Oleh Nuri Angkasa
LAZIMNYA kita sering mengabaikan sisa makanan yang sudah dimakan dengan membuang merata-rata. Jika di laut, tentulah laut menjadi tempat sasaran atau kawasan semak di kolam, tasik, tebing dan muara sungai.
Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi nasihat dengan kaki pancing supaya mulai hari ini kita mengamalkan tabiat membuang sisa makanan terutama daripada jenis daging, ikan serta sisa makanan yang berlemak atau berminyak supaya lebih terurus.
Caranya, setiap pemancing atau kumpulan yang memancing di laut perlu sentiasa membawa karung plastik tebal untuk mengisi sisa berkenaan. Kemudian kita membawa pulang dan dibuang di tempat yang sepatutnya. Kalau di daratan, sisa makanan yang terkumpul itu hendaklah di tanam dalam tanah atau membakarnya bagi mengelakkan bahaya kepada orang lain dan menjadi tumpuan binatang buas seperti biawak dan binatang buas lain.
Jika sisa berkenaan dibuang di laut akan menjadi buruan ikan yang bersifat ganas. Manakala plastik yang terbuang sama mungkin tersangkut kepada kipas bot atau dimakan penyu sehingga reptilia itu maut.
Bahaya lain yang harus difikirkan juga ialah tentang laut yang ada penunggu dari makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sisa berkenaan mungkin membuatkan mereka marah kerana bukan daripada hidangan yang dikehendaki (Laut adalah tempat berkampung syaitan bekalan makanan seperti daging dan telor. Menurut orang tua-tua makanan ini tidak digalakkan dibawa ke laut jika ketika memancing).
Justeru, atas faktor ini pemancing perlu berhati-hati walaupun ada yang mendakwa kepercayaan begini sudah ketinggalan zaman. Tetapi dalam usaha menjaga keselamatan terutama di laut kita kena bijak mengatur langkah yang terbaik demi keselamatan semua kaki pancing.
Bahaya sisa-sisa makanan semasa memancing di tasik, tebing sungai, lombong atau di mana saja lokasi bahaya tetap ada terhadap sisa makanan yang berbau. Justeru langkah terbaik seperti cadangan Pak Nuri semua sisa makanan hendaklah diurus dengan cara terbaik dan berdisiplin.
Bagi Pak Nuri, amalan ini perlu dijadikan petua seperti diamalkan oleh orang terdahulu daripada kita yang sentiasa memegang kuat budaya petua dan gerak rasa, kerana yang baik itu adalah datangnya dari kita sendiri dan sentiasa mengingati Allah.
Joran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan