Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 3 Februari 2003

Ibu tunggal tagih cinta kekasih lama (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA wanita berusia 30 tahun dan pernah berkahwin. Sebelum berkahwin, saya pernah menjalin hubungan dengan A yang ada pertalian saudara jauh dengan keluarga saya. Selama lima tahun hubungan cinta kami terjalin, namun kami merahsiakannya daripada keluarga.

Demi menyembunyikan hubungan kami, saya selalu buat perangai tidak elok, baik di depan A mahupun keluarga saya. Saya selalu pulang lewat dan sering menghabiskan masa di luar rumah.

A akhirnya putus asa dan kecewa dengan sikap saya lantas meninggalkan saya. Selepas dua tahun hidup tanpa ikatan cinta, pintu hati saya akhirnya terbuka untuk insan yang saya gelar B dan diringkaskan cerita, kami berkahwin selepas setahun bercinta.

Selepas empat tahun hidup bersama, kami dikurniakan seorang cahaya mata yang comel. Namun bayang-bayang A terlalu kuat menghantui saya, apatah lagi batin saya sebenarnya menderita kerana B seorang yang ringan tangan.

Dia mula memukul saya ketika saya hamil sembilan bulan dan ia berlarutan. Tanpa pengetahuan keluarga, saya memohon pekerjaan di luar negeri yang jauh dari tempat tinggal kami dan tanpa diduga, saya diterima. B dengan berat hati merelakan saya kerana keluarga saya memberi sokongan.

Selama bekerja di sana, sikap saya benar-benar berubah, tidak ubah seperti ‘kuda yang terlepas kandang’. Akibatnya, hubungan saya dan B semakin dingin dan kami akhirnya bercerai.

Kini selepas setahun berlalu, saya masih bekerja di syarikat sama dan B meminta untuk rujuk kembali sambil berjanji tidak akan mengulangi sikap buruknya.

Namun, saya serba salah kerana pada masa ini perasaan cinta saya terhadap A semakin mendalam. Keluarga saya dan A mengetahuinya, namun A belum memberi jawapan kepada saya, menjadikan saya dalam keadaan tidak menentu.

SERBA SALAH
Pulau Pinang

JAWAPAN

Seharusnya tidak perlu wujud perasaan serba salah dalam hati puan kerana jelas satu-satunya lelaki yang saudari cintai sejak dulu sehingga kini ialah A dan bukan B.

Sehubungan itu, Dang Setia berpendapat masalah sebenar puan ialah tidak berani berkata tidak kepada permintaan B dan mungkin juga memikirkan hubungan antara anak puan dengan ayahnya.

Dalam mencorakkan masa depan, puan seharusnya kini cukup matang dan segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada saudari supaya ia tidak diulang lagi.

Jika yakin A pilihan hati, berterus terang dengannya dan luahkan segala isi hati.

Jangan lupa memohon kemaafan daripadanya atas kesilapan puan sebelum ini dan yakinkan dia bahawa puan tidak akan mengulanginya.

Kepada B pula, beranikan diri puan untuk menolak permintaannya, bukan kerana untuk menyakiti hatinya, tetapi kepentingan masa depan puan, lantaran tidak yakin dia akan berubah sikap.

Katakan juga kepada B, memang satu masa dulu dia suami puan, tetapi kini tidak lagi.

Oleh itu, sebagai wanita yang hidup sendiri, puan berhak membuat keputusan.

Jika puan dan B dapat bersikap rasional dan menerima ketetapan takdir dengan hati terbuka, soal anak seharusnya tidak menjadi masalah kerana ada jalan penyelesaian boleh dicapai untuk memastikan anak anda berdua tidak terputus hubungan dengan ayah atau ibunya.

DangSetia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan