Pil harian adalah alat pencegah kehamilan yang menjadi pilihan golongan wanita di negara ini untuk menjarakkan kehamilan, namun hasil kajian mendapati sebanyak 71 peratus daripada pengguna ini dilaporkan terlupa ataupun tertangguh mengambil pil perancang harian mereka mengakibatkan mereka berasa resah dan menyebabkan kehamilan yang tidak dirancang.
Kini untuk golongan wanita pada abad ke-21, alat perancang kehamilan yang digunakan sekali sebulan, NuvaRing (gelang faraj etonogestrel/ethinylestradiol), boleh didapati bagi memudahkan wanita di samping tahap keselamatan dan keberkesanan yang sama ditawarkan sebagaimana pil.
Dalam kajian klinikal, NuvaRing adalah 99 peratus berkesan terhadap pencegahan kehamilan apabila digunakan dengan betul.
NuvaRing adalah kaedah pencegah kehamilan yang sesuai bagi wanita muda yang ingin merancang keluarga, ibu-ibu yang ingin menjarakkan kelahiran anak dan wanita yang masih kedatangan haid dan tidak mahu risiko kehamilan secara tidak sengaja.
NuvaRing bukanlah satu produk baru. Sejak enam tahun lalu, alat ini sudahpun digunakan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik Dan Ginekologi Pusat Perubatan Atrium Heerlen, Netherlands, Dr. Frans Roumen, NuvaRing merupakan gelang lut sinar yang lembut dan mudah dilentur berdiameter ukuran 5.4 sentimeter dan ketebalan 4 milimeter.
Katanya, gelang pencegah kehamilan ini dimasukkan ke dalam faraj pada hari yang ditetapkan setiap bulan dan dibiarkan selama tiga minggu dan pada minggu keempat, gelang dikeluarkan selama seminggu agar wanita tadi mengalami haid bulanan mereka.
"Kebanyakan wanita boleh memasukkan sendiri NuvaRing ke dalam faraj selepas diberi penerangan oleh doktor sakit puan dan perbidanan dan mereka juga boleh mengeluarkannya kerana ia adalah satu perkara yang mudah.
"Setelah gelang dimasukkan, otot faraj akan memegangnya dengan rapi pada tempatnya. Gelang tidak akan hilang di dalam faraj mahupun terjatuh atau terkeluar kerana bukaan serviks terlalu kecil untuk membenarkannya lalu mahupun ketika wanita itu melakukan aktiviti lasak seperti contohnya bersukan.
"Sama seperti pil perancang, NuvaRing mengandungi dua jenis hormon seks wanita iaitu etonogestrel dan ethinylestradiol secara konsisten dari gelang ini dan diserap melalui dinding faraj ke dalam aliran darah," katanya pada majlis pelancaran alat pencegah kehamilan itu oleh MSD, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Roumen, wanita tidak perlu risau tentang kedudukan NuvaRing di dalam faraj mereka kerana ini tidak menjejaskan keberkesanan pencegah kehamilan.
Dalam kajian klinikal yang melibatkan 2,322 wanita, katanya, kebanyakan golongan ini dapat menerima NuvaRing dengan baik dan tidak menyebabkan kesan sampingan, tidak memudaratkan dan ia juga memberi kesan yang neutral terhadap berat badan.
"Mungkin ramai tertanya apakah alat ini akan 'dirasai' oleh pasangan ketika hubungan seksual, hasil kajian, kita juga dapati 85 peratus daripada pengguna menyatakan pasangan mereka tidak merasai sebarang perbezaan ketika melakukan aktiviti seksual dan sebenarnya alat ini boleh dikeluarkan kira-kira tiga jam sebelum dimasukkan kembali bagi proses perhubungan ini dilakukan," tambahnya.
NuvaRing bagaimanapun tidak melindungi wanita daripada jangkitan HIV dan penyakit kelamin lain. Alat ini juga tidak boleh digunakan oleh wanita yang mempunyai sejarah penyakit strok dan serangan jantung, wanita yang menghidap kanser tertentu atau oleh wanita yang hamil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan