Khamis, 29 Jun 2006
..:: Teramat Rindu - Part 2 ::..
Posted on: Jun 29, 2006 - 12:02 PM by idanradzi
“Anak saya menangis di telefon, rindu amat akan ayahnya; bekas isteri saya pun dari SMSnya memang mahu kembali kepada saya.” Dalam sedutan rokoknya. Aku tahu Dr Bambang tengah lemas dengan perasaannya.
“Tetapi isteri muda saya menolak... emmm lagipun pada penghujung April nanti kontrak saya akan tamat dengan UPM. Masalah kewangan pastinya akan menjadi penghalang untuk menyatukan hati sesama kami semua.”
“Dr Bambang, bagi saya cahayamata yang bungsu bersama bekas isteri pertama Dr akan jadi pengikat, biarlah dia bersama ibunya. Jika dijemput ke Malaysia tinggal bersama Dr, pasti suasananya akan jadi tambah kabur & renggang. Apatah lagi isteri muda Dr menolak kehadiran madunya” Aku lemas terus dengan asap Surya; Dr Bambang terusan menyalakan Surya, sebatang demi sebatang. Kasihan aku tenguk nak tegur jangan terlalu kuat merokok. Aku pun merokok juga.
Itu antara bualan kami petang semalam. Cerita kami tak jauh berbeda; bekas isteri pertama Dr Bambang hampir seusia isteriku. Empat puluhan. Putusnya talian suci pernikahan adalah lantaran turutan hati sang isteri pertama. Dr Bambang berpisah lantaran ada orang ketiga yang menabur janji palsu terhadap isteri pertama. Memang Dr Bambang mengambil masa untuk melepaskan isteri yang dicintai. Telah cuba mengelak perceraian. Tetapi tindakan seorang perempuan yang bergelar isteri memang terlalu berpandukan perasaan bukan pertimbangan telah menghancurkan segala.
Aku pernah berbual dengan teman rapat Dr Bambang, katanya perbalahan yang utama mungkin juga kerana sikap gengsi. Dendam seorang yang dimadukan memang amat payah dikikis; terkadang perempuan memang begitu, jika suami nikah lagi seorang dia merasakan ada kekurangan dirinya. Mulalah dia melatah Dalam masa yang sama ada jika lelaki lain yang menabur janji, tentunya seolah-olah peluang terbaik membalas dendam terhadap suami. Lazimnya begitu.
"Jika suamiku boleh memadukan aku, apakah aku tidak boleh mencari cinta yang lain?." Itulah bisikan & pujukan syaitan yang amat bahaya. Merebak dalam diri. SMS juga yang salah satu sebab punca utama perpisahan Dr Bambang dengan isteri pertamanya. Ada lelaki yang melamar kasih melalui SMS. Lelaki yang menabur janji itu menangguk di air keruh melalui SMS & terkadang telefon. Biarpun lelaki itu jauh di seberang. Namun nanarnya merebak terlalu cepat. Tidak pernahpun berjumpa, semasa itu Dr Bambang & kedua-dua isterinya di Malaysia, lelaki yang di seberang bagaikan jadi halilintar terusan memarakkan perbalahan dalam keluarga.
Talak jatuh dengan hanya melalui sepucuk surat; Dr Bambang tidak mengizinkan isterinya pulang sendiri ke seberang lantaran tak mahu perkara buruk terjadi. Berpandukan SMS yang Dr Bambang terbaca, sudah pasti lelaki yang SMS & telefon itu akan berjumpa dengan isterinya, jika isterinya kembali di seberang. Surat talak tersebut dihulurkan dalam perjalanan ke KLIA; Antara kandungan surat tersebut…jika masih berdegil mahu pulang sendirian ke seberanag, juga tanpa izin suami, talak akan gugur sebaik sahaja pesawat mendarat di seberang… Isterinya pergi juga. Tentunya ini merobek segala cinta di hati Dr Bambang.
Sebagai lelaki aku ingin menyatakan; sesungguhnya cinta pertama seorang lelaki memang tidak mungkin dapat dia lupakan. Selama-lamanya, sepanjang hayat. Biarpun ujud cinta seterusnya. Aku memang amat payah menerima kenyataan kenapa mesti isteri pertama Dr Bambang boleh bertindak begitu; apatah lagi setelah punyai anak-anak seramai itu.
Seharusnya kaum wanita faham... jika seorang isteri itu telah berumur empat puluhan ingin dilamar cinta seorang lelaki; berhatilah!, lelaki tersebut akan menangguk di air keruh. Ikhlaskah? Apatah lagi jika memang wanita itu telah punyai ramai anak. Berusia empat puluhan macam bekas isteri Dr Bambang; apakah yang dimahu oleh lelaki tersebut?;
Selalunya lelaki muda remaja ingin menikahi perempuan berusia pasti ada sesuatu di sebaliknya kemaruk cinta yang dijaja. Apatah lagi wanita berusia itu punyai harta melata, cinta tersebut selalunya dijadikan sekadar perangkap untuk membolot harta wanita tersebut; Sebagai contoh yang terpapar di akhbar baru-baru ini kes suami disiram asid oleh isteri tua yang berada lantaran mahu beristeri dua jauh lebih muda darinya. Suami muda mesti mahukan gadis muda; perkahwinan dengan wanita berumur tapi berharta hanya batu loncatan mengumpul harta demi menambah cawangan yang lain.
Mungkin itu salah satu sebab kenapa ramai wanita menolak pernikahan misyar. Apakah ikhlas di hati seorang lelaki menerima wanita kaya.
Memang ada suami berusia muda ikhlas menerima wanita yang hampir seganda usia. Tapi bagi aku dalam kes Dr Bambang, seharusnya seorang lelaki yang menganggu rumahtangga Dr Bambang itu berfikiran ikhlas jika menerima tagihan simpati isteri pertama Dr Bambang. Mana ada rumahtangga tidak bergolak. Lelaki yang baik akan memberi nasihat yang baik. Bukan menghancurkan sebuah rumah yang memang kadang kala bergelora; Jauh sekali merayu atau merancang perjumpaan di luar pengetahuan suami. Apatah lagi keluarga orang bermadu seperti Dr Bambang memang penuh dengan pancaroba. Adalah satu dosa yang amat besar menjadi dalang memutus ikatan suci tali pernikahan; lantaran macam kes Dr Bambang berapa jiwa yang kini menderita! anak-anak memang akan jadi mangsa.
Lelaki yang berjanji palsu akan lari; yang tinggal adalah penderitaan lima jiwa; Dr Bambang, Bekas isteri & tiga cahayamata. Biarpun bercerai dalam rumahtangga .. talian darah ibu anak; ayah & cahayamata kekal ke akhirat. Suami & isteri memang berputus arang... bagaimana dengan anak-anak yang akan pasti pincang dalam ketandusan kasih sayang. Biarpun ada duda & janda boleh berbaik membesarkan anak-anak dengan kasih sayang; tetapi manakan sama bahagianya keluarga yang hidup sebumbung bermuafakat sehati sejiwa! Tanpa perceraian. Jauhilah perceraian.
Maka itu dalam Agama kita ; berkali-kali Allah Azzajalla memberi amaran. Perceraian itu adalah satu yang halal tetapi ianya amat dimurkai Allah Azzawajalla. Jelas di sini bagi mereka yang mendapat status bercerai hidup tanpa alasan kukuh. Memang hidup dalam kemurkaan Allah. Bayangkan hidup dalam kemurkaan Allah S.W.T. Apakah kita akan dirahmati jika dimurkai. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan; Kenapa mesti bila suami atau isteri berasa kesepian akan sering mengejar dosa sebagai pelepas sengsara!.
Kecualilah memang suami atau isteri terlalu kejam. Hidup bersama terusan mengundang walang.
Kes Dr Bambang, kes gangguan atau igauan cinta yang terlarang! Seharusnya lelaki ke tiga berfikiran tulus & luhur ingin membantu meleraikan kekusutan rumahtangga. Lagikan lidah boleh tergigit inikan pula suami isteri. Biarlah pasangan isteri yang kesepian pun bermasalah menyelesaikan masalah mereka berdua demi anak-nak mereka.!.. apa hak kita untuk membantu & menambah retak yang menunggu belah!. Seharusnya kita cuba membaiki keadaan bukan tambah mempurak perandakan rumahtangga.
“iDAN, saya dengar iDAN pun ada masalah rumahtangga boleh ke saya ke rumah iDAN nak nasihati isteri iDAN...”
“...emmm tunggulah dulu!”
- bersambung
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan