SAYA berusia 26 tahun dan kini hamil anak pertama dengan usia kandungan baru mencecah dua bulan. Apakah pil vitamin yang sesuai untuk saya ambil ketika ini selain pil asid folik untuk dimakan pada waktu pagi. Adakah pil berkenaan memadai kerana saya tidak berselera untuk makan dan sering rasa loya serta muntah.
Anida,
Bangsar, Kuala Lumpur
JAWAPAN:
JIKA anda mempunyai saiz badan sederhana mengikut ketinggian serta mengamalkan pemakanan seimbang selama ini, pengambilan pil vitamin mungkin tidak diperlukan pada masa ini.
Ramai wanita mengalami loya, muntah, pening kepala dan seumpamanya sewaktu dalam trimester pertama kehamilan akibat kehadiran hormon ß-hCG pada waktu terbabit.
Ini lebih ketara di dalam kehamilan kembar dan kehamilan molar (anggur). Kebanyakan pil vitamin dan ubat-ubatan mengeluarkan bau yang meloyakan misalnya sewaktu sendawa serta boleh menyebabkan pening kepala dan mual.
Ini akan membuatkan keadaan lebih teruk bagi seseorang yang sedia mengalami keadaan terbabit. Anda dinasihatkan meneruskan pengambilan makanan berkhasiat dan air yang mencukupi.
Pengambilan pil asid folik seharusnya ditukar kepada waktu malam. Ini meminimumkan kesan di atas yang kurang dialami sewaktu tidur. Apabila memasuki trimester kedua, semua pengalaman berkenaan mulai hilang.
Pengambilan pil vitamin lain boleh diambil mulai waktu itu (jika perlu). Jika loya, muntah dan pening kepala masih tidak reda selepas memasuki trimester kedua (bulan keempat hingga keenam), anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan