Pemancing latah, sawan perlu jujur (Petua)
Oleh Nuri Angkasa
ADA beberapa perkara penting yang hendak dikongsi bersama dengan rakan pancing melalui Petua Pak Nuri kali ini iaitu mengenai keselamatan diri ketika ekspedisi memancing di laut ataupun di mana saja.
Rakan pancing dalam kumpulan besar atau kecil adalah saudara paling rapat antara satu sama lain walaupun itu mungkin kali pertama menyertai kumpulan berkenaan.
Ketika di laut, kita perlu bekerjasama (team work) dalam apa juga keadaan. Mengasingkan diri adalah satu sifat yang merugikan diri sendiri. Malah keadaan lebih merbahaya jika kita ditimpa kemalangan yang memerlukan bantuan kawan.
Dalam bot tidak ada ibu bapa, saudara mara, doktor atau pakar bedah untuk memberikan bantuan selain rakan pancing berada dalam kumpulan itu yang akhirnya akan memberi bantuan apabila diperlukan.
Bekerjasama dan sifat suka menolong adalah budaya kita orang Melayu. Dengan cara atau sikap ini juga kita dapat membantu atau membuat persediaan lebih awal jika pemancing perlu diberi pertolongan. Kepada ahli kumpulan yang ada penyakit latah yang tidak boleh tersentuh atau terperanjat atau ada yang mempunyai penyakit sawan; sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ketika berada di laut.
Setiap ahli dalam kumpulan perlu mendapat maklumat mengenai perkara ini terutama bagi rakan pancing yang baru menyertai mereka. Pak Nuri difahamkan, sering berlaku kemalangan seperti pemancing terjun ke laut apabila si latah diusik atau terperanjat. Orang yang melatah juga akan bertindak sama ada kasar, membahayakan pemancing atau diri sendiri. Justeru, ingatlah bahawa di atas bot bukan tempat untuk bergurau senda dengan si latah.
Begitu juga dengan penghidap sawan laut yang sudah tidak dapat dikawal. Justeru, menjadi tanggungjawab ahli dalam kumpulan untuk membantu dan sentiasa peka dengan keadaan ini.
Jika seseorang pemancing menghidap mana-mana penyakit itu maka berterus terang kepada rakan pancing dalam kumpulan adalah satu cara paling baik. Jangan malu untuk menyatakan keadaan sebenar sebab keadaan lebih buruk boleh berlaku jika kita berdepan dengan situasi yang datang secara mendadak dan dalam keadaan tidak bersedia.
Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya pemancing terbabit berterus terang terutama kepada pemancing yang baru menyertai kumpulan atau trip memancing supaya langkah awal dapat disediakan atau semua pemancing sudah dimaklumkan dan akan bertindak pantas jika berlaku keadaan yang tidak diingini.
Segan atau malu yang memerangkap diri sendiri terus berdepan dengan keadaan lebih buruk dan menyusahkan rakan kumpulan adalah satu perbuatan yang merugikan dan tidak wajar untuk menjadi seorang pemancing laut.
Joran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan