Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 13 Mac 2000

WASIAT 2 ( Delima Merkah )


http://hardyw3b.wordpress.com/2006/08/10/wasiat/2/

5. “Wahai Ali..! janganlah lihat kepada faraj perempuanmu dan jagalah pandanganmu sewaktu berjima’, (jika tidak) sesungguhnya mewarisi buta ? iaitu anak.”

6. “Wahai Ali..! janganlah berjima’ dengan perempuanmu dengan syahwat terhadap perempuan lain, maka sesungguhnya yang demikian itu jika Allah s.w.t. mengurniakan kepadamu berdua anak, anak itu akan menjadi pondan yang bersifat benci dan hina.”

7. “Wahai Ali..! jika kamu berjunub di tempat tidur, janganlah membaca Al-Quran, maka sesungguhnya aku bimbang akan turun kepada kamu berdua api (bala) dari langit yang membakar kamu berdua.”

8. “Wahai Ali..! janganlah berjima’ dengan isterimu kecuali ada padamu satu tuala dan pada isterimu satu tuala.”

9. “Wahai Ali..! janganlah kamu berdua menyapu dengan menggunakan satu tuala, nanti akan jatuh syahwat keatas syahwat (salah seorang akan kuat syahwatnya daripada yang lagi satu), maka sesungguhnya yang demikian itu akan mengakibatkan permusuhan kemudian membawa kamu berdua kepada berpecah dan talak.”

10. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu secara berdiri, maka sesungguhnya yang demikian itu daripada perbuatan kaldai, jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak, maka anak itu sentiasa kencing di tempat tidur seperti kaldai yang suka kencing di merata-rata tempat.”



11. “Wahai Ali..! janganlah berjima’ dengan isterimu pada malam ‘Aidil Fitri (Raya Puasa), maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak anak itu seorang yang cacat dan tidak mendapat anak baginya kecuali sudah tua.”

12. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu pada malam ‘Aidil Adha, maka sesungguhnya jika kamu berdua berjima’ pada malam tersebut, apabila Allah s.w.t. mengurniakan kepada kamu berdua anak aku bimbang ia akan menjadi seorang yang berjari enam atau empat.”

13. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu di bawah cahaya matahari (secara langsung ? direct) dan terkena warna (cahayanya), kecuali kamu mengenakan tutupan (bumbung), jika tidak maka sesungguhnya kalau Allah mengurniakan kepada kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang sentiasa hidup dalam meminta-minta dan faqir sehingga mati.”

14. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu di bawah pohon kayu yang berbuah, maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti anak itu akan menjadi seorang tukang gojo, tukang sebat atau seorang ketua yang bengis,”

15. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu sewaktu antara azan dan iqomah, jika berjima’ pada waktu demikian, sesungguhnya jika Allah mengurniakan anak pada kamu berdua, nanti ia menjadi seorang yang menumpahkan darah.”

16. “Wahai Ali..! janganlah kamu berjima’ dengan isterimu semasa ia hamil kecuali kamu berdua berwudhu’, jika tidak maka sesungguhnya jika Allah s.w.t. mengurniakan kamu berdua anak, nanti ia akan menjadi seorang yang buta hati dan bakhil tangan.”

Sabtu, 4 Mac 2000

Bekas kekasih ugut lapor kisah zina lampau (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA suami berusia awal 30-an dan berkahwin lapan tahun. Sekarang saya menghadapi tekanan berat. Sebelum kenal dan berkahwin dengan isteri, saya pernah terlanjur dengan seseorang sehingga dia hamil dan menggugurkan kandungannya.

Kini, selepas 12 tahun tiba-tiba saya bertemu kembali dengan perempuan itu dan dia meminta saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Jika saya enggan, dia akan menghadapkan saya ke muka pengadilan.

Sebagai suami yang jujur, saya berterus terang dengan isteri mengenai perkara itu. Isteri meminta saya melepaskan dia kerana tidak sanggup berkongsi kasih dengan orang lain. Saya terlalu sayangkan isteri dan anak dan tak sanggup melepaskan isteri saya biar apapun terjadi.

Saya faham hati dan perasaan isteri ketika ini. Untuk pengetahuan Dang Setia, saya tak sanggup memperisterikan perempuan itu dan tiada perasaan cinta dalam diri saya terhadapnya lagi. Namun, apabila digertak akan dihadapkan ke muka pengadilan, saya menjadi takut.

Dang Setia, tolonglah saya. Apa harus saya lakukan untuk keluar daripada masalah ini? Bolehkah saya dihadapkan ke mahkamah selepas 12 tahun perkara ini berlaku?

SUAMI RISAU

JAWAPAN

Selepas merujuk masalah saudara kepada pengamal perundangan, Dang Setia dimaklumkan bukan mudah untuk bekas bekas kekasih saudara membuktikan di mahkamah atau mensabitkan saudara dengan jenayah yang saudara lakukan 12 tahun lalu.

Biarpun tiada halangan undang-undang untuk dia melaporkan kejadian itu pada polis, hakikatnya polis pasti berdepan kesukaran untuk mencari bukti dan saksi kes. Ini kerana, dalam kes rogol, mangsa sebaik-baiknya membuat laporan polis dan melakukan pemeriksaan doktor dalam masa 48 jam.

Ini kerana, dalam tempoh itu bukti kejadian masih ‘segar’ dan ini sekali gus memudahkan polis melakukan siasatan. Namun, jika selepas 12 tahun baru bekas kekasih saudara mahu membuat laporan polis, bukti dan saksi kejadian pasti sangat sukar untuk dikesan.

Kekurangan bukti dan ketiadaan saksi menjadikan kes tidak kukuh dan apabila ini berlaku, pendakwaan di mahkamah sukar dilakukan. Rumusannya, jika pun bekas kekasih saudara membuat laporan polis, besar kemungkinan sukar untuk saudara didakwa di mahkamah.

Itu situasi dan fakta daripada sudut perundangan serta mahkamah dunia. Ia mungkin melegakan saudara, namun bagi Dang Setia semua itu tidak bermakna saudari boleh berasa senang hati atau bebas sepenuhnya tanpa dipertanggungjawabkan perbuatan zina itu.

Ini kerana, keterlanjuran saudara pasti tetap diambil kira oleh Allah untuk dibicarakan di mahkamah akhirat. Bagi Dang Setia, itu yang seharusnya saudara lebih takutkan.

Sedarilah, di mahkamah akhirat kelak segala bukti dan saksi tidak akan hilang. Semuanya tidak mampu disorok apabila haiwan, tumbuhan, benda dan segala anggota badan kita boleh berkata-kata untuk menceritakan setiap apa yang kita lakukan di dunia.

Oleh itu, terangkan hakikat ini kepada bekas kekasih saudara. Nasihatkan dia supaya tidak perlu dia mengganggu ketenteraman rumah tangga saudara dengan membongkar semula jenayah yang hakikat sebenarnya keterlanjuran suka sama suka yang berlaku 12 tahun lalu.

Katakan pada bekas kekasih saudara, lebih baik dia bimbang dengan pengadilan daripada Allah di akhirat. Daripada bersusah payah cuba mensabitkan saudara di mahkamah dunia atau memaksa saudara berkahwin dengannya, rasanya lebih baik dia bertaubat dan memohon keampunan Allah supaya tidak diazab di akhirat.

Ini kerana, jika saudara dan bekas kekasih saudara berkahwin, itu bukan bermakna dosa keterlanjuran anda berdua akan terhapus selagi anda berdua tidak bertaubat dan taubat kalian diterima Allah.

Ya, bukan bekas kekasih saudara saja yang perlu berbuat demikian, malah saudara juga perlu melakukan tindakan serupa. Hanya taubat dan keampunan Allah mampu membebaskan kita daripada seksaan di akhirat dan itulah erti kebebasan yang sebenar-benarnya.

DangSetia

Jumaat, 3 Mac 2000

Ayah layari laman lucah (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA anak sulung daripada empat beradik dan ayah saya berumur 52 tahun. Ayah sudah berhenti kerja dan hanya melakukan kerja sampingan membantu pakcik menghantar barang.

Masalah saya ialah perangai ayah yang suka melihat laman web lucah. Saya pernah tegur perbuatan negatif ayah itu, tapi dia hanya berhenti beberapa bulan.

Sekarang ayah mengulanginya lagi hinggakan adik saya juga tahu mengenai tabiat buruknya. Kami adik-beradik pernah minta tolong emak supaya menasihati ayah, tapi emak tak berani kerana ayah tegas.

Bagi ayah, tiada siapa boleh tegur apa yang dia buat. Jadi, saya nak minta pandangan Dang Setia, macam mana nak menasihati ayah supaya mengubah perangai buruknya tanpa menyinggung hatinya.

Saya bimbang satu hari saya hilang sabar dan memalukan ayah di depan adik-beradik lain. Saya juga takut adik akan terikut-ikut perangai ayah yang akan menyebabkan berkemungkinan terjadinya sumbang mahram dalam keluarga kami disebabkan ayah tidak dapat mengawal nafsu.

ALONG

JAWAPAN

Gerun Dang Setia mendengar masalah adik yang hakikatnya memang sukar ditentukan satu jalan penyelesaian mutlak. Jika anak gemar melayari laman web lucah pun sukar untuk ibu atau bapa mengawalnya, boleh dibayangkan betapa sukarnya apabila keadaan sebaliknya.

Sebagaimana sering Dang Setia nyatakan di ruangan ini, usaha memperbetulkan salah laku ibu atau bapa antara perkara paling sukar ditempuhi bagi seorang anak.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa. Usaha tetap perlu dilakukan, sama ada berjaya atau tidak, ketentuannya milik Allah SWT. Yang penting ialah mencari kaedah sesuai kerana pendekatan dilakukan perlu halus dan berhemah bagi mengelak hubungan anak dengan ibu bapa menjadi renggang.

Biarpun niat anak baik dan ada di pihak benar, ego ibu bapa menyebabkan mereka sukar mengakui kelemahan sendiri. Biasanya, dalam kes membabitkan usaha anak untuk memperbetulkan salah laku ibu atau bapa, Dang Setia cenderung mencadangkan penggunaan khidmat pihak ketiga dan individu paling sesuai ialah pasangannya sendiri.

Maksudnya, jika ibu bermasalah, anak wajar memberitahu ayah serta memintanya membetulkan keadaan, dan begitu sebaliknya. Masalahnya, dalam kes adik, usaha sudah adik lakukan dengan memberitahu ibu, namun malang kerana dia tidak berani berbuat apa-apa.

Oleh itu, Dang Setia cadangkan adik membincangkan masalah ini dengan saudara terdekat, contohnya emak atau bapa saudara adik, iaitu abang atau kakak ayah adik. Keadaan akan lebih membantu jika mereka ada pengaruh besar ke atas ayah adik atau ayah adik menghormati mereka.

Dang Setia percaya, nasihat daripada orang yang lebih dihormati lebih mudah memberi kesan kepada ayah adik berbanding jika adik sendiri menasihatinya.

Berdasarkan cara penulisan e-mel adik, Dang Setia dapat menjangka jika adik ‘bersuara’ terhadap ayah, pendekatan adik mungkin kasar. Tambahan pula adik pernah menegurnya sebelum ini. Jadi, Dang Setia bimbang jika teguran adik kali kedua akan lebih keras hingga mengeruhkan hubungan dengan ayah.

Adik tidak menyatakan berapa usia adik, namun biar berapa pun usia adik, Dang Setia kagum dan mengucapkan tahniah di atas rasa tanggungjawab adik untuk membanteras kepincangan di dalam keluarga adik. Namun, satu perkara penting yang adik perlu ingat, usaha yang adik lakukan jangan sampai ke tahap menderhaka kepada ayah mahupun ibu.

Biar seburuk mana sekalipu perangai ayah, dia tetap ayah adik dan tidak wajar adik beranggapan ayah adik seorang yang jahat disebabkan tabiat buruknya. Ini kerana, di dalam dunia ini ramai lagi ayah berperangai lebih jahat, termasuk merogol dan melacurkan anak.

Dang Setia tidak bermaksud mengatakan melayari web lucah adalah kesalahan kecil dan adik tidak perlu menganggap perangai ayah adik satu masalah besar. Cuma Dang Setia tidak mahu adik membuat kesimpulan abah adik seorang yang jahat, lantas rasa hormat terhadapnya hilang dan segala nasihatnya tidak adik ikuti.

Dang Setia yakin, di sebalik sikap buruknya suka melayari laman web lucah dan sukar mendengar pendapat orang lain, masih ada kebaikan pada ayah adik. Ringkas kata, jangan dilihat pada buruknya saja, tapi renungkan juga kebaikannya kepada keluarga adik selama ini.

Justeru, jangan disebabkan gambar lucah di Internet, keharmonian adik sekeluarga selama ini menjadi kacau bilau. Andai kata segala usaha adik untuk mengubah sikap buruk ayah masih menemui jalan buntu, jangan pula adik terus memusuhi ayah.

Sebagaimana Dang Setia nyatakan di awal tadi, tanggungjawab kita hanya berusaha. Sama ada usaha kita membuahkan hasil yang kita harapkan atau tidak, segala ketentuan Allah wajib kita terima dengan hati terbuka kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Jangan sekali-kali lupa, apa yang kita suka tidak semestinya yang terbaik untuk kita dan adakalanya Allah makbulkan doa kita bukan dengan serta merta tapi pada masa sesuai, yang hanya Dia yang tahu bila waktunya.

Akhir sekali, Dang Setia berharap e-mel adik dibaca oleh golongan ayah yang gemar melayari web lucah di Internet yang Dang Setia percaya jumlahnya ramai. Sedarlah, betapa tabiat buruk anda yang mungkin bagi anda hanya perkara biasa, sebenarnya meninggalkan kesan besar kepada anak anda.

DangSetia

Khamis, 2 Mac 2000

Sisa makanan cetus kemarahan hantu (Petua)


Oleh Nuri Angkasa

LAZIMNYA kita sering mengabaikan sisa makanan yang sudah dimakan dengan membuang merata-rata. Jika di laut, tentulah laut menjadi tempat sasaran atau kawasan semak di kolam, tasik, tebing dan muara sungai.

Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi nasihat dengan kaki pancing supaya mulai hari ini kita mengamalkan tabiat membuang sisa makanan terutama daripada jenis daging, ikan serta sisa makanan yang berlemak atau berminyak supaya lebih terurus.

Caranya, setiap pemancing atau kumpulan yang memancing di laut perlu sentiasa membawa karung plastik tebal untuk mengisi sisa berkenaan. Kemudian kita membawa pulang dan dibuang di tempat yang sepatutnya. Kalau di daratan, sisa makanan yang terkumpul itu hendaklah di tanam dalam tanah atau membakarnya bagi mengelakkan bahaya kepada orang lain dan menjadi tumpuan binatang buas seperti biawak dan binatang buas lain.

Jika sisa berkenaan dibuang di laut akan menjadi buruan ikan yang bersifat ganas. Manakala plastik yang terbuang sama mungkin tersangkut kepada kipas bot atau dimakan penyu sehingga reptilia itu maut.

Bahaya lain yang harus difikirkan juga ialah tentang laut yang ada penunggu dari makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sisa berkenaan mungkin membuatkan mereka marah kerana bukan daripada hidangan yang dikehendaki (Laut adalah tempat berkampung syaitan bekalan makanan seperti daging dan telor. Menurut orang tua-tua makanan ini tidak digalakkan dibawa ke laut jika ketika memancing).

Justeru, atas faktor ini pemancing perlu berhati-hati walaupun ada yang mendakwa kepercayaan begini sudah ketinggalan zaman. Tetapi dalam usaha menjaga keselamatan terutama di laut kita kena bijak mengatur langkah yang terbaik demi keselamatan semua kaki pancing.

Bahaya sisa-sisa makanan semasa memancing di tasik, tebing sungai, lombong atau di mana saja lokasi bahaya tetap ada terhadap sisa makanan yang berbau. Justeru langkah terbaik seperti cadangan Pak Nuri semua sisa makanan hendaklah diurus dengan cara terbaik dan berdisiplin.

Bagi Pak Nuri, amalan ini perlu dijadikan petua seperti diamalkan oleh orang terdahulu daripada kita yang sentiasa memegang kuat budaya petua dan gerak rasa, kerana yang baik itu adalah datangnya dari kita sendiri dan sentiasa mengingati Allah.

Joran

Rabu, 1 Mac 2000

Amal prinsip memancing adalah hobi (Petua)


Oleh Nuri Angkasa

SEBELUM turun memancing sama ada memancing di laut, sungai, kolam, lombong atau tasik kadang-kadang kita berdepan pelbagai masalah peribadi, keluarga mahupun di tempat kerja. Justeru, masalah ini pasti menghantui fikiran kita untuk turun memancing. Jadi, tentunya kita tidak dapat ketenangan ketika berada di lokasi memancing lebih-lebih lagi jika lokasi itu berada jauh di tengah laut.

Dalam keadaan begini, kita harus berpegang pada prinsip bahawa memancing adalah hobi (kegemaran) individu yang boleh diubah suai keadaannya mengikut keadaan daripada semasa ke semasa. Andai kata anda sedang menghadapi anak sakit kuat yang perlu rawatan segera atau ahli keluarga dalam keadaan nazak atau isteri hampir melahirkan bayi, adakah anda akan keluar juga memancing?

Anda sanggupkah meninggalkan tanggungjawab untuk bersama mereka hanya semata-mata kerana anda mahu memancing? Atau, dapatkah anda merasa selesa dan seronok ketika berada di lokasi memancing sedangkan di rumah ada pertarungan antara hidup dan mati?

Jawapannya sangat mudah. Lupakan soal memancing, tangguhkan tarikh atau anda seorang dikecualikan daripada kumpulan yang sudah dirancang sekiranya bot yang ditempah tidak boleh dibatalkan. Biarkan rakan yang lain meneruskan ekspedisi tanpa anda.

Kita jangan terlalu memikirkan soal hobi, sebaliknya soal tanggungjawab sebagai seorang insan yang bernama ayah, suami atau ahli keluarga tertua perlu dilihat sebagai satu yang penting. Apa yang Pak Nuri agak kesal masih terdapat kaki pancing (sebilangan kecil) masih mendahului hobi daripada tanggungjawab lain dan ini meletakkan hobi memancing itu kurang disenangi oleh para isteri dan kaum keluarga.

Namun untuk menjadikan hobi memancing ini sebagai satu aktiviti yang diberi kepercayaan oleh isteri dan kalangan kaum keluarga, anda harus meletakkannya dalam keadaan suasana yang paling harmoni. Maknanya, pemergian anda ke lokasi tidak ada sedikit pun menyentuh hati nurani atau mengguris perasaan sama ada antara suami dengan isteri, anak dan ayah, kaum keluarga serta jiran.

Dengan bersikap harmoni maka anda akan turun memancing dalam keadaan tenang dengan dihantar sendiri oleh isteri dan anak dengan iringi doa.

Alangkah bahagianya jika keadaan begini anda dapat melakukan aktiviti memancing setiap kali anda turun memancing!

Allah akan memberi ganjaran yang berganda. Insya-Allah.

Joran