Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Jumaat, 5 Mei 2000

Perisian halang laman lucah (Delima Merkah)



SAYA ingin merujuk pada kisah yang disiarkan di ruanga ini pada minggu lalu yang judulnya “Ayah Layari Laman Web Lucah.” Di sini, saya ingin berkongsi idea, mudah-mudahan ia dapat membantu Along untuk mengatasi masalahnya.

Pada hemat saya, Along boleh menggunakan perisian untuk menghalang seseorang pengguna Internet daripada mencapai laman web lucah. Antara perisian percuma yang Along boleh gunakan Internet filter dan ia boleh dimuat turun melalui alamat ini: http://www.parentaltools.net/


Saya juga ada membuat penerangan dalam Bahasa Melayu pada blog saya iaitu di http://neoryzer.blogspot.com/2008/06/internet-filter.html. Sebenarnya, banyak lagi perisian yang ada di Internet untuk menghalang capaian ke kaman web lucah.

Dengan menggunakan perisian yang disediakan itu, kita dapat menapis atau menghalang kata carian atau keyword yang kita setkan. Kita juga boleh menapis dan menghalang menggunakan ip dan lain-lain carian yang mengandungi unsur tidak bermoral.

Perisian yang disediakan juga membolehkan kita melihat rekod web yang dicapai oleh pengguna pada komputer yang digunakan. Dengan ini kita boleh mengetahui web yang di capai dan diakses.

NEORYZER

Terima kasih kerana memberi input yang amat berguna bukan saja kepada Along yang kisahnya disiarkan di ruangan ini minggu lalu, tapi Dang Setia yakin maklumat yang saudara beri turut bermanfaat kepada semua pembaca.

Dang Setia amat mengalu-alukan, maklum balas dan input daripada pembaca kerana yakin setiap daripada kita ada kelebihan tersendiri yang boleh dikongsi bersama dan memberi manfaat kepada orang lain.

Sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran, kita sebagai umat Islam memang diwajibkan saling nasihat menasihati dan pesan memesan untuk kebaikan. Biar sedikit saja ilmu yang kita ada, ia lebih berguna jika kita berkongsi dengan orang lain daripada kita menyimpannya hanya untuk diri kita seorang.

Penggunaan perisian yang mampu bertindak sebagai penampan atau penghalang pengguna Internet daripa meneroka laman web lucah atau lain-lain laman web yang menjurus kepada pengaruh negatif, sekadar membuktikan tiada salahnya kecanggihan teknologi.

Ibarat sebilah pisau, terpulanglah kepada penggunanya sama ada mahu digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Begitu jugalah dengan teknologi, jika kita nak gunakannya untuk tujuan baik, memang boleh sangat, tapi jika kita nak salah gunakannya, ia bukan salah teknologi, sebaliknya salah kita.

DangSetia

Khamis, 4 Mei 2000

Terpaksa ‘lupa’ orang tua (Delima Merkah)


SAYA isteri yang sudah hampir tiga tahun berkahwin. Perkahwinan kami atas dasar suka sama suka, tetapi pada mulanya tidak berapa direstui ibu bapa saya. Oleh kerana saya berkeras, ibu bapa terpaksa bersetuju tetapi hanya membuat kenduri serba sederhana biarpun saya anak tunggal mereka.

Sebelah keluarga suami langsung tidak membuat kenduri, malah tidak mengadakan sebarang majlis menyambut menantu kerana bagi mereka itu semua membazir. Pada mulanya saya juga tidak berapa kisah, tetapi ibu bapa saya selalu mengungkit hal itu.

Setiap kali pulang ke kampung, pasti ibu bapa mengungkit dan mengata suami saya macam-macam. Ketika saya mengandung anak pertama, pada suami saya meluahkan segala-galanya hingga membuatkan dia tertekan. Lantas, dia tidak lagi membenarkan saya pulang ke kampung.

Ibu bapa saya bertambah marah. Mereka juga mengharamkan saya pulang ke kampung dan menganggap saya bukan anak mereka lagi. Bagaimanapun, suami saya memberikan semangat dan layanan baik supaya saya tidak teringat akan ibu bapa saya.

Biarpun bahagia dengan suami, saya sentiasa teringatkan ibu bapa, namun saya tidak berani meluahkannya pada suami. Ibu bapa saya masih belum melihat cucu mereka yang kini berusia setahun enam bulan.

Akibatnya, saya rasa tertekan. Saya rasa ada kekurangan dalam hidup. Lebih teruk lagi, saya mula rasa kurang hormat dan dingin seks dengan suami. Entahlah Dang Setia, saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang saya mahukan.

Suami saya sentiasa mengharapkan nama saya untuk membuat pinjaman bank kerana saya penjawat awam. Pinjaman peribadi, kereta, rumah dan segala-galanya atas nama saya hingga saya terfikir jika dia tinggalkan saya, cukupkah pendapatan saya untuk membela anak yang teramat saya sayangi.

Kini, semua duit gaji saya dihabiskan untuk membayar hutang. Ini menyebabkan saya seakan-akan menyimpan perasaan dendam pada suami. Disebabkan berkahwin dengan dia, saya terpaksa ‘lupa’ orang tua saya yang memang golongan berada.

Hubungan keluarga mentua dengan saya baik, tetapi mereka terlalu mengejar wang dan sentiasa sibuk dengan bisnes saja. Yang pasti, saya mula hilang hormat terhadap suami saya. Apa yang harus saya buat untuk menyelamatkan keluarga dan rumah tangga saya?

CUTE LOVER

Apabila puan mengatakan “saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang saya mahukan,” bagi Dang Setia ia memberi gambaran puan kini berada dalam situasi yang ‘berbahaya’. Ini kerana, dalam hidup ini kita kena ada hala tuju, matlamat dan tahu apa yang kita lakukan.

Apabila memiliki matlamat hidup, barulah kita tahu apa yang kita mahukan dan seterusnya merancang strategi atau cara yang patut kita lakukan untuk mencapai matlamat itu. Dengan adanya perancangan, barulah hidup kita lebih tersusun dan pengisian hidup kita juga lebih bermakna.

Orang yang tiada matlamat hidup atau tidak tahu apa yang dia mahukan boleh diibaratkan seperti lalang yang hanya mengikut arah tiupan angin, tiada pendirian dan tiada pedoman.

Justeru, wajib bagi Dang Setia menasihatkan puan agar kembali ke arah landasan hidup yang sebenarnya. Sebagai panduan, nasihat Dang Setia mudah saja. Jadilah seorang insan yang normal dengan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan anak, sebagaimana yang sudah digariskan Islam.

Sebagai isteri, tanggungjawab puan adalah sentiasa patuh pada arahannya selagi tidak bertentangan syariat Allah, membantunya dalam melaksanakan urusan seharian, baik yang zahir mahupun yang batin dan tidak ketinggalan, mendidik anak serta menguruskan rumah tangga.

Sebagai anak pula, tangungjawab kita ialah menghormati kedua-dua ibu bapa, menjaga mereka lebih-lebih lagi apabila mereka sudah tua dan yang paling penting, tidak memutuskan hubungan atau menderhaka kepada mereka.

Melihat senarai tanggungjawab itu, jelas puan sudah tergelincir di beberapa tempat. Paling ketara, puan kini sudah memutuskan hubungan dengan ibu bapa dan terkini, puan mula hilang rasa hormat pada suami serta keberatan melayani keperluan batinnya.

Oleh itu, sebelum terlajak lebih jauh, puan perlu segera kembali ke pangkal jalan. Bagi Dang Setia, masalah yang wujud antara puan dengan ibu bapa dan suami masih boleh diselesaikan dengan cara baik.

Dengan ibu bapa, puan sebagai anak perlu mengalah. Bab ibu bapa puan suka mengungkit cerita lama dan kelemahan puan serta suami, harus ditangani dengan bijak. Dalam situasi begini, tidak salah untuk kita bersikap ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.’

Biar seburuk mana pun sikap ibu bapa kita, dalam dunia ini hanya merekalah ibu bapa kita dan tidak boleh ditukar ganti. Jika kita berdosa pada ibu bapa, berdosa jugalah kita pada Allah dan kesannya, amat pedih azab Allah yang bakal kita terima di akhirat kelak.

Ini yang harus menjadi keutamaan puan, bukan sekadar soal duniawi tetapi yang lebih penting soal ukhrawi atau akhirat. Seringkali berlaku, ramai ibu bapa hanya mulut mereka saja yang teruk tapi hati mereka murni. Kadangkala mereka langsung tidak maksudkan apa yang mereka ucapkan.

Biarpun tindakan mereka juga seringkali boleh dipersoalkan, itu semua tidak bermakna kita dibolehkan bermusuh dengan mereka. Ringkas kata, mengalah adalah jalan terbaik. Mungkin, dengan mengalah puan akan dilihat kalah tapi apa salahnya kita kalah di dunia jika ia memberi kita kemenangan di akhirat.

Situasi puan apabila berurusan dengan karenah suami juga tidak jauh bezanya. Bagi Dang Setia, suami puan bukan tergolong dalam kategori suami yang teruk. Kelemahannya cuma ekonomi kurang kukuh, lantas dia banyak berhutang dengan menggunakan nama puan.

Situasi ini, jika kita ingin melihat daripada sudut negatif, maka negatiflah jadinya dan begitu jugalah sebaliknya. Puan melihat apa yang berlaku daripada sudut negatif dan jika kita lihat daripada sudut positif pula, boleh dianggap tiada apa yang salahnya.

Malah, puan layak diberi pujian kerana banyak membantu suami dalam meringankan beban kewangan keluarga. Jika suami tidak mengambil kesempatan sehingga meletakkan segala tanggungjawab kewangan ke atas bahu puan, sumbangan puan pastinya dapat mensejahterakan rumah tangga anda berdua.

Jadi, janganlah puan berkira sangat mengenai soal wang. Selagi suami puan mampu menjelaskan segala hutang dengan baik, puan tidak sepatutnya mengungkit sumbangan yang puan beri.

Lagipun, segala harta yang dimiliki adalah untuk dikongsi bersama, bukan milik dia seorang.

Akhir sekali, satu lagi tindakan yang wajib puan lakukan ialah menyedarkan kesilapan suami mengenai kesilapannya menghalang puan pulang ke rumah orang tua. Pujuklah dia dengan lembut.

Memang seorang isteri perlu mendahulukan suami berbanding ibu bapa sendiri, tapi itu tidak bermakna kita boleh membuang ibu bapa.

Dang Setia

Rabu, 3 Mei 2000

Jangan memancing semasa kilat (Petua)


Nuri Angkasa

CUACA banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar.

Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu.

Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengindahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung.

Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir.

Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda.

Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang.

Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.

Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dolah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situa si begitu.

Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu.

Justeru nasihat Pak Nuri perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung.

Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua.

InsyaAllah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya.

Joran

Selasa, 2 Mei 2000

Air tawar halang terik matahari (Petua)


Nuri Angkasa

SEMASA menghadapi cuaca panas yang terus berbahang semasa memancing di laut kita bakal berdepan dengan suasana tidak selesa terutama bumbung pelindung bot tidak cukup besar untuk menampung keseluruhan bot.

Justeru langkah terbaik pemancing perlu mengunakan topi lebar (seperti pekebun sayur wanita cina). Selain itu baju tebal berwarna putih yang dapat menyerap peluh juga sebaik-baik pakaian yang perlu digunakan.

Baju yang berupaya menyerap peluh ini dapat menyegarkan kita kerana sentiasa lembab berbanding dengan mereka yang tidak berbaju kerana pendedahan terbuka kepada matahari menyebabkan kulit badan menjadi kering dan mudah menggelupas.

Dalam apa juga keadaan suhu badan harus diletakkan dalam keadaan sederhana dengan mengambil kira keadaan sekitar yang mesti ada ruang untuk mendapatkan angin laut yang terbuka. Tuala perlu dibasahkan dengan air tawar, bukan dengan air laut yang masin. Tuala basah di bungkus di kepala supaya bahagian kepala dapat bertahan daripada panas mata hari dan segarnya dapat bertahan lebih lama.

Langkah terbaik dan sangat berkesan pemancing perlu banyak minum air sejuk (air mineral) bukan yang disejukkan dalam peti sejuk nelayan atau mengambil ketul ais untuk di minum sama. Ketul ais yang dibekalkan untuk menyegarkan ikan bahaya untuk diminum.

Pemancing juga tidak digalakan terus mandi dalam keadaan badan yang masih berbahang panas. Anda perlu mengambil masa untuk beberapa minit berihat sebelum mandi.

Air tawar yang dibawa dari darat adalah terbaik untuk menghalang bahang panas matahari.

Joran

Isnin, 1 Mei 2000

Masjid terapung atas tasik ( CitraAlam )


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

TIADA apa yang perlu diperkenalkan lagi mengenai kemegahan masjid yang dinamakan sempena dengan nama Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ini.

Kedudukan mercu tanda di pusat pentadbiran negara ini bersebelahan dengan Dataran Putra dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya memberi pemandangan sebahagian besar Putrajaya.

Pada waktu malam, cahaya menerangi kawasan sekitar masjid ini membuatkan ia kelihatan seolah-olah terapung di permukaan tasik.

Keseluruhan reka bentuk berteraskan seni bina Paris pada zaman kerajaan Safawe. Seni bina tradisional digunakan bagi mengharmonikan perubahan bentuk segi empat pada dewan solat, kepada bentuk bulat (kubah) dengan menggunakan perantaraan berbentuk segi lapan (oktagon).

Di aras dua, ia menampilkan imej pertahanan kota Islam zaman silam dengan bahagian bawahnya diteguhkan dengan struktur dinding dan benteng sebagai simbol keteguhan Islam.

Aras bawah dibuka dengan konsep terbuka berbentuk payung dan ukiran yang direka membolehkan sistem pengudaraan semula jadi. Konsep ini memberikan kesinambungan antara ruang solat dalam dan luar.

Aras satu dan bahagian bumbung mengandungi lapan kubah kecil membentuk empat penjuru dewan solat utama. Di sekelilingnya, ukiran bertingkat dibina bagi memberi perincian halus di bahagian ini.

Sebanyak 16 tudung konkrit mengelilingi aras menuju ke puncak kubah ini dengan mercu tajam menuju ke langit menjadi simbol kepada pengabdian kepada Maha Pencipta.

Menara berbentuk bintang lapan penjuru setinggi 116 meter di sebelah kiri pintu gerbang masjid jelas menonjolkan keunggulan seni bina Islam.

Lima tingkat pembahagi pada menara ini untuk melambangkan lima rukun Islam dan juga sembahyang lima waktu.

Kubah utama berwarna merah jambu didominasi ukiran tumbuhan, bermotifkan “arabesque” yang lazimnya dilihat di kubah masjid di Mesir.

Ukiran bahagian dalam kubah diilhamkan dari seni tukang tradisional Melayu. Manakala, kayu cengal dan seraya hitam bagi menyerlahkan ukiran dalam masjid.

Di aras bawah dua, ia menjadi penghubung utama kepada kaki siar kepada rangkaian pejalan kaki mengelilingi tasik buatan manusia.

Di atas aras ini juga, pelantar dibina bagi memberikan pengunjung peluang untuk menghayati tasik yang indah terserlah. Pelantar sama digunakan untuk tujuan penyelenggaraan.

>>BAGAIMANA KE SANA

>Perkhidmatan Bas

Bas Cityliner - nombor 868 dari depan kompleks Sinar Kota ke Putrajaya.

Waktu operasi: 6.30 pagi hingga 10 malam.

Tambang: RM2.60

Tiba di terminal bas dan teksi di Presint 9, anda boleh mendapatkan bas Nadi Putra untuk ke Masjid Putra terletak di Presint 1.

RapidKL - Bas E1 dari Kl Sentral ke Putrajaya Sentral dan tukar bas 427 yang akan melalui kawasan ini. Atau, ambil bas T41 dari stesen Star-LRT Maluri, berhenti di KTM Serdang dan ambil bas T42 ke Putrajaya.

Tambang: Laluan utama RM4 dan laluan dalam Putrajaya RM1.

>Perkhidmatan Kereta api

ERL dari Stesen Sentral. Berhenti di Presint 7 dan ambil bas Nadi Putra ke Presint 1.

Kekerapan: selama 30 minit sekali.

Waktu Operasi: 5.30 pagi hingga 1 pagi

>TARIKAN LAIN DI SINI

*Dataran Putra - menepatkan medan selera, Selera Putra menghidangkan pelbagai jenis menu tempatan dan antarabangsa,

*Cruise Tasik Putrajaya - tasik buatan manusia seluas 400 hektar ini menyajikan pemandangan sebahagian besar Putrajaya. Anda akan melintasi beberapa jambatan utama pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini apabila menaiki pelayaran ini.

Harian Metro