Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 30 September 2012

Tingkap Itu Sumber Ilham

Semasa kecil lagi; aku suka meletakkan meja tulis di tepi tingkap. tak kiralah permandangan bagaimana. Janji mata jika penat menulis atau membaca dapat tenguk apa ada di luar tingkap. Damai.

2. Semasa kerja pun sama aku akan cuba ubahsuai bilik yang meja tulisnya bersebelahan tingkap. Rasa terkurung jika berjauhan dengan tingkap.

3. Tak suka meja kosong; paling tidak aku mahu ada barangan hiasan. Tak kiralah apa jua barangan. Botol salah satu barangan yang aku sayang. Botol kicap lama; botol minyak wangi. Yang menjadi masalah botol arak sering cantik belaka. Disimpan orang kata awak ni kaki arak. Tapi aku menghormati/ menyayangi botol. Jika kita buang botol tanpa dikitar semula dunia akan tercemar.

4. Di Jenaris ni aku tinggal bersama anak-anak di kamar panjang. Sebab kamar ini yang ada penghawa dingin. Meja komputer ini di sisi tingkap belakang. Cumanya permandangan belakang ini serabut. Dua-dua jiran sebelah belakang (blok lain) orang india sebelah kiri suka simpan barangan lama. Kayu, genting, batu-bata, suaminya selalu tak berbaju; anaknya ada dua orang yang aku cam; seorang agak gempal kuat merokok; seorang lagi macam belasan tahun minaci; jarang nampak, selalu sabtu & hari minggu sahaja muncul dia. Isterinya rapat dengan anjing belaannya; anjing comel kecil nampaknya sentiasa dalam rumah.

5. Sebelah kanan aku tak pasti; sebab penghuni nya tak nampak keluar belakang rumah; ada anak lelakinya kadang-kadang kemas belakang rumah. Buat masa ini nampak semak sangat. Bagusnya berjiran india ni mereka tak pernah ganggu aku. Berbual pun jarang. Bila aku buat stor zink suami jiran sebelah kiri; sekadar bersapa & berpendapat. Ayooyoo rugi ooo buat cam ni; kenapa dia kata RUGI entahlah; Itu saja bajet yang ada. Isterinya pula menyukai bentuk stor zinkku nampak melengkong & kelainan. Ada tingkap kaca. Katanya nampak santai & moden. Dua pendapat laki bini yang kontras. Ala stor takkan nak buat anggun sangat.

PESARA TERPINGGIR

Dalam perniagaan Pati Delima yang baru Mila ceburi nampaknya mendapat sambutan yang baik oleh rakannya. Ini hasil cadangan aku sebab Pati Delima memang banyak membantu aku dalam masalah sakit kronik yang kritikal.

2. Sebenarnya selain Pati Delima ada banyak lagi jualan secara terbuka yang dapat membantu rakan kita yang sakit. Jangan dera rakan yang sakit dengan jualan secara langsung MLM. Dengan kos yang mahal pasti membuatkan poket rakan kita sakit. Sakit bertambah sakit. Ada rakan Mila beli RM18 sebotol tapi kami menawarkan lebih murah RM15 lantaran kami tiada lesen berniaga cuma sekadar usaha membeli secara borong.

3. Aku sempat mencungkil hati budi dalaman orang yang berada. Selalunya isu semasa bajet 2013 menjadi agenda utama topik perbualan. Terpacul dari mulut Mila tentang bonus yang bakal pesara dapati. Bagiku memang itu perkara rutin sejak lama. Isu yang lebih menarik adalah pesara yang dapat pencen di bawah RM800. Yang berkhidmat 25 tahun. Akan mendapat pencen minima RM800. Syukur.

4. Ada juga suara yang terdengar, takkan orang lepasan Sekolah Rendah atau SRP nak sama pencennya dengan SPM. Alahai ada ketika kita ni lupa; semasa golongan ini menanda tangani Surat Perjanjian Perkerjaan; rata-rata mereka mendapat opsyen Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK).. ada orang sebut Gaji Kabinet.

5. Antara yang tertera adalah dua tahun pengalaman kerja menyamai setahun pembelajaran. Jika LCE/SRP mengambil masa 3 tahun; enam tahun berkerja pemegang Sijil Tammat Darjah Enam dah layak dipertimbangkan ke tangga LCE/SRP. Sebab itu dahulu ada pepereksaan khas. Samalah bagi SPM nak naik ke jawatan Diploma; setelah berkerja enam tahun layaklah dia menjawat jawatan di tangga/skim gaji Diploma. Ada peperiksaan khasnya. Ini dinamakan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan. (KPSL).

6. SSB atau SSM atau apa jua sistem baru semestinya tidak menolak KPSL ini demi menjaga kebajikan golongan pekerja ini. (Tak ramai mana pun lagi) HABIS tu apa pula timpulnya suara yang mempersoalkan pencen pesara ini tak boleh sama dengan pemegang SPM, Diploma malahan Ijazah sekali pun jika memang mereka ini pekerja cemerlang. 25 tahun mereka berkhidmat untuk negara. 25 tahun pengalaman mereka tak CUKUP hebatkah?. Takkan manusia/insan/hamba Allah ini kita nak kastakan. Cukuplah tenaga mereka dikerah selama 25 tahun. Golongan elit sentiasa mendapat LABA yang berganda sejak di zaman berkhidmat lagi. Takkan sampai bersara malahan hingga ke LIANG LAHAT kita anak sebut-sebut juga status warga marhaen ini yang aku anggap semua dah pangkat ayah atau ATOK buatku.

7. Berbalik dengan Pati Delima tadi percaya atau tidak jika rajin menjualnya dalam sebulan boleh laku sekitar sekotak 24 botol. Bermakna bersamaan setahun punya kenaikan bonus pencen tapi berusaha sikit membeli secara borong & menjual ikut harga pasaran tempatan.

Rita Rudaini syukur menang hak penjagaan anak-anak




Hanya rasa syukur yang dapat dipanjatkan aktres Rita Rudaini kepada Ilahi, Selalu lalu, selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan permohonan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak untuk mendapatkan hak penjagaan (hadanah) ke atas dua anak mereka.

Menurut Rita, sehingga kini, dia tidak mempunyai apa-apa perancangan berkaitan rumah tangganya dan akan mengikut sahaja rentak Aidil berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Bagaimanapun katanya, kemenangan itu juga menjadi pendorong buatnya untuk terus memperjuangkan maruah diri dan anak-anak.

"Saya rasa amat bersyukur kepada ALLAH SWT dengan keputusan yang diputuskan mahkamah Selasa lalu. Saya tidak takut kerana saya tidak pernah membuat apa-apa kesalahan dalam rumah tangga. Saya juga yakin,
ALLAH SWT sentiasa bersama saya dan anak-anak.

"Saya berdoa agar ALLAH menolong orang teraniaya seperti saya dan anak-anak. Saya cuma ingin buktikan saya tidak bersalah," katanya menerusi sistem pesanan ringkas (sms).

Selasa lalu, Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menerima bantahan awal Rita berhubung status pemastautin pemain bola sepak kebangsaan tersebut dan Aidil gagal membuktikan yang dia tinggal di USJ Subang Jaya kerana tidak mengemukakan alamat tempat tinggal secara kursus kepada mahkamah.

Selain itu, Mohamed Fouzi juga memerintahkan Aidil Zafuan membayar kos RM3,000 kepada Rita.

Jumaat, 28 September 2012

Penyair Idanradzi MENGANDUNG Siri 2


Jumaat pagi: makin teruk rasanya badan ini. Semalaman tidur sendirian mimpi lebih menakutkan; siap ada hantu yang cuba menganggu. Terjaga jam 3:00 pagi; tak berani tidur ngadap tingkap. Beralih ke katil anak-anak yang kosong.

2. Selepas subuh mata tak boleh celik; sempat pesan kat Azim sarapan pagi ini cari sendiri. Azim bertanya takkah selalu hari Jumaat maka

n-makan di Seremban. Hari ini Anif ada kelas sampai jam 4:30 petang. Ayahnya kena jemput sekitar jam 5:00 petang.

3. Sedar-sedar dah jam 10:00 pagi. Demam masih tak kebah. Badan masih tak bertenaga. Impian mengidam nak makan Mee Bandung Pak Jamarudin Botak masih tak kesampaian. Semalam Mila puasa dia singgah pasar malam beli Nasi Kerabu berlauk daging bakar. Buka Astro talian kena potong. Bukan masalah tak bayar tapi kesilapan pihak bank; asyik Maybank2Unya tak berfungsi.

4. Hari ini nampaknya aku sendirian memandu ke STTJ Seremban. Azim sekolah petang. Selalunya dia yang temankan aku. Agar aku tak mengantuk. Kuat tak kuat badan aku kena ambil Anif di asrama siapa nak diharapkan lagi. Memandu sendirian sekitar sejam memang amat membosankan. Habis tu nak buat bagaimana. Tak dapat nak berehat sebab jam 6:30 petang kena jemput Azim pulang sekolah.
- Pak Jamal leka bermain dengan cucunya; aku makan Mee Bandung minum Teh O Ais Limau, Ais Kosong, Azim minum Limau Ais Asam Boi, jumlah semua RM9.00 memang sedap Mee Bandung Pak Jamarudin Botak cubalah sesekali kalau ke Jenaris; gerai di Medan Satay Prima Saujana. Buka sebelah petang sampai larut malam. Pelbagai sate ada termasuk sate perut yang aku sukai.

Penyair Idanradzi MENGANDUNG.




Nak LOYA pun ada nak MUNTAH pun ada. Dua tiga hari ni macam tak kena, mabuk bagai orang mengandung. Alahai penat rasa badan. Bagaimanalah kalau sakit ini sampai 9 bulan.

2. Mungkinkah sebab alahan ubat. Lagi makan ubat ikut jadual lagi teruk. Tadi lepas hantar Azim aku terbuntang depan TV. Semalam pun sama. Tekak rasa tak larat nak makan. Perut memboroi macam sarat
mengandung anak kembar. Bam gamat disapu seluruh dahi pun tak berkesan. Pening.

3. Mulalah MENGIDAM nak makan Mee Bandung Pak Jamarudin Botak. Teringatlah nak minum Ais Krim Soda. Tak ada selera nak makan nasi. Selera meragam.

4. Malam pula asyik mimpi yang takut-takut. Entah kenapa malam tadi mimpi naik kereta Kancil putih dengan Mila. Bila aku tanya kereta siapa Mila bawa ni; dia kata kereta curi. Biar bebetul kemudian tengah jalan sesak enjin mati; penat aku ikat dengan dawai; banyak sangat hos airnya bocor. Huh. Apa nama mimpi LETIH begini. Letihnya sampai ke siang hari.

: Teringin nak mandi jeram. Jeram tak ada orang. Siapa nak tolong bawa ni.

Khamis, 20 September 2012

Penemuan Makhluk Asing Di Marikh Obama Minta Segera Diberitahu

Obama memberi arahan kepada beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang bertanggungjawab dalam penerokaan kenderaan Curiosity di Marikh, agar memaklumkan dengan segera kepadanya jika mereka bertemu dengan makhluk asing di planet tersebut.

 "Jika secara kebetulan anda bertemu dengan hidupan asing di Marikh tolong beritahu saya dengan segera," kata Obama sambil bergurau ketika dia menghubungi para saintis di sebuah makmal NASA di California dari pesawat Air Force One.

"Saya mempunyai banyak perkara lain yang perlu difikirkan namun ia (penemuan itu) akan berada dalam senarai utama saya. Walaupun ia hanya sejenis mikro organisma, saya sangat teruja untuk mengetahuinya," kata Obama.

Kenderaan robotik Curiosity itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.

Ia mendarat di Kawah Gale yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.

Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).

Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum ia tiba di Marikh.

Khamis, 13 September 2012

HSPM Ke-18 undang persoalan

Oleh Salbiah Ani

Kaedah pemilihan panel hakim biar lebih telus

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-18 yang memberi pengiktirafan kepada 69 karyawan sastera negara ini bagi tahun penilaian 2004-2005 dan 33 penerima bagi tahun penilaian 2006-2007, undang beberapa persoalan.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah pelaksanaan HSPM, membabitkan empat tahun penilaian berlangsung serentak sehingga sesetengah pengarang menganggap pemilihan karya mereka sudah basi kerana terlalu lama diperam!

Tinjauan secara rawak dengan beberapa pengarang kreatif menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seolah-olah tiada usaha mencari bahan terbitan dari luar kepompong badan berkanun terbabit.

Data menunjukkan sebahagian besar karya yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 genre cerpen dan puisi disiarkan dalam Dewan Sastera seperti yang sering berlaku sebelum ini meskipun isu serupa pernah dibangkitkan beberapa kali.

Persoalan terbabit juga pernah dibangkitkan wartawan Sastera ketika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berada di bawah kepimpinan mantan Ketua Pengarahnya, Datuk A Aziz Deraman, sehingga akhirnya kategori karya eceran diperkenalkan.

Dengan pengenalan kategori terbabit, Hadiah Sastera Malaysia (HSM) yang berlangsung dari 1981-1995, berubah namanya kepada HSPM mulai 1996/1997 dan kekal sehingga kini, sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (HKS) (1971-1976).

Selaras dengan matlamat hadiah yang bertujuan memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu, mengenal pasti karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

Nampaknya keputusan HSPM 2004-2005, tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun kategori karya eceran diperkenalkan sejak 1996 kerana hanya dua cerpen boleh dilabelkan sebagai luar biasa apabila memecahkan monopoli Dewan Sastera.

Di Bawah Langit Copenhagen karya Salina Ibrahim dalam majalah Nur pada Januari 2004 dipilih dan Siti Hajar Mohd Zaki tampil maha hebat melalui Panorama Seorang Nisa, dalam majalah tepu hiburan, URTV, keluaran 15-30 September 2005. 

Bagaimanapun, taburan pemenang untuk kedua-dua kategori terbabit menyaksikan pecahan monopoli Dewan Sastera lebih sedikit dalam senarai pemenang untuk HSPM 2006/2007 yang majlisnya berlangsung pada 18 Januari lalu.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu yang memecahkan monopoli Dewan Sastera ialah Jerebu Dalam Blog Mak Andeh oleh Fudzail, Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (Anwar Ridhwan), manakala puisi pula, Sumpah Setia Tanjung Piai (Nisah Harun) dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly).

Dua cerpen dalam Mingguan Malaysia pula ialah Cinta Puncak Sagarmatha karya Rozais al-Anamy dan Pusaka Cendana (Nisah Harun), manakala puisi yang turut diumumkan sebagai pemenang dalam akhbar terbabit ialah Malam Rosiah (A Samad Said).

Kemenangan dalam kategori drama dan esei/kritikan/kajian sastera yang dimonopoli Dewan Sastera tidak dipersoalkan, memandangkan kedua-dua genre terbabit hanya mempunyai ruangan dalam majalah terbabit dan tidak media massa lain.

Begitu juga dengan kategori buku dengan pecahan novel, kumpulan cerpen, biografi/autobiografi; kategori buku dalam bentuk novel remaja, kumpulan cerpen remaja, kumpulan puisi remaja, kumpulan drama remaja, kumpulan puisi, kumpulan drama, kumpulan esei dan kritikan sastera.

Selain kategori buku kanak-kanak dengan pecahan novel kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi kanak-kanak dan kumpulan drama kanak-kanak, tetapi tetap mengundang persoalan apabila banyak kategori yang kosong tanpa pemenang!

Ini kerana apakah benar tiada karya yang layak untuk dipilih sebagai pemenang atau sebenarnya penganjur tidak menerima sebarang pencalonan disebabkan pelaksanaan hadiah ini bermula pada tahun penilaian 2004/2005, peserta perlu mengirimkan karya mereka untuk dinilai pengadil!

Pendekatan yang memerlukan pengarang menghantar karya mereka kepada penganjur tidak sepatutnya dijadikan kaedah proses pemilihan kerana ia meletakkan status hadiah terbabit sama dengan sayembara sastera iaitu bersifat peraduan.

Tidakkah pendekatan cara ini tersasar daripada matlamat pengenalan hadiah terbabit yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karya bermutu dalam genre masing-masing tanpa mengira siapa pengkarya dan penerbitnya!

Penulis sendiri terkejut ketika dihubungi seorang pegawai DBP yang meminta mencarikan cerpen dan puisi yang diterbitkan sepanjang 2004/2005 dalam Berita Minggu untuk dinilai HSPM kerana perkara terbabit tidak pernah berlaku sebelum tahun penilaian terbabit.

Tawaran penulis agar pegawai terbabit mencari sendiri atau menghantar pembantunya untuk mengesan semua cerpen dan puisi dalam Berita Minggu sama ada melalui carian dalam talian atau potongan akhbar yang disediakan di Unit Sastera, Berita Harian, tidak disambut!

Malahan penulis juga turut menerima e-mel daripada pegawai DBP yang tidak dikenali meminta agar salinan cerpen Soleh Che Rial dikirimkan kepada mereka berserta dengan alamat penulis terbabit dan tarikh terbitan untuk penilaian HSPM 2006-2007!

Tugas mengumpul segala karya untuk HSPM bukan menjadi tanggungjawab editor di akhbar atau majalah yang mempunyai ruangan sastera kerana ia di luar bidang tugas mereka, selain selaku pengelola mereka bergelut dengan masa, apalagi jika terbabit sama dalam operasi terbitan harian!

Sepatutnya pegawai terbabit sudah ada senarai terbitan yang mempunyai ruangan sastera kerana dengan cara itu mereka dapat mengatur strategi kaedah pengumpulan semua bahan bagi tahun yang dipertandingkan dan masa dapat dijimatkan selain pengadilan lebih telus dapat berlangsung!

Seingat penulis, sepanjang menjadi wartawan sastera bermula 1993 dan sebagai editor sastera bermula 2003, tidak pernah walau sekali Sekretariat HKS, HSM mahupun HSPM, meminta salinan semua puisi dan cerpen dalam Berita Minggu untuk diserahkan bagi tujuan penilaian.

Bayangkan empat terbitan setiap bulan dan sejak setahun lalu lapan terbitan sebulan, jika dikalikan dengan 52 minggu, berapa halaman perlu dicari dan dibuat salinan untuk diserahkan kepada sekretariat bagi tujuan penilaian dan masa perlu dikorbankan atas kepentingan HSPM!

Malah, penulis selaku editor turut ralat dengan keputusan pemenang bagi tahun penilaian 2006-2007 khususnya bagi genre cerpen kerana ada beberapa karya menarik dan kritis sama ada dari segi tema mahupun teknik penulisan, tercicir daripada penilaian.

Cerpen 10 Budak Hitam yang mengkritik secara langsung gejala sosial semasa remaja dan masyarakat Melayu disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 22 Julai 2007 dan 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (2/12/2007), antara contoh yang boleh diberikan.

Pengarang veteran, Dr Fatimah Busu, selaku pengarang kedua-dua cerpen terbabit ketika dihubungi, memaklumkan kepada penulis bahawa beliau tidak mengirim salinan karyanya kepada Sekretariat HSPM 2006-2007 kerana bukan menjadi tugas pengarang untuk berbuat demikian!

“Bagi saya tugas pengarang mengarang dan menghantar ke penerbitan yang menjadi sasaran dan terserah kepada penganjur HSPM untuk mengumpulkan segala karya yang mendapat tempat dalam akhbar, majalah dan jurnal,” katanya ketika dihubungi Sastera, Ahad lalu.

Seorang pengarang muda ketika ditanya mengenai perkara itu, menjawab selamba: “Di Malaysia apa juga peraduan dan anugerah dengan peruntukan daripada kerajaan serta diuruskan oleh DBP, tidak payah hantar kerana kemenangan adalah untuk kroni mereka. Balik-balik muka yang sama.”

DBP selaku penganjur HSPM perlu meneliti perkara yang dibangkitkan memandangkan HSPM bukan peraduan dan jika sekretariat sebelum 2004-2005 boleh menguruskan pemberian hadiah tanpa mengharap pengarang mengirim karya mereka, mengapa tidak sekarang?

Selain itu, DBP juga diminta meninjau semua terbitan yang mempunyai ruangan kreatif kerana selain Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, banyak lagi akhbar tabloid dan akhbar seperti Wasilah, Siasah, Keadilan dan Harakah, kini turut menerbitkannya.

Penganjur juga perlu mengelak melantik pengarang kreatif daripada menganggotai Panel Penilai HSPM bagi mengelakkan berlakunya situasi pilih kasih, sekalipun tidak terbabit dalam penilaian karya sendiri yang turut dipertandingkan.

Sumber: Berita Harian Online