SEJAK lahirnya manusia di muka bumi dan berkembang menjadi kaum dan bangsa, manusia berusaha mencari jawapan tentang asal usul kejadiannya, manusia dan hubungannya dengan alam bumi dan alam lepas.
Hubungan bumi dengan planet-planet yang lain, hubungan manusia terhadap benda yang nyata dan hubungan manusia terhadap perkara-perkara yang ghaib.
Nabi Adam manusia terawal diciptakan memulakan kehidupan di syurga. Hawa diciptakan dengan maksud supaya adanya pasangan supaya umat manusia berkembang. Mereka dihantar ke dunia kerana sebab tertentu dan darinya manusia membiak dan bertebaran di muka bumi.
Manusia sejak awal sejarahnya sudah membina sistem kepercayaannya. Melihat bumi yang luas, alam angkasa yang lepas bebas, bintang-bintang yang berkerdipan, matahari dan bulan yang memancarkan cahaya, lautan yang merentasi benua, ribut dan taufan yang mendatangkan bencana, haiwan yang melata, pohon-pohon yang menghasilkan buah dan bunga semuanya menimbulkan persoalan kepada manusia.
Rahsia Allah
Manusia mula membina sistem kepercayaan bahawa ada suatu kuasa atau kuasa-kuasa yang maha berkuasa yang menjadikan sumber kepada semua ini.
Sesetengah menghubungkan yang berkuasa itu dengan matahari, gunung-ganang, api, lautan, batu-batan malah setengahnya menterjemahkan kepercayaan terhadap yang berkuasa dengan patung-patung yang disembah. Kuasa-kuasa itu dikaitkan dengan keselamatan diri, rezeki dan anugerah, kebaikan dan kejahatan.
Sejak Nabi Adam lagi risalah Nubuwwah membawa manusia kepada keesaan Allah atau jalan hunafa yang membawa kepada ketuhanan yang satu. Sejarah turunnya Nabi-Nabi dan para Rasul adalah suatu rangkaian sejarah manusia yang sebahagiannya patuh dan sebahagian lainnya ingkar.
Keadaan tersebut wujud sehingga kini lebih-lebih lagi setelah tamatnya tradisi kerasulan untuk manusia.
Alam yang maha luas ini ibarat kitab yang perlu dikaji. Di dalamnya terdapat rahsia yang amat banyak. Setiap bab yang diselak terkandung maklumat, ilmu dan hikmah yang belum diteroka dan dikaji. Kemampuan akal manusia untuk mengetahui rahsia alam ini seluruhnya amat terbatas.
Allah mengumpamakan kajian tentang rahmah dan nikmatnya ibarat air laut dijadikan dakwat untuk mencatatkan seluruh rahsia Allah nescaya kering tujuh lautan, rahsia kebesaran Allah itu tidak akan mampu dicatat.
Alam ini amat luas untuk dikaji oleh manusia. Ufuk minda yang terbatas menjadikan kajian berasaskan benda-benda yang tampak tetapi terbatas kepada hal-hal yang ghaib. Perhatikan bagaimana manusia asalnya tidak ada, kemudian ada dan akhirnya mati (tidak ada). Yang menjadikan manusia hidup ialah roh yang tidak nampak yang berada dalam diri manusia.
Kekuatan akal manusia berfikir kerana adanya roh yang menghasilkan hayat berfikir. Kehebatan manusia bergerak adalah kerana adanya roh yang membolehkan manusia bergerak.
Kekuatan hati dan nafsu yang dimiliki oleh manusia juga akibat adanya roh yang ghaib. Tanpa roh seluruh akal, jasad, hati dan emosi manusia tidak akan memberi makna apa-apa. Yang menghidupkan manusia ialah roh.
Reputnya jasad manusia disebabkan roh telah pergi daripadanya. Yang manusia tahu tentang roh adalah sedikit kerana itu adalah urusan penciptanya iaitu Allah.
Dengan akal yang terbatas, ia tidak mampu menjangkau alam yang luas. Dengan pancaindera yang tidak jauh jangkauannya membatasi manusia mengetahui faktor-faktor yang nyata apalagi hal-hal yang ghaib. Sebahagian besar orang Barat hanya bergantung kepada kekuatan akal untuk mendapat jawapan terhadap kemusykilan mengenai alam ini.
Tradisi sains Barat banyak mengkaji tentang apa dan kurang bertanya tentang mengapa. Tradisi sains Islam tidak saja mengkaji tentang apa tetapi terus bertanya mengapa sesuatu itu begitu dan begini. Darinya manusia mula berfikir hikmah di sebalik kejadian. Darinya lahir keyakinan manusia kepada pencipta yang Maha Berkuasa dan kedudukan manusia yang maha kerdil.
Tradisi sains Islam menjadikan akal sebagai alat. Akal ini dipandu oleh al-Quran sebagai sumber pertunjuk yang memberikan manusia pedoman tentang manusia, alam nyata dan alam ghaib, hubungan manusia dengan alam dan Pencipta dan peranan manusia terhadap alam dan Pencipta.
Wujudnya pedoman dari Allah Pencipta alam ini adalah suatu hal wajar. Rahsia alam ini tentu ada pada Penciptanya. Hatta manusia yang diciptakan oleh Allah rahsia untung nasibnya juga berada pada kudrat Allah. Yang manusia tahu tentang dirinya amat sedikit. Yang sedikit itu sudah cukup untuk menjadikannya berjiwa hamba yang tinggi kerana akhirnya pada Allahlah yang bakal menentukan segala-galanya.
Kesedapan duniawi
Jalan berfikir begini amat penting diketahui oleh para remaja Islam. Tidak mungkin manusia dijadikan tanpa sebab dan tujuan. Kalaulah manusia dihidupkan untuk maksud makan dan minum saja atau hiburan dan seks sahaja, haiwan juga sedemikian. Tentu ada sebab manusia diberi akal, hati dan nafsu.
Akal membolehkan manusia berfikir tentang diri dan kehidupannya, dari hati manusia boleh menimbang tentang baik buruk sesuatu dan dari nafsu lahirnya keinginan dan kemahuan yang sekiranya dikawal memberi nikmat yang amat bermakna bagi manusia.
Mendalami sains yang Islami bagi remaja mendekatkan dirinya kepada Allah. Mengetahui batasan terhadap rahsia alam ini menginsafi bahawa kekerdilan manusia tidak diberikan segala-gala. Kekuasaan Allah mengetahui apa saja. Sesuatu yang berlaku pada diri, pada alam, pada manusia semuanya terkandung hikmah bagi yang berfikir dengan akal dan mata hati.
Akal hanya mengetahui zahirnya sesuatu sementara mati hati yang terpancar dari rohani yang tinggi memberikan intuisi yang amat diperlukan oleh manusia.
Oleh itu remaja jangan hanya menagih kesedapan duniawi dan zahiri yang sifatnya sia-sia. Remaja Islam harus mencari kelazatan rohani yang mampu melahirkan manusia yang ikhlas, jujur, amanah, adil, bertimbangrasa, bijaksana dan telus kerana pancaran amal rohaniah ini mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah.
Sebagai pelajar umpamanya, alam yang luas ini membolehkan remaja mengetahui tentang Allah dan tanda-tanda kebesaran-Nya. Dari tanda-tanda yang sifatnya saintifik bakal menemukan remaja tentang rahsia kadar dan angka. Dengannya remaja mendapat kefahaman tentang pentingnya titik-keseimbangan yang amat diperlukan dalam hidup ini.
Remaja akan terpedoman bahawa alam ini diaturkan sedemikian rupa oleh Penciptanya. Manusia tidak mampu melakukan pengaturan ini.
Kembalinya remaja menginsafi tertib kadar yang ada (matematik) memahami alam benda yang pelbagai (fizik), meneroka dunia hayat yang beragam (biologi), meneliti susunan alam yang berbeza-beza kedudukan dan manfaatnya (geologi), menyiasat sebab dan punca penyakit (perubatan), menawarkan ubat-ubatan dan khazanah alam yang diciptakan (farmasi), menghasilkan alat-alat bagi memudahkan kehidupan (teknologi) adalah asas ilmu yang amat berguna kepada manusia.
Al-Quran memberi pedoman kepada manusia atas semuanya kerana dari-Nya Allah mencipta sesuatu dan darinya rahsia alam diperolehi. Darinya menjadikan manusia bersyukur tentang kebesaran-Nya.
* PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.
Utusan Malaysia
Posted on 1.3.2003 at 1:53 PM