Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 17 April 2011

Hikayat Merong Mahawangsa Penuhi Elemen Internasional?

Teks Oleh: Syafiqah Jalal

Foto oleh Mazlan Yunos Photography

JUDUL: Hikayat Merong Mahawangsa
PENGARAH: Yusry Abdul Halim
PELAKON:
Stephen Rahman Hughes, Jing Lusi, Gavin Stenhouse, Craig Robert Fong, Ummi Nazeera, Henrik Norman, Nell Ng, Keith Chong, Khir Rahman, Jehan Miskin, Kuwasdinata, Umie Aida dan Dato' Haji Rahim Razali
PENERBIT: KRU Studios
GENRE: Epik & Aksi
Klasifikasi: U
Mula Tayangan: 10 Mac 2011

Sekali Imbas

Filem yang penuh aksi ini nampak seperti setaraf dengan filem epik antarabangsa menerusi teknik gambar sephia dan teknik CGI(computer-generated imagery) yang digunakan. Selain itu, ia juga memaparkan kisah epik serta mitos tentang tokoh Merong Mahawangsa yang tidak pernah disentuh sebelum ini.

Ulasan Penuh

Filem ketiga arahan Yusry Abdul Halim ini boleh disifatkan sebagai filem paling berjaya yang pernah diarahkan olehnya. Malah, tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa Merong Mahawangsa ini adalah filem terbaik yang pernah dihasilkan serta diterbitkan oleh KRU Studios setakat ini.

Menyaksikan trailer filem ini saja sudah mula membuatkan penulis berasa teruja untuk menonton filem ini. Semuanya gara-gara kerana penggunaan teknik CGI yang cukup berkesan yang digunakan di dalam filem.

KRU Studios memang terkenal dengan teknik CGInya malah boleh dikatakan merekalah antara pengasas pertama yang memperkenalkan serta menggunakan teknik CGI dalam perfileman tempatan.

Jadi tidak hairanlah, kalau teknik CGI yang digunakan dalam filem ini mampu menghidupkan penceritaan, latar belakang serta watak-watak yang diketengahkan dalam filem ini. Biarpun ada beberapa babak yang dihasilkan nampak seakan-akan seperti kartun, namun semua itu hanya kesilapan kecil dan masih boleh dimaafkan.

Selain CGI, teknik gambar yang kadang-kadang berwarna sephia secara tidak langsung dapat membantu pengarah untuk membawa penonton kembali pada kurun ke-2 sewaktu Merong Mahawangsa mengukuhkan kuasa serta empayar di Kedah.

Namun teknik gambar spehia yang digunakan nampak sedikit cacatnya apabila gambar yang tertera di layar kadangkala nampak kabur serta kurang kejelasannya. Malah teknik yang digunakan membuatkan suasana dari mula hingga akhir cerita itu nampak lebih suram dan malap.

Begitupun, pendekatan yang digunakan oleh Yusry untuk memaparkan kisah Hikayat Merong Mahawangsa dalam perspektifnya sendiri menggunakan bahasa visualnya dapat disempurnakan dengan baik.

Seperti yang diketahui umum, tidak mudah untuk menghasilkan cerita yang berkonsepkan epik dan mitos. Lebih-lebih lagi bila ianya melibatkan sejarah negara. Namun tahniah buat Yusry dan penulis skripnya Amir Hafizi kerana berjaya menghasilkan satu karya terulung negara dengan begitu hebat sekali. Dalam waktu yang sama, berjaya mempersembahkan suatu pemahaman sejarah negeri Kedah dalam bentuk yang segar serta mudah untuk difahami.

Sebagai contoh, mereka berjaya menggambarkan serta mengadaptasikan karakter burung Garuda yang kejam dengan kumpulan lanun berkuasa sihir, manakala Jentayu pula dibayangkan sebagai sebuah kapal Merong Mahawangsa.

Selain itu, dialog yang dicetuskan oleh Amir Hafizi di dalam skripnya ini juga banyak mengetengahkan nilai kesusasteraan bahasa Melayu yang cukup sarat dan kaya niali estetikanya. Misalnya, dialognya banyak menyelitkan bahasa lama yang cukup puitis tetapi pada waktu yang sama penuh kiasan serta maksud yang tersirat.

Sebagai seorang yang dilahirkan dalam generasi baru, penulis terpaksa akui bahawa penggunaan bahasa sedemikian agak menyukarkan penulis untuk memahami maksud di sebalik bait-bait kata yang diucapkan oleh setiap pembawa watak. Malah, adakalanya penulis terpaksa memahaminya berkali-kali.

Namun, satu hal yang melegakan, kebanyakan pelakon cuba adaptasikan dialog yang mereka ucapkan itu dengan perlakuan, pergerakan, bahasa tubuh serta ekspresi wajah supaya ianya mudah untuk difahami.

Biarpun filem epik ini nampak serius dari mula hingga akhir tetapi bagi penulis ia sebenarya telah dihiburkan dengan unsur komedi. Unsur komedi banyak ditonjolkan oleh inang puteri Cina yang dilakonkan oleh Nell Ng yang mengusik puterinya. Gelagatnya tak kering gusi.

Namun ada juga unsur lawak yang diketengahkan berbaur lucah, sebagai contoh ketika babak Merong ditendang oleh pihak lawan ke bawah kaki Putera Rom yang memakai skirt dan menegurnya tetapi adengan itu telah membuatkan seluruh panggung tertawa.

Sementara itu, penulis kagum dengan lakonan dan pembawakan watak Merong Mahawangsa oleh Stephen. Dia memang layak memegang watak itu berikutan tubuh badannya yang sasa dan rupanya yang tampan. Dia bukan sahaja tangkas dalam mengatur langkah dalam setiap aksi lawannya malah mempunyai karektor sebagai seorang hero yang mana Malaysia ketandusan pelakon sepertinya. Dia seorang pelakon yang mempunyai karisma dan boleh berkelakuan 'cool'.

Dia juga sering mengungkapkan pantun yang sama yang diberikan oleh ibunya (lakonan Umie Aida) semasa kecil itu. Pantun itu menjadi mutiara kata kepada Merong sehingga dewasa. Akhirnya, pantun itu terjawab dan dapat diadaptasikan oleh Merong walaupun dia berada dalam keadaan yang sangat genting.

Penulis akui pengakhiran cerita ini sangat dramatik dan pilu apabila melihat keadaan Merong. Mungkin ada yang tidak setuju pada pengakhiran cerita ini tetapi bagi penulis, ianya jelas menunjukkan pengorbanan seorang tokoh yang berani berjuang demi kebahagian orang lain.

Manakala lakonan Ummi Nazeera juga tidak kurang hebatnya. Biarpun hanya diberi peluang melakonkan beberapa babak namun lakonannya mampu memberi impak kepada keseluruhan filem ini. Wajahnya yang begitu keMelayuan itu sangat sesuai dengan karektor yang dibawakan.

Selain itu kejahatan dan kezaliman jelas terpancar dari wajah Khir Rahman yang menggerunkan itu. Khir yang mememgang watak Kemawas iaitu ketua lanun Garuda berjaya membuatkan penulis rasa benci dengan wajahnya serta gerun dengan aksinya. Apa-apa pun tahniah buat Khir atas lakonan hebatnya.

Apa yang pasti, tak banyak yang boleh diperkatakan dengan lakonan Gavin yang menjadi putera Rom ini. Wataknya lebih pasif dan kurang menonjol serta kelihatan dia seperti seorang yang sangat lemah. Mungkin itu sahaja yang perlu dilakukan dalam filem ini. Namun dia mempunyai potensi yang cukup besar sebagai pelakon.

Bagi filem tempatan, kareografi untuk aksi berlawan yang ditonjolkan dalam filem ini bagi penulis memang cukup hebat. Biarpun ianya tidak sehebat filem antarabangsa, namun ianya masih tetap boleh dibanggakan lagi. Efek yang digunakan jelas memberi kesan kepada ketangkasan mereka dalam berlawan, cuma kadang-kadang nampak sedikit kecacatannya ketika babak lawan itu dipercepatkan kerana secara tak langsung ianya turut mengganggu keseluruhan objek dalam babak itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan