia.

Lama kami melayan perasaan masing-masing. Aku terfikir apakah memang benar isteri Dr Bambang telah berpindah kasih. Terpedaya dengan pujukan mas joko itu?.

“Emmm.. bila agaknya dia buka surat itu iyer Dr”

“Entahlah iDAN ..tak tahu bila dia buka surat itu, saya perasan dia capai surat itu & terus masukkan dalam tas tangan dia, memang nekad nak tinggalkan saya.”

“Saya rasa dia buka di dalam pesawat. Maka itu dia tidak boleh berpatah semula.” Saya meramal sendiri.

“Emmm dia tidak pernah bercerita pasal surat itu, tapi saya pasti bukan di KLIA, jika dibuka semasa menunggu pesawat mungkin dia boleh pertimbangkan untuk patah balik Maka kami masih bersama.”

Aku melihat air banyak bertakung sekitar puduraya. Harap-harap tidak banjir. Jam menunjukkan pukul 7:05 malam. Sesaknya jalanraya, aku terbayang akan anak Dr Bambang. Macam aku menangis semasa umur aku lima tahun. Pasti wajahnya redup rindu amat akan ayahnya. Macam aku resah kehilangan ibuku dulu. Bagaimanakah Dr Bambang akan dapat menemui anaknya?. Memang perceraian hanya memisahkan kasih sayang anak & ayah; anak & ibu. Dua hati ibu atau ayah mungkin akan puas, tapi hati anak-anak... bagaimana?. Berulang-ulang pertanyaan itu melilit hatiku. Aku lemas sendiri.

“Memang silap kita ikut jalan ini iDAN” Dr Bambang mula tukar perbualan.

“Mana kita dapat menduga kesesakan jalanraya di KL ini Dr...”

- bersambung