Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 4 Mei 2000

Terpaksa ‘lupa’ orang tua (Delima Merkah)


SAYA isteri yang sudah hampir tiga tahun berkahwin. Perkahwinan kami atas dasar suka sama suka, tetapi pada mulanya tidak berapa direstui ibu bapa saya. Oleh kerana saya berkeras, ibu bapa terpaksa bersetuju tetapi hanya membuat kenduri serba sederhana biarpun saya anak tunggal mereka.

Sebelah keluarga suami langsung tidak membuat kenduri, malah tidak mengadakan sebarang majlis menyambut menantu kerana bagi mereka itu semua membazir. Pada mulanya saya juga tidak berapa kisah, tetapi ibu bapa saya selalu mengungkit hal itu.

Setiap kali pulang ke kampung, pasti ibu bapa mengungkit dan mengata suami saya macam-macam. Ketika saya mengandung anak pertama, pada suami saya meluahkan segala-galanya hingga membuatkan dia tertekan. Lantas, dia tidak lagi membenarkan saya pulang ke kampung.

Ibu bapa saya bertambah marah. Mereka juga mengharamkan saya pulang ke kampung dan menganggap saya bukan anak mereka lagi. Bagaimanapun, suami saya memberikan semangat dan layanan baik supaya saya tidak teringat akan ibu bapa saya.

Biarpun bahagia dengan suami, saya sentiasa teringatkan ibu bapa, namun saya tidak berani meluahkannya pada suami. Ibu bapa saya masih belum melihat cucu mereka yang kini berusia setahun enam bulan.

Akibatnya, saya rasa tertekan. Saya rasa ada kekurangan dalam hidup. Lebih teruk lagi, saya mula rasa kurang hormat dan dingin seks dengan suami. Entahlah Dang Setia, saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang saya mahukan.

Suami saya sentiasa mengharapkan nama saya untuk membuat pinjaman bank kerana saya penjawat awam. Pinjaman peribadi, kereta, rumah dan segala-galanya atas nama saya hingga saya terfikir jika dia tinggalkan saya, cukupkah pendapatan saya untuk membela anak yang teramat saya sayangi.

Kini, semua duit gaji saya dihabiskan untuk membayar hutang. Ini menyebabkan saya seakan-akan menyimpan perasaan dendam pada suami. Disebabkan berkahwin dengan dia, saya terpaksa ‘lupa’ orang tua saya yang memang golongan berada.

Hubungan keluarga mentua dengan saya baik, tetapi mereka terlalu mengejar wang dan sentiasa sibuk dengan bisnes saja. Yang pasti, saya mula hilang hormat terhadap suami saya. Apa yang harus saya buat untuk menyelamatkan keluarga dan rumah tangga saya?

CUTE LOVER

Apabila puan mengatakan “saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang saya mahukan,” bagi Dang Setia ia memberi gambaran puan kini berada dalam situasi yang ‘berbahaya’. Ini kerana, dalam hidup ini kita kena ada hala tuju, matlamat dan tahu apa yang kita lakukan.

Apabila memiliki matlamat hidup, barulah kita tahu apa yang kita mahukan dan seterusnya merancang strategi atau cara yang patut kita lakukan untuk mencapai matlamat itu. Dengan adanya perancangan, barulah hidup kita lebih tersusun dan pengisian hidup kita juga lebih bermakna.

Orang yang tiada matlamat hidup atau tidak tahu apa yang dia mahukan boleh diibaratkan seperti lalang yang hanya mengikut arah tiupan angin, tiada pendirian dan tiada pedoman.

Justeru, wajib bagi Dang Setia menasihatkan puan agar kembali ke arah landasan hidup yang sebenarnya. Sebagai panduan, nasihat Dang Setia mudah saja. Jadilah seorang insan yang normal dengan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan anak, sebagaimana yang sudah digariskan Islam.

Sebagai isteri, tanggungjawab puan adalah sentiasa patuh pada arahannya selagi tidak bertentangan syariat Allah, membantunya dalam melaksanakan urusan seharian, baik yang zahir mahupun yang batin dan tidak ketinggalan, mendidik anak serta menguruskan rumah tangga.

Sebagai anak pula, tangungjawab kita ialah menghormati kedua-dua ibu bapa, menjaga mereka lebih-lebih lagi apabila mereka sudah tua dan yang paling penting, tidak memutuskan hubungan atau menderhaka kepada mereka.

Melihat senarai tanggungjawab itu, jelas puan sudah tergelincir di beberapa tempat. Paling ketara, puan kini sudah memutuskan hubungan dengan ibu bapa dan terkini, puan mula hilang rasa hormat pada suami serta keberatan melayani keperluan batinnya.

Oleh itu, sebelum terlajak lebih jauh, puan perlu segera kembali ke pangkal jalan. Bagi Dang Setia, masalah yang wujud antara puan dengan ibu bapa dan suami masih boleh diselesaikan dengan cara baik.

Dengan ibu bapa, puan sebagai anak perlu mengalah. Bab ibu bapa puan suka mengungkit cerita lama dan kelemahan puan serta suami, harus ditangani dengan bijak. Dalam situasi begini, tidak salah untuk kita bersikap ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.’

Biar seburuk mana pun sikap ibu bapa kita, dalam dunia ini hanya merekalah ibu bapa kita dan tidak boleh ditukar ganti. Jika kita berdosa pada ibu bapa, berdosa jugalah kita pada Allah dan kesannya, amat pedih azab Allah yang bakal kita terima di akhirat kelak.

Ini yang harus menjadi keutamaan puan, bukan sekadar soal duniawi tetapi yang lebih penting soal ukhrawi atau akhirat. Seringkali berlaku, ramai ibu bapa hanya mulut mereka saja yang teruk tapi hati mereka murni. Kadangkala mereka langsung tidak maksudkan apa yang mereka ucapkan.

Biarpun tindakan mereka juga seringkali boleh dipersoalkan, itu semua tidak bermakna kita dibolehkan bermusuh dengan mereka. Ringkas kata, mengalah adalah jalan terbaik. Mungkin, dengan mengalah puan akan dilihat kalah tapi apa salahnya kita kalah di dunia jika ia memberi kita kemenangan di akhirat.

Situasi puan apabila berurusan dengan karenah suami juga tidak jauh bezanya. Bagi Dang Setia, suami puan bukan tergolong dalam kategori suami yang teruk. Kelemahannya cuma ekonomi kurang kukuh, lantas dia banyak berhutang dengan menggunakan nama puan.

Situasi ini, jika kita ingin melihat daripada sudut negatif, maka negatiflah jadinya dan begitu jugalah sebaliknya. Puan melihat apa yang berlaku daripada sudut negatif dan jika kita lihat daripada sudut positif pula, boleh dianggap tiada apa yang salahnya.

Malah, puan layak diberi pujian kerana banyak membantu suami dalam meringankan beban kewangan keluarga. Jika suami tidak mengambil kesempatan sehingga meletakkan segala tanggungjawab kewangan ke atas bahu puan, sumbangan puan pastinya dapat mensejahterakan rumah tangga anda berdua.

Jadi, janganlah puan berkira sangat mengenai soal wang. Selagi suami puan mampu menjelaskan segala hutang dengan baik, puan tidak sepatutnya mengungkit sumbangan yang puan beri.

Lagipun, segala harta yang dimiliki adalah untuk dikongsi bersama, bukan milik dia seorang.

Akhir sekali, satu lagi tindakan yang wajib puan lakukan ialah menyedarkan kesilapan suami mengenai kesilapannya menghalang puan pulang ke rumah orang tua. Pujuklah dia dengan lembut.

Memang seorang isteri perlu mendahulukan suami berbanding ibu bapa sendiri, tapi itu tidak bermakna kita boleh membuang ibu bapa.

Dang Setia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan