Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 2 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 4 (Singgahsana)


Simpoh Air

Kami berpatah balik lantaran pintu yang berkunci. Apatah lagi ada anjing yang tentunya akan melalak menyalak jika kami meredah ladang kelapa sawit kepunyaan si Hamidah. Aku nampak kelibat bagaikan seorang Apek berseluar pendek menaiki kapcai keluar dari ladang sawit mana satu, menuju jalan utama.

"Dua minggu lalu semasa saya jumpa dengan Abg Tan, dia kata dia memotong getah di Tanah Paya Asap.." Orang kampungku tak panggil menoreh, mereka lebih biasa menyebut memotong.

"Haa ahh! betul juga, kita pergi kampung seberang ke rumah Abg Tan... iDAN pergi tanya!.."

"Saya tak tahu rumah Abg Tan tu mana satu!"

"Saya boleh tunjukkan rumahnya, emmm! nasiblah dengan adik saudara, kalau tidak kena saman saya ini. Kata tahu tempatnya tetapi kena minta tolong orang lain pula..!" Entah kali ke berapa Abg Jelani menyebut ayat yang sama.

"Telah terlalu lama kita tidak menjenguk tanah tu memanglah boleh sampai kita sesat larat..."

Telah sejam lebih aku & Abg Jelani buntu, tak dapat panduan untuk menjejak Tanah Payah Asap. Kami menuju ke kampung seberang. Sebelum sampai ke Sungai Keruh di kiri & kanan aku lihat ada ladang getah yang baru ditanam semula.

"Ladang getah ini saya yang usahakan, badan ni tak berapa larat tapi dipaksa juga sampai demam-demam saya!" Aku agak sekitar dua ekar yang ditnam semula selebihnya pokok getah yang telah boleh ditoreh, bertaburan tumbuhnya tidak disusun.

Mentari telah memamah embun, nampak semua dedaunan segar bugar. Tidak ada pun barang sebuah kenderaan yang melalui jalan tar kampung yang muat sebuah kereta sahaja. Aku melintasi Sungai Keruh yang airnya nampak jernih, ada lorong kecil sebelum jambatan. Hatiku terdetik mungkin lorong itu kot Abg Tan menoreh getah. Di seberang sungai ada beberapa motorsikal & sebuah kereta parkir di tebing sungai.

"Si Tan Pak Ngah Kopli punya kereta... mesti dema memancing, musim air dalam ni banyak ikan jelawat!"

"Guna umpan apa Abg Jelani, saya suka juga memancing...!"

"Buah kelapa sawit!..."

"Kalau sempat petang ini saya nak memancing..."

Aku lihat banyak kawasan yang dulunya hutan telah ditanam kelapa sawit. Sekitar seratus meter dari jambatan Sungai Keruh telah sampai rumah Abg Tan. Tak nampak pun kapcai di luar rumah. Mesti Abg Tan menolong memasak di rumah orang kenduri bertunang.

"Tak ada nampaknya Abg Tan ni ... mesti dia menolong memasak di rumah orang bertunang.. tu!"

"Betul jugak dia memang pakar memasak, iDAN tanyalah dengan anak-anaknya mesti ada yang tahu jalan ayahnya memotong getah.."

Aku parkir Avanza di teduhan pepohon di dusun desa. Redup amat kampung seberang. Abg Jelani keluar Avanza menghirup udara segar. Kasihan aku melihat dia begitu gelisah. Aku memberi salam, isteri Abg Tan telah bersiap untuk ke rumah orang bertunang, ada dua orang anaknya di ruang tamu, seorang tengah leka menggodek komputar seorang lagi leka menonton TV.

"Angah, tolong tunjukkan jalan pada Pak Cik ini ke kebun getah ayahnya memotong tu..!"

"Yang mana satu mak.."

"Ala..! jalan yang kena merangkak tu!..."

"Dekat titi Sungai Keruh tu ke mak..?"

"Betullah tu..!"

Seperti yang aku jangka, memang lorong yang aku nampak tadi. Impian aku untuk menjejak Tanah Paya Asap nampak makin tercapai.


Kenapa dengan Simpoh Air

- bersambung

||| Siri Satu ||| Siri 2 ||| Siri 3|||


Sebaran hadith fadhilat tarawih yang diragui (Agama)


Assalamualaikum,

Atas dorongan seorang sahabat, maka aku terasa beberapa perkara perlu diperbetulkan since pelajar2 UTP sendiri ada yang telah mengambil hadith tentang fadhilat solat tarawih pada setiap malam. Bagi sesiapa yg tatau, berikut dicopy pastekan fadhilat2 tuh:

Kelebihan Sembahyang Sunat Terawih
Diriwayatkan oleh Saidina Ali daripada Rasulullah s.a.w. sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. mengenai fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat Terawih pada bulan Ramadhan.

Malam pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah.

Malam kedua: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).

Malam ketiga: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam keempat: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

Malam kelima: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam ketujuh: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.

Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.

Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.

Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.

Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.

Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)

Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.

Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25: Allah Ta'ala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.

Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.

Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.

Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.

Maka, aku nak jelaskan di sini bahawa hadith ni sangat2 diragui akan tarafnya sama ada hadithnya sahih, hasan, da'if atau maudhu. Byk pendapat mengatakan ianya maudhu', malah tidak dijumpai dalam kitab2 hadith maudhu' sprt yang dikongsikan dalam website nih:

Juga dalam rujukan website Al-Ahkam.net, ulasannya dari ustaz2 yang menjadi panel dalam forum tersebut antaranya:

alQardhawi (Kaifa nata'amul ma'a al Sunnah al Nabawiyyah) menjelaskan ada 3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia selamat dari penyelewengan dan takwilan secara jahil:

Pertama: mempastikan kethabitan/kesahiha n sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para muhaddithin (ulamak hadith)

Kedua: memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith

Ketiga: memastikan sesebuah hadith tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya yaitu dari alQur'an dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.

Imam Syafi'iy yang mulia telah berpesan," Iza Sahhal Hadith Fahuwa Madzhaabi" (apabila sahihlah sesebuah hadith, maka itulah madzhabku."

Berbalik kepada hadith popular bulan Ramadhan (fadha-il Malam-malam Tarawikh Imam Ali) gagal melepasi neraca pertama: tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana Imam Hadith. Tanyalah kepada mana-mana ahli hadith dan sudah pasti dia tidak akan jumpa hadith tersebut dalam Kutub asSittah (kitab hadis yang enam):

Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa'iy dan Sunan Ibn Majah. Manakala ia tidak menepati neraca # 2, yakni bercanggah dengan kefahaman sebenar tentang tasawwur puasa dan tidak sesuai dengan nilai keilmuan dalam Islam. Puasa dalam Islam yang dijelaskan oleh sumber yang sahih ialah sebagai salah satu jalan kepada taqwa. Taqwa itulah objektif puasa dan taqwalah jalan kemenangan dan kejayaan umat Islam dunia dan akhirat. Metod fadhilat adalah untuk mereka yang lemah akalnya dan masih kebudak-budakan yang amat terangsang dengan fadhilat dan kebendaan.

Hadis ini kemungkinan direka oleh Syi'ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali KW yang di dakwa oleh Imam-imam Syi'ah banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Hadis ini juga bertujuan memikat golongan awam yang jahil dengan pelbagai kisah dan riwayat. ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipurlara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad Ibn Hanbal.

Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawwuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam yang jahil supaya giat beribadat tanpa ilmu.

Demikianlah penjelasan AsSyaikh Mustafa asSiba'iy dalam kitabnya asSunnah dan Imam Jalaluddin asSyuyuti (Tahdzirul Khawasy min akazibil Qasyasy).

Maka jauhilah dan tegahlah pengedaran hadis fadhail tarawikh Ramadhan tersebut dan gunalah neraca-neraca ini bila kita didatangkan dalil dalam bentuk hadis. Terlebih dahulu pastikan kesahihannya. Ingatlah amaran baginda,"sesiapa yang merekacipta hadis atas namaku, maka dia telah menempah tempat di Neraka."

Lagi satu, kita kena kenal pasti apa antara ciri2 hadith yang tak sahih nih. Antaranya yang aku ingat, ganjaran yang diberikan adalah di tahap yg melampau2. Cthnya cuba baca fadhilat malam ke-9 "Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w". Tak ke melampau2 tuh? Kita boleh dapat pahala seperti Nabi Muhammad? Manusia mana yg sama perfect ngan dia? Baginda buat ibadah bertahun2..kita solat tarawih 1 malam saja.. dah sama pahala ngan Nabi ke? Mustahil.

Oleh itu..marilah kita sama2 perbetulkan kembali kefahaman kita. Jangan sampai kita tersalah ambil sumber atau mengambil sesuatu hadith secara membuta tuli. Ini akan menyebabkan kita boleh menyesatkan orang lain. Aku perasan ade website2 yang boleh pulak publish hadith nih. Maka jgn kita main amik saja sblm kita yakin akan kesahihannya.

Wallahu'alam

Apa yang salah harap dibetulkan

Wassalam

kutipan dari

http://ikutsukaaku.blogspot.com

Wajah iDAN Julai 2002



KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2 Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan. Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r. a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s. a. w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

7 Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan
(mendapat keampunan dari Allah Taala).

7 Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

7 Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur
(sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

7 Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A. S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

7 Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A. S.

7 Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S. A. W..

7 Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s. a. w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S. A. W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S. A. W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S. A. W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S. A. W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S. A. W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S. A. W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s. a. w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih. Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s. a. w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Surau Bunian (Singgahsana)


Cerita dedulu tentang Surau Bunian

Hari kedua berpuasa. Terawih pertama di Jenaris, punyalah ramai. Aku tersimpuh di luar surau, sembahyang atas tikar tambahan. Memang tak muat Surau Jenaris.

Mila masak Tom Yam, Anif bukan main berselera makannya. Sedap amat Mila masak. Selalunya tak masam sangat, kali ini terasa akan asamnya. Bubur lambok yang aku mabil di masjid UPM tidak habis. Semua lebih suka dengan Tom Yam yang Mila masak. Airnya pula air laici, tak cukup biarpun Mila telah bancuh sebesen.

"Ayah kita sembahyang di masjidlah ayah, Surau Jenaris tu ramai sangat orang... tak muat" Afiz mengajak aku sembahyang di masjid Kajang.

"Kita sembahyang di Surau Bunian sahajalah ayah!" Azim lebih suka sembahyang di Surau Bunian, Aziq & Anif pun sama. Jadi aku & Afiz terpaksa mengalah.

Terawih kedua di Surau Bunian, sekarang sudah ada pemisah buat jemaah lelaki & wanita. Imamnya dari kalangan mereka yang hafiz Al Quran, macam dua beranak bergilirgilir membawa makmum sembahyang terawih. Cuma ada empat shaf jemaah lelakinya. Memang damai sembahyang di Surau Bunian ini.



Isnin, 1 September 2008

Kemuliaan Bulan Ramadan


* Kemuliaan serta kelebihan Ramadan sabit dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sesungguhnya Ramadan telah dipilih oleh Allah sebagai bulan bagi umat Islam melaksanakan ibadat puasa. Firman Allah: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan). (al-Baqarah: 183)

* Ramadan juga adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza. (al-Baqarah: 185)

* Malam al-Qadar juga wujud pada bulan ini sahaja. Dalam bulan ini juga disunatkan kita bersolat Tarawih. Ini kerana pada bulan lain, solat sunat Tarawih tidak disyariatkan.

* Ketika Ramadan juga, pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah SAW: Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga. (riwayat Bukhari)

* Bahkan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan pula diikat. Sabda Rasulullah SAW: Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari)

Utusan

Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Khamis, 28 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak 3 (Singgahsana)


Gantung Ubat Nyamuk

Aku membeli lima bungkus nasi lemak, sebungkus tujuh kupang. Dua ringgit kuih udang siap sambal kacang. Kak Kencon sedekah sebungkus nasi lemak. Itu yang payahnya beli dengan orang kampung. Serba salah nak terima sedekah orang. Di rumah arwah Opah Bi yang mana Raman tinggal, memang ada ulam-ulaman yang aku kutip sejak petang semalam. Pucuk sentang, ulam raja & pucuk mengkudu hutan. Aku makan berulam dengan bersambalkan nasi lemak Kak Kencon. Amat menyelerakan.

"Mila ayah nak kasi ikan keli salai ini dengan Kak Sala! ada nasi lebih ini kita kasi merekalah buat sarapan" Dua hari lalu khamis aku ambil cuti pergi MAHA di sebelahan tempat kerjaku di Serdang. Ada dua kampit ikan keli salai aku beli; ingat nak kasi Ijan masak. Nampaknya isteri si Raman ini tak balik-balik. Kami yang jadi tuan rumah. Jam baru 8:30 pagi, sebaik sahaja aku mahu ke rumah Abg Jelani, terpocol Pak Cik Nan di muka pintu. Masih segak Pak Nan ini, wajahnya kemerahan macam Mat Saleh sudah berusia 75 tahun masih macam orang berumur 40an.

"Abg Haji Jelani kita ada di depan tu iDAN!"

"Laa... dia jalan kaki ke datang ke sini"

"Nampak gayanya begitulah...!"

Aku menjemput Pak Cik Nan & Abg Jelani bersarapan apa yang ada. Aku lihat Abg Jelani telah memasang ubat nyamuk. Tergantung di pinggangnya. Dengan sebilah parang bengkuk berikat tali merah. Bersama bekal air & tak pasti apa lagi dibawanya.

"Kenapa Abg Jelani jalan kaki, kan ke saya dah janji nak jemput di rumah"

"His!... tak sedap bebenor jadi tuan beso!.." Masih sebut ayat yang sama.

"Abg Jelani ada jemputan jiran kita sebelah bertunang tak?. .."

"Ada.. katanya jam 12:00 tgh hari "

"Kita kena cepatlah ni...!" Jiran sebelah rumah arwah Opah Bi, kakak Mat Roti bakal menyambut menanti. Adatnya orang kampung mesti makan sekali. Serentak makan setelah berdoa selamat.

Aku meminta diri kepada Pak Cik Nan untuk ke rumah Abg Jelani; terbayang Kak Sala, aku menghantar ikan keli & nasi lemak yang telah aku bekalkan. Sebelum naik Avanza Abg Jelani terkecuh-kecuh memadamkan ubat nyamuknya.

"Ubat nyamuk ini racun, nanti mabuk pulak kita dalam motokar ini!" Aku senyum sahaja.

Aku membawa peta, air minuman & keperluan asas ke hutan.

"Abg Jelani tahan dengan penghawa dingin tak?" Aku teringat emak mertuaku memang alahan penghawa dingin kereta. Pak Jelani telah 60an usianya pasti banyak pantang larangnya.

"Tak apa!.. tahan!"

"Kita sedut udara kampung sahajalah... lagi pun masih awal pagi!" Aku lihat tiap kali buat apa saja Abg Jelani ini penuh dengan doa & niatnya.

"Kita cuba ikut rumah Wan Bedah, rasanya tak jauh Tanah Paya Asap itu dengan rumah Haji Soba" Aku memang sering melihat & mengagak kedudukan Tanah Paya Asap melalui wikimapia.

"Harap-harap betul arah kita!"

Di Kampung Changkat Tualang Hulu, aku berbelok ke sebelah kanan masuk ke ladang kelapa sawit kepunyaan bang Cina yang nampak seperti hampit 20 tahun usia pokoknya. Aku sempat bertanya di mana kampung asal Pak Jelani, katanya dia berasal dari keturunan Minang. Kampung Asalnya tak jauh dari Padang. Bila aku tanya tentang Hamka dia memang tahu.

"Ramai orang bertanya tentang parang ini kenapa saya ikat dengan kain merah!, kata ada jampinya atau tangkal!... sebenarnya tak ada apa, kalau cicir di hutan senang nak cari! "

Aku mengeluarkan Nusantara "Abg Jelani tak merokok ke?"

"Jangan!, nanti mabuk pula kat hutan!" Aku lihat dia menyalakan semula ubat nyamuknya. Kami telah di tengah ladang kelapa sawit kini.

Hampir setengah jam kami melilau di ladang kelapa sawit. Masih buntu, aku melihat peta yang aku bawa, aku begitu yakin amat jauh dari pengecaman Abg Jelani.

"Tak nampak langsung pokok getah, hilang panduan saya!.." Sungut Abg Jelani. Katanya telah lebih belasan tahun tidak menjejak kebun getah di Tanah Payah Asap. Aku lagilah lama, telah lebih 35 tahun tidak menjejaknya. Masih ingat estet getah arwah apak lapang & bersih. Ada alur sungai kecil, jernih airnya. Kenangan itu berbalam-balam dalam ingatan tetapi damai.

"Saya ingat lagi masa saya banyak kerbau dulu, saya sering membawa kerbau-kerbau saya ke ladang kelapa sawit ini... macam mana saya boleh tak jumpa..."

"Abg Jelani tenguk dalam pelan ini, tanah yang diwakafkan kepada Baitulmal itu kat sini... ada 70 ekar, bentuk spanna; Tanah Paya Asap yang ini, jauh ke atas ni... !" Abg Jenani macam tak pasti dengan peta atau pelan tanah yang aku bawa. "Kita kat sini sekarang ini, apa kata kita ke seberang tasik ini, ikut dari ladang kepala sawit milik si Hamidah..."

"Hemm!, kalau bawa orang lain, mau kena saman saya ni iDAN, bagaimana saya tak boleh cam tanah arwah apak iDAN ini, jika kita redah paya ini macam mana?..."

"Bahayalah Abg Jelani, kita tak pasti apa ada dalam paya ini, baik kita ikut jalan ini, jalan ladang kelapa sawit si Hamidah...!" Paling aku takut anakonda. Aku menunjukan arah yang aku pasti terletaknya Tanah Paya Asap.

Deruman jentolak yang sedang menerangkan tanah wakaf yang mahu ditanam kelapa sawit jelas kedengaran. Berpandukan tetakan daun kelapa sawit kami mencari semula di mana kami parkir Avanza.

Treron fulvicollis. Burung Punai Bakau

"Ini satu kemestian iDAN jika kita ke hutan, kena ada penanda... nampak ini daun yang kita tetak tadi" Aku lihat Abg Jelani masih mantap melangkah. Memang hebat orang kampung seperti Abg Jelani dalam usia mencecah 60an masih segak & sasa. Aku tercungap-cungap mengikut langkahannya. Berat kaki melangkah tambah berat rasanya mengusung perut boroiku.

Sesekali aku nampak ayam hutan & burung punai daun (ada yang panggil Punai Bakau) terbang. Syoknya kalau dapat memburu punai. Bersih & nyaman amat suasana di tengah ladang kelapa sawit ini. Setahu aku masa aku meninggalkan kampung halaman sekitar penghujung tahun 70an, payah untuk ketemu burung punai daun. Sekarang makin banyak. Sesekali bau ubat nyamuk kepunyaan Abg Jelani menyucuk hidungku. Nyamuk lintang pukang lari di celahan pelepah kelapa sawit takut terhidu asap ubat nyamuk.

http://wikimapia.org/#lat=4.4343649&lon=101.0922968&z=18&l=0&m=a&v=2&show=/2113392/ar/Tasik-Samai-Hijau

Aku memandu Avanza ke arah Tasik Samai Hijau. Nampak air tidak sejernih dulu mungkin lantaran musim hujan. Aku nampak pintu pagar besi sasa yang berkunci, ada lima ekor anjing atau lebih menanti di pintu pagar.

"Saya tak suka dengan anjing ini iDAN, nak ditetak bergaduh pula dengan tuannya!" Aku tambah gurur & terpaksa berpatah balik. Tanah Paya Asap makin kabur dari pandangan.

- bersambung.

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-4-singgahsana.html

Rabu, 27 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak 2 (Singgahsana)


"Rasanya telah 35 tahun saya tidak menjejak tanah arwah apak saya itu.."

"Saya pun membuat kandang kerbau sekitar tahun 80an, sedar tak sedar telah lebih dua puluh tahun saya berhijrah di sini"

Aku lihat Mila & anak-anak begitu berselera makan masakan Kak Sala, ada gulai asam pedas rebung, ada sambal udang, paling sedap sambal belacan ikan bilis cicah tempoyak.

"Sambal ini taruh belacan tak Kak Sala?" Mila memang rajin mencuba cara masak kampung selain cara jawanya.

"Tak payah bubuh sambal nanti tak sedap, cuma cabai muda, ikan bilis & garam" telahanku sambal belacan silap rupan.

"Cili merah tak boleh ke Kak Sala?"

"Boleh... tapi lainlah rasanya"

Semasa di Kampar memang aku mencari-cari kedai makan milik Melayu. Tak jumpa. Sepanjang jalan Kampar ke Gopeng pun sama; cuma banyak orang jual durian, rambutan, manggis & aku nampak ada yang jual buah larah. Ramai tak kenal buah larah ini. Di Gopeng sememangnya aku tak berani nak singgah makan. Orang sekitar Lembah Kinta mesti tahu masalah makan di Gopeng.

Aku terkenang semasa anak-anakku makan di Hentian Tapah sekitar jam 11:00 pagi. Entah apakah namanya kedai rotinya. Nampak mewah kedainya. Padanlah mereka laparlah amat. Jam di tangan ketika itu telah mencecah jam 5:00 petang lebih. Aku tanya juga Mila berapa kos mereka makan. Tak berani nak cakap nanti ayah marah katanya. Aku memang makan mee kari cina jauh dari kedai mereka makan. Agam sebelahan KFC.

"Orang Malaysia makan roti, tulah pasal cepat sangat laparnya..!" Usikku aku lihat Mila diam saja "Ayah pun lapar sebenarnya!.."

Wan Esah isteri arwah Pak Mansor, jiran Kak Sala siap suruh Abg Jelani ambik nasi yang telah dia tanak. Anak & menantunya janjinya nak datang tak nampak batang hidungnya. Bayangkan jika kita di taman perumahan seintim orang di kampung. Tak kisah ambik periuk jiran untuk menjamu tetamu. Memang hampir habis seperiuk nasi keluarga aku makan. Lapar bebenar.

"Esok saya datang sini dalam jam 9:00 pagi..!"

"Ish! tak sedap le... pulak macam tuan beso!" Abg Jelani dalam lorat Peraknya.

"Ala!.. mana jauhnya rumah ni dengan rumah Opah Bi tu!"

Semalaman aku tidur berdengkur, amat nyenyak!. Maklum aku belum habis penat mengemas bengkel. Pindah barang sampai selori. Kena pula memandu jauh. Tidur memang telah tiga malam lebih tak cukupnya. Kebetulan Ijan & anak-anaknya tak ada. Hujan pula. Memang lena aku dibuai mimpi menangkap ikan pilai lawan di kampung.

Awal jam 6:30 pagi Raman telah bertolak dengan Kembaranya ke Melembu. Tak pasti Raman ini kerja apa, kata emaknya Wan Midah Raman kerja sebagai Pembantu Makmal di syarikat swasta. Entahlah.

"Kalau nak cari sarapan, Abg iDAN boleh pergi ke Kota Bharu, anak si Nya tu ada jual nasi lemak"

"Boleh makan ke?... " Si Nya tu Cina, tak pasti hidup ke lagi, anaknya si Solo rasanya telah berpindah ke Ipoh. Anak perempuan yang berniaga tu aku tak pasti namanya.

"Orang Melayu yang hantar, dia tolong jualkan!" Aku terbayang akan wajah anak perempuan di Nya. Memang nampak tua. Semasa aku sampai di kampung memang aku teringat nak lihat pekan Kota Bharu. Kasihan betul telah berpecah dua. Di belah oleh rel keretapi. Masjid yang Lat lukis tu pula tengah banjir. Stesyen keretapinya masih tertutup pintu pagarnya.

Sekitar jam 7:15 pagi aku telah bertolak ke Kota Bharu. Di pertengahan jalan aku nampak Kak Kencon ada berjual nasi lemak & kueh. Emmm! tak jadilah aku mahu ke Kota Bharu.

"Kenal saya ke Kak Kencon?.."

"Dan ke...?"

"iDAN anak Pak Mat Seshlah..!"

"Laa... apahal dah gemuk sangat!"

"Semua sakit ada Kak Kencon, pakej, mulanya buah pinggang kemudian darah tinggi, kolestrol, merebak ke kencing manis terbaru dah masalah hati pulak.."

"Akak pun ada masalah kolestrol, orang banyak kolestrol ini asyik ngantuk saja.."

"Haa aah!, pantang perut kenyang... atas bangku boleh berdengkur!... Kak Kencon ingat lagi tak Pak We lama, dia dah jadi orang kaya dah, dah dapat hasil ladang kelapa sawit!.."

"Lor!... sapa pulak Pakwe akak ni.. kamu ni Dan...!"

"Wak Suratman... takkan tak ingat"

".....ha haha... " Kak Kencon mengilai panjang.

Lekalah aku berbual, dari kisah zaman silam, kisah Kak Nor kawin dua minggu, kisah si Todin, Node, Haji Soba, sampai dekat setengah jam duduk di gerai Kak Kencon. Sampai si Tahiah datang membeli nasi lemak Kak Kencon. Sedih berita yang Kak Kencon ceriterakan kisah si Tahiah ini. Si Tahiah kehilangan emak & suaminya serentak. Sedang sibuk menguruskan jenazah emaknya, suaminya diserang sakit jantung. Meninggal pada hari emaknya dikebumikan. Sampai ke maghrib orang kampung terpaksa menguruskan jenazah keduanya. Mulanya emaknya dikebumikan waktu zuhur, menjelang malam suaminya pula. Tahiah anak arwah Haji Rahim tak punya anak; sekarang tinggal sendirian. Rumahnya tak jauh dari rumah Opah Bi. Kejadian itu dalam tahun ini juga. Aku memang tak tahu langsung ceritera di kampung.

- bersambung.

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-3-singgahsana.html

Selasa, 26 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak (Singgahsana)


"Adik.. alamat yang ini sepatutnya macam dulu tak perlu dipinda" Aku menghulur bill cukai tanah. Aku tak puas hati tentang alamat bill cukai tanah yang aku ubah di Pejabat Tanah Kampar. Tiga bill tiga alamat yang berbeda.

"Telah diprogremkan tak boleh ubah" Acuh tak acuh jawabannya.

"Dua minggu okey saja..!, tak kan nak tulis nama orang yang telah meninggal di bill ini, saya takut bill nanti sesat lagi, kot ramai lagi nama Radzi di taman perumahan saya itu. Lagi pun saya ingin menanam semula senang jika dalam bill itu telah ada nama saya..!"

"Tak boleh diubah, saya buat di alamat (d/a) sahaja... boleh!"

"Bolehlah asalkan ada nama saya!"

Punyalah payah berunding dengan orang Pejabat Tanah Kampar ini. Adakah patut tiga bill punyai tiga alamat berbeda. Aku pun silap, patutnya jangan hukur dulu bill yang alamatnya telah cantik aku ubah pada dua minggu lalu. Nama penuhku & alamat penuh di Jenaris. Tak kisahlah di alamat sahaja. Ini ditulis nama arwah Apak sahaja. Harap-harap tidak lagi akan sesat bill yang telah 14 tahun tersorok entah di mana.

Lebih dari RM4K aku membayar wang tebusan untuk tiga geran tanah milik aku & tanah pusaka arwah. Kira-kira lebih dari 11 ekar dapat aku selamatkan. Tak pasti jumlah sebenar sebab dalam geran terkini telah tertulis hektar tidak lagi ekar bagai zaman lalu. Satu hektar berapa ekar iyer?.

Aku terus ke rumah Kak Sala lantaran Raman ketua kampung pangkat anak saudaraku tiada di rumahnya. Isterinya Ijan balik kampung ada kenduri tahlil sudah dekat nak sebulan puasa rupanya kita. Aku membuat temujanji untuk menjejak Tanah Paya Asap dengan Abg Jelani suami Kak Sala. Esok Sabtu awal pagi. Aku nampak wajah Hj Jelani begitu bersemangat sebab dia juga ingin menjejak kandang kerbaunya. Berkali-kali dia bercerita tentang zaman lalunya menternak kerbau di tanah arwah ayahku itu. Dari dua ekor kerbau katanya sampai membiak hingga hampir dua puluh ekor. Faktor ekonomi & umur dia tidak larat lagi membela kerbau. Tentunya dengan duit menternak kerbaulah dia dapat menunaikan haji di Mekah-al-Mukarramah.

"Jika saya masih kuat, pastinya saya mahu sangat membantu iDAN membuka ladang di sana"

"Saya pun berharapkan bantuan orang Abg Jelani..., badan saya tak sekuat mana!"

"Rasanya elok iDAN buat parit sahaja sekeliling ladang nanti, senang sikit nak halang kerbau & babi liar!"

"Haa aaah! kan... kalau kita buat pagar mesti kawat durinya pagar akan dicuri orang sebabnya saya tak hari-hari berada di sana!" Aku terbayangkan ikan haruan pasti akan bermain di sepanjang parit tersebut.

- bersambung

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-2-singgahsana.html