Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 29 Oktober 2014

Gambar Ular Sawa Telan Budak Perempuan 11 Tahun Di Perak?


Gempar! seorang budak perempuan berusia 11 tahun dikatakan dibaham seekor ular sawa di kampung Tualang, Perak yang dikongsikan oleh pengguna facebook kini viral di laman sosial. Namun kesahihan gambar tersebut belum dapat di ketahui kebenarannya. Apapun jika ianya benar berlaku, pasti akan keluar di tv kan...? apa komen anda? saksikan beberapa gambar di bawah...



 
Jika Kg Changkat Tualang, Tualang Sekah atau Tanjung Tualang biasa dengarlah di Perak tu
Kg Tualang ni di mana?.


Sabtu, 25 Oktober 2014

Cara Solat Duduk

Salam
Bolehkah sasaorang tu yang tak boleh sujud sebab kecederaan pada lututnya bersalat duduk diatas kerusi dari awal salat hingga akhirnya tanpa berdiri dan rukuk walaupun ia mampu berbuat demikian?

Terima Kasih.

***************

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr Tengku dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Mengenai Solat wajib secara duduk bagi seorang yang masih mampu berdiri, adalah tidak dibenarkan menurut makna umum firman Allah swt :-


وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

"dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk" - [al-Baqarah 2:238]

dan juga hadith Imraan ibn Hussein, dimana Rasulullah saw bersabda :

صلِّ قائماً فإن لم تستطع فقاعداً ، فإن لم تستطع فعلى جنب

"Solatlah berdiri, jika tidak mampu hendaklah duduk, dan jika tidak mampu berbaring disebelah tepi" - [hadith riwayat al-Bukhaari #1117] -[Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 8/126].

Pada dasarnya, seorang yang sakit hendaklah melakukan solat mana yang mungkin pada setiap rukun solat, dan dia tidak perlu melakukannya posisi mana yang tidak mampu dilakukan, sebagaimana firman Allah swt :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - [al-Baqarah 2:286]

Begitu juga dengan sabda Nabi saw :

إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

"Jika apa aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukan sejauh mana yang kamu mampu" - [Hadith riwayat al-Bukhaari #7288, Muslim #1337]

Bagi keadaan yang dinyatakan diatas, apa yang boleh dilakukan ialah, lakukan Qiam seperti biasa (kerana ia mampu melakukan), kemudian rukuk, dan bila tiba rukun sujud, maka bolehlah duduk diatas kerusi sambil menundukkan kepala kedepan bagi menandakan situasi sujud. Menurut bekas Mufti Arab Saudi, Syiekh Abdul Aziz bin Baaz [Ahkaam Salaat al-Mariid wa Tahaaratihi]:-

ومن قدر على القيام وعجز عن الركوع أو السجود لم يسقط عنه القيام ، بل يصلي قائماً فيومئ بالركوع ( يعني وهو قائم ) ، ثم يجلس ويومئ بالسجود . . . ويجعل السجود أخفض من الركوع

"Barangsiapa yang mampu berdiri tetapi tidak mampu rukuk atau sujud TIDAK dikecualikan dari kewajipan berdiri (qiam), bahkan ia hendaklah solat berdiri, kemudian kedepan sedikit untuk rukuk (yakni dia masih qiam), kemudian duduk dan kedepan sedikit untuk sujud, ia harus kedalam sedikit bagi membezakan dengan rukuk"

Tambah beliau lagi :

ومتى قدر المريض في أثناء الصلاة على ما كان عاجزاً عنه من قيام أو قعود أو ركوع أو سجود انتقل إليه وبنى على ما مضى من صلاته

"Dan semasa solat, jika seorang yang sakit itu boleh melakukan sesuatu yg ia tidak boleh melakukan sebelum itu, seperti berdiri, duduk, rukuk atau sujud, dia harus mula melakukannya dan meneruskan dari apa yang dia boleh bagi menyempurnakan solat"

Kesimpulannya, jelas menunjukkan jika seorang yang sakit mampu berdiri semasa solat fardu, kewajipan berdiri itu masih tidak terangkat darinya. Duduk dibenarkan didalam kondisi rukun mana yang seseorang pesakit itu tidak mampu melakukannya, Bagi solat sunat, bolehlah seseorang itu melakukan solat sepenuhnya sambil duduk. wallahu'alam.

wassalam
================
Rujukan :

1] Fatawa Al-Lajnah al-Daa’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’ - 8. cetakan ke 3. Riyad : dar Al-Mua'yad, 2000.

Persoalan dan Hukum Berkaitan Mendirikan Solat Atas Kerusi

Pendahuluan
Suatu perkara yang sering kita jumpa pada masa kini apabila ke masjid untuk menunaikan solat jumaat atau solat fardu, seseorang yang turun dari kenderaan, berjalan naik ke masjid dan nampak sihat tetapi apabila ingin menunaikan solat jumaat atau fardu mereka menunaikannya di atas kerusi.Saya terfikir dan saya rasa saudara juga terfikir adakah mereka tidak boleh berdiri langsung atau boleh berdiri cuma bukan dalam masa yang lama.Menunaikan solat dalam keadaan berdiri, rukuk, sujud mengikut ketetapannya merupakan rukun solat yang tak boleh ditingggalkan kecuali dalam keadaan keuzuran. Apabila adanya sedikit keuzuran ia bukanlah tiket untuk meninggalkan kesemua rukun yang diwajibkan.

Kertas kerja ini hasil tulisan yang saya terjemahkan untuk perkongsian maklumat bagi pembaca yang tidak berkemampuan untuk membaca teks asal dalam bahsa arab semoga ia memberi manfaat kepada kita bersama.

بسم الله الرحمن الرحيم


1.0 Muqaddimah
Mengangkat kesukaran dan mengelakkan mashaqqah adalah salah satu daripada kaedah syarak.Ia merupakan satu dasar yang tetap daripada dasar-dasar syariat Islam yang bersifat toleransi. Mashaqqah sebagaimana yang diketahui umum membawa kepada kemudahan.dan kesenangan. Berdasarkan asas ini, seseorang yang mendirikan sembahyang apabila tidak mampu untuk melakukan kesemua rukun atau sebahagian rukun tersebut sebagaimana yang diwajibkan maka akan gugurlah apa yang tidak mampu tersebut. Dia dibenarkan untuk melaksanakan mengikut keadaannya dan kadar kemampuannya, Syeikh Islam Ibn Taimiyyah pernah berkata “telah bersepakat kaum muslimin sesiapa yang tidak mampu melakukan sebahagian daripada kewajipan-kewajipan solat seperti berdiri, membaca ayat-ayat tertentu, rukuk, sujud ,menutup aurat, mengadap kiblat atau lain-lain kewajipan maka gugurlah apa yang tidak mampu dilakukan tersebut.

2.0 Dhabit Keuzuran
Walaupun demikian perlu difahami bahawa bukan setiap mashaqqah atau keuzuran yang menimpa akan menggurkan rukun-rukan dalam solat. Pertimbangan dalam menggugurkan kewajipan tersebut ialah, apabila melakukan rukun tersebut akan menyebabkan kesukaran yang melampau atau boleh menyebabkan bertambahnya kesakitan yang sedia ada. Menurut Imam Nawawi ‘telah berkata ashab al-Shafie, tidak disyaratkan dalam menentukan keuzuran dia tidak boleh berdiri dan tidak juga dianggap mashaqqah dengan hanya sedikit kesukaran bahkan yang dikira mashaqqah ialah masyahqqah yang jelas dan nyata .

3.0 Keuzuran Yang Menggurkan Kewajipan
Imam al-Shaukani menyebut “yang dikategorikaan tidak mampu dalam mazhab shafie ialah adanya mashaqqah atau adanya kebimbangan akan bertambahnya sakit atau takut binasa bukan sekadar sakit biasa . Ibn Usaimin pula berpendapat dalam menentukan tahap mashaqqah ialah dengan adanya kesukaran tersebut boleh menghilangkan kekhusukan yang dimaksudkan dengan khusuk di sini ialah hadirnya hati serta mendapat ketenangan.

Sesungguhnya telah berlaku ijmak dikalangan ahli ilmu ‘ bahawa sesiapa yang mendirikan sembahyang fardu dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu untuk berdiri, maka solatnya terbatal. Ketetapan ini adalah berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah yang bermaksud “peliharalah segala solat(mu) dan (peliharalah) solat wusta .berdirilah kerana Allah dalam solatmu) dengan khusuk. . Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w “Tunaikan solat dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu maka duduklah sekiranya tidak mampu maka mengiringlah”.

4.0 Keadaan Orang Yang sembahyang Duduk
Orang yang mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk situasinya sebagimana berikut :

4.1 Situasi Pertama
Tidak mampu untuk berdiri walaupun sekejap serta tidak mampu untuk rukuk, sujud sebagaimana yang dikehendakinya. Dalam situasi ini hendaklah dia menunaikan sembahyang dalam keadaan duduk sebagaima yang dijelaskan oleh Rasulullah s.aw “Sembahyanglah dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu hendaklah duduk” dan hendaklah ia mengiring untuk rukuk dan sujud hendaklah dia rendahkan sujud melebehi rukuknya.

4.2 Situasi Kedua
Mampu untuk berdiri beberapa ketika tetapi tidaklah mendatangkan kesukaran yang terlampau baginya atau tidak menambahkan lagi beban penyakit yang sedia ada. Dalam keadaan ini dia hendaklah sembahyang dalam keadaan berdiri mengikur kemampuannya apabila menimbulkan kesukaran maka dibolehkan untuknya duduk. Firman Allah dalam surah al-Tagabun ayat 16 yang membawa maksud “bertaqawalah kamu kepada Allah mengikut kemampuan kamu”. Al-Sa’di ketika menghuraikan ayat di atas berkata “Ayat ini menjadi bukti bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seseorang hamba akan gugur kewajipan tersebut. Apabila ia mampu melakukan sebahagian dari kewajipan tersebut dan tidak mampu sebahagian lagi maka hendaklah dia menunaikan sebahagian kewajipan yang mampu tersebut.. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda “ Apabila kamu diperintahkan dengan sesuatu maka hendaklah kamu melakukan mengikut kemampuan kamu” kemudian selepas itu hendaklah kamu rukuk dalam keadaan berdiri dan sujud ditempatnya.

4.3 Situasi Ketiga
Sekiranya berdiri akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat atau bertambah teruk kesakitannya. Dalam situasi ini hendaklah dia mendirikan solat dalam keadaan duduk. Memetik penjelasan yang dibuat oleh Syeikh Usaimin “sekiranya dia mengagahkan diri untuk berdiri dia tidak akan berdiri dengan tetap serta dirinya tidak berasa tenang, serta dia mengharapkan agar Fatihah dapat dihabiskan dengan segera supaya dapat rukuk disebabkan tidak dapat menanggung kesukaran tersebut, ini adalah suatu kesukaran yang membolehkannya untuk duduk .

Apa yang disebutkan tadi dengan syarat dia hendaklah melakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri kemudian barulah dibenarkan untuk duduk. Sekiranya dia melakukan takbiratul ihram dalam keadaan duduk solatnya tidak sah. Imam al-Nawawi berkata “ wajib melafazkan takbiratul ihram dengan kesemua hurufnya dalam keadaan berdiri, sekiranya salah satu huruf dilafazkan dalam itu, semasa dia dalam keadaan duduk maka solat fardunya tidak sah. Pendapat ini disepakiti oleh semua ulama. Kemudian selepas itu hendaklah dia rukuk dalam keadaan berdiri jika ada kemampuan kemudian bangkit dari rukuk dalam kedaan berdiri seterusnya melakukan sujud dilantai.

4.4 Situasi Keempat
Tidak mampu untuk rukuk mengikut ketetapannya tetapi mampu untuk berdiri. Dalam situasi ini tidak dibolehkan untuknya duduk serta tidak gugur kewajipannya qiam begitu juga tidak gugur ke atasnya untuk rukuk dalam keadaan berdiri, maka untuk rukuk hendaklah dia mengiring atau merendahkan kedudukannya ketika dalam keadaan berdiri. Ibn Qudamah berkata ‘sesiapa yang mampu untuk berdiri tetapi tidak mampu untuk rukuk dan sujud dalam keadaannya, kewajipan berdiri masih dikenakan. Oleh itu, hendaklah dia sembahyang dalam keadaan berdiri kemudian untuk rukuk hendaklah dia mengiring mengiring untuk rukuk, seterusnya sujud dilantai sekiranya mampu.

4.5 Situasi Kelima
Tidak mampu untuk sujud sebagaimana yang diperintahkan tetapi mampu untuk berdiri. Dalam situasi begini dia tidak harus duduk serta tidak gugur kewajipan qiam ke atasnya serta tidak gugur kewajipan rukuk dalam keadaan qiam, untuk sujud hendaklah dia duduk dan mengiringkan badannya.. Dalam hal ini Ibn Qudamah berkata sesiapa yang mampu untuk berdiri tetapi tidak mampu untuk rukuk atau sujud kewajipan qiam tidak gugur keatasnya, kemudian dia hendaklah duduk serta mengiring untuk sujud .

Hendaklah dia melakukan rukuk dalam keadaan berdiri mengikut keadaan yang diperintahkan sekiranya dia mampu untuk meletakkan tangan di lantai semasa sujud hendaklah dia melakukan sedemikian sekiranya tidak mampu hendaklah dia meletakkan atas kedua lututnya.

Ibn Baz berkata : Adapun sujud yang wajib dilakukan ialah dengan meletakkan kedua belah tangan dilantai dan sujud sekiranya mampu sekiranya tidak berkemampuan hendaklah dia sujud dengan meletakkan kedua belah tangan diatas kedua lututnya. Hal ini berdasarkan hadis Rasululaah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “Aku menyuruh kamu untuk sujud di atas tujuh tulang iaitu dahi kemudian nabi tunjukkan dengan tangan baginda kearah hidung, kedua belah tangan, kedua lutut kedua hujung jari.,

5.0 Kedudukan Kerusi Dalam Saf

Kerusi yang digunakan oleh orang yang keuzuran ketika melakukan solat sama ada ;

5.1 Kedudukan Pertama
Orang yang mendirikan solat duduk sepanjang masa di atas kerusi tersebut. Dalam keadaan ini sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Usaimin hendaklah menjadikan kaki-kaki kerusi bahagian belakang selari dengan kaki-kaki makmum yang lain .

Juga hendaklah mengambil kira jenis kerusi yang didudukinya , yang mana punggungnya hendaklah bersebelahan dan selari dengan kaki orang lain tanpa mengambil kira kedudukan kaki kerusi sama ada terkedepn atau terkebelakang . Apa yang diambil kira kedudukan kaki ialah tumit belakang bagi yang berdiri, atau punggung yang duduk atau tepi atau sisi bagi yang berbaring.

5.2 Kedudukan Kedua
Orang yang mendirikan solat hanya duduk di atas kerusi di masa-masa tertentu sahaja sama ada ketika rukuk atau sujud bukan ketika berdiri. Dalam situasi ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Rahman al Barrak kedudukannya dalam saf semasa berdiri. Maka dalam situasi ini kerusi hendaklah berada dibelakang saf. Disamping itu hendaklah memerhatikan bahawa kerusi tersebut tidak akan mendatangkan masalah kepada makmun yang berada di belakangnya .

6.0 Penutup
Perbincangan yang disebutkan dan dijelaskan di atas berkaitan solat fardu. Adapaun solat sunat tuntutanya adalah luas Oleh itu tidak ada masalah untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk walaupun bukan dalam keuzuran tetapi perubatan tersubut merupakan khilaf afdal. Sekiranya dilakukan dalam keadaan duduk ganjaranya separuh daripada melakukan dalam keadaan dengan berdiri Umran bin Husain yang ditimpa penyakit bawasir telah bertanya Rasulullah tentang lelaki yang mendirikan solat dalam keadaan duduk jawab Rasulullah “ sekiranya dia melakukan dalam keadaan berdiri itu lebih baik, sesiapa yang mendirikan solat dalam keadaan duduk dia akan memperolehi separuh ganjaran berbanding yang berdiri sesiapa yang solat dalam keadaan berbaring akan memperolehi separuh dari yang duduk. Yang dimaksudkan dengan solat dalam hadis di atas ialah solat sunat sebagaiman yang diisyaratkan oleh Ibn Battal dalam kitab syarah hadisnya.

Sekiranya dia melakukan solat dalam keadaan duduk disebabkan keuzuran maka pahala yang akan diperolehinya sama seperti solat dalam keadaan berdiri. Imam Nawawi berkata adapun jika dia melakukan solat sunat dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri maka pahala yang diperolehi tidak akan berkurangan bahkan pahalanya seperti mereka yang melakukan dalam keadaan berdiri.

Penulis asal bahasa Arab ;
Abdul Rahman Jarullah al-ajami

Diterjemahkan :
Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Polimas
22/4/2013
Macam siput. Punyalah lembab talian streamyx ini. Boleh katakan taip tengah hari macam nilah. Kebarangkalian ada masalah pendawaian. Kotak hitam belakang rumah dah nak lupuskah.

Atau masalah teknikal talian tepu

Cara solat ketika sakit secara duduk bergambar




Orang sakit dikehendaki mengerjakan solat mengikut apa cara yang termampu. Sekiranya tidak mampu berdiri bolehlah solat sambil duduk. Jika tidak mampu duduk maka hendaklah mengiring di atas rusuk kanan/kiri dan menghadapkan dada dan mukanya ke arah kiblat. Jika tidak boleh mengiring maka hendaklah melentang dengan kakinya menghadap kiblat dan kepala diangkat sedikit. Dalam keadaan tidak mampu melakukan ruku’ dan sujud maka solatlah dengan isyarat kepala sahaja atau dengan mata apabila tidak mampu dengan kepala. Seterusnya dengan hati sahaja sekiranya tidak mampu dengan mata.

Dalil Rukhsah Solat

Maksud Hadis:
Dari Imran bin Hashin (r.a) telah berkata Adalah aku menghidap buasir maka aku bertanya Rasulullah s.a.w.
dari hal solat, maka berkata Rasulullah s.a.w. Solatlah dalam keadaan berdiri, maka jika kamu tidak mampu,
hendaklah kamu duduk, jika kamu tidak mampu maka hendaklah kamu mengiring..
( Riwayat al Bukhari )

Cara Solat Sambil Duduk

Duduk menghadap kiblat mengikut keselesaan pesakit. Sebaik-baik solat duduk ialah duduk iftirash seperti dalam gambar



Takbiratul Ihram seperti gambar di atas



Membaca al-Fatihah



Ketika ruku’ hendaklah menundukkan kepala hingga sampai paras lutut setentang dahi dengan hadapan sujud. Sekiranya tidak mampu, hendaklah tunduk yang dapat membezakan dengan perbuatan sujud.



Ketika I’tidal hendaklah diangkatkan kepala semula sambil mengangkat tangan seperti takbiratul ihram, kemudian meluruskan kedua-dua tangan seperti pada gambar diatas



Membaca doa Qunut bagi Solat Subuh



Sujud dilakukan seperti biasa. Sekiranya tidak dapat sujud seperti biasa, hendaklah menundukkan kepala lebih sedikit daripada had ruku’. Sekiranya masih tidak mampu , memadai membezakan antara ruku’ dan sujud.


Duduk antara dua sujud


Membaca Tahiyyat


Melafazkan salam dengan berpaling muka ke kanan.


Melafazkan salam dengan berpaling muka ke kiri


Solat Di atas Kerusi:
Perhatian kepada mereka yang melakukan solat secara duduk di atas kerusi, di dalam solat fardhu.
Anda tidak boleh sekali-kali meninggalkan rukun solat yang mampu dilakukan.
Contohnya: Orang yang mampu melakukan rukun-rukun seperti sujud, duduk antara dua sujud, duduk untuk tasyahhud akhir, sedangkan dia hanya solat duduk di atas kerusi tanpa turun ke atas lantai untuk melakukan rukun yang tersebut maka solatnya tidak sah.
Begitu juga dengan rukun yang lain, jika dia mampu seperti Qiyam (berdiri) maka ditinggalkannya dengan duduk atas kerusi, solatnya tidak sah.

Khamis, 16 Oktober 2014

Ku Li: Barah Ali Baba di bumi M'sia




Berikut adalah ucaptama penuh MP Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di forum anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Dengan Kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan NKRA Membanteras Rasuah:

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada ALLAH SWT kerana memberkati kita semua dan memberi kesempatan untuk berkumpul pada hari ini.

Selawat dan salam, “Allahumma soli ‘ala Muhammad” kita sampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW; dengan catatan dan harapan agar kita semua tergolong sebagai makhluk yang dirahmati dan kumpulan umat yang di restui.

Terima kasih saya ucapkan kepada penganjur perjumpaan kita pada hari ini kerana telah sudi dan memberikan penghormatan kepada saya untuk berkongsi fikiran mengenai satu topik yang relevan untuk kita semua tangani. Saya berharap agar, perkongsian saya akan membawa sedikit manfaat dan lebih-lebih lagi, saya berharap dan akan sangat bahagia seandainya perkongsian dan perjumpaan kita pada hari ini akan memulakan satu langkah konkrit untuk mengubah nasib kita semua.

Para hadirian hadirat sekalian, negara kita, Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sudah berumur 57 dan 51 tahun. Banyak yang kita lalui bersama mengharung pahit getir dan hari ini pada dasarnya kita menikmati kemerdekaan dan kesejahteraan hidup yang telah diilhamkan dan dipelopori oleh pemimpin kita yang terdahulu. Toleransi yang terbentuk di kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum, menjadi asas kepada pembentukan sebuah Malaysia yang aman dan damai.

1969 mencatatkan satu titik merah yang besar dalam perkembangan kita sebagai sebuah negara. Kejadian pada tahun tersebut telah menggugat kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan kita dan lebih penting, kita tidak terlepas daripada kemungkinan ianya berulang lagi.  Pada kesempatan hari ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk “menepuk dada dan menanya selera’’, dan sekaligus menjawab, di mana kita dan apakah perkembangan semasa akan meletakkan kita pada keadaan yang lebih baik di masa hadapan?

Walaupun kita semua harus bersykur dengan nikmat dan anugerah yang kita nikmati sekarang ini, saya suka menyeru agar kita jangan berpuas hati, leka atau ‘complacent’. Akhir-akhir ini saya melihat kepada ancaman terhadap kesejahteraan ini semakin menjadi dan mengkhuatirkan. Oleh yang demikian, setiap kita, secara sedar dan bertanggungjawab, harus perbuat apa saja yang kita mampu untuk memupuk dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini, agar sejarah titik merah 1969 tidak berulang lagi; apa pun bentuknya, antara kaum, antara agama, antara ideologi politik atau sesama.

Sebagaimana kita semua maklum, peristiwa merah 1969 yang didorong oleh ketidakseimbangan penguasaan ekonomi antara kaum, telah menyumbang kepada gagasan Dasar Ekonomi Baru.

Dalam pada itu, penguasaan ekonomi kaum bumiputera yang disasarkan pada kadar 30 peratus dalam tempoh 30 tahun tidak tercapai, dan ini merupakan kegagalan DEB yang cukup signifikan. Hakikat kegagalan ini walaupun dengan segala bentuk kemudahan, sangatlah mendukacita dan melemahkan semangat.






Daripada banyak laporan dan kajian yang dibuat, ada yang mengatakan bahawa penyumbang utama kepada kegagalan dalam penguasaan ekonomi bumiputera ini adalah disebabkan oleh faktor “Ali Baba” yang hampir sinonim dengan DEB. Malahan ada unsur yang dengan lantang dan tegas menyatakan bahawa DEB lah yang mewujudkan “Ali Baba” dan melahirkan elit Melayu dari golongan terpilih untuk menjadi kaya atas angin, dengan cepat, tanpa usaha yang signifikan dan tidak menyumbang kepada produktiviti.

Hadirin hadirat sekalian, apakah sememangnya DEB penyebab kepada wujudnya Ali Baba? Bagi saya, saya berani mengatakan TIDAK. DEB bukanlah penyebab, kerana apa yang digagaskan tidak sedikitpun membawa maksud dan mengarah kepada gejala ini. Tetapi saya yakin bahawa pelaksanaannya yang tertakluk kepada interpretasi, kewenangan dan tindakan pemimpin menyumbang kepada kewujudan Ali Baba ini. Sebelum kita pergi lebih jauh, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ali Baba?

Pengertian umum, merujuk kepada satu pakatan perniagaan yang tidak seimbang dibentuk oleh dua atau lebih pihak di mana satu pihak wujud kerana kemudahan yang dinikmati akibat dari pelaksanaan sesuatu dasar atau yang ‘dekat’ kepada pemimpin yang berkuasa untuk memberikan projek, kontrak, lesen dan sebagainya. Pihak ini disebut sebagai Ali kerana lazimnya di Malaysia, kaum bumiputeralah yang menikmati kemudahan tersebut. Ali, biasanya  tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan, tetapi berpegang kepada pengaruh politik, dan pentadbiran dan bertindak sebagai ‘rakan kongsi tidur’ (sleeping partner). Baba sebaliknya, adalah dari golongan rakyat keturunan Cina yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan modal perniagaan yang menyumbang kepada produktiviti syarikat dan mengawal penuh operasi syarikat.

“Melayu punya kontrak, Cina punya kerja” adalah ungkapan lazim yang kita dengar untuk menggambarkan pakatan ini. Dalam erti kata lain, projek atau syarikat secara rasmi di miliki oleh Ali (orang Melayu) tetapi yang menguasainya adalah Baba (orang Cina). Jadi saya fikir kita boleh sepakat untuk menerima konsep Ali Baba ini, spesifik kepada pakatan yang melibatkan orang Melayu dengan rakyat keturunan Cina.

Namun demikian, ada juga pendapat yang menyatakan bahawa konsep Ali Baba ini tidak khusus kepada pakatan Melayu dan rakyat keturunan Cina sahaja. Pemakaiannya lebih menyeluruh, termasuklah amalan kronisme dalam memberikan kontrak dan lesen. Dalam erti kata yang lain, Ali dalam konteks ini, bukan hanya khusus kepada orang Melayu, tetapi siapa saja yang memperoleh sesuatu kontrak atau lesen dari kerajaan bukan kerana keutamaan dari segi kebolehan, pengalaman dan sebagainya, tetapi kerana kedekatan dengan pemimpin, tetapi akhirnya menyerahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan kontrak tersebut. Sebagai contoh, sedikit masa dahulu, kita digembar-gemburkan mengenai pemberian kontrak LRT Ampang, yang dilihat sebagai satu tindakan berdasarkan kronisme. Kontrak tersebut diberikan kepada orang bukan Melayu, tidak melibatkan orang Melayu, tetapi pemberian sebegini juga dilihat sebagai amalan konsep Ali Baba, paling tidak oleh sesetengah pihak.

Apa pun tafsirannya, intipati atau pengertian sebenar (‘substance’) kronisme dan Ali Baba mempunyai banyak persamaan. Malahan, kewujudan kedua-kedua konsep ini hampir seperti pasangan yang saling melengkapi, dan pada hemat saya, kedua-duanya tidak baik, merosak dan merugikan.

Para hadirin hadirat sekalian, pada zaman ekonomi bebas (1957-1969), Malaysia menggalakkan pelaburan asing dalam meningkatkan pembangunan ekonomi Negara. Pada zaman ini, usahawan daripada  kalangan rakyat keturunan Cina melalui syarikat berasaskan keluarga memperkembangkan perniagaan mereka dan mengumpul kekayaan. Syarikat-syarikat ini, baik berskala besar atau kecil, jarang menggaji pekerja di kalangan orang Melayu. Di samping itu, rangkaian dan budaya perniagaan kaum Cina yang bersifat eksklusif dan menguasai pasaran juga meminggirkan peniaga-peniaga Melayu. Kedua-dua tindakan ini menafikan dan menyulitkan orang Melayu untuk ikut aktif dalam dunia perniagaan.

Kebanyakan syarikat-syarikat Melayu yang muncul pada zaman ini gagal kerana kekurangan pengalaman, modal, kepakaran dan sokongan dalam sektor ekonomi. Tidak hairanlah jika orang Melayu dilihat sebagai belum bersedia untuk menguruskan perniagaan yang besar. Untuk mengimbangi permasalahan ini, kerajaan mengambil pendekatan memanfaatkan syarikat dan modal asing dengan penglibatan orang Melayu dalam operasinya.

Di zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melihat peralihan modal asing kepada modal tempatan. Pada zaman ini kita dapat melihat sikap agresif kerajaan mengambil alih milikan modal asing, terutama dalam sektor perladangan dan perlombongan. Pada dekad 80-an dasar kerajaan berubah kepada penswastaan dan persyarikatan Malaysia yang menyaksikan peralihan aset kerajaan menjadi milikan individu dan entiti bumiputera.




Pelaksanaan ‘Industrial Coordination Act 1975’ yang menekankan penglibatan orang Melayu telah menimbulkan kekhuatiran kepada usahawan rakyat keturunan Cina, dan ini sempat mangakibatkan pengaliran keluar modal mereka. Dalam masa yang sama, usahawan rakyat keturunan Cina tidak berdiam diri dan mengambil tindakan yang pragmatik untuk memastikan penguasaan ekonomi Negara dengan menubuhkan syarikat-syarikat Ali Baba. Syarikat Ali Baba ini tumbuh pesat di zaman DEB untuk memperoleh lesen dan kontrak kerajaan yang dikhususkan kepada kaum bumiputera. Kerjasama Ali Baba ini akhirnya dinilai sebagai jalan kepada usahawan rakyat keturunan Cina untuk mengekalkan dominasi aktiviti perniagaan mereka dari pelaksanaan dasar ekonomi yang mengekang.

Daripada kajian yang pernah dibuat, pelaksanaan DEB, tersasar dari sasaran dan akibatnya muncul satu fenomena yang hari ini merupakan barah dan  hanya memberikan beban tambahan. Campur tangan kerajaan dalam sektor ekonomi dianggap sebagai telah meningkatkan peranan birokrasi dan mewujudkan borjuis (‘bourgeois’) Melayu, di samping menggalakkan kemunculan aktiviti pengaut sewa dan lahirnya kapitalisme kroni yang mewujudkan pakatan Elit Melayu – rakyat keturunan Cina (Ali Baba) yang tidak produktif dari perspektif ekonomi.

Secara keseluruhan, DEB gagal untuk mengurangi jurang perbezaan dan kesamarataan ekonomi tetapi sebaliknya menjelmakan segelintir ‘Orang Kaya Baru’ yang mengumpul kekayaan dengan cepat melalui aktiviti mengaut sewa (rent seeking) dan komisen. Aktiviti ini yang menyemarakkan pakatan Ali Baba, juga menyumbang kepada kekayaan yang dinikmati oleh usahawan bukan Melayu.

Bagaimanapun, ‘all is not lost’. Zaman DEB juga telah mencetuskan permulaan usahawan Melayu untuk mengintegrasikan modal dan kepakaran dengan usahawan rakyat keturunan Cina untuk membentuk pakatan tulen, walaupun kecil bilangannya, di zaman pasca DEB.

Zaman pasca DEB melihat perubahan pelaksanaan dasar. Orientasi kaum dalam DEB beralih melalui Wawasan 2020 dan Dasar Pembangunan Negara kepada orientasi Malaysia dengan tumpuan terhadap aspek budaya dan liberalisasi ekonomi untuk menggalakan perniagaan antara kaum. Pada zaman ini juga, usahawan rakyat keturunan Cina merasakan bahawa pakatan strategik yang tulen dengan usahawan Melayu akan saling lengkap melengkapi.

Hadirin hadirat sekalian, apapun dasar, betapa sempurna proses penggubalan dan falsafahnya, hasrat yang diinginkan tidak mungkin boleh dicapai selagi pelaksanaan dasar tersebut terlalu terbuka untuk interpretasi, dan manipulasi kekuasaan dan tindakan oleh pemimpin yang berkuasa. Daripada apa yang telah dan sedang berlaku, saya hanya boleh menyatakan sikap kesal dan dukacita saya kerana Ali Baba dilihat sinonim dengan DEB. Tetapi seperti yang pernah saya nyatakan tadi, saya yakin 100% bahawa DEB tidak menciptakan Ali Baba, tetapi pemimpin yang berkuasa yang melaksanakan DEB mengikut kemahuan dan kekuasaan mereka yang bertanggungjawab terhadap fenomena ini.

Hadirin hadirat sekalian, daripada pengamatan dan banyak kajian yang telah dibuat, kita dapat simpulkan bahawa fenomena Ali Baba sangat mendukacitakan dan merugikan. Kita harus terima hakikat bahawa usahawan Melayu pada awalnya tidak mampu bersaing dalam perniagaan dan menguasai ekonomi, dan sebab itulah perlu dibantu. Polisi yang digubal terutama DEB, adalah wajar dan munasabah, tetapi sayang, pelaksanaan yang tidak bertanggungjawab telah menggalakan fenomena Ali Baba yang sehingga hari ini merupakan barah yang sudah merebak ke akar umbi masyarakat.

“Dapat saham sahaja, terus dijual, dapat kontrak saja terus dijual”. Selama lebih 30 tahun, sejak awal 80-an, kenyataan ini sering disebut dan didengar sehingga menjadi sebati dan tidak pelik sekiranya ada yang beranggapan bahawa begitulah caranya dan memilihnya untuk mencipta kekayaan dengan cepat. Yang lebih mengkhuatirkan, pemikiran sebegini, hari ini mungkin menjadi anutan dan pegangan anak-anak muda yang berjuang menggunakan parti politik sebagai landasan. Apa lah nanti akibatnya apabila golongan mereka mula mengambil alih pentadbiran Negara.

Pelaksanaan dasar yang salah oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah (salah guna kuasa) dan kronisme, sangat dikesalkan dan yang paling dirugikan adalah golongan usahawan Melayu yang tulen dalam menjalankan perniagaan mereka. Oleh yang demikian, tidak hairan apabila kita sering mendengar rungutan-rungutan yang menyatakan bahawa ada Melayu yang pandai berniaga dan tidak cukup modal, tetapi kerana mereka bukan dari golongan elit Melayu atau kroni seseorang pemimpin, mereka tidak mendapat bantuan dan perniagaan mereka tidak berkembang.

DEB sepatutnya turut membantu seluruh orang-orang Melayu, tetapi apa yang berlaku, hanya ‘super’ Melayu yang terpilih sahaja dibantu. Dalam kes ekstrem, golongan ini diberikan dengan segala kemudahan; wang modal tanpa kos, lesen dan segala bentuk insentif supaya menjalankan perniagaan berskala besar dan mampu bersaing di peringkat global. Tetapi apa yang terjadi, perniagaannya lingkup, wang tidak tahu kemana dan mereka masih tetap wujud dengan kedudukan, prestij dan kemewahan mereka.

Sistem dan pelaksanaan yang memudahkan atau terlalu memberi kesempatan kepada orang tertentu, yakni elit politik, kroni dan sebagainya secara langsung juga menyebabkan wujudnya Ali Baba secara berleluasa. Dalam banyak kes, kelompok terpilih dan elit ini mencipta kekayaan yang luarbiasa, dalam waktu yang singkat, tanpa perlu ‘berusaha’ seperti orang lain melalui konsep tersebut. Hakikat ini menimbulkan perasaan sakit atau iri hati yang sangat menebal terutama di kalangan masyarakat Melayu yang sepatutnya dibantu di bawah DEB, tetapi tetap tinggal susah dan miskin.

Dalam konteks ini, banyak juga cerdik pandai yang berpendapat bahawa masalah ini bukan hanya diungguli oleh orang Melayu sahaja, kerana kaum apa pun, lumrahnya, apabila memperolehi sesuatu yang bernilai dengan sangat mudah, akan tidak menghargainya dan akan melepaskannya pula dengan cepat. Oleh itu, adalah wajar feomena Ali Baba ini di pertanggungjawabkan kepada pelaksana dasar atau pemimpin berbanding atau mengatasi sikap dan kecenderungan orang Melayu yang terlibat secara langsung, tanpa malu, menjadi ‘Ali’ dan menyewakan nama mereka.

Ali Baba ataupun kronisme pada asasnya adalah tidak baik. Memberikan sesuatu kontrak kepada orang yang kurang layak adalah satu kesalahan dan mengesani keberkesanan dan kecekapan. Dalam perniagaan, sikap mengambil untung atas angin atau pun aktiviti mengaut sewa (rent seeking) atau pengambilan komisen, yang dimungkinkan melalui konsep Ali Baba mahupun kronisme, akan hanya meningkatkan kos sesuatu barang atau perkhidmatan yang akhirnya akan ditanggung oleh masyarakat umum. Ini akan mengakibatkan pembaziran wang negara dan menyumbang kepada perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat kerana amalan ini menyumbang kepada penyediaan barangan dan perkhidmatan yang tidak bermutu.

Untuk ‘accommodate’ Ali Baba, peruntukkan atau kos kontrak atau projek dinaikkan (inflated/mark-up) dan ini merugikan negara dan masyarakat. Dalam keadaan peruntukan atau kos projek tidak dinaikkan, peruntukan sebenar yang akhirnya sampai ke tangan kontaktor yang akan melaksanakan sesuatu kontrak atau projek tersebut tinggal sedikit. Hal ini mungkin saja akan menyebabkan kontraktor tersebut untuk “cut corners” dan menghasilkan pekerjaan atau produk yang tidak bermutu. Hadirin hadirat sekalian, apapun pendekatannya, negara dan masyarakat tetap yang akan dirugikan.

Daripada sisi lain, konsep Ali Baba sekiranya tidak dibendung akan sentiasa menjadi penghalang kepada pencapaian sasaran penguasaan ekonomi yang seimbang dalam negara. Baik antara kaum mahupun sesama kaum dan hakikat ini perlu kita perhatikan. Sejarah dan prestasi negara dalam pembasmian kemiskinan dengan ukuran rasmi yang ada, boleh dibanggakan. Namun usaha kita untuk mengecilkan jurang perbezaan pendapatan seperti yang dipaparkan oleh Indeks Gini, tidak ataupun belum berhasil.

Di samping kesan kepada ekonomi, gejala Ali Baba ini juga telah membuat kaum Melayu sebagai kaum yang diberikan keistimewaan tidak dihormati, dilecehkan dan kekal tidak mampu untuk bersaing, walaupun sekian lama dibantu dan banyak peruntukan yang dibelanjakan. Persepsi usahawan bumiputera yang dianggap sebagai “overnight millionaires atau billionaires” tanpa ‘know how’ tetapi ‘know who’ adalah suatu gambaran yang sangat memalukan. Usahawan ini tidak mempunyai asas penting dalam perniagaan tetapi hanya berdiri dibawah naungan pemimpin yang berkuasa.

Pernah terjadi dalam sejarah kita bila mana dasar yang meletakkan syarat 30 peratus penyertaan bumiputera dalam syarikat-syarikat perniagaan juga telah menghakis keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Daripada banyak pengamatan, 30 peratus penyertaan bumiputera bukannya menjadi isu, tetapi golongan elit Melayu yang ditunjuk untuk memegang atau menikmati peruntukan 30 peratus saham itu yang tidak menyumbang kepada produktiviti syarikat dan dalam setengah keadaan menambah kos operasi syarikat yang menjadi penyebab. Fenomena inilah yang membawa kepada liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan sekarang.

Para hadirin hadirat sekalian, statistik menunjukkan bahawa telah terjadi penurunan peratusan penguasaan ekonomi dari kalangan orang Melayu. Hakikat ini terjadi walaupun banyak peruntukan dan kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu.Sudahlah sasaran asal iaitu 30 peratus yang diletakkan oleh DEB tidak pernah tercapai, pencapaian 22.2 peratus satu waktu dahulu tidak dapat dipertahankan sehingga turun menjadi 18.5 peratusdan hari ini, ada yang mengatakan tahap penguasaan ekonomi orang Melayu berada pada kadar 21 peratus. Dalam masa yang sama, tahap penguasaan ini, menurut sesetengah pendapat adalah tidak benar dan tidak tepat untuk mewakili masyarakat Melayu kerana  sebahagian besar disumbang oleh GLC.

Pada suatu kesempatan dahulu, jelasnya pada 2011, ada satu kajian yang menunjukkan secara purata, 85.3 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain. Seandainya, peratusan ini benar dan mewakili keseluruhan sektor, maka usaha untuk memperbetulkannya akan pasti menjadi sangat sulit.

Hadirin sekelian, gejala Ali Baba yang terbongkar sewaktu inkuiri Teoh Beng Hock yang berlaku tidak terlalu lama dahulu, menunjukkan bahawa fenomena ini masih wujud dan berleluasa. Satu perkara yang pasti, Ali Baba tidak mengenali sempadan dasar mahupun sempadan politik. Jika wujud peluang dan kesempatan, akan hadirlah kelompok yang akan menggunakan kaedah ini.

Banyak saranan yang telah diberikan dalam usaha menangani fenomena Ali Baba ini. Ada yang mencadangkan supaya mereka disenaraihitamkan, ada pula yang mencadangkan agar orang ini digelar sebagai pengkhianat bangsa dan bermacam lagi. Pada saya, tak rugi sekiranya kita semak lagi kesemuanya dan jelmakan peraturan yang lebih kuat seperti undang-undang dan secara konsisten laksanakannya tanpa prejudis dan menyeluruh.

Para hadirin hadirat sekalian, sebenarnya kita tahu syarikat Melayu mana yang tulen dan syarikat Melayu mana yang didalangi oleh orang lain, seperti kita tahu siapa yang mengamalkan rasuah dan sebagainya. Anehnya, syarikat tersebut tetap saja wujud tanpa sebarang peringatan dan tindakan seperti disenaraihitam dan sebagainya. Malahan ada di kalangan syarikat-syarikat ini yang masih mendapat perhatian dan keistimewaan, dan ini adalah sesuatu yang sangat tidak wajar. Walaupun agak terlewat, mungkin kita perlu untuk menggubal undang-undang yang secara spesifik akan membolehkan pelaku yang menyumbang kepada gejala Ali Baba ini di ambil tindakan. Tetapi, seperti dasar-dasar lain sebelumnya, undang-undang tanpa pelaksanaan yang konsisten, tegas dan tanpa prejudis tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Kepada semua pihak yang berkepentingan, terutama kepada yang mempunyai kuasa, saya sarankan agar kita hentikan sikap saling menunding jari, atau tuduh menuduh. Selagi sikap ini menebal dalam hati sanubari kita, usaha untuk membanteras gejala Ali Baba ini tidak akan berhasil. Kita juga harus cuba untuk tidak sentiasa menjustifikasikan tindakan kita walaupun kita tahu benar, ianya salah. Kebijakan dan iltizam yang kuat diperlukan di peringkat atasan dan agensi pelaksana untuk memungkinkan kejayaan kita menangani fenomena yang merosak ini. Kita juga harus ingat, Ali Baba dalam perniagaan boleh saja merebak menjadi Ali Baba dalam politik dan kesannya boleh menjatuhkan martabat sesuatu bangsa.

Sekian, terima kasih.