Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 5 Julai 2006

..:: Teramat Rindu - Part 3 ::..

Posted on: Jul 05, 2006 - 10:59 AM by idanradzi

Jika terusan memikirkan masalah rumahtangga, memang tiada penghujungnya. Kasih sayang seorang isteri seharusnya semakin bertambah bilamana telah meningkat usia. Seharusnya anak-anak akan menjadi pengikat kasih sayang. Bertambah erat jalinan rumahtangga. Tetapi kenapa masih ada ego dari sebelah pihak. Apakah yang dicari di dunia yang sementara ini?.

Kenapa kita lupa saat-saat bahagia. Bagaimana rebana berombak irama, sepasang kekasih diarak. Pelamin terhias indah, kamar pengantin samar mewangi. Kenapa kita lupa, jika dulu bergelar kekasih tetapi kekinian bergelar suami isteri. Kita telah tinggal di sebuah bahtera rumahtangga tetapi bilamana dilanda cabaran Ilahi; Kita bagaikan mengoyak pakaian pengantin kita. Kita bagaikan meroboh pelamin impian. Kita sanggup cakar wajah hati kekasih kita yang telah mutlak jodoh & milik kita.


Kita mimpikan pula cinta luar, cinta durjana yang membakar batin murni ikatan dari Ilahi. Cinta liar yang mencakar batin pasangan kita.

Kekinian, kali kedua aku keluar dengan Dr Bambang sebab Komputer Bimbit jenama Acernya. Belumpun sampai tiga bulan sudah meragam. Gara-gara anaknya. Kena hantar untuk dibaiki. Masih ada jaminan namun mesti lebih dari sebulan baru siap dibaiki. Cuaca di KL sama, nama lagi Kuala Lumpur, bagaikan tak mahu hilang lumpur & banjir …hujanlah sangat. Tak habis-habis hujan.

“iDAN, bagi saya bisikan dari lelaki yang menggoda isteri saya itu sekadar fatamorgana. Saya lepaskan isteri saya pergi dengan penuh keyakinan, sesungguhnya isteri saya itu hanya sekadar mengejar fatamorgana. Fatamorgana itu iDAN tak mungkin tercapai. Untuk menggapainya pun saya tidak yakin dia akan mendapatnya Jika tercapai pun pasti isteri saya akan menyesal nanti. Di mana mahu dibuang kasih ibu terhadap tiga anak saya? Itu yang saya nak cakapkan dengan isteri iDAN. Saya tak mahu lantaran kita mengikut desahan & sepi hati kita. Anak kita jadi mangsa. Memang saya amat bungkam sekarang mendengar tangisan anak bungsu saya… nun jauh di seberang. Saya tak dapat nak dakap dia iDAN. Rengekan dia, sedu sedan dia iDAN memang amat merobek hati saya”

“…”

Aku bisu. Aku gigit mentol Surya. Basah. Aku rasa kelopak mata aku panas. Merah. Kawal perasaanmu iDAN. Aku sedut pekat asap, dalam-dalam. Dari cermin Kancil titis hujan semakin deras, sederasnya cinta seorang perempuan beralih pergi.

Aku nampak bayang diriku berumur lima tahun disuram hujan.
Aku nampak wajah arwah ibu.
Aku nampak wajah arwah ayahku resah kehilangan dua isterinya.
Aku nampak wajah isteriku yang amat berbalam.
Aku nampak anak bungsuku Hazim.
Aku teringat kata-kata Dr Bambang ingin ketemu isteriku.
Aku nampak segala kepayahan & keperitan.

Memang keinginan Dr Bambang untuk menemui isteriku satu niat yang ikhlas. Tapi aku rasa dia tidak akan dapat menyelami sepenuhnya keadaan & konflik yang berlaku. Belum pasti Kak Mila itu dapat menerima nasihat dari orang yang dia tidak kenali.

Aku lain. Dr Bambang lain. Masalah aku lain. Masalah Dr Bambang lain. Tak payahlah hendak campuradukkan masalahku & masalah Dr Bambang.

Aku tiada kesempatan mahu bercerita panjang masalah keluargaku. Aku sibuk dengan pemantauan makmal, Dr Bambang pula sibuk dengan pelajar, rayuannya untuk menyambung kontrak cuma dilanjutkan hingga ke November 2006. Setelah itu mungkin kami tidak ketemu lagi. Masa itu tentunya aku tidak akan tertekan dengan masalah kronik begini. Bertubi-tubi. Harap-harap begitu.

“Saya rindu amat pada anak saya yang bungsu… iDAN”

Sedutan rokok Surya makin dalam. Sambil menyedup asap semahu-mahunya, Dr Bambang meneguk teh yang sentiasa dibawanya dalam botol.

“Kesian dia, rindunya kepada ayahnya sampai menangis di telefon memang menggangu fikiran saya.” Entah berapa kali dia sebut perkara sama. Aku tahu memang Dr Bambang hendak lepaskan resah yang sesak di dada. Biarlah.

“Masa anak Dr itu berpisah dengan Dr… umurnya berapa iyer?”

“Tujuh tahun.”

“Emmm tentunya dia masih ingat saat perpisahan itu. Masa saya umur lima tahun saya pun berpisah dengan emak saya. Semuanya masih jelas dalam ingatan. Masa itu emak lari rumah sebab ayah saya kawin tiga…” Aku teringat arwah emak, lari ke Taiping. Kelam stesyen keretapi Malim Nawar mengurung jiwaku. Aku mencari kasih emakku di sana. Aku masa itu umur lima tahun, anak Dr Bambang pula berumur tujuh tahun semasa berpisah dengan ayahnya. Payah mencari kasih ibuku seperti payahnya anak Dr Bambang mencari kasih ayahnya.

“Kenapa dia sahaja yang mahu mengikut ibunya?”

“Dia masih mentah iDAN, dia yang memilih untuk ikut ibunya. Yang lain tahu perangai ibunya. Maka itu mereka tak mahu ikut ibu mereka ke Bandung.”

Jalan menuju Dataran Merdeka semakin sesak. Aku nampak Dr Bambang makin gelisah. Hujan pula mencurah-curah. Sudah lebih sejam kami terperangkap dalam kesesakan. Memang KL padat dengan kenderaan, bilamana cuaca hujan tentunya kenderaan tidak lancar makin tenatlah jadinya.

“Pak Subari ada cerita pasal surat yang Dr tulis. Masa bila Dr beri surat itu pada isteri Dr, di rumah atau semasa di lapangan terbang?. Apa nasihat Pak Subari bilamana mendengar Dr nak ceraikan isteri Dr?” Sekadar mendapat kepastian biarpun aku tahu Pak Subari menentang segala tindakan Dr Bambang.

Pak Subari masih belum menyiapkan PhD dia di fakultiku. Pak Subari memang telah lama kenal baik denganku. Selalunya pelajar luar memang lebih rapat denganku berbanding dengan pensyarah. Sebabnya memang kami selalu jadi Jampuk berjaga malam.

“Pak Subari memang tak benarkan saya menceraikan isteri saya. Dia kata nanti dulu, sabar dulu. Biarpun dari perbuatan isteri saya memang sudah patut sangat saya membiarkan dia pergi. Batas kesabaran suami terkadang ada hadnya iDAN” Dia memegang kemas stereng kereta. Menukar gear rendah & menekan-nekan pedal minyak.

“Isteri muda saya pun tidak mahu saya ceraikan madunya. Jangan lafazkan cerai, kecuali dia yang sungguh-sungguh meminta cerai… pesan isteri muda saya”

Aku menyalakan sebatang lagi rokok, entah kali yang ke berapa batang. Aku merenggangkan sedikit tingkap, agar asap rokok tidak terus menyesakkan dada sesama kami.

“Tentang surat itu memang saya keberatan untuk menyerahkannya. Bila dia minta dari awal kami bertolak ke lapangan terbang. Saya bilang nanti di mahkamah saja saya akan serahkan surat itu. Cuma surat itu memang saya bawa bersama semasa menghantarnya di lapangan terbang.” Dr Bambang terusan membuat penyelasan.

“Maknanya semasa itu cuma Dr, anak yang bungsu & isteri Dr sahaja di kereta?.”

“ Haa ahh… kami bertiga saja, yang lain tidak ikut ke lapangan terbang. Dalam mobil dia berkeras mahukan saya mencerai dia, dia yang beriya-iya sangat mahukan surat yang saya tulis itu. Surat jatuhnya talak jika dia tetap dengan keputusan dia mahu pulang sendirian ke seberang. Saya kasi surat itu dalam mobil… bilamana dia terusan mendesak untuk memilikinya. Memang hati saya terluka dengan segala SMS isteri saya, saya tak dapat terima keujudan seorang lagi lelaki dalam diri isteri saya. Biar SMS, biar e-mel sekalipun yang datang melamar kasih dalam rumahtangga saya. Saya bukan cemburu buta, tapi itu tandanya cinta dalam rumahtanga saya telah roboh” Aku diam saja.

“Memang patut saya biarkan dia pergi tapi saya keberatan nak berpisah dengan dia. Malahan saya tetap memujuk dia. Saya bilang tak ada ruginya duit tambang ke Bandung telah kita beli, batalkan saja kepulangan, kita buat hal hidup di Malaysia. …namun dia berkeras juga nak pergi.” Aku terus berdiam diri saja, aku tahu memang Dr Bambang mahu lepaskan semua resah dia.

Lama kami melayan perasaan masing-masing. Aku terfikir apakah memang benar isteri Dr Bambang telah berpindah kasih. Terpedaya dengan pujukan mas joko itu?.

“Emmm.. bila agaknya dia buka surat itu iyer Dr”

“Entahlah iDAN ..tak tahu bila dia buka surat itu, saya perasan dia capai surat itu & terus masukkan dalam tas tangan dia, memang nekad nak tinggalkan saya.”

“Saya rasa dia buka di dalam pesawat. Maka itu dia tidak boleh berpatah semula.” Saya meramal sendiri.

“Emmm dia tidak pernah bercerita pasal surat itu, tapi saya pasti bukan di KLIA, jika dibuka semasa menunggu pesawat mungkin dia boleh pertimbangkan untuk patah balik Maka kami masih bersama.”

Aku melihat air banyak bertakung sekitar puduraya. Harap-harap tidak banjir. Jam menunjukkan pukul 7:05 malam. Sesaknya jalanraya, aku terbayang akan anak Dr Bambang. Macam aku menangis semasa umur aku lima tahun. Pasti wajahnya redup rindu amat akan ayahnya. Macam aku resah kehilangan ibuku dulu. Bagaimanakah Dr Bambang akan dapat menemui anaknya?. Memang perceraian hanya memisahkan kasih sayang anak & ayah; anak & ibu. Dua hati ibu atau ayah mungkin akan puas, tapi hati anak-anak... bagaimana?. Berulang-ulang pertanyaan itu melilit hatiku. Aku lemas sendiri.

“Memang silap kita ikut jalan ini iDAN” Dr Bambang mula tukar perbualan.

“Mana kita dapat menduga kesesakan jalanraya di KL ini Dr...”

- bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan