Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Memaparkan catatan dengan label bunian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bunian. Papar semua catatan

Ahad, 31 Disember 2006

DIINTAI PUTERI BUNIAN 4 ( Siri Famili )


Episod Akhir

.. terasa seluruh sendi amatlah sengalnya. Aku meraba-raba perut boroiku, sebu dahiku, panas; Aku bangun mencapai panadol & ke dapur mencari air. Kemudian menyingkap tudung saji kot ada lagi makanan. Masih ada gulai tempoyak & ikan talapia goreng yang aku kail siang tadi.

Begitu berselera aku makan biarpun hampir dinihari, rasa macam bersahur pula. Aku terbayang wajah Puteri Bunian yang bujur sirih. Putih cantik & galak matanya. Mata aku hilang mengantuk, terbayang pula wajah ibunya bunian, secantik Puteri Bunian tetapi kenapa dia amat marah padaku. Payah amat senyum. Ah! mimpi pastinya adalah mainan tidur. Lagipun tentunya khayalan aku semata melihat imbasan puteri itu. Mana mungkin ujudnya Puteri Bunian. Jika makhluk bunian itu dapat kita lihat, tempat penginapan entah di mana. Apakah paya itu perkampungan mereka. Huh entah-entah putaran bak puting beliung kecil itu sekadar silap pandang, atau sekadar asapnya Suryaku sendiri. Titik.

Sesekali pulang ke kampung berjuadah pula masakan kampung yang telah sebati dengan rasa & citarasa sejak lahir lagi... Terasa amat lazatnya; berselera. Ikan air tawar dimasak gulai tempoyak, ulam-ulalam memang tak puas makan. Aku menghabiskan sisa makanan dalam pinggan & bangun menghantarnya ke besen basuh. Kemudian mencapai Surya. Demam masih tak kebah. Wajah bujur sireh Puteri Bunian makin samar.

Belum pun sempat aku mengelamun, Surya pun masih berbaki; Aku telah mula rasa mual ingin, rasa hendak muntah lagi. Meluru ke bilik air; ceritanya sama. Muntah lagi terus muntah lagi. Memang tekakku terima apa jua makanan, apatah lagi dapat merasai kuih kegemaranku. Putu Piring. Cumanya kenapa sejak senja tadi perut aku menolak semua. Huh hampir lemah seluruh anggota badan, asyik muntah-muntah.

Aku menyambung tidur berharap akan bersambung mimpiku tadi. Tiada.


Kiambang & Rumput-Rampai berbunga kuning ini makin banyak menurapi permukaan paya@tasik bekas tapak lombong & burung pindah secantik ini banyak hinggap di sekitar Desa Tualang. Gambar ini dirakam di Kg Bakap.

Sarapan pagi juga sama, masih perut aku tak boleh terima. Mila sibuk ingin pergi ke rumah Ujee & Mun di Kampung Sentang. Ujee & Mun memang ambil berat sangat akan kami jika pulang ke kampung. Tidak bertandang ke rumah mereka rasa terkilan hati Mila. Mereka sibuk ajak makan tengah hari di rumah mereka. Aku menguatkan diri untuk bertandang di rumah mereka. Badan aku semakin lemah lantaran semua yang aku makan termuntah kembali.

" Abg iDAN tambahlah lagi, makan merulam memang berselera! " Desak Ujee. Dia begitu selera makan berulam.

" Badan tak berapa sihat... emm sayang tak boleh makan lebih-lebih, memang banyaknya Ujee kutip ulam... Terima Kasihlah " Perbagai jenis ulam ada, Pucuk Misai Kuching, Pucuk Kayu Manis, Silom, Pegaga & banyak lagi. Rajinnya Ujee mencari ulaman. Dia tahu memang aku suka makan berulam. Mila menjeling aku, dia masih tak sudah menjamu selera. Bagaikan makan tak mahu berhenti.

Sebaik sahaja aku selesai makan, aku terasa loya & meluru ke bilik air. Cerita yang sama, habis semua terkeluar. Keluar sahaja dari bilik air, aku menelan Panadol; ubat itu sahaja yang ada. Demam masih tak kebah. Kasihan Ujee aku perasan dia terkilan aku macam kurang selera. Dia tahu aku ini memang pantang jumpa ulam. Makan mesti bertambah tak cukup dua pinggan. Hari ini seleraku ketara tersekat. Apakah lantaran panggilan Puteri Bunian.

Opah Bi mula sibuk menelefon Wan Bidah. Mesti pasal aku;

Aku teringat Arwah Apak, jika aku dilihat kurang sihat, dia pandai jampi serapah & mengubat cara kampung. Antara lain caranya aku panggil bertemas. Apak bertemas dengan menggunakan Bawang Merah, Kunyit Hidup atau Limau Nipis. Kalau Bawang Merah dia akan belahkan dua. Aku tak pasti apa maksudnya Apak akan paling tidak tiga atau lima kali mencampak Bawang ke dalam piring yang berisi air. Bawang yang terlentang atau tertiarap ada maksudnya.

" Panas badan sahaja .. bukan ketegor " Sering ayat itu keluar dari mulut Arwah Apak. Mungkin dia hendak menyedapkan hatiku.

Kemudian air di dalam piring itu Apak suruh minum & Bawang tadi Apak suruh sapukan di setiap sendi & pelipat badan. Kunyit Hidup sama juga kena cari Kunyit yang bentuknya bulat & dibelah dua. Jika ada Limau Nipis lagilah sesuai digunakan untuk bahan bertemas.

Yang anehnya, selalunya akan cepat pulihnya demam jika melarat juga demam barulah Arwah Apak akan bawa aku ke klinik Batu Gajah atau Gopeng.

Menjelang Asar aku terpaksa memohon diri kepada Ujee & Mun. Demam sejukku amat kuat ketika Zuhur, menjelang Asar agak reda. Selang beberapa minit aku tiba di rumah Opah Bi, Wan Bidah sudah datang dengan kapcainya.


Azim terpaksa guna pelampung jika tidak banyak ranting di dasar paya yang akan menyangkut mata kail... paya yang aku pergi & ketegor dek puteri Bunian itu jauh lebih jernih airnya dari paya ini.

" iDAN cari paku iDAN... " Sebaik sahaja Wan Bidah duduk di meja makan dengan piring yang berisi air.

" Nak betapa batang paku? "

" Sebatang sahaja sudah cukup "

Tak jauh beda cara bertemasnya Wan Bidah. Air dalam piring sama, kecuali paku. Arwah Apak tak pernah guna paku. Wan Bidah meletak paku sebatang & nampak dia seperti membaca jampi serapah.

" Semalam pergi ke mana iDAN.. demam ini pasal kes semalam "

" Memancing... tak jauh dari Redang Sawa "

" Ketegor ni... Taman dia tu iDAN kacau, dia marah "

" Siapa? ... "

" Orang tua perempuan "

Aku teringat mimpi aku, aku terbayang emak Puteri Bunian.

“ Ibu tak izinkan dia makan ikan yang dia tangkap… kalau puteri memenangi dia carilah silauan yang boleh buat dia cepat meninggalkan taman kita…” Ayat itu tergiang di telingaku. Ayat dalam mimpi.

Aku cuba ingatkan wajah bujur sireh Puteri Bunian. Payah nak ingat lagi wajah Puteri Bunian. Emmm kata orang tua-tua kalau kita ingatkan seseorang & amat payah nak ingat wajah dia, pastinya dia rindu & ingatkan kita. Wah.. dah perasan aku ini.

" Minum air ini, tanda pohon maaf, insyaAllah nanti iDAN akan pulih "

Aku terus minum air dari dalam piring yang dihulur oleh Wan Bidah.

" Paya yang mana satu iDAN pergi ni? "

" Paya yang banyak batu-batu tertujah timbul & bersebelahan dengan paya yang ada pokok bakung banyak anggerik kat situ "

" ooo padan ler, memang paya itu keras sikit, tiga tahun lalupun ada anak orang Redang Sawa mati lemas di situ " Aku diam sahaja.

Aku ini memang redah sahaja, tak tanya orang tempat nak pergi itu bahaya ke tidak. Balik kampungpun setahun sekali. Memang tak tahu perkembangan sebenar Desa Tualang ini. Apatah lagi kampung di persekitarannya.

Mila tersenyum sebab aku tak sibuk lagi merayau mencari lubuk mengail. Azim sibuk bertanya bertanya bila lagi ayahnya hendak pergi memancing. Magrib itu aku tak demam lagi. Makan malam pun berselera. Tak muntah-muntah lagi. Opah Bi masak Asam pedas ikan lampam.

Aku terkenang akan Wan Bidah; memang dia anak kepada Arwah Pak Abu Bakri, semua orang-orang kampung tahu... handal ilmu Pak Abu ini. Ramai orang bercerita pasal Pak Abu. Berbagai ilmu dia ada. Orang kata jika dia teringin nak makan gulai ikan Baung, dia cuma menautkan saja kailnya di Sungai Keruh, kemudian dia akan terus ke Kota Bharu mencari bahan rempah ratus untuk gulainya. Balik dari Simpang ( Terkadang Kota Bharu itu orang kampung aku panggil Simpang ) pasti kailnya tadi akan mengena ikan Baung. Jadi tak hairan Wan Bidah handal dalam hal perdukunan ini. Paku & air itu rasanya tak penting. Percaya dengan bertemas, Paku, Bawang, Limau Nipis, Kunyit Hidup, Jampi penawar boleh menyembuh penyakit akan boleh jatuh syirik; sekadar ikhtiar, sembuh, pulih, adalah keizinan Allah Azzawajallah itu yang pasti.

Aku teringat akan paya yang penuh batu-batan dengan kembangan anggerik, megar hijaunya bakung belibis yang terbang, bangau berkawan. Teringat akan haruan dicelahan samai. Teringat akan Puteri Bunian... tapi amat payah untuk ingat akan wajah bujur sirehnya, amat payah untuk kukenang akan mata yang galak untuk kutenung. Aku rindu amat ingin ke Tamannya lagi, tapi bila!.

- Selesai

Istilah:

Ketegor = Sampuk


antara respon di Forum Pancing

01/01/2007
JoranPanjang.
aduh....
bila membaca cerita tu seperti teringatkan seseorang yang punya aroma penulisan seperti itu.... tuan nuri angkasa....
gaya penampilan yang membuatkan orang tak lekang dari terus mengikutinya...
tahniah.....

12/21/2006
CoolFish
pasal puteri bunian...
kita cuba untuk membuat pilihan tapi akhirnya bukan kita yang memilih.
mungkin alam nyata orang tidak mengenali kita.. tapi alam yang lain mungkin dia tahu asal usul kita. Tak salah untuk mengenal, tapi salah untuk dikenali.....
budi bahasa amalan yang mulia.
teruskan menulis...carilah apa yang tidak dicari.

12/19/2006
Krogoth
Terpesona teman dengan cara penyampaian & jalan cerita yang begitu menarik!!!
Terharu bila membaca cerita Kg Bakap.......kampung arwah ayah teman. Tempat di mana teman belajar memancing.....kampung yang indah yang telah hilang dari muka bumi!!


Sabtu, 30 Disember 2006

DIINTAI PUTERI BUNIAN 3 ( Siri Famili )


Episod iii

Aku yang tadinya masih ada perasaan berani jadi tak keruan. Maklumlah sendirian di hutan. Seluruh badan bagaikan terasa kejutan elektrik. Bila terlampau takut sememangnya aku rasa begitu.

“ Kena balik, tambahan orang tua-tua berpesan jangan berhujan panas, nanti dapat sakit kepala & perbagai kejadian tak elok ” Aku masih melihat akan haruan yang agak aneh itu & matanya jelas tajam merenung aku.

Kejadian aneh, bauan & lintasan perkara yang pelik di hutan memang perkara biasa bagi mereka yang kerap berekspedisi. Mana ada manusia dapat mengesan jin, syaitan & perkara ghaib secara nyata. Cumanya kita kerap melihat insani kerasukan. Kerasukan itu bagiku adalah gangguan syaitan namun pasti ada ubatnya. Sebelum terubat sememangnya yang empunya diri akan menderita seperti terkena santau & perkara sihir yang lain.


Azim memerhati sekitar Kg Bakap yang telah ghaib kini hampir separuh telah dimamah lombong. Saban hari di sini akan kelihatan ramai pemancing melontar umpan menaikkan pelbagai spesies ikan.

Aku pulang ke rumah telah hampir magrib, cepat-cepat mengambil sembahyang. Sembahyang jamak & Qashar sebab aku masih tempuh musafir. Semasa ambil air sembahyang aku telah rasa badan sejuk semacam. Rasa kejutan elektrik semasa terperanjat dengan kejadian, hujan panas & kepenatan mungkin membuatkan aku diserang demam sejuk.

Ketika maghrib aku rasa amat kesejukan tapi rasa di dahi terlampau panas. Demam. Aku menelan dua biji panadol & menyapi minyak angin di dahi & tengkuk.

“ Harap-harap tidak melarat demam ni…”

“ Eloklah tu, kalau balik kampung tak puas-puas pergi masuk hutan memancing, entah-entah sudah kena sampuk” Sindir Mila isteriku.

Aku makan dengan lahapnya daging manis haruan, keli, ikan talapia yang tak terasa langsung akan hanyirnya. Memang benar kata Opah Bi. Tak sama rasanya dengan yang dibeli di pasar.

“ Gulai tempoyak yang Opah Bi masak memang paling sedap di dunia..” Bisikku di meja makan. Semua senyap melayan selera.

Nampak Azim & Anif tak henti-henti menambah tempoyak. Azim tak kuat makan pedas, tapi Anif boleh tahan cicah sambal belacan. Opah Bi duduk di bangku sebelah dengan rokoknya. Jarang aku dapat melihat orang setua Opah Bi merokok, apatah seorang wanita.

“ Wan Bi tak lapar lagi ke… makanlah sekali!” Sapaku apabila melihat Opah Bi menung panjang. Dia menyedut rokoknya sedikit-sedikit tak segelojoh aku. 555 payah nak cari rokok tu. Asapnya pun tak semerbak surya. Sejak kecil aku panggil Wan Bi, tak seperti lain-lain adik beradikku panggil Opah Bi … Mak Bi.

“ Makanlah iDAN nanti .. nanti kalau Wan Bi lapar.. Wan Bi makan sendiri” Bab makan sendirilah yang buat aku jauh melamun. Memang hidup Opah amat sunyi sejak pemergian Apak. Anaknya yang tunggal … Yoep Zaini sememangnya jarang menjenguk dia. Sesekali AC Mizal balik memang dia amat gembira, gambar dua cucunya memang asyik ditatapnya. Terletak dalam almari cermin. Album, majalah IBU yang ada gambarnya menantu kesayangannya Shafnie amat disayanginya; tak nampak renyok pun.

Ikan masin tenggiri jeruk hampir habis aku cubit. Aku lihat Mila pun bertambah bukan sekali dua. Tak sangka orang jawa suka masakan orang Perak. Ulam pucuk Sentang, Mengkudu Hutan, pucuk Kadok & banyak lagi pucuk memang penuh satu mangkuk plastik besar. Azim yang rajin mencuba, itupun atas rekemen ayahnya; mana pucuk yang tak maung atau pahit. Ulam Raja, Silom, Pegaga bolehlah Azim tu makan. Anak-anak yang lain ayahnya letakkan ulam dalam pinggang pun pasti akan diletak balik ke pinggang ayahnya.

Lepas makan aku rasa tak sedap perut, terus meluru ke bilik air.

Hemm… semuanya makanan yang aku makan terlampau lahap tadi keluar, aku muntah. Kenapa? Aku tak berani nak cerita pada Mila aku muntah; Lepas termuntah aku cuba menjamah putu piring yang Opah buat, cuba telan dengan kopi O yang memang kelaziman dia akan buatkan. Lihat Putu Piring di meja aku mencongak sendiri;

“ Bagaimanalah Wan Bi nak untung berjual Putu Piring dengan harga Cuma 10 sen…” Aku berbisik dalam hati. Kelapangan memang Opah Bi menjual Putu Piring, tapi yang aku rasa terkilan harganya tak pernah dinaikkan sejak berzaman.

Nasib Putu Piring juga sama, habis terkeluar.


Permandangan yang lazim di Desa Tualang

“ iDAN Wan Bi nampak iDAN ini lain macam saja, tadi muntah kat bilik air kan..?”

Aku mengangguk.

“ Esok Wan Bi panggil Wn Midah tolong tengukkan takut apa-apa masa iDAN masuk hutan tadi ” Desah Opah Bi.

“ Tak apa-apa Wan Bi, badan tak sihat, cuaca panas kut; esok pagi baiklah kut ” Aku lihat Mila sudah tidur, ternganga mulutnya entah dia mimpi pulang ke Meru. Nampak Azim sahaja terkebil-kebil nonton TV. Afiz yang kurang sihat memang telah berselimut. Angah memang tepat waktu tidurnya; tak kan boleh celik jika jam melewati jam sepuluh.

Rutin harian aku pulang ke kampung beginilah. Opah Bi dengan 555nya aku pula dengan Suryanya berbual panjang, terkadang sampai jam satu dua pagi; Banyak sangat yang ingin diluahkan oleh Opah Bi. Terutama tentang Yoep Zaini, masalah Abang Din (Telah arwah kini) Zareen adik AC Mizal & cucunya yang lain. Dia juga banyak bercerita kisah mudanya, kaum kerabat dia; memang tak habis cerita.

Opah Bi bagiku adalah pengganti Arwah Emak, semasa emak ada, aku tak serapat mana dengan Opah Bi, tetapi sejak emak meninggal lantaran Opah Bilah isteri termuda dari tiga isteri Apak yang tinggal sekampung; Jadi memang ke rumah Opah Bilah aku bermalam jika pulang ke kampung. Rumah pusak memang kian reput. Tiada penghuni.

“ iDAN pergi tidurlah, badan tu tak sihat, haripun dah lebih jam dua belas ini..”

Aku tak banyak membantah. Terus ambil bantal & berselimut di sebelah Afiz. Semua telah lelap, Opah Bi menutup TV & masuk ke biliknya.

Ini antara puluhan kolam@tasik bekas tapak lombong sekitar Desa Tualang tidak termasuk paya lama yang sememangnya ujud sebelum ditemui bijih timah di Lembah Kinta

“ Ibu tak bolehlah marah dia ibu, sebab dia bukan dari dunia kita…” Sambil membetulkan ikatan sanggulnya yang berhias bunga tanjung yang telah diikat rapi. Memang seorang gadis yang cantik, wajahnya bujur sirih, matanya bersinar bagaikan mentari pagi. Rambutnya agak berketak-ketak menutup separuh dahi.

“ Dia kacau taman kita, dia tangkap ikan kita, ibu payah nak maafkan dia..” Secantik anaknya, tak nampak tuapun.

“ Ibu kenalah sabar, nanti dia akan melayanglah pulang, takkan dia sampai nak bermalam di sini..”

“ Ibu tak izinkan dia makan ikan yang dia tangkap… kalau puteri memenangi dia carilah silauan yang boleh buat dia cepat meninggalkan taman kita…”

“ Hisss...Ibu ni….”

Puteri itu memandang tajam ke wajahku; Aku terjaga; Huh mimpi rupanya, aku mencapai lampu picit menyuluh jam di dinding; Tiga pagi baru. Terasa perut aku amat kosong…

- bersambung

Tafsiran:

Silom = Daun selom kamus DBP

DIINTAI PUTERI BUNIAN 4 ( Siri Famili )

Jumaat, 29 Disember 2006

DIINTAI PUTERI BUNIAN 2 ( Siri Famili )

Episod ii.

“ Tabik datok nenek cucu numpang ngail … jangan ganggu cucu! ” Aku bersuara perlahan. Namun haruman bunga tanjung tak redapun. Semerbaknya makin mencuit hidung.

“ Emmm… tak pergi pun petua Pak Sahak ” Pak Sahak adalah mentorku ketika kecil. Siapa tak kenal si iDAN ini memang kaki jajah hutan. Kalau tidak melastik punai daun mesti mencari limbat di paya-paya lama. Pak sahak selalu berpesan jika ke hutan jangan hirau sangat gangguan atau panggilan dari sesiapa. Kena cakap dengan dia... jangan pula senyap-senyap. Nanti “ketegor”. ( Kena sampuklah tu). Siapa pula datuk nenek dalam hutan itu. Hutan bukankah tempat jin bertendang. Aku masih tak mengalah dengan gangguan!. Anak jantanlah konon. Umpan lama tak mengena. Cuma ikan dalam jaring yang kerendam ditebing paya sesekali beriak. Keli bergaduh dengan haruanlah itu.

“ iDAN dalam hutan bukankah banyak pokok, bukan mustahil memang ada pokok bunga tanjung. Hutan kita memang kaya dengan haruman, amoi arab yang rajin pakai wangian di makmalpun asalnya minyak wanginya dari hutan belantara…” Bisik hati beraniku memujuk agak aku tidak terus berpeluh dingin. Haa ahh! memang betul, mesti dari haruman biasa; bagai amoi arab di fakulti aku... memang rajin tumpahkan minyak wangi tiap pagi; Kalau datang ke makmal mesti harum semerbaklah satu makmal bau badan amoi arab.

Aku mencapai suryaku, menyalakan api lantas menyedut & menghembus tanpa lagi menyedutnya dalam-dalam. Nyamuk,; hairan juga memang tidak berdesing pun sejak datang tadi. Kepulan asapnya surya meredah dedaun senduduk, memeningkan rempiang terliuk-liuk. Bukannya apa sengaja nak lawan wangi si tanjung dengan sang surya dari Endon. Tak selesa sebenarnya dengan haruman di hutan belantara begini. Jika haruman amoi arab itu cerita lain!!!.

“ Betul juga, hutan kita bukankah hutan tropika, hutan yang kaya. Cuma tamaknya manusia nak untung cepat, tebang semua khazanah hutan yang kaya, tanam kelapa sawit yang terkadang harganya dipermain oleh lanun dunia. Kita malas menyedidik hasil hutan yang jutaan spesiesnya, cuma tahu khaziat Tongkat Ali tak tahu bagaimana khaziat pucuk sentang, daun Semalu, pucuk Kadok, pucuk Jering, Mengkudu Hutan & banyak lagi ulaman kegemaranku.. penuh khasiat” Hati kecutku berfalsafah dalam serba salah sebenarnya. Sampai lupa akan mata kailku yang ku pasang tiga penjuru. Umpan cacing, umpan cengkerik & umpan katak sudah malas ku hayun.

"Asyik Azim saja dapat ikan bila ikan nak makan umpan Aziq ini" Sungut Aziq melihat Azim kelam-kabut naikkan ikan.
( Ikan yang terganas di dunia yang banyak merosakkan spesies ... Pikok (Peacock)lah apa lagi, Azim banyak dapat ikan ini, jika guna gewang mesti dapat yang besar seperti Ijal / Eddie / Yon dapat... sila klik bawah )

http://www.fishing.net.my/forum/topic.asp?TOPIC_ID=9492

Kumpulan awan-awan mendung yang tadinya berbincang di langit; bila nak turun, kian berarak tapi nampak tak tahu mana halatuju. Nak ribut ke? Desah hatiku. Panas yang tadi cuba menjelagakan kulitku kian pudar. Cuaca kembali suram sesuramnya. Surya tinggal puntung. Aku leka memerhati awan, wah cantik amat. Mendung disuluh remang mentari. Nampak berbagai bentuk, berubah-rubah. Nampak sekawan bangau terbang hinggap tempat belibis menangkap seluang tadi. Kumpulan bangau itu memang tak perasankan aku. Akupun sudah jadi macam spesies dia. Liar di hutan.

“ … berbau lagi, nak cari markas lain ke ni ..?” Keluhku sendirian

Angin basah dari paya datang lagi dengan haruman si tanjung. Aku memerhati arah angin bertiup. Tak nampakpun pokok bunga tanjung. Ujung tebing cuma ada pokok cenderai di hias kehijauan bakung & selerak anggerik liar. Memang cantik, putih, merah jambu & ungu. Ada tujahan batu-batan yang cantik berbagai bentuk, mentari yang terkadang mencelah awan & merona batu-batan memang amat tatarona. Terdapat beberapa pohon gelenggang dengan bunganya warna oren. Aku memang terpesona.

Aku tak berapa suka mengail di kandang itek.. Pohon Gelenggang tak memilih tempat untuk membiak

Sebut pokok cenderai aku teringat mainan senapang buluh cina, guna buat cenderai; Emak mengamok marah kerana getah cenderai payah hilang melekat di baju. Buah cenderai masak sedap dimakan, lebih sedap dari buah ceri. Zaman kanak-kanak berputar dalam pita ingatanku. Jika boleh kembali ke zaman kanak-kanak, alangkah seronoknya. Aku makin meraban.


Azim adalah juara keluarga kami, tiapkali pergi memancing dia yang akan mendapat ikan paling banyak & paling besar!

“ … isk! besarnya ikan haruan… mengapa tenguk saja katak depan mulutnya..” Aku perasan ada seekor ikan haruan timbul dari celah samai. Sardin saja tak mahu makan. Pelik!.

Hujan mula renyai-renyai, mentari terkadang mencelikkan matanya. Hujan panas. Aku memakai jaket.

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi redahan sesuatu dari celahan bakung. Nampak bakung beriak-riak, nampak bunga-bunga anggerik tergeleng-geleng di resah sesuatu. Disusuli kilat tiba-tiba & dentuman guruh yang agak ganas. Angin yang dari setiap penjuru bagaikan berkumpul ke satu arah. Di pulau bakung & anggerik bagiku bagaikan taman bunian. Aku terpaku memerhati.

“ Apa iyer… ular sawa berendam menangkap mangsa ke? ” Aku mula mencapai satu-satu pancingku.

“ Shiiirauuu… raasss… :) …” Seimbas aku melihat bagaikan ada satu bayang-bayang yang melayang; Naik melayang... bagai gadis berpakaian serba putih... terus melayang bersama bak angin puting beliung kecil berputar-putar ke atas bersama kumtum-kumtum anggerik dari desahan rumpun bakung.

Seimbas!

- bersambung

Istilah:

Ikan Pikok = kini popular dengan gelaran Ikan Raja.

DIINTAI PUTERI BUNIAN 3 ( Siri Famili )

Khamis, 28 Disember 2006

DIINTAI PUTERI BUNIAN ( Siri Famili )




Telah lebih lima ekor haruan menyambar pancing. Katak untuk buat umpan masih banyak lagi. Angin basah makin nakal menampar wajah. Sendirian mengail di paya lama ini amat mendamaikan. Sesekali apabila desah deru menggegarkan dedaun bakung aku terasa trauma, takut ular sawa yang kerap menganggu aku datang menyapa lagi.

Desa Tualang ( Nama sebenar Kampong Changkat Tualang ) yang terletak di pinggir Kota Bharu Perak sememangnya bagiku adalah syurga memancing ikan air tawar; ikan tapak lombong, seperti talapia, haruan, kaloi,tongsan, lampam, terboi & kebelakang ini makin banyak pula ikan terganas di dunia...kacukan ikan benjol kepala ( Flower Horn ) & Talapia ... ( Cuba Teka nama ikannya...! Sesiapa yang tinggal di daerah Kinta pasti tahu )

Teratai makin biak; pohon gelenggang makin subur. Jika landasan komuter berkembar siap nanti pasti semua warga kota terliur melihat lompatan ikan toman, tarian kaloi berpanas badan pun riak sepat ronggeng menari ca-ca. Sekarang tempat aku sering mengail kian diredah landasan komuter. PM dulu memang mahu cepat siapnya landasan keretapi yang bakal menyambungkan kita ke Tanah Besar China. Pak Lah yang menghalang, tetapi semalam aku baru pulang dari tanah tumpah darahku; Nampaknya semuanya disambung semula. Kampong Bakap yang dulunya telah amat permai; telah lama hilang ghaib ditelan lombong, kekinian Kampong Bakap amat cantik telah ada jejantas untuk merentas landasan keretapi; Orang KL panggil komuter!. Keretapi merentas tasik dengan kembangan bunga teratai indah permai & tentunya anak-anak akan melambai tangan ketika memancing di sisi landasan keretapi.

Kampong Redang Sawa, (Sedap ejaan kampong daripada kampung... memang menandakan ianya tidak diubah zaman) memang kampung tradisional yang tidak terusik. Ianya bagaikan pulau di tengah tasik. Damai & sepi. Di sini ramai karyawan filem hadir menimba ilham & sudut kamera yang cantik.

(Aku sedang proses menyunting gambar yang menarik sekitar Kota Bharu Perak yang terletak di Lembah Kinta. Atau lebih tepat Mukim Teja di mana ramai kalangan artis telah kenal tempat ini. Rosyam Nor, Nasha Aziz pun berbulan-bulan berkampung di sini sebab giat membuat pengambaran!. Kartunis banyak mendapat ilham di Kota Bharu, ramai tak tahu ada kubur Tun Teja di sini, jika melihat peta Perak pasti terbaca Mukim Teja... di mana Tun Teja bersemadi. (Bendahara Teja yang ini adalah kerabat di istana Sultan Perak, bukan Tun Teja yang menyintai Hang Tuah) Memang cantik panorama kampungku tetapi.. emmm kenapa aku namakan ceritera ini DIINTAI PUTERI BUNIAN

Tunggu!!

Antara panorama yang sempat kurakam di Desa Tualang... Nasha Aziz sering mandi-manda di sini ... mungkin!!

" Strissthh!!.... " Tetiba sahaja pancing bergoyang.

Mesin Ruby aku ditarik ikan, ikan apakah gerangan!.

" Huh talapia bunga lagi.. besarnya! " Desus hatiku.
Jika ikan Talapia Bunga dipancing di paya jernih memang dagingnya amat manis.

Opah Bi ( Telah kembali ke Alam Baqa kira-kira 5 tahun Tahun 2000 ) kata ikan talapia yang kukail manis dagingnya, tak seperti ikan talapia yang dia beli di pasar. Hanyir; Memanglah manis, sebab tempat aku mengail sememangnya jernih airnya. Paya terbiar, paya lama yang terpencil. Penuh samai & anggerik liar yang amat megar. Aku main redah saja semak-samun, aku sendiri tak tahu apakah paya yang aku jejaki itu ada ikan atau pun sekadar berudu membiak. Sejak aku kecil aku memang pengembara hutan yang aktif. Jika tidak melastik punai daun aku akan mencari ikan keli atau limbat yang makin pupus.

Aku tak suka mengail di kolam kandang itek. Airnya pun selalunya amat keruh berkelodak, maka itu ikannya akan rasa hanyir. Bagaimanapun Boleh hilang hanyir itu jika pandai basuh dengan asam; masak asam pedas taruh belimbing buluh. Memang amat rugi mereka yang menolak ikan air tawar. Aromanya gulai ikan air tawar teramatlah sedapnya. Jika orang Perak, bayangkan dapat menjamah, ikan lampam masak tempoyak. Jika masih tak sedawa lagi.. Isk Pak Mertua lalu pun pasti tak sedar.


Boleh hilang hanyir itu jika pandai basuh dengan asam; masak asam pedas taruh belimbing buluh.

Awal petang tadi cuaca agak redup, sejak dari rumah lagi aku perasan hari seakan mahu hujan; Maka bilamana Azim begitu minat ingin menemani aku mengail aku membantah. Apatah lagi aku akan menyusur semak-semak. Aku tak mahu Azim akan calar-balar dicakar resam, duri banong & miang dengan lelalang juga rempiang. Afiz memang tidak sihat sejak dari Jenaris. Aziq & Anif leka main jongkang-jongkit.

Haruan, talapia, keli ikan terboi kian memenuhi karungku. Surya kian susut dari kotaknya. Aku meneguk air kosong yang telah hampir ke dasar botolnya. Sambil melihat belibis menangkap ikan seluang.

Bangau... kerbau bagaikan tidak mahu berpisah. Gambar diambil oleh Aziq di perjalanan dari Batu Gajah ke Desa Tualang.

" Bau apa pula harum amat datang dari hujung paya ini " Aku berbisik sendirian.

" Ah.. biasalah dalam hutan bila deru terbang dari tiap penjuru mestilah perbagai bauan bunga belakar akan terhidu " Jawab hati berani aku lagi satu.

Aku sebenarnya memang tidak selesa dengan bauan wangi yang entah datang dari mana. Ungunya bunga senduduk nampak megar. Melambai-lambai aku tiap kali dibelai angin. Aku menyedut suryaku dalam-dalam & melepaskan kepulan asapnya dari celahan belukar. Aku mencapai beberapa biji buah senduduk, menguyahnya dengan lahap. Kelat. Tapi Sedap. Meneguk lagi air kosong.

Aku mencapai beberapa biji buah senduduk, menguyahnya dengan lahap

( Senduduk berkhaziat untuk luka dalam seperti wanita lepas bersalin, kini telah ada di pasaran herbanya yang boleh dibuat ubat; buahnya yang masak juga amat mujarab luka di bibir@pecah mulut boleh dimakan terus begitu sahaja, MARDI banyak mengkaji akan perbagai herba malahan jika ke melayari internet pasti terjumpa pengeluar herba.

Bau wangi yang semerbak makin kuat, serentak itu bulu roma aku terasa meremang. Aku mengurut-ngurut tengkokku. Berjerutu & terasa peluh dinginku.

" Puteri yang wangi, janganlah ganggu aku hendak mengail... " Aku bersuara pelahan.

Serentak itu awanan yang tadinya mendung kian berarak lalu, mentari kian tampak di ujung pepohonan. Daun buluh nampak bergegaran. Terliuk-liuk disapa angin yang tak keruan arahnya. Cahaya mentari jatuh dari celahan senduduk, resam & rempiang mengintai aku. Belibis terbang lari ke celahan bangau yang leka jauh di tapak lombong bersama sang kerbau. Aku makin tak sedap hati.

Bau wangi seakan bau bunga tanjung masih semerbak..!

- bersambung

Istilah:

Samai = rumput dalam air berdaun halus & cantik.
Rempiang = sejenis lalang besar berbunga di pelepah yang tinggi.
Duri Banong = pokok berduri yang besar batangnya memanjat pokok lain.
Bakung = sejenis tumbahan dalam air daunnya lebar panjang celah daunnya yang tebal sering orkid liar tumbuh.

DIINTAI PUTERI BUNIAN 2 ( Siri Famili )