|
“Dr punyai berapa orang ahendak iyer?”
“Isteri pertama tiga orang & yang kedua dengan saya seorang anaknya dengan suami pertama seorang!”
Isk aku terkejut jugak tak sangka pula Dr Bambang ; punyai dua isteri. Aku cuba-cuba korek cerita sebenar, berpisah hidup ke atau berpisah ...
“Dia bawa anak saya seorang … yang bungsu” Jauh menungan Dr Bambang, tak sempat hendak aku bertanya sudah terjawab di mana bekas isteri pertamanya berada.
“Berapa umurnya Dr”
“Lapan tahun”
“Lelaki ke perempuan iyer..?”
“Lelaki...”
“Ooo kalau lelaki saya rasa tak timbul banyak masalah terutama bab nikah kawin nanti.”
Aku mereka-reka cerita di hati… Bilamana berpisah hidup tentunya lantaran tidak sehaluan. Katanya isteri pertamanya masih tidak berumahtangga tetapi mereka masih berhubung!.
Memang pahit sebuah perpisahan, apatah lagi bilamana perceraian kian mengasingkan kasih sayang antara ibu, bapa & anak. Padanlah aku selalu perhatikan Dr Bambang memang bagaikan seorang yang gundah. Jelas dari riak wajahnya terhambar hatinya yang gurur. Gurur, rawan bagaikan meratap satu kehilangan.
“Hubungan Dr dengan dia bagaimana sekarang, masih berbaik ... pernah jumpa dia ke?”
Harap-harap dia tidak tersinggung dengan pertanyaanku.
Sebenarnya aku memang asalnya kurang mesra dengan Dr Bambang, tapi aku tahu dari reaksinya memang dia amat mahu rapat dengan aku. Galak dia mengajak aku keluar makan bersama tetapi aku selalu sahaja mereka alasan menolak pelawaannya. Aku rasa kekok amat hendak keluar makan dengan dia. Aku selalu mengelak. Kekok entah kenapa .. mungkin sebab status; mungkin juga sebab perwatakannya; Aku kenal Dr Bambang pun sebab selalu pasang LCD untuk kelas dia. Cuma ada satu hari itu aku tak dapat mengelak. Waktu syolat semakin hampir. Dia beriya-iya sangat mengajak aku ke Masjid Reformasi, sembahyang Jumaat bersama. Selepas sembahyang Jumaat kami makan di Sri Serdang, dari pertemuanlah itu kami semakin akrab.
Kenapa pula Dr Bambang mahu ke masjid Reformasi; Mungkin kerana aku bercerita dengan dia, aku jarang sembahyang Jumaat di masjid Universiti Putra Malaysia (UPM). Kutbah dekat masjid UPM itu mengantuk, semua pakai skrip. Apatah masjid itu terlalu besar, aku yang sering di saf belakang selalu hayal saja tak jelas bunyi pembesar suaranya ... biarpun ada LCD terpapar di depan anjung masjid tapi tak digunakan sepenuhnya tarikan LCD itu.
Masjid Reformasi itu memang bagus! Biarpun agak jauh dari fakultiku tapi tarikan utamanya ialah kutbahnya. Kutbahnya isu semasa, tak mengantuk mendengarnya. Terkadang imamnya Ustaz Daud Che Ngah yang memang banyak pengalaman hidupnya dapat menyedarkan kita. Satu lagi masjid UPM itu terasa moden sangat. Dekat Masjid Reformasi biarpun panas tapi terasa suasana kampung! Cuma sayang masa aku dengan Dr Bambang ke Masjid Reformasi, kutbahnya hampir habis!
Dia berkaki ayam sahaja dari Kancil putihnya takut kasutnya hilang. Memang kami tergesa-gesa pergi sembahyang Jumaat hari itu sebab kami menjaga peperiksaan kelasnya... lambat habis sebab dia lambat bermula.
Hari ini pula aku secara sukarela temankan dia ke Low Yat untuk beli komputer bimbit. Sebab katanya jabatan minta semula komputer bimbit yang dia guna. Aku dah ajak Eris & Pak Subari pergi sekali jadi tidaklah aku rasa janggal berjalan dengan Dr Bambang. Tapi pada saat-saat akhir kedua-duanya menarik diri. Nasib baiklah Dr Bambang ini hisap rokok keretek jenama Surya sama dengan aku. Jadi memang habis lah sekotak aku merokok. Apatah lagi dia memang merokok di dalam kereta. Memang berasap lah. Aku sudahlah kurang bebas berbual dengan Dr Bambang itu, jadi rokok lah jadi mangsa untuk hilangkan rasa janggalku. Kejap-kejap dia suruh buka tingkap.. mungkin aku punya asap rokok macam asap keretapi zaman Pak Sohek... lemas ganggu dia memandu. Huh lebamlah jantungku.
“Dah dua minggu dia tak sms!” Dr Bambang memecah kesunyian.
“Entahlah Dr Bambang, bagi saya kalau Dr masih payah hendak lupakan isteri Dr itu .. baik rujuk semula. Keluarga saya pun ramai berpoligami. Ayah saya kawin tiga. Tapi anaknya tak ramai .. lapan orang saja tak termasuk anak tiri. Abang saya lagi lah ramai bini. Empat orang rasmi seorang dia nikah secara sulit. Dua puluh satu orang semuanya anak dia. Abang saya kawin semua anak dara. Tak seorang pun janda isterinya… apa salahnya jika Dr mampu berpoligami…”
Cuaca di Kuala Lumpur waktu itu hujan, terkandas di depan Penjara Pudu bukan main lama. Aku yang cadangkan jalan itu. Dr Bambang bersungut sungut jugak, sebab dia kata dia sering ke Plaza Imbi ikut Dataran Merdeka, kemudian susur ikut Puduraya tak teruk sesaknya. Dari papan elektronik jalanraya, tertera yang lampu isyarat dikawal oleh polis trafik. Padanlah .. sungut aku dalam hati. Selalunya kalau betul caranya polis trafik itu memberi arahan pada kenderaan memang lancar .. kalau tak mahir kesesakanlah teruklah jadinya.
“Hendak rujuk semula takut dia dah ada suami lain, manalah kita tahu dia sudah ada suami lain.” Dr Bambang seperti menaruh harapan. Simbahan air hujan yang bagaikan tak mahu berhenti terusan membanjiri Jalan Pudu.
“Isk sebelum rujuk kena lah kita risik.. dengan saudara terdekat.”
“Mana lah tahu dia nikah senyap-senyap, mungkin keluarganya pun tak tahu.”
Betul jugak dalam hatiku, janda tak perlu wali, emak ayah selalunya yang terdekat pun mungkin tak tahu jika dia bernikah secara sulit.
“Entah lah Dr ...; memang ada kes, kawan isteri saya pun terkena. Nikah dengan orang seberang sampai sudah punyai cahayamata. Tiba satu ketika dia sibuk hendak balik ke Indonesia. Sampai di lapangan terbang sana; dah menunggu suami dia & anak dia di sana. His… isteri bersuami dua!”
Emmm.. itu lah hakikat masalah nikah antara dua benua. Bukan cerita dongengan zaman sekarang isteri pun sudah ada bersuami dua. Isteri bersuami dua hingga melahirkan anak bersama kedua suaminya. Bagaimana status anak bagi suami ke dua?. Huh! Penat.
Dr Bambang ini memang payah kita ramal sikapnya. Dalam pengajaran ada yang kata dia amat tegas, sampai ada kos yang dia ajar; lebih separuh yang gagal. Tapi sepanjang semester aku pasang LCD untuk kelasnya, pun aku sendiri yang membuat penilaian pensyarah. Aku nampak dari borang yang diedarkan, tiada pun komen yang mengatakan dia pensyarah bermasalah. Masa aku jaga peperiksaan kos multimedia pun, aku tanya-tanya juga bagaimana dengan pelajarnya, katanya okey semua kecuali ada seorang pelajar cantik yang wajah mirip arab itu sahaja nampaknya payah hendak jawab soalan dia. Bila aku risik risik; pelajar itu ada masalah kesihatan & baru buat pembedahan.
Terbaru aku pernah berbual dengan pelajar yang dapat markah tinggi di peperiksaannya. Nyata Dr Bambang memang seorang yang prihatin dengan pelajarnya. Pelajar yang dapat markah tinggi adalah sebab selalu datang bertanya permasalah pembelajaran dia dengan Dr Bambang.
Dr Bambang juga adalah orang yang teguh pegangan agamanya, sepanjang di dalam keretanya memang dia tidak dengar sebarang lagu kecuali keset ceramah, paling banyak keset Ismail Khamus. Dia juga amat suka mendalami ilmu sufi, perkara kebatinan & ghaib. Emmm semua itu membuatkan tambah aku ingin intim dengan dia.
Semasa di Plaza Low Yat. Dia keliru hendak beli IBM ke atau Acer. Aku memang sarankan dia beli IBM, sebab jarang ada komplen tentang komputer bimbit IBM, dulupun harga IBM jauh lebih mahal dari Acer. Sekarang sudah hampir sama harganya, mungkin kerana kini ianya dikilangkan di China.
- bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan