Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 1 Mei 2008

Cara beribadat secara ikhlas (Agama)


SAYA ingin bertanya bagaimana untuk kita mencapai hati yang betul-betul ikhlas sewaktu beribadat.

Saya diduga oleh Allah selepas bertahun-tahun berkahwin masih belum dikurniakan cahaya mata. Alhamdulillah, dugaan ini membuatkan saya insaf dan sedar akan kekuasaan Allah dan kini lebih banyak melakukan amal ibadat. Tetapi kadangkala saya terfikir mungkin hati saya tidak cukup ikhlas, melakukan ibadat semata-mata mengharapkan ganjaran yang diimpikan iaitu zuriat.

Saya mahu hati saya reda dan ikhlas beribadat kerana Allah semata-mata dan bukan untuk mengharapkan ganjaran. Boleh Dr berikan panduan bagaimana untuk mencapai keikhlasan sedemikian?

HANI,
Selangor

BAGI mencapai hati yang tulus ikhlas ketika beribadat ialah dengan mentuluskan hati dengan satu tujuan sahaja iaitu semata-mata mendekatkan diri kepada Allah (istilah Arabnya ialah taqarrub ila Allah).

Menurut Imam al-Ghazali, tingkat keikhlasan paling tinggi dalam ibadat apabila dilakukan ia dibuat semata-mata mendapat keredaan Allah.

Sekiranya tujuan ibadat tertumpu kepada mendapatkan syurga, ia dikira sudah ada pencampuran dengan tujuan lain.

Ini menyebabkan tingkat keikhlasan menurun atau hilang apabila ibadat dilakukan dengan tujuan dunia sahaja seperti menunjuk-nunjuk.

Walaupun keikhlasan yang sepenuh agak sukar dicapai, ia boleh diperoleh dengan melakukan beberapa tindakan.

Antaranya, seseorang yang sedang beribadat hendaklah menghilangkan rasa cinta kepada dunia dan menggantikan ia dengan cinta kepada Allah dan akhirat.

Dengan itu, segala gerak-gerinya termasuk makan, minum, tidur dan sebagainya bukan untuk bersenang-senang, tetapi ia dilakukan untuk mendapat kekuatan beribadat.

Selain itu keikhlasan dapat diraih apabila dapat mengawal hawa nafsu, menghilangkan kecintaan kepada dunia dan menguatkan kecintaan pada akhirat dengan penuh rasa keimanan.

Ia bermula apabila kita benar-benar menghayati ajaran Islam merangkumi kefahaman yang benar mengenai asas agama iaitu rukun Islam, iman dan ihsan.

Allah s.w.t berfirman dengan maksud: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengihklaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (al-Quran, al-Bayyinah- 98: 5)

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan