Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 4 Januari 2012

Hasil Keringat Pejuang Bahasa


Oleh Aliah Abdul Rahim

SAMBUTAN ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun tetap disambut pada setiap tahun walaupun dalam kekangan kewangan. Bulan Jun tetap relevan bagi DBP kerana tarikh 22 hari bulan itu ialah tarikh keramat, tarikh ulang tahun penubuhan DBP. Pada tahun ini DBP melangkah ke usia 55 tahun. Walaupun dalam keadaan masalah kewangan, acara sambutan tetap diadakan secara sederhana. Program sambutan ulang tahun DBP yang diadakan merangkumi acara kebahasaan dan kesusasteraan daripada ceramah, wacana, forum dan pertandingan debat hinggalah kepada acara teater, sukan dan “Malam Bahasa Jiwa Bangsa”. Sempena sambutan ulang tahun DBP, beberapa orang staf DBP terpilih untuk menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

Sambutan ulang tahun DBP merupakan acara dalaman yang membabitkan penglibatan semua pihak daripada pihak pengurusan sehinggalah staf pelbagai jawatan. Tujuannya adalah untuk menjalin silaturahim sesama staf selain bersama-sama menghayati misi dan visi penubuhan DBP. Pelbagai acara yang diadakan dapat dimanfaatkan oleh staf DBP sendiri, dengan penglibatan staf DBP juga. Jika tidak mengambil bahagian sekali pun, sekurang-kurangnya hadir untuk turut sama menunjukkan sokongan dan memeriahkan suasana. Walaupun dalam kesibukan kerja, warga DBP perlu mengambil tahu atau turut sama merasai dan memahami erti sambutan tersebut diadakan pada setiap tahun. Secara tidak langsung bagi memupuk rasa cintakan organisasi.

Meraikan sambutan ulang tahun DBP bukan sekadar bersuka-sukaan sambil makan dan minum, tetapi lebih bertujuan untuk menjalin hubungan silaturahim terutama dalam kalangan staf baru dan lama, supaya yang baru dapat mengenali yang lama, yang lama menyedari kehadiran yang baru, mereka saling menghormati dan yang lebih penting bersama-sama menghayati perubahan dan perkembangan DBP dari dahulu hingga kini. Usaha sebegini berkesan dalam memupuk sikap mencintai organisasi sendiri dan sekali gus dapat menepis pelbagai tohmahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang senantiasa menyalahkan DBP atas apa-apa yang berlaku meskipun terhadap perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan DBP.

Penubuhan DBP bermula daripada titik peluh dan keringat segolongan pejuang bahasa. Walaupun tanpa pertumpahan darah atau perlu mengangkat senjata, perjuangan tetap mempunyai pengertian yang luas dan bermakna bagi individu yang benar-benar memahami dan menghargainya.

Selamat Menyambut Ulang Tahun DBP ke-55. aliah@dbp.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan