ASSALAMUALAIKUM. Dalam ruangan minggu ini saya
ingin menceritakan keajaiban mukjizat al-Quran dan manfaat ini berlaku
kepada arwah ibu saya.
Semasa hidupnya dia rajin membaca al-Quran dan pada usia mencecah 100
tahun semasa meninggal minggu lalu, ingatannya masih kuat. Memorinya
menakjubkan kerana boleh bertutur dengan baik, tidak nyanyuk dan kenal
dengan siapa dia bercakap.
Walaupun fizikalnya lemah kerana usia lanjut namun pemikirannya tajam dan menjadi tempat rujukan bila ditimpa masalah.
Perubahan tidak dapat dielakkan akibat proses penuaan yang boleh
dilihat pada kedutan kulit, rambut beruban, sejuk badan dan sakit otot.
Ramai beransur hilang ingatan selepas umur 40 tahun, kehilangan ingatan
teruk dan drastik pasti bukan sebahagian penuaan normal.
Demensia bukan penyakit. Sebaliknya, menggambarkan gejala yang
mempengaruhi kebolehan pemikiran dan sosial yang cukup teruk sehingga
mengganggu kerja harian. Gejala ini boleh menyebabkan perubahan
personaliti, mood dan tingkah laku.
Dalam beberapa kes, demensia boleh dirawat dan diubati. Contohnya
demensia yang disebabkan oleh penyalahgunaan bahan (dadah dan alkohol),
gabungan ubatan, hormon atau ketidakseimbangan vitamin.
Banyak sebab gejala demensia wujud. Alzheimer adalah punca paling biasa bagi demensia yang progresif.
Demensia menunjukkan terdapatnya masalah dengan sekurang-kurangnya
dua fungsi otak seperti kehilangan ingatan dan proses logik fikiran
terjejas atau bahasa dan tidak upaya melaksanakan beberapa aktiviti
harian.
Demensia membuat anda keliru dan tidak dapat mengingat orang dan
nama. Anda mungkin mengalami perubahan personaliti dan tingkah laku.
Bagaimanapun, beberapa punca demensia boleh dirawat malah boleh pulih
sepenuhnya.
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah ramai pesakit demensia berjaya
dipulihkan ingatan dan kembali normal kerana kesan membaca al-Quran. Ini
kerana orang yang membaca al-Quran akan dijaga Allah daripada penyakit
yang hina apabila tua.
Dalam satu riwayat, Saidina Ali r.a. pernah berkata bahawa orang yang
sentiasa membaca al-Quran tidak akan ditimpa penyakit nyanyuk.
Tanda nyanyukDemensia adalah progresif. Ini bermakna
otak seseorang itu menjadi lebih rosak dan kurang bekerja dari semasa
ke semasa dan tanda itu cenderung berubah dan menjadi lebih teruk.
Atas sebab ini, adalah penting berbincang dengan doktor secepat mungkin jika anda mempunyai masalah dengan ingatan anda.
Gejala dan pengalaman demensia boleh berbeza daripada seorang ke
seorang. Antara gejala biasa, hilang ingatan, sukar berkomunikasi, sukar
melakukan tugas kompleks, masalah merancang dan mengatur, sukar
berkoordinasi dan fungsi motor, keliru seperti sesat, perubahan
personaliti, ketidakupayaan dan tingkah laku tidak sesuai, paranoia,
pergolakan dalaman dan halusinasi.
Rawatan modenKebanyakan demensia tidak boleh
diubati. Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian termasuk demensia
disebabkan vitamin dan hormon tiroid, yang boleh dirawat dengan makanan
tambahan.
Beberapa sebab yang boleh dirawat melalui pembedahan sebagai contoh,
ketumbuhan otak, cecair berlebihan pada otak (hydrocephalus) atau
kecederaan kepala.
Bagi jenis neurodegeneratif demensia, penting mengelakkan kerosakan
tambahan dengan mengubah suai faktor risiko seperti merawat darah
tinggi, kolesterol, diabetes dan berhenti merokok.
Demensia yang tidak dapat diubat seperti Alzheimer, ubatan boleh
ditetapkan bagi menghalang gejala semakin teruk untuk tempoh lama. Ini
biasanya ditetapkan untuk pesakit di peringkat awal dan pertengahan
penyakit. Ia adalah perkara biasa bagi orang yang mempunyai kemurungan.
Mereka boleh berunding dengan pakar psikiatri dan terapi boleh
mengurangkan gejala demensia. Yang paling penting dalam rawatan adalah
sokongan dan penjagaan. Jika anda atau orang tersayang disahkan
menghidap demensia, anda perlu merancang penjagaan pada masa depan.
Rawatan nyanyuk guna al-QuranDaripada penerangan di
atas, dapatlah kita fahami serba sedikit tentang penyakit nyanyuk yang
banyak bersangkutan dengan pelbagai penyakit lain selain faktor usia.
Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan adalah normal dan merupakan kitaran hidup manusia.
Di dalam Islam banyak diterangkan tentang proses penuaan seperti ayat di bawah:
"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis mani,
sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai
seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada
masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di
antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian)
supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu
memahami(nya). [Ghafir 40: 67]
Masalah umum bagi usia lanjut adalah keadaan fizikal lemah dan tidak berdaya sebagaimana firman Allah dalam ayat di bawah:
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia
menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia
menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia
menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha mengetahui
lagi Maha Kuasa." (Ar-Rum 30:54):
Sains menunjukkan proses penuaan dipengaruhi enzim di dalam sel badan yang setiap kali membahagi, semakin memendek.
Setiap sel di dalam tubuh kita bergetar di dalam sebuah sistem yang
saksama dan perubahan sekecil apa pun dalam getaran boleh menimbulkan
penyakit pada beberapa bahagian tubuh.
Dengan membaca ayat suci al-Quran akan menghasilkan frekuensi yang
menggetarkan sel rosak untuk mengembalikan keseimbangan. Perubahan pada
getaran ini dapat menghalang atau melambatkan proses penuaan ke atas
hormon sel badan. Ini akan dapat mengurangkan bahaya radangan dalam
badan, menseimbangkan hormon dalam badan dan meningkatkan proses
metabolisme badan secara keseluruhan.
Hasilnya, pengamal al-Quran kelihatan lebih muda dan bertenaga, lebih
baik tahap kesihatan, kulit tidak cepat berkedut, kurang risiko kanser
dan penyakit lain berkaitan penuaan.
"Dan sesungguhnya kami telah mudahkan Al-Quran untuk diingati, maka tidakkah ada orang yang ingin mengingatinya?" (Al-Qamar:17)
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit demensia akan diberi ayat
berikut untuk diamal disertai doa kepada Allah untuk memohon
penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah Az Zumar ayat 24 hingga 37.
Surah Al-A'raaf ayat 43 hingga 56.
Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78.
Surah An-Naml ayat 71 hingga 93.
Surah As-Soffat ayat 22 hingga 47.
Surah Yassin ayat 72 hingga 83.
Cara amalan pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali malam
dan surah kedua tiga kali siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama
tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu
memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah seterusnya.
PenutupPepatah Arab menegaskan "Tiada sesuatu yang
lebih menguatkan ingatan seseorang selain daripada membaca al-Quran
dengan melihat (mashaf Al-Quran)."
Kepada pesakit demensia, jangan berputus asa dalam berikhtiar untuk merawat penyakit demensia.
© Utusan Melayu (M) Bhd