Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 1 Januari 2003

Jalan-jalan: Melbourne Sydney indah ( CitraAlam)


Oleh NAOMI LIM

JAUH perjalanan, luas pengalaman. Peribahasa itu sesuai menggambarkan ‘pengembaraan’ penulis ke Sydney dan Melbourne, Australia hampir seminggu bermula 7 hingga 12 Mei lalu.

Mungkin bagi sesetengah orang atau yang biasa ke tempat berkenaan, kunjungan ke dua kawasan terbesar di Australia itu tiada yang baru, namun bagi penulis, banyak boleh diterokai meskipun sudah menjejakkan kaki ke Sydney buat kali pertama pada 2002.

Dalam perjalanan penulis bersama rakan, kami mengembara ke pelbagai tempat menarik, terutama yang tidak pernah penulis berpeluang lawati ketika kunjungan pertama.

Antaranya Circular Quay yang terkenal sebagai terminal pengangkutan, termasuk bas dan kereta api, selain pelabuhan feri utama. Ia terletak di bahagian utara Sydney dan berdekatan Sydney Cove, Bennelong Point dan The Rocks.

Kawasan ini menjadi tumpuan, selain sebagai pusat pengangkutan ia dilengkapi restoran, taman untuk istirehat, laluan pejalan kaki dan pusat beli-belah.

The Cahill Expressway adalah stesen kereta api yang menjadi identiti utama Circular Quay. Ia menghubungkan bahagian timur dan barat Sydney dengan merentasi jambatan Sydney Harbour.

Landasan kereta api itu satu-satunya laluan yang terletak di atas permukaan daratan, sekali gus menawarkan pemandangan indah kepada pengguna untuk melihat sekitar bandar raya Sydney.

Selain menjadi tumpuan ramai, Circular Quay menjadi tempat sambutan sesuatu perayaan seperti sambutan tahun baru dan pertunjukan bunga api. Ia juga menempatkan Sydney Museum of Contemporary Art.

Stesen kereta api di Circular Quay dibuka pada 20 Januari 1956, manakala Cahill Expressway pula beroperasi pada 14 Mac 1958. Keadaan di sini yang sentiasa sibuk dengan orang ramai menghidup dan menceriakan suasana.

Selain Circular Quay, penulis mengunjungi jambatan Sydney Harbour dan jika ke Sydney, ia antara tempat yang seharusnya dikunjungi.

Seni binanya menarik kerana ia melengkung, malah turut direkodkan dalam Guinness World Records sebagai jambatan besi lengkung terpanjang dan tertinggi di dunia dengan ketinggian 429.6 kaki atau 134 meter.

Jambatan yang dibuka pada 19 Mac 1932 itu menghubungkan Dawes Point di Sydney Rocks dan Milsons Point, utara Sydney. Panjang keseluruhan ialah 3,770 kaki atau 1,149 meter dengan kelebaran 161 kaki atau 49 meter.

Penulis turut mengunjungi Sydney Opera House yang terkenal sebagai tempat kesenian dan kebudayaan. Ia antara tempat paling ramai dilawati pengunjung, terutama luar negara, sehingga ada papan tanda ditulis dalam tulisan Jepun dan China.

Dari Circular Quay dan Sydney Harbour yang terletak di selatan Sydney, penulis turut mengunjungi kawasan utara Sydney dikenali Cremorne Point yang menawarkan pemandangan indah dan eksklusif.

Penulis menaiki feri untuk ke sana yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan tambang AUS$2 atau RM5.60. Jika melalui jalan darat, ia mengambil masa atau tempoh panjang untuk sampai, malah penduduk di dua kawasan ini menjadikan feri sebagai pengangkutan utama.

Kawasan di Cremorne Point ini bernilai tinggi, sekali gus menjadikan ia tempat tumpuan golongan elit untuk membeli atau membina kediaman. Misalnya, di pantai Bondi atau Bondi Beach, perumahan dibina di tebing atau pesisir pantai yang turut dilengkapi pelabuhan kapal layar mewah.

Pantainya landai dan cantik dengan pasir putih bersih dan ia menjadi tumpuan pengunjung melakukan aktiviti menyelam atau snorkeling. Penulis sempat menyelam di pantai, meskipun air lautnya sejuk.

Namun sepanjang di sini, meskipun peralihan cuaca dari musim luruh ke dingin, namun ia tidak menghalang penulis melakukan pelbagai aktiviti, malah ada masanya cuaca seperti di Kuala Lumpur.

Penulis turut mengunjungi Botanical Garden iaitu taman mengandungi pelbagai pokok, termasuk buah-buahan. Kawasannya dijaga dengan baik, tersusun, sunyi malah mendamaikan.

Ketika di sini, penulis sempat bergambar di depan sebatang pokok berwarna kuning keemasan, satu-satunya pokok berbeza berbanding pokok lain yang mekar menghijau.

Beberapa hari di Sydney, penulis meneruskan perjalanan ke Melbourne menaiki pesawat yang mengambil masa satu jam 15 minit dan jika menggunakan bas, ia memerlukan lapan jam untuk sampai.

Di bandar raya metropolitan ini, penulis hanya bersiar-siar dan melepaskan kerinduan kerana di sinilah penulis menuntut ilmu beberapa tahun lalu di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) dalam jurusan Profesional Communications (PR).

Sama ada di Sydney atau Melbourne, tidak sukar mencari makanan kerana pelbagai restoran boleh didapati di mana-mana. Bukan saja restoran tempatan, ada juga restoran menjual makanan Asia seperti Korea, Vietnam, Jepun dan China.

Antara restoran yang penulis gemari ialah restoran Jerman, Lowenbrau Keller. Selain menunya lazat, pengunjung dihiburkan dengan tarian, permainan serta nyanyian kumpulan muzik.

Di samping itu, bukan mahu membanggakan negara lain, namun yang dapat diperhatikan, persekitaran kedua-dua bandar raya ini bersih, malah penulis berkaki ayam apabila berjalan di laluan pejalan kaki.

Pengangkutan awam di sini juga sistematik. Selain menepati masa, tidak sukar mencari papan tanda atau penunjuk arah, malah jika perlukan bantuan, masyarakat di sini tidak sukar membantu.

Pengalaman bercuti di Sydney dan Melbourne satu kenangan indah kepada penulis kerana ia bukan saja memberi peluang untuk mengenali negara luar, malah memberi ilmu yang sukar dicari di mana-mana.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan