Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 17 Jun 2009

H1N1 (Delima Merkah)

Wabak influenza A H1N1 telah merebak di seluruh dunia baru-baru ini. Namun, dengan pelbagai tindakan pencegahan wabak yang dilaksanakan, kes influenza A H1N1 ini telah berkurang di Mexico, negara yang paling teruk diserang oleh wabak ini. Sejak 6 Mei lalu, kegiatan ekonomi Mexico telah beransur pulih dan kini keadaan sudah kembali seperti biasa. Sekolah menengah tinggi dan universiti telah dibuka semula pada 7 Mei lalu. Perniagaan dalam sektor restoran dan hiburan juga telah pulih seperti biasa. Namun, seorang ahli epidemiologi dari Universiti Berautonomi Kebangsaan Mexico, Profesor Dr.Malaquias Lopez Cervantes berpendapat bahawa rakyat Mexico masih perlu berjaga-jaga terhadap wabak influenza A H1N1 ini kerana keadaan wabak ini masih belum dapat dipastikan.

Dengan kegiatan ekonomi Mexico yang beransur pulih seperti biasa ini, rakyat Mexico ramai yang berpendapat bahawa wabak influenza ini sudah berjaya ditangani. Berkait dengan pandangan tersebut, Prof. Malaquias Lopez Cervantes berkata:

"Pada pendapat kami, penyebaran wabak influenza A H1N1 sudah reda, tetapi masih belum dapat dipastikan. 10 hari yang akan datang merupakan tempoh genting untuk melihat sama ada penyebaran wabak ini berhenti atau tidak."

Menurut beliau, dengan tibanya musim panas di Mexico, virus ini kehilangan daya untuk hidup dan menyebar kerana ia perlu kepada keadaan yang sejuk dan lembab. Suhu yang tinggi mungkin dapat mengurangkan ancaman virus A H1N1.

"Cahaya matahari yang banyak dan suhu udara yang tinggi sekarang merupakan unsur negatif bagi penyebaran virus. Jika virus terdedah di persekitaran begini, ia akan mati."

Walau bagaimanapun, Profesor Malaquias Lopez menegaskan bahawa rakyat masih perlu berjaga-jaga terhadap wabak ini, dan mengambil langkah melindungi diri sendiri. Menurut beliau, penutup mulut habis dijual di kebanyakan kedai ubat di Mexico. Tindakan melindungi diri yang paling berkesan adalah dengan mencuci tangan selalu.

"Kita patut selalu mencuci tangan dan membersihkan barang-barang yang kita gunakan. Inilah jalan yang paling berkesan."

Sambil mengambil sapu tangannya Profesor Malaquias Lopez berkata bahawa ketika ingin batuk atau bersin, kita patut menggunakan sapu tangan untuk menutup mulut dan hidung, supaya mengurangkan risiko penyebaran virus.

Tentang persoalan sama ada wabak influenza A H1N1 akan berlaku lagi pada musim gugur nanti atau tidak, Profesor Malaquias Lopez menyatakan:

"Saya pasti wabak influenza A H1N1 akan tersebar lagi. Yang kami tidak pasti ialah sama ada wabak ini akan menjadi semakin buruk atau tidak. Hal ini bergantung pada keupayaan virus A H1N1 ini untuk berubah. Pada pendapat saya, hemisfera selatan yang akan memasuki musim flu akan menjadi tempat yang paling awal menerima kesannya. Jika virus ini tersebar di negara-negara di hemisfera selatan pada beberapa minggu atau beberapa bulan yang akan datang ini, dan berupaya mengubah sifatnya dan bervariasi, virus ini akan susah ditangani kalau ia dtersebar lagi di hemisfera utara."

Profesor Malaquias Lopez mengatakan bahawa pakar-pakar sedang membuat penyelidikan terhadap virus tersebut. Vaksin virus itu mungkin dapat dikeluarkan selepas 6 bulan. Beliau juga menegaskan bahawa masalah penyebaran wabak perlu ditangani dengan meningkatkan kerjasama antarabangsa. Tiada pihak boleh menangani wabak ini sendirian.

Pelancongan Negara Turut Terjejas Akibat H1N1

KOTA BAHARU, 29 Mei (Bernama) -- Seperti negara-negara lain di dunia, industri pelancongan Malaysia turut mengalami penurunan berikutan penularan wabak influenza A (H1N1), kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata kesan wabak itu dirasai di seluruh dunia.

"Persatuan Penerbangan Antarabangsa melaporkan jumlah penggunaan kapal terbang di seluruh dunia menurun sebanyak 10 peratus.

"Di Malaysia, kita ada nampak sedikit sebanyak kesannya namun pelancongan juga berkurangan di seluruh dunia, tapi angkanya masih belum keluar lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini.

Wabak influenza A (H1N1) atau turut dikenali sebagai selesema babi mula merebak sejak bulan lepas. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga Rabu lepas 48 negara secara rasmi melaporkan 13,398 kes jangkitan H1N1 termasuk 95 kematian.

Dalam perkembangan lain, Ng berkata industri pelancongan di Kelantan boleh ditingkatkan lagi kerana negeri itu mempunyai banyak produk pelancongan menarik untuk dibangunkan.

Katanya pelancong asing gemarkan produk tulin, dan bukan dibuat-buat untuk menarik mereka.

"Pasar Siti Khadijah satu contoh daripadanya. Ia menepati apa yang pelancong nak lihat, peniaga di pasar itu pun tidak sombong, pelancong suka datang ke negara kita kerana mereka suka rakyat kita tak sombong," katanya.

Ng berkata pemerhatian kementerian mendapati ramai pelancong yang berkunjung ke Kelantan datang dari negara 'tidak disangka' seperti Croatia, Greek, Estonia, Belanda dan Perancis.

"Hari ini kita akan bincang bagaimana mahu menarik minat mereka terutama untuk tinggal di rumah inap desa yang akan memberi tambahan pendapatan kepada penduduk," katanya.

-- BERNAMA

H1N1 risiko kepada wanita hamil

PEGAWAI kesihatan menyah kuman di sebuah sekolah menengah di Hong Kong semalam berikutan seorang pelajar di situ dijangkiti selesema babi.

Sistem imun berkurangan ketika mengandung berikutan kehadiran janin

LONDON: Kes kematian pertama berpunca daripada wabak selesema babi di Britain membabitkan seorang wanita yang baru melahirkan bayinya mendedahkan risiko ancaman virus H1N1 itu di kalangan wanita hamil, kata doktor.

Wanita yang dikenali sebagai Jacqui Fleming dari Glasgow meninggal dunia di Hospital Diraja Alexandar Ahad lalu. Bayinya, yang diberi nama Jack, meninggal dunia di hospital sama malam semalam.

Bagaimanapun jurucakap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Greater Glasgow (NHS Greater Glasgow) berkata bayi itu tidak meninggal dunia akibat selesema babi.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan dalam kenyataannya menegaskan wanita hamil yang menghidap virus H1N1 berdepan risiko komplikasi dan apa yang menimpa Fleming perlu diberi perhatian serius.

"Sistem imun di kalangan wanita biasanya berkurangan ketika tempoh kehamilan berikutan kehadiran janin di dalam rahim. Keadaan ini menyebabkan wanita hamil lebih terdedah kepada semua bentuk jangkitan, termasuk selesema bermusim dan selesema babi.

Joh McCauley, pakar virus dari Institut Penyelidikan Perubatan Kebangsaan di Mill Hill Utara London, berkata serangan selesema babi kebanyakannya menyasarkan golongan muda, termasuk wanita hamil,

"Di Amerika suntikan vaksin untuk selesema biasa dicadangkan untuk wanita hamil tetapi tidak di Britain. Keadaan ini menyebabkan wanita yang menghadapi masalah penyakit pernafasan seperti selesema berdepan risiko penyakit lain lebih buruk.

Pakar perbidanan di Universiti College London, Patrick O'Brien berkata jika wanita menunjukkan tanda menghidap penyakit berjangkit ketika hamil, ada bukti kemungkinan mereka turut mengalami penyakit lain yang lebih serius.

"Penyakit seperti campak yang menyebabkan masalah kurang darah, dalam kebanyakan kes bukanlah isu besar, tetapi jika ia menimpa wanita hamil, kesannya amat serius.

"Wanita hamil biasanya tidak dapat bernafas dengan selesa berikutan paru-paru tidak mengembang sempurna kerana tekanan bayi yang dikandungnya dan itu menyebabkan mereka terdedah kepada penyakit lebih buruk," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah wanita hamil yang dijangkiti selesema bermusim terlalu kecil. � Agens

Tiada ulasan:

Catat Ulasan