Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 1 Julai 2003

Rujuk sunnah rahsia generasi silam dicontohi (Agama)


PEMAHAMAN umat Islam hari ini terhadap hadis dan sejarah nabi banyak bergantung kepada penjelasan dan kefahaman yang diwarisi daripada generasi Islam silam khususnya generasi ulama terdahulu.

Hadis nabi yang sudah terpelihara sejak dulu sama ada daripada segi riwayat seperti yang kita peroleh hari ini bukan petanda bahawa tanggungjawab umat Islam memelihara kedudukan hadis sudah selesai.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Mohd Radzi Othman, berkata setiap umat Islam bertanggungjawab mempelajari serta memahami ilmu hadis seperti mana generasi silam bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Katanya, ilmu itu sama ada berkaitan urusan dunia atau akhirat yang bersifat ghaib, jika ia dinisbahkan kesahihan kepada Nabi Muhammad SAW, sudah memadai untuk meyakinkan isi kandungannya walaupun masih ada bahagian yang belum difahami dengan jelas oleh akal manusia.

“Kebenaran dan kesahihan nisbah kepada Nabi Muhammad SAW sangat penting. Apabila sudah sah sanadnya, memadai untuk kita menerimanya. Memang ada hadis yang gagal untuk difahami dengan jelas contohnya hal berkaitan alam ghaib.

“Banyak hadis Nabi menyebut mengenai alam ghaib tetapi kita tidak faham dan kebanyakan kefahaman kita bergantung kepada apa yang diperkenalkan sahabat serta golongan selepas sahabat. Ada juga yang kita tertanya tetapi tidak ada jawapan sehingga saat Allah SWT kehendaki nanti.

“Untuk memahami hal yang demikian, jangan terpedaya dengan kelebihan akal hingga kita membuat andaian berlebihan atau yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Penyelewengan dalam Pemahaman Hadis dan Sirah serta Kesannya Terhadap Pemahaman Jemaah Islam Semasa menegaskan kefahaman Islam perlu mengambil kira tabiat Islam yang bersifat sejagat daripada saat munculnya hingga ke hari ini.

Justeru katanya, skop pemahaman mengenai Islam perlu bersikap menyeluruh merangkumi segenap aspek kerana seperti al-Quran, sunnah yang menjadi sumber ilmu kedua relevan untuk seluruh manusia daripada dulu hingga hari ini.

Mohd Radzi berkata, kedudukan hadis dan ilmu berkaitan dengannya penting bukan saja untuk menangani serta menyelesaikan permasalahan umat, malah sebagai panduan hidup kepada umat Islam sepanjang zaman.

Katanya, menyedari penyelewengan secara sengaja mahupun tidak sengaja dalam proses penyaringan hadis boleh mengundang bahaya kerana kandungan hadis Nabi merangkumi semua aspek keagamaan, ulama berhempas pulas memelihara keaslian hadis,

“Sahabat mengambil berat mengenai pentingnya hadis Nabi yang diterima mereka kerana itu adalah agama Allah SWT. Oleh itu, mereka terlebih dulu menghayati ajarannya sebelum diceritakan kepada sesiapa saja atau disampaikan kepada sahabat lain tanpa sebarang pengubahsuaian.

“Kesungguhan generasi silam perlu diikuti generasi hari ini di mana setiap isu yang mereka hadapi akan diselesaikan mengikut panduan dari Allah SWT dan Rasulnya. Inilah rahsia bagaimana mereka menjadi umat terbaik yang layak menjadi contoh umat Islam pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, sejarah membuktikan tidak ada satu hadis palsu atau yang dipalsukan sahabat dan sikap itu perlu diwarisi pelapis kerana penyimpangan terhadap ilmu hadis boleh menyebabkan berlaku perpecahan.

Katanya, mengikut sunnah Nabi menjadi satu kemestian kepada umat Islam dalam semua urusan hidup mereka kerana tidak ada yang lebih baik daripada sunnah Nabi yang menentukan dasar serta tatacara hidup berdasarkan risalah diterima daripada Allah SWT dan disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Kemampuan akal fikiran sangat terhad berbanding ilmu yang diperoleh dan difahami daripada sunnah Nabi. Bagaimanapun, akal menjadi faktor pembantu untuk memahami sekadar termampu bukan faktor penentu. Selebihnya, Allah SWT yang menentukan,” katanya.

Berita Harian