Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 4 April 2000

Ibu ajak jumpa bomoh untuk dapat jodoh (Delima Merkah)



SAYA wanita berumur lewat 30-an dan bekerjaya. Pada Jun lalu saya dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke selatan tanah air. Walaupun berat rasa hati untuk meninggalkan keluarga, demi kerjaya saya akur.

Pada mulanya saya okay tapi lama kelamaan saya mula rasa sunyi bila berjauhan dari keluarga terutama pada Sabtu dan Ahad. Untuk saya balik ke kampung, setiap minggu tentunya sukar kerana kampung saya di utara tanah air.

Saya sudah putus cinta banyak kali. Untuk mendapat teman hidup pada usia yang lewat ini amatlah payah sekali. Setiap kali saya sukakan seseorang lelaki pasti dia tak sukakan saya dan begitulah sebaliknya.

Ibu mencadangkan supaya saya berjumpa bomoh untuk mendapatkan rawatan tetapi saya menolak kerana takut bila membaca cerita bomoh durjana yang sering disiarkan media.

Dang Setia, tolonglah berikan saya nasihat untuk merungkai masalah saya.


JB30-an

Terus terang, sebenarnya tidak banyak yang mampu Dang Setia lakukan untuk membantu saudari kerana masalah jodoh tertakluk kepada ketentuan Ilahi. Manusia hanya mampu berusaha, berjaya atau tidak, hanya Allah menentukan.

Dang Setia faham kerisauan dan tekanan yang saudari alami. Cuma satu nasihat Dang Setia, jangan cepat kecewa, sebaliknya teruskan berusaha dengan cara dan pendekatan yang betul. Soal berjumpa bomoh untuk meminta pertolongan, Dang Setia sebenarnya agak kurang bersetuju.

Memang kita wajib berusaha tapi sekali lagi Dang Setia tekankan, cara usaha itu kenalah betul. Justeru, bagi Dang Setia kebimbangan dan kecurigaan saudari untuk berjumpa bomoh memang berasas. Selain banyak kes pencabulan oleh bomoh yang kerap dilaporkan media kebelakangan ini, penggunaan khidmat bomoh juga amat berpotensi untuk membawa kita ke lembah kesesatan.

Dang Setia juga berpendapat, satu kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita ialah lebih gemar bergantung atau mewakilkan orang lain untuk berusaha bagi pihak diri sendiri. Untuk lebih khusus, dalam kes seperti saudari umpamanya, bagi Dang Setia lebih baik saudari sendiri yang melipatgandakan amalan dan banyak berdoa supaya dipertemukan jodoh.

Memang tidak salah untuk saudari atau keluarga meminta pertolongan tok imam atau ustaz supaya mendoakan agar saudari dipertemukan jodoh, namun bukankah lebih afdal jika saudari sendiri yang berbuat demikian? Ingatlah, Allah amat suka apabila kita berdoa kepada-Nya.

Mungkin sudah lama saudari tidak berdoa, merintih dan merayu padaNya. Allah sayangkan saudari dan Dia ingin mendengar rintihan saudari. Diberikannya ujian ini kepada saudari supaya saudari lebih dekat kepada dan jangan terleka hingga menjauhiNya.

Sedarilah, jangan disamakan sifat manusia dengan Allah. Manusia tidak suka jika orang kerap meminta kepadanya, namun Allah yang maha penyayang lagi mengasihani begitu gembira jika kita meminta kepadaNya. Semakin kerap kita berdoa, meminta, merayu dan merintih kepadaNya, semakin Allah suka kepada kita.

Oleh itu, apa yang penting di sini didiklah diri untuk menerima ujian Allah ini dengan hati yang terbuka dan sifat yang positif dengan meyakini setiap apa yang Allah tentukan kepada kita, pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya.

Selain itu, saudari juga perlu bersikap lebih terbuka. Pada zaman serba maju ini, tidak salah jika wanita yang memulakan dulu jika ingin mendapat jodoh. Bagi Dang Setia, kini soal perigi mencari timba tidak lagi timbul. Jika saudari bertemu jejaka yang berkenan di hati, carilah pendekatan terbaik untuk memikatnya.

Bagaimanapun, usaha memikat harus dilakukan secara berhemah supaya tidak melampaui batasan. Jika malu berdepan jejaka disukai, ada baiknya saudari menggunakan khidmat pihak ketiga seperti ibu bapa atau saudara mara.

Namun, saudari perlu mengelak menjadi orang terdesak. Sikap berhati-hati dalam memilih bakal suami masih perlu kerana mencari suami bukan seperti membeli pakaian.

Seperkara lagi, di sebalik ketentuan takdir saudari lewat bertemu jodoh, ada baiknya juga saudari menilai atau mencermin diri dan bertanya, mungkin ada sebab Allah menetapkan takdir begitu.

Mungkin dari segi usia, saudari dianggap lewat berkahwin. Namun, bagaimana soal lain, maksudnya persediaan saudari daripada segi tingkah laku dan fikiran, serta perubahan sikap daripada seorang bujang kepada isteri orang.

Semua itu mungkin ada kaitannya di sebalik kelewatan saudari bertemu jodoh. Jadi, selain berusaha mencari suami, berusaha juga memperbaiki kelemahan diri yang mungkin ada.

DangSetia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan