Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 3 Februari 2003

Ibu tunggal tagih cinta kekasih lama (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA wanita berusia 30 tahun dan pernah berkahwin. Sebelum berkahwin, saya pernah menjalin hubungan dengan A yang ada pertalian saudara jauh dengan keluarga saya. Selama lima tahun hubungan cinta kami terjalin, namun kami merahsiakannya daripada keluarga.

Demi menyembunyikan hubungan kami, saya selalu buat perangai tidak elok, baik di depan A mahupun keluarga saya. Saya selalu pulang lewat dan sering menghabiskan masa di luar rumah.

A akhirnya putus asa dan kecewa dengan sikap saya lantas meninggalkan saya. Selepas dua tahun hidup tanpa ikatan cinta, pintu hati saya akhirnya terbuka untuk insan yang saya gelar B dan diringkaskan cerita, kami berkahwin selepas setahun bercinta.

Selepas empat tahun hidup bersama, kami dikurniakan seorang cahaya mata yang comel. Namun bayang-bayang A terlalu kuat menghantui saya, apatah lagi batin saya sebenarnya menderita kerana B seorang yang ringan tangan.

Dia mula memukul saya ketika saya hamil sembilan bulan dan ia berlarutan. Tanpa pengetahuan keluarga, saya memohon pekerjaan di luar negeri yang jauh dari tempat tinggal kami dan tanpa diduga, saya diterima. B dengan berat hati merelakan saya kerana keluarga saya memberi sokongan.

Selama bekerja di sana, sikap saya benar-benar berubah, tidak ubah seperti ‘kuda yang terlepas kandang’. Akibatnya, hubungan saya dan B semakin dingin dan kami akhirnya bercerai.

Kini selepas setahun berlalu, saya masih bekerja di syarikat sama dan B meminta untuk rujuk kembali sambil berjanji tidak akan mengulangi sikap buruknya.

Namun, saya serba salah kerana pada masa ini perasaan cinta saya terhadap A semakin mendalam. Keluarga saya dan A mengetahuinya, namun A belum memberi jawapan kepada saya, menjadikan saya dalam keadaan tidak menentu.

SERBA SALAH
Pulau Pinang

JAWAPAN

Seharusnya tidak perlu wujud perasaan serba salah dalam hati puan kerana jelas satu-satunya lelaki yang saudari cintai sejak dulu sehingga kini ialah A dan bukan B.

Sehubungan itu, Dang Setia berpendapat masalah sebenar puan ialah tidak berani berkata tidak kepada permintaan B dan mungkin juga memikirkan hubungan antara anak puan dengan ayahnya.

Dalam mencorakkan masa depan, puan seharusnya kini cukup matang dan segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada saudari supaya ia tidak diulang lagi.

Jika yakin A pilihan hati, berterus terang dengannya dan luahkan segala isi hati.

Jangan lupa memohon kemaafan daripadanya atas kesilapan puan sebelum ini dan yakinkan dia bahawa puan tidak akan mengulanginya.

Kepada B pula, beranikan diri puan untuk menolak permintaannya, bukan kerana untuk menyakiti hatinya, tetapi kepentingan masa depan puan, lantaran tidak yakin dia akan berubah sikap.

Katakan juga kepada B, memang satu masa dulu dia suami puan, tetapi kini tidak lagi.

Oleh itu, sebagai wanita yang hidup sendiri, puan berhak membuat keputusan.

Jika puan dan B dapat bersikap rasional dan menerima ketetapan takdir dengan hati terbuka, soal anak seharusnya tidak menjadi masalah kerana ada jalan penyelesaian boleh dicapai untuk memastikan anak anda berdua tidak terputus hubungan dengan ayah atau ibunya.

DangSetia

Ahad, 2 Februari 2003

Gelora bekas mak nyah (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA sudah berkahwin dan ada tiga anak. Saya menyayangi isteri dan anak saya. Kami berkahwin dulu atas pilihan keluarga.

Saya sebenarnya bekas mak nyah. Dulu saya hampir hanyut dengan dunia mak nyah yang hina sehingga saya sudah menelan pil hormon.

Bila saya kembali menjadi lelaki, saya tidak sangka ada lelaki lain mahu menerima saya sebagai bekas mak nyah untuk terus berhubung dengan saya. Teman lelaki saya sudah berkahwin dan ada empat anak.

Kini kami seperti kawan. Masalahnya, dia tetap inginkan hubungan seks dengan saya, terutama bila isterinya datang bulan atau dalam pantang selepas melahirkan anak. Alasannya dia tidak mahu ada hubungan dengan wanita lain.

Pada mulanya saya tidak dapat menolak sebab terlalu sayangkan hubungan yang sudah berpuluh tahun kami bina. Namun jiwa saya kembali memberontak dan ingin belaian lelaki seperti dulu.

Kadangkala bila ada salah faham dengan isteri, saya seakan-akan terlalu mudah untuk melakukan dosa. Saya sudah banyak berdoa, malah di depan Kaabah pun saya berdoa semoga jiwa saya hanya menyukai perempuan, dan perempuan itu hanya isteri saya.

Kadangkala saya menangis memikirkan gelora jiwa saya. Saya tidak boleh memandang lelaki lain, nafsu saya terus membuak. Saya ingin menyayangi isteri dan anak saya dengan lebih mendalam dan melupakan gelora nafsu saya, tapi saya selalu tewas.

Saya pinta Dang Setia berikan saya nasihat, tunjuk-ajar, amaran dan sebagainya untuk saya takut kepada Allah.

INSAN KERDIL
Bangi, Selangor

JAWAPAN

Mungkin Dang Setia mampu memberi sedikit nasihat atas dasar tanggungjawab membantu sesama Islam untuk membawa saudara kembali ke landasan kehidupan yang disyariatkan Islam.

Bagaimanapun, saudara tidak perlu menyuruh orang lain, termasuk Dang Setia, untuk memberi amaran supaya saudara takut kepada Allah.

Ini kerana segala-galanya dinyatakan oleh Allah melalui al-Quran untuk panduan kita.

Di dalam kitab suci itu, ada pelbagai ajaran, peringatan dan juga amaran kepada kita umat akhir zaman.

Jadi, jika saudara ingin mencari amaran daripada Allah supaya wujud perasaan takut dan gerun kepada-Nya atau lebih tepat lagi azab-Nya yang menanti kita di akhirat, usah berlengah lagi untuk membuka dan membaca al-Quran serta tafsirannya.

Jika saudara gagal menemui apa yang saudara cari daripada usaha itu, carilah guru atau ustaz untuk memberi bimbingan serta tunjuk ajar yang lebih berkesan untuk manfaat saudara.

Sukar? Ya, memang sukar jika kita tidak ikhlas dan tidak menyedari betapa pentingnya kita untuk berdamping dengan al-Quran, namun keadaan akan menjadi sebaliknya jika kita menginsafi sebenarnya di dalam al-Quran terkandung jawapan kepada segala permasalahan, terutama keruntuhan moral serta kemunduran umat Islam pada masa kini.

Saudara, sebenarnya mesej yang ingin Dang Setia sampaikan ialah saudara perlu gandakan usaha atau lebih khusus lagi amal ibadat, baik yang fardu atau yang sunat dalam usaha menewaskan gejolak nafsu songsang yang kini menguasai diri.

Hal mengenai melawan atau berperang dengan nafsu sudah kerap Dang Setia nyatakan di ruangan ini. Jadi, rasanya tak perlu Dang Setia mengulas panjang mengenainya. Namun, penting untuk Dang Setia tetap memberi penekanan betapa perlunya kita menambah ilmu dan amal untuk melawan nafsu serta godaan syaitan supaya lebih mudah untuk kita mendekatkan diri dengan Allah.

Secara ringkas, Islam sudah mengajar kita bahawa cara melawan godaan syaitan perlu dilakukan dengan betul.

Kalau nak berperang dengan musuh, pasti sukar jika kita sendirian tapi lebih mudah jika kita berpasukan.

Sebab itulah dalam bab solat, contohnya, lebih baik berjemaah dan bukan sembahyang sendirian.

Jadi saudara perlu mencarinya sendiri. Caranya, pergi ke surau atau masjid. Ini perkara asas yang penting. Nak ilmu agama, perlu ke masjid, bukan ke disko. Nak diri kita berilmu, kita perlu berkawan dengan orang alim, bukan orang jahil. Nak diri kita jadi baik, kena berkawan dengan orang baik bukan orang jahat.

Dalam kes saudara, sebenarnya sayang seribu kali sayang apabila saudara yang pernah menerima hidayah dan petunjuk Allah untuk kembali ke jalan yang benar, sekali lagi kecundang dan terpesong ke jalan yang mungkar.

Persoalannya, kenapa itu terjadi, sedangkan saudara sering berdoa kepada Allah, malah sudah ke Makkah untuk menyucikan diri dan memohon bimbingan-Nya? Bagi Dang Setia, ia berlaku kerana kelemahan saudara sendiri.

Memang saudara sudah berusaha, tapi Dang Setia berpendapat kelemahan Dang Setia ialah usaha saudara itu tidak konsisten, sedangkan godaan syaitan terhadap kita tidak pernah berhenti. Apabila kita lalai, mudah saja kelalaian kita dimanfaatkan untuk kita ditewaskan.

Satu kesilapan besar saudara yang Dang Setia kesan ialah apabila saudara menjalin hubungan intim dengan lelaki, sedangkan saudara sudah berkahwin dan mempunyai anak. Sebenarnya, tindakan itu ibarat saudara membuka pintu ke neraka.

Dang Setia sengaja menggunakan istilah yang agak kasar ini supaya wujud kegerunan di dalam diri saudara terhadap azab Allah terhadap manusia yang mengamalkan seks sesama jenis.

Sepatutnya, selepas saudara bertaubat, ia ibarat saudara menutup kemas segala pintu ke kehidupan saudara yang penuh dosa itu dan seterusnya membuang anak kuncinya jauh-jauh supaya saudara tidak dapat membukanya kembali.

Namun, saudara melakukan sebaliknya. Anak kunci pintu itu masih saudara pegang dan saudara sengaja menempah bala dengan membuka pintu untuk kembali ke dunia gelap saudara dulu.

Justeru, apa yang wajib saudara lakukan kini ialah menutup semula pintu itu serapat mungkin.

Maksudnya, saudara wajib memutuskan hubungan intim dengan teman lelaki saudara. Selagi tidak berbuat demikian, selagi itulah saudara tidak dapat dapat melepaskan diri daripada gejolak nafsu songsang yang membelenggu diri saudara.

Pada masa sama, tingkatkan semula amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana amal ibadat itulah yang mampu berperanan sebagai perisai menangkis godaan nafsu dan syaitan.

Akhir sekali, amal ibadat saudara perlu konsisten kerana iman kita ini bukan statik, sebaliknya ia ada pasang dan surut. Apabila kita beramal, iman kita kukuh dan jitu tetapi jika kita tidak beramal, iman kita lemah dan mudah ditewaskan.

DangSetia

Sabtu, 1 Februari 2003

Mencuri maklumat melalui Internet


Oleh: RABIAH AHMAD

Kejuruteraan sosial atau social engineering adalah satu bidang di mana maklumat diperoleh oleh pencuri maklumat tanpa disedari oleh penyimpan maklumat. Melalui perbualan di telefon misalnya, penjenayah memperkenalkan diri sebagai pekerja bank dan meminta mangsa menyerahkan nombor kad pengenalan atau kad kredit. Ini adalah contoh paling mudah.

Selain itu kita sering berhadapan dengan kaedah jurujual yang datang ke rumah dengan helah ingin membuat kaji selidik terhadap sesuatu perkara dan bertanyakan bermacam-macam maklumat peribadi.

Mangsa selalunya terpesona dengan pujukan janji dan pujukan penjenayah lantas menyerahkan maklumat dengan rela hati. Menerusi Internet jurutera sosial ini juga dapat mencari mangsa.

Contoh yang paling mudah adalah menerusi laman laman web yang kononnya menawarkan skim cepat kaya melalui pelaburan Internet.

Halaman web palsu direka dan pelbagai tawaran skim cepat kaya dipaparkan untuk menarik pelanggan. Bagi yang mudah terpedaya dengan senang membuat bayaran pendahuluan dan memberikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank.

Bayangkan hanya dengan tawaran AS$380 pada bulan pertama mangsa memberikan nombor akaun bank kepada orang yang tidak dikenali.

Setelah mendapat maklumat penting ini langkah seterusnya iaitu mencuri wang secara atas talian dapat dijalankan tanpa disedari oleh mangsa.

Jurutera sosial juga akan menggunakan sistem mel elektronik untuk mendapatkan maklumat mangsa. Penghantar mel ini menyatakan penerimanya telah memenangi sesuatu pertandingan dan hadiah yang amat lumayan. Jika terperdaya mangsa akan membalas mel ini dan menyerahkan segala maklumat rahsia kepada penjenayah.

Kaedah ini dinamakan social phising yang merupakan salah satu cabang dalam social engineering. Pelbagai contoh cerita benar yang berkaitan dengan jenayah komputer berasaskan kepada social engineering.

Mempercayai kenalan siber tanpa sebarang pengenalan diri menyebabkan mangsa dengan rela hati membuka saluran maklumat kepada penjenayah. Aplikasi chating kadangkala mendorong mangsa meyakini seseorang tanpa sedar.

Menurut kajian, jenayah komputer dan Internet bersandarkan kepada kaedah ini dapat dikawal dengan kesedaran yang mendalam terhadap keselamatan terutama bidang maklumat. Sistem keselamatan maklumat yang paling berkesan perlu bermula dengan kesedaran pengguna. Kurang kesedaran mengenai keselamatan komputer dan Internet punca utama maklumat disalurkan kepada orang yang tidak bertanggungjawab.

Polisi keselamatan maklumat yang terperinci dan tegas dikatakan mampu mengawal mangsa dari menyalurkan maklumat tanpa sedar.

Utusan Malaysia