Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 1 November 2000

Sajak...TRAUMA ( Delima Merkah )


TRAUMA ZAMAN KINI

Bila lagi kita hendak menganyam kasih
sedangkan percikan benci menjadikan
rasa geram mencekau hati
yang luka dicuka
pedih menyengat seluruh rasa
mencurah bara
senario sebuah kehidupan manusia.

Siapa wira siapa mangsa?
Siapa pengganas siapa yang ganas?
Siapa pengecut dan siapa yang mengugut?
Siapa yang membuat mereka hilang daulat
hilang kerabat?
Kerana tergugat hingga nekad memilih jadi mayat
daripada hidup dibelenggu cacat dan sentiasa tersengat.

Ada pihak
mencari sebab atau penjadi sebab
mencari salah sambil membuat salah
tiada pihak yang sanggup membantah
(kalau ada pun hanya secara lemah)
kerana masing-masing ada masalah
terikat dengan janji dan pakatan.

Terhutang dengan bermacam-macam bebanan
seolah-olah trauma ini tiada kesudahan
seolah-olah dunia ini tidak perlu aman
kerana ada pihak yang punya banyak kepentingan.

Pihak tertentu punya matlamat
tekad di hati mencapai hajat
tanpa kira apa yang dibuat
bertopeng sebagai penyelamat.

Kepentingan sendiri yang dicari
demo hendak kaya, hendak kuasa
hendak kekuatan globalisasi
untuk demokrasi?

Ya Allah
semoga kita terlepas daripada gejala-gejala ini!

TOK ABAH
Petaling Jaya

ADA KALANYA

Ada kalanya
seekor anjing
lebih baik, lebih bijak
lebih taat, lebih berjasa
daripada seorang manusia!

MOHSIN IBRAHIM
Universiti Malaysia Terengganu, Mei 07

BUMI MENANGIS

Bumi menangis
air mata pedih menitis
saat tangannya kasar dipulas
kulitnya ganas dikupas
keharmoniannya rakus dirampas
kesakitan dan kepedihan
selaut duka tak bertepian.

Air mata bumi tumpah
menatap khazanahnya punah
flora fauna terkapar
sungai dan laut menggelepar
bukit-bukau terguling
gunung-ganang tertonggeng
paya dan tasik sesak nafasnya.

Dalam diam
bumi mengasah geram
siap siapa melepaskan panah dendam
mengamuk segala
mengharubirukan khalifah Allah
yang mencantas tali amanah!

MOHD KASIM MAHMUD
PPJ Kota Tinggi.

PERJALANAN JENAZAH

Gelojohnya kenderaan
merangkak di lebuh raya
segalanya ingin segera.

Setiap kejadian berlaku
dalam sekelip mata
kemalangan hinggalah ke hospital.

Namun mengurus jenazah
memakan masa
menunggu yang betul tiba
sampai ke liang rupa
talkin dibaca
petanda alam barzah tempatnya.

A HAMID JEMAIN
84000 Muar, Johor Darul Takzim.

KEINSAFAN

Ketika hujan
seorang muazin
memuji kebesaan-Mu.

Masjid yang indah
berdiri megah
tapi tiada yang sujud
kecuali imam dan bilal
dan sebaris saf pendek.

Sedang hujan masih membasah
rahmat masih terus mengalir juga
apakah yang kurang dalam seruan?

PRIKASTI
Saujana Utama, Sg Buluh

TERLUPA UNTUK LEKA

Langit yang menangis
membawa lembaran rindu
tangisan syahdu
melebur hati yang beku.

Lama dia menangis
lalu tersedar dalam insaf
tiada ingin lagi bercucuran.

Ada tanaman yang mekar
di sebalik kemarau dugaan
sehingga dia terlupa untuk leka.

INSAN YALIN
MTI, Changkat Jering.

HARI GURU INI

Hari guru ini
di antara hadiah yang kuterima
seketul sabun wangi
dibaluti kain renda
diikat reben, dihiasi bunga.

Harumnya sabun itu
semerbak bunga-bungaan
diiringi nota kasih sayang
daripada anak-anak didik
“Cukuplah jika sesekali
anakmu mendoakan
agar kau sejahtera
setiap kali kau masuk mengajar.”

Hatiku terharu
dengan keikhlasan
sebuah kasih sayang
yang mekar daripada hati yang ikhlas
yang tak mengenal ras ataupun agama.

ENG MOOI HOON
Taman Penaga Indah, Kulim

SUCINYA KASIH IBU

Seawal kandungan
beban digalas dengan reda
ke sana ke mari tanpa rungutan
senyuman masih terukir di bibir ibu.

Saat kelahiran
kesakitan yang menjalar ke seluruh urat nadi
bagaikan nyawa yang ingin disentak dari badan
namun, pabila mata kuyu ibu
terpandang comelnya benih cinta yang lahir
senyuman terus terukir di bibir ibu.

Rentetan pertumbuhan si buah hati
detik rehat yang tiada menentu
makan sekadar mengalas perut
kerana keperluan permata hati yang dipertamakan
melihat keletah si kecil
senyuman berterusan terukir di bibir ibu.

Dewasa si anak
mengorak langkah pantas ke hadapan
memandu haluan sendiri
mengumpul segunung emas
menduduki takhta tertinggi
wajah tua ibu sudah tenggelam
jerih ibu tidak dihiraukan
malahan, ibu sendiri diabdikan

Namun
andai kembalinya si derhaka itu
sujud sembah di kaki ibu
penuh sesal atas musibah
senyuman tetap terukir di bibir ibu
walaupun dalam tangisan.

UFUKTIMUR
Kg Gong Limau, kemaman

UNTUK BANGSA MERDEKA

Untuk sebuah bangsa merdeka
jauhlah daripada rendah diri dan hipokrasi
mimpi malam kolonialisme yang ngeri
keluh-kesah hak asasi
menghilang identiti diri.

Untuk sebuah bangsa merdeka
luas dalam horizon perjuangan
tiada lupa akar bangsa
serta sejarah yang mengalurkan nama megahnya
tiada lupa tentang jerit bahasa.

Untuk sebuah bangsa merdeka
teruslah bergelut dengan dilema yang mengganggu citra unggul
semakin kuat ditekan makin kemas berpegang kepada ikatan
bukan nama simbol keris merdeka
tapi semangatnya menjadi tajam hingga akhirnya.

Seperti sebuah jarak padang terbuka
tetap berani dengan kewujudan dirinya
seorang yang memahami tangis bangsa
monolog pada dirinya sendiri
bersyukur kepada hari-hari lalunya.

MOHD FADZIL YUSOF
8101815-08-6867

BICARA TOK KETUA

Katanya
kita mesti betulkan yang biasa
dan biasakan yang betul
kualiti kerja perlu perancangan
gagal merancang bermakna
merancang untuk gagal.

Katanya lagi
bukit di sana tidak pernah peduli
kecuali kecil batu-batu berbahaya
laluan halang
anak-anak melekatkan parut
mengacah cedera
tatkala terjatuh.

Kita harus berani
menoleh ke dalam
agar mengenal wajah
diri sendiri.

ASMUI MUSTAPA
SBP Intergrasi Kuantan.

RETAK

Jiwa yang kering
menjadi retak
ada berpetak-petak.

Maruah yang teguh
menjadi tertangguh
poket telah berisi penuh.

Ada debu menyisip
kalbu kemanusiaan
telah bertukar menjadi kelabu.

ISMAIL HASHIM
Seremban. 28.4.2007

Berita Minggu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan