PASTINYA ramai di antara kita masih mengingati peristiwa tragis menimpa tiga beradik berusia antara dua hingga lima tahun yang lemas dihanyutkan air deras di Hutan Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, awal Mei lalu.
Biarpun tragedi itu sudah lebih tiga bulan berlalu sesungguhnya kejadian menyayat hati itu sangat terkesan di hati semua masyarakat di negara ini.
Apatah lagi bagi si ibu yang menanggung derita kehilangan tiga orang anak kesayangan sekali gus. Sehingga ke saat ini ibu muda itu masih tidak dapat menerima hakikat anak-anaknya telah pergi tak akan kembali.
Dalam kejadian pada 3 Mei itu, si ibu, Wan Azlela Wan Abdullah, 32, dari Senawang, Negeri Sembilan, trauma mengenangkan kejadian bagaimana ketiga-tiga permata hatinya, Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, Nur Syaza Azira, 4, dan Nur Syaza Sakinah, 2, dihanyutkan arus deras dalam tragedi fenomena kepala air di Ulu Bendul ketika bermandi-manda bersama bapa dan teman wanita bapa mereka.
Lebih memilukan, sehingga kini mayat Nur Syaza Sakinah, masih tidak dapat ditemui. Mayat dua kakaknya, Nur Syaza Alisa ditemui jam 3.30 petang di bawah sebuah terowong, hari yang sama dan Nur Syaza Azira ditemui keesokan harinya, 2.5 kilometer dari tempat kejadian.
Manakala bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang turut berada di tempat kejadian.
Keesokannya dan beberapa hari selepas itu gambar-gambar ibu muda ini yang kesedihan terpampang di dada-dada akhbar memperlihatkan kesanggupan Wan Azlela meranduk sungai bersama-sama pasukan penyelamat mencari anak-anaknya.
Wan Azlela yang ditemui di rumahnya di Senawang, baru-baru ini berkata, setakat ini dirinya masih menerima bantuan kaunseling dan sesi terapi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban bagi meredakan sedikit trauma yang dialami.
"Sampai sekarang, saya hanya pulang sekejap-sekejap saja ke rumah saya di sini. Saya banyak menghabiskan masa di Jasin, Melaka, bersama ibu dan ayah.
"Kenangan bersama anak-anak banyak di rumah ini. Bantal peluk, kain baju dan gambar-gambar mereka. Mula-mula kehilangan mereka dulu saya rasa seperti tak mahu hidup lagi.
"Doktor pun tidak beri kebenaran saya bekerja, saya masih diberi cuti sehingga keadaan saya kembali stabil," jelas anak kesembilan daripada 11 adik-beradik ini.
Apabila mendengar kata-katanya, timbul perasaan bersalah di hati kerana meminta menceritakan semula kisah yang harus dilenyapkan dari benak pemikirannya.
Namun pujian juga harus diberikan kepada ibu muda ini memandangkan kesanggupannya untuk menyingkap semula semua kenangan pahit itu buat tatapan pembaca, biarpun sepanjang temu bual berlangsung tidak sanggup rasanya melihat wanita ini berderai air mata seiring cerita sedihnya.
Jelasnya, ketiga-tiga anaknya itu di bawah penjagaan bekas kakak ipar dan bekas ibu mertuanya ketika dia keluar bekerja.
"Hubungan saya dan keluarga bekas mertua sebenarnya amat baik. Mungkin ada yang bertanya mengapa anak-anak berada di bawah jagaan mereka.
"Sebenarnya sejak dari kecil memang anak-anak di bawah jagaan saya. Namun hanya beberapa minggu sebelum kejadian mereka dijaga sementara oleh keluarga bekas suami agar bapa mereka itu lebih bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya," katanya.
Kata Wan Azlela, pada hari kejadian, dia sebenarnya tidak tahu-menahu langsung bahawa bekas suaminya, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan teman wanitanya yang berusia 18 tahun, telah membawa ketiga-tiga anaknya itu bermandi-manda di Ulu Bendul.
"Saya sedang bekerja pada petang itu apabila kakap ipar saya menelefon memberitahu "Lela, anak kau hanyut..."
"Waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Gelap seketika rasanya dunia ini. Saya lantas bergegas ke tempat kejadian.
"Dalam fikiran, saya ingatkan bekas suami hanya membawa dua anak sahaja, rupa-rupanya dia bawa ketiga-tiganya sekali," katanya yang baru enam bulan diceraikan suaminya setelah berumah tangga selama lima tahun.
Biarpun reda dengan ketentuan Tuhan terhadap apa yang berlaku, namun jauh di sudut hati Wan Azlela mengakui terkilan dengan tindakan bekas suami yang membawa ketiga-tiga anaknya ke tempat yang agak berbahaya.
"Biarpun ini satu musibah dan saya tahu semua kejadian ini satu ketentuan Tuhan dan saya reda dengannya, namun saya berpendapat kejadian ini juga berpunca daripada kecuaian bekas suami saya," katanya.
Wan Azlela menambah, selama di bawah penjagaannya, dia tidak pernah membawa anak-anaknya ke tempat seperti itu, apatah lagi pada usia mereka yang kecil yang sudah tentu memerlukan pengawasan khusus terutama di tempat berbahaya seperti itu tambahan dalam keadaan cuaca yang mendung dan hujan.
Apa pun segala gejolak yang bermain di minda tidak lagi membawa sebarang perubahan. Dan kini, ketika semua umat Islam menyambut Ramadan, kenangan bersama anak-anak sentiasa bermain di ingatannya.
Masih terbayang bagaimana kegembiraan mereka tatkala bersama menghidangkan juadah berbuka.
"Saya masih teringat bagaimana Alisa dan Azira berpuasa dan gemar membantu menggentel karipap sebelum digoreng. Bagaimana nakalnya Alisa dan Azira yang tidak putus-putus bertanya bila agaknya akan masuk waktu untuk berbuka puasa.
"Pada hari raya pula mereka semua sukakan kuih dahlia, kuih ros dan biskut mazola. Sekarang, tiada lagi suara mereka meminta itu dan ini pada bulan puasa.
"Saya juga sebenarnya sudah merancang warna baju raya yang akan dipakai tahun ini dan sudah membelinya sedikit-sedikit," ujar Wan Azlela sambil menunjukkan beberapa helai baju raya yang sudah dibeli untuk anak-anaknya.
Ujar Wan Azlela, Alisa sebenarnya anak yang terang hati dan fasih membaca doa.
Apa yang menjadi igauan kepada Wan Azlela ialah minat Alisa terhadap lagu Pelangi Petang dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad yang sentiasa menjadi lagu nyanyiannya.
"Saya tidak menyangka rupanya lagu itu seiring dengan kehadiran anak-anak saya di sisi yang hanya buat seketika. Kini apa yang menjadi kenangan hanya seluar Alisa yang mula-mula ditemui dalam kejadian itu," katanya yang kini hanya mampu mencurah kasih pada anak sulung hasil perkahwinan pertamanya, Muhammad Adib 11.
Muhammad Adib buat sementara waktu ini di bawah jagaan kakak ipar bekas suaminya yang pertama sehingga keadaan Wan Azlela pulih sepenuhnya