Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 30 Ogos 2010

Ops Hijrah 2008 sempena malam tahun baru

05 January,

Ops Hijrah PERKID sempena malam tahun baru telah berjaya dijalankan di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2007 jam 10.00 malam hingga 1 Januari jam 7.00 pagi. Ini adalah merupakan operasi malam tahun baru ke 5 PERKID.


Lokasi operasi ialah di 13 lokasi sekitar KLCC, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Bangsar dan Selayang.

Akhbar Sinar Harian, melalui edisi Rabu 2 Januari telah membuat laporan tentang operasi ini yang mencapai kejayaan membanggakan.

Seramai 1,000 sukarelawan PERKID telah turun padang, dan telah berjaya membawa 300 remaja ke Masjid Asy-Syakirin KLCC untuk menjalani sesi kaunseling dan motivasi. Remaja-remaja ini dikenalpasti oleh sukarelawan PERKID berkelakuan tidak senonoh dengan pasangan masing-masing pada malam tahun baru tersebut.

=paparan berita dalam akhbar Sinar Harian 2 Januari

Berita 1

Lebih 300 remaja berkelakuan tidak sopan diberi kaunseling

KUALA LUMPUR - Lebih 300 remaja yang melakukan kegiatan tidak senonoh dengan pasangan masing-masing dibawa ke Masjid Asy-Syakirin berhampiran Menara Berkembar KLCC untuk menjalani sesi kaunseling dan motivasi dalam 'Ops. Hijrah' bagi mencegah kegiatan maksiat sempena sambutan malam tahun baru awal pagi kelmarin.

Dalam operasi selama lebih lima jam tersebut, seramai 1,000 anggota sukarelawan ditugaskan untuk membuat pemantauan di 13 lokasi utama yang dikenal pasti menjadi tempat utama muda-mudi 'memadu asmara' di sekitar ibu negara.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Masridzi Sat memberitahu Sinar Harian, terdapat peningkatan terhadap jumlah mereka yang 'ditahan' dalam operasi pada kali ini berbanding operasi terakhir yang dilakukan pada tahun lalu.

Katanya, tahun lalu remaja yang terlibat hanya sekitar 260 orang sahaja.

"Dalam operasi yang dilakukan semalam, kebanyakan remaja yang dibawa ke Masjid Asy-Syakirin adalah dari sekitar Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Perdana serta kawasan sekitar KLCC itu sendiri," katanya.

Masridzi menambah, dalam operasi semalam sahaja, majoriti yang dibawa ke masjid merupakan remaja bawah umur dan ada yang berumur semuda 12 tahun.

Katanya, kebanyakan mereka ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan seperti bertempik, berpakaian tidak sopan, bercumbu-cumbuan serta berpelesiran bersama kawan lelaki termasuk minum arak dan mabuk.

"Sebagai contoh, dalam operasi di Titiwangsa seramai lapan pasangan berumur lingkungan 15 hingga 29 tahun berjaya kita bawa balik ke masjid untuk diberi kaunseling." katanya.

Namun ada juga pasangan dari beberapa kawasan lain yang bertindak mencabar sukarelawan PERKID dengan melakukan aksi yang lebih berani iaitu dengan bercumbu-cumbuan apabila ditegur.

Masridzi turut menyatakan rasa kesal kerana pada setiap tahun, sambutan yang keterlaluan dan lebih mengutamakan aspek hiburan diberi perhatian berbanding program-program pembangunan modal insan.

Ujar Masridzi lagi, keadaan tersebut sebenarnya menjadi antara faktor utama yang menggalakkan remaja-remaja berkenaan untuk berpelesiran serta melakukan perkara yang tidak senonoh bersama pasangan masing-masing.


Sebahagian remaja perempuan diberi kain tudung putih untuk menutup aurat ketika sesi kaunseling diadakan.

Berita 2

Pengakuan : Saya Insaf - Zarina

"SAYA insaf dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan tidak bermoral ini lagi," kata Zurina (bukan nama sebenar}, 15, yang merupakan antara 300 remaja yang diberi kaunseling oleh para sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) kelmarin.

Akibat terlaiu teruja dengan sambutan tahun baru, Zurina membuat keputusan keluar bergembira bagi merasai sambutan yang disambut setahun sekali itu bersama teman lelakinya.

"Saya membuat keputusan mengikut teman lelaki saya bagi menikmati suasana malam dan berhibur di kawasan sekitar Tasik Titiwangsa malam itu.

"Kami berdua datang menaiki motor dan meronda-ronda di setiap jalan di ibu kota sebelum berhenti rehat di tasik ini" katanya yang kini bersekolah dalam tingkatan tiga.

Namun, katanya, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan sebaliknya dia ditangkap ketika duduk berdua-duaan di kawasan tersebut sehingga menimbulkan syak dan wasangka.

Ketika ditahan, Zurina dan teman lelakinya yang berumur 17 tahun itu sedang asyik dilanda asmara sehingga tidak menghiraukan pasukan sukarelawan Perkid yang datang melakukan pemeriksaan di tasik tersebut.

Menceritakan detik detik bagaimana dia ditahan, Zurina memberitahu, ketika itu, dia dan teman lelakinya sedang duduk berbual sambil teman lelakinya itu memeluk pinggangnya di kerusi.

"Saya terkejut apabila mereka datang ke arah kami. Namun, mereka datang dengan tutur kata yang sopan sambil menyuruh kami mengikut sesi kaunseling tanpa mengeluarkan sedikik pun kata-kata kasar kepada kami," katanya yang berasal dari Kuala Selangor.

Menurutnya, pada mulanya dia berasa takut dan marah tetapi untuk tidak mengeruhkan suasana, dia bersama teman lelakinya bersetuju mengikut sukarelawan tersebut.

Sementara itu, sewaktu sesi ceramah, motivasi dan kaunseling, Zurina berkata, dia berasa insaf dan sedar segala perbuatan yang dilakukan bersama teman lelakinya pada malam itu dan sebelum ini.

Sepanjang sesi kaunseling tersebut, Zurina memberitahu, dia tidak dapat menghentikan air matanya daripada mengalir keluar kerana sesi tersebut betul-betul menginsafkan dirinya.

Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila Zurina sendiri tidak tahu untuk menunaikan sembahyang subuh serta membaca doa Qunut akibat tidak pernah mempraktikkannya.

"Saya kini sedar betapa ceteknya pendidikan agama yang saya miliki selama ini dan saya sendiri berasa malu dengan diri sendiri," ujarnya sambil mengesat air mata.

=
Berita 3

1000 sukarelawan 'turun padang'
"Kami sekadar membantu sesama Islam..."- Masridzi Sat


Remaja yang duduk di tempat gelap bersama pasangan masing-masing diajak ke Masjid Asy-Syakirin

"MATLAMAT kami hanya mahu membantu remaja hari ini supaya tidak terjebak dengan gejala sosial dan menjadi insan yang mampu berhijrah serta menyumbang kepada negara."

Demikian luahan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) Masridzi Sat yang nyata bersungguh-sungguh membanteras gejala sosial yang semakin kritikal di kalangan remaja terutama mereka yang masih di bangku sekolah.

Menurutnya, Ops Hijrah atau lebih dikenali sebagai Operasi Dakwah dan Cegah Mungkar sempena sambutan tahun baru ini, sedikit sebanyak membantu remaja yang bermasa'lah ini ke pangkal jalan.

"Seperti operasi-operasi sebelum ini, operasi kali ini dilancarkan menggunakan pendekatan yang sama iaitu melalui pendekatan berdakwah secara lembut dan halus berbanding pendekatan yang membuta tuli.

"Remaja terbabit akan dinasihatkan terlebih dahulu dan bukannya menggunakan kekerasan iaitu dengan menghukum mereka sewenang-wenangnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian sewaktu operasi yang berlangsung lebih kurang lima jam di Masjid Asy-Syakirin, berhampiran Menara Berkembar Petronas sini, semalam.

Beliau berpendapat pendekatan tersebut lebih berkesan dalam usaha membantu mereka mendekatkan diri dengan Allah. Seramai 1,000 sukarelawan terlibat dalam operasi tersebut dengan setiap pasukan dibahagikan kepada 13 kawasan iaitu KLCC, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Bangsar dan Selayang.

Lokasi lain yang turut terlibat adalah kawasan Hulu Langat, Bukit Ampang, Wangsa Maju, Taman Tasik Perdana, Tasik Titiwangsa, Bukit Antarabangsa, Jalan Raja Laut dan Kepong.

Operasi yang merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) itu turut mendapat kelulusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP).

Sementara itu, Masridzi berkata, operasi tahun baru itu berjaya menahan 300 remaja yang rata-rata berumur antara 12 hingga 18 tahun.

"Remaja terbabit akan diberi kaunseling, ceramah dan motivasi oleh para sukarelawan dalam usaha menyedarkan mereka termasuklah mengambil tahu latarbelakang mereka dan sebelum balik mereka diminta membuat surat akur janji," katanya.

Katanya, beliau merasa sedikit kesal dan terkejut kerana ada antara mereka yang terlibat ini tidak tahu menunaikan sembahyang yang sememangnya menjadi kewajipan umat Islam.

"Perkara inilah yang perlu diambil perhatian kerana kelakuan remaja semuanya bermula dengan didikan agama yang kukuh," ujarnya.

=

Berita 4

Ibu bapa punca remaja berpelesiran



DR.MOHD FADZIL CHE DIN

"IBU BAPA punca berlakunya masalah ini," kata Pengarah Institut Sosial Malaysia, Dr. Mohamad Fadhil Che Din.

Kebanyakan ibu bapa cuba untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka dengan memenuhl segala permintaan mereka.

"Mereka bebas melakukan apa saja aktiviti bersama rakan-rakan mereka tidak kira malam mahupun siang," jelasnya.

Tambahnya, sikap ibu-bapa yang terlalu terbuka, memberikan anak-anak remaja ini satu tanggapan apa yang dilakukan mereka bukan satu kesalahan.

"Pengaruh rakan sebaya yang tebal ketika di peringkat remaja juga turut menyumbang kepada berlakunya gejala ini.

"Mereka lebih banyak berdampingan dengan golongan yang sebaya jadi tidak mustahil jika kita lihat mereka ini lebih akrab berdampingan bersama rakan-rakan berbanding ibu-bapa mereka, tegasnya.

Selain pengaruh rakan sebaya, pengaruh persekitaran juga turut mendorong mereka menjadikan kehidupan malam sebagai satu tabiat.

"Kawasan sekitar Kuala Lumpur yang sentiasa penuh dengan aktiviti, menjadikan remaja ini tidak berasa kekok malah lebih selesa untuk keluar pada waktu malam. Mereka menjadikan ini rutin harian, maka tidak hairanlah jika kita lihat saban malam ramai remaja berpelesiran di sekitar ibu kota,"katanya.

Tambah beliau, remaja ini kebanyakannya menjalankan aktiviti yang tidak berfaedah dan kadang kala membahayakan diri mereka.

"Lihat saja di sekeliling kita, kebanyakan kes-kes jenayah yang berlaku melibatkan golongan remaja ini," keluh beliau.
=

Berita 5


Lebih 300 remaja dibawa ke Masjid Asy-Syakirin untuk sesi kaunseling pada malam tahun baru.

Pemerhatian ... Tahun baru

SEBAIK saja mendapat maklumat, Skuad Bongkar menyusuri Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam menuju ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi menyertai Ops Hijrah yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur pada malam sambutan tahun baru lalu.

Kenderaan berasak-asak masuk menuju ke arah yang sama, laluan alternatif yang sering digunakan ketika itu turut sesak dibanjiri kenderaan yang entah dari mana datangnya.

Dalam keadaan yang memenatkan itu, kami sempat memerhatikan gelagat pemandu yang rata-ratanya mahu turut serta dalam sambutan tahun baru di ibu negara.

Setelah sejam perjalanan, kami tiba di KLCC, sangkaan kami meleset kerana kami bukanlah antara terawal yang tiba melihatkan tempat letak kereta yang mula penuh dengan pelbagai kenderaan.

Dalam kerancakan orang ramai menyertai sambutan tahun baru, kami sempat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di surau di dalam KLCC.

Kaki terus melangkah. Kali ini tumpuan kami adalah di Masjid Asy-Syakirin, tempat di mana operasi tersebut akan dilancarkan.

Di masjid tersebut, para sukarelawan yang menyertai operasi ini terus diberi taklimat dan sedikit tunjuk ajar bagaimana hendak menjalankan tugas berkenaan.

Sepanjang perjalanan, kami mendapati, orang ramai terutamanya muda-mudi dari segenap lapisan umur dan kaum sudah mula membanjiri kawasan taman sekitar KLCC.

Ada di antara mereka datang dalam kumpulan dan kebanyakannya datang bersama pasangan masing-masing.

Namun apa yang mengejutkan kami adalah perilaku remaja terutamanya remaja Melayu perempuan yang datang dengan pakaian menjolok mata.

Sedih melihat gelagat mereka, namun tidak ada sedikit perasaan malu yang keluar dalam diri mereka malah mereka masih sempat menguntumkan senyuman kepada orang ramai yang melihat tubuh badan yang gebu dan montok secara 'percuma'.

Barangkali, mungkin itu yang diinginkan mereka, menarik perhatian orang ramai dengan pakaian sebegini.

Kami memandang sesama sendiri apabila terlihat sepasang kekasih tanpa segan silu berciuman ketika berselisih dengan kami.

Kami tertanya sendiri, sekiranya pemandangan sebegini dapat kami lihat di sini, entah bagaimana pula yang berlaku di kawasan lain.

Sampainya kami di pintu masjid kami mendapati, satu program forum dan ceramah agama turut diadakan, namun sambutan yang diberikan tidaklah sehebat konsert yang diadakan di kawasan sekitar KLCC.

Rata-rata remaja ini lebih berminat untuk berhibur berbanding menyertai majlis ilmu di masjid.

Kami diberi taklimat ringkas tentang operasi yang dijalankan bagi membanteras gejala maksiat di kalangan remaja tepat jam 10 malam.

Pengerusi PERKID, Masridzi Sat memberitahu, pasangan yang kelihatan bercumbuaan atau duduk berdua-duaan akan dibawa pulang ke Masjid Asy-Syakirin untuk mengikuti program motivasi yang disediakan penganjur.

Sejam selepas lembakan bunga api yang berlangsung hampir lima minit tamat, kami mula bergerak mengelilingi kawasan sekitar KLCC, kumpulan yang lain pula bergerak menuju ke 12 lokasi lain disekitar Kuala Lumpur.

Orang ramai sudah mula meninggalkan kawasan sekitar KLCC, namun pasangan kekasih mula menzahirkan kasih sayang mereka di sekitar kawasan ini.

Kami terpandang sepasang kekasih yang duduk berpelukan di satu sudut gelap. Kami mendekati mereka dan mengajak mereka ke masjid.

Pencarian masih diteruskan. Kali ini kami mula mendekati sepasang kekasih yang dilihat sedang asyik berpelukkan sehingga tidak menghiraukan ribuan mata yang memandang mereka.

Pasangan tersebut nampak terkejut apabila kami mendekati mereka namun teman lelaki wanita tersebut bertindak pantas dan melarikan diri apabila memandang salah seorang sukarelawan yang memakai kopiah di kepala.

Gadis yang ditinggalkan itu terpinga-pinga dan mula menangis akibat ditinggalkan kekasihnya namun berjaya ditenangkan oleh salah seorang sukarelawan wanita yang turut serta dalam operasi itu.

Selain itu, operasi ini juga berjaya menarik segolongan remaja yang berkumpul beramai-ramai sambil bergembira dan menari riang di satu kawasan berdekatan Jalan Bukit Bintang.

Kami mengeluh sendiri dan berfikir apa yang penting sangat bersuka ria di kawasan sebegini sedangkan banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan.

Di sekitar kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman pula, ada di antara sukarelawan yang dimaki hamun oleh remaja yang mereka temui.

Namun dengan berkat kesabaran serta amanah yang telah diberikan kepada sukarelawan ini, mereka menghadapinya dengan tenang, bahkan remaja yang memaki hamun mereka berjaya dipujuk untuk ke masjid.

Kerana terlalu seronok dan leka melakukan maksiat, sepasang kekasih tidak menyedari kehadiran sukarelawan yang sudah lama berada di belakang kerusi yang mereka duduki.

Lima jam selepas operasi tamat, mereka dikumpulkan beramai-ramai di dewan serbaguna Masjid Asy-Syakirin.

Selepas mendaftar mereka diasingkan mengikut jantina.

Bagi mereka yang tidak menutup aurat, pihak Perkid menyediakan kain putih yang akan digunakan bagi menutup aurat mereka.

Suasana suram menyelubungi mereka tatkala penceramah memulakan ceramah dan ada di antara remaja ini menangis teresak-esak menyesali apa yang telah dilakukan selama ini.

Ceramah masih diteruskan tetapi dari penceramah yang berlainan, harapannya cuma satu, menginsafkan diri remaja-remaja ini.

Mereka ini kemudiannya mula didekati oleh para sukarelawan sebelum kedengaran sayu suara azan berkumandang menandakan masuknya waktu subuh. Selesai sahaja berwuduk, mereka serta para sukarelawan berjemaah bersama-sama.

Apa yang menyedihkan kami ialah apabila melihat ada segelintir dari mereka ini masih belum tahu cara untuk bersembahyang dengan betul.

Pun begitu, ini sudah cukup membuktikan bahawa jauh disudut hati mereka ini mahu berubah, tetapi tiada pihak mahu menghampiri dan menghulurkan tangan memimpin mereka.

Program ini berakhir pada jam 7.30 pagi. Sebelum mereka pulang mereka bersalaman dan berpelukan tanda terima kasih kepada insan yang sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit demi menjaga akidah mereka.

Ada di antara mereka ini dijemput oleh ibu bapa, dan ada juga yang pulang sendiri menaiki kenderaan awam.

Sejurus itu kami turut mengatur langkah untuk pulang. Kami mula berfikir dan tertanya sendiri sampai bila masalah ini akan selesai sekiranya tiada usaha dilakukan dalam mengurangkan masalah sosial ini.

Yang pasti walau usia dunia semakin beranjak, namun mentaliti penghuninya masih di takuk lama.
=


Tiada ulasan:

Catat Ulasan