Rabu, 4 Januari 2012
Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award)
Oleh Salim Md. Zain
ANUGERAH Penulis Asia Tenggara, Southeast Asian Write Award atau lebih dikenali sebagai S.E.A. Write Award merupakan anugerah berprestij yang diwujudkan bagi mengiktiraf para penulis dan penyair terkemuka di negara-negara rantau ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Anugerah ini mempunyai erti yang sangat besar kepada bidang sastera dan kreatif negara-negara Asia Tenggara, dengan sebahagian besar negara serantau terbelenggu oleh perbezaan bahasa, kebudayaan dan latar belakang kepercayaan. Perbezaan-perbezaan tersebut memberi warna yang berbeza kepada dunia kesusasteraan kerana dilahirkan mengikut acuan negara masing-masing. Walau bagaimanapun, untuk merapatkan jurang perbezaan tersebut sekali gus memberikan penghormatan kepada tradisi sastera, anugerah berprestij Anugerah Penulisan Asia Tenggara diwujudkan pada awal tahun 1979.
Idea untuk mewujudkan anugerah tersebut muncul dalam perbincangan pihak pengurusan Hotel The Oriental, Bangkok; Thai Airways, International Public Co. Ltd., dan Italthai Group of Companies. Objektif utamanya adalah untuk memupuk kesedaran dan pemahaman meluas tentang kekayaan sastera dalam kalangan sepuluh buah negara ASEAN.
Anugerah tersebut juga diadakan untuk menggalakkan para penulis di negara-negara ASEAN berkarya selain sebagai pengiktirafan kepada bakat dan kreativiti karya mereka. Anugerah ini kadangkala diberikan bagi mengiktiraf hasil tulisan khas penulis, atau pencapaian sepanjang hayat mereka. Hasil kerja yang dihargai pula pelbagai merangkumi hasil kerja puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat, serta pengajian dan keagamaan. Satu keunikan dalam penyelenggaraan pemilihan penerima Anugerah ini ialah penerima dipilih oleh jawatankuasa pemilihan negara ASEAN itu sendiri.
Pada umumnya tarikh tutup penyertaan Anugerah ini ialah pada akhir April setiap tahun, dan penerima akan diumumkan pada bulan Ogos tahun yang sama. Mereka yang layak menyertai pencalonan ini termasuklah organisasi, intitusi yang mempunyai kaitan dengan hasil kesusasteraan, para penerbit, pakar bidang sastera, para penulis, pengkritik dan pembaca karya sastera.
Yang menariknya tentang Anugerah ini; semenjak tahun 1979, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah terdiri daripada kalangan kerabat diraja Thai, dimulai oleh Putera Prem Purachatra, salah seorang tokoh sastera Thailand yang terkenal. Apabila baginda mangkat pada tahun 1981, permaisurinya Puteri Ngamchit Purachatra bersetuju untuk memegang jawatan pengerusi, dan pada tahun 1982, Puteri Maha Chakri Sirindhorn pula menjadi Pengerusi Kehormat Jawatankuasa Penganjur. Puteri Vimalchatra meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada awal tahun 1992 atas alasan kesihatan. Baginda diganti oleh Profesor Putera Subhadradis Diskul, salah seorang sarjana Thailand yang paling terkenal hingga tahun 1997, dan kemudiannya digantikan oleh M. L. Birabhongse Kasemsri, Setiausaha Sulit Utama Duli Baginda (1998-1999). M. R. Sukhumbhand Paribatra ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Penulisan Asia Tenggara hingga sekarang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan