Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 19 Januari 2010

Buat seseorang (Singgahsana)

Aku jarang buka jurnal ini, tetapi sesekali aku terklik ada beberapa perkara yang menyentuh hati ini. Terutama buat Dik Ieja, yang mana aku sering buka blognya tetapi memang sejak lama tak dikemaskini. Tak sangka ada catatan sebulan lalu di jurnal ini yang begitu lama aku tak buka.

Sebenarnya dalam alam maya ini tak seramai mana pun yang rajin mengenali diri ini lebih dekat. Ramai rakan di dunia maya datang & pergi. Biarpun terkadang ada tambatan hati tetapi perginya amat tiba-tiba & tidak pun menyapa lagi. Malahan rakan sekerja pun semakin hari semakin lupakan diri ini bilamana aku tidak menyapa mereka. Tambahan orang sekarang semuanya dah guna telefon bimbit (hp); bagiku perhubungan telefon bimbit amat terbatas. Aku bukan jenis suka berSMS, menulis di hp bagiku bagaikan mengeja di tadika. Mata tak nampak pun. Makin rabun. Malahan untk menghidup akaun hp pun memang aku tidak mampu. Kut! terdesak dan aku mahu guna hp barulah aku hidupkan dua nombor ini; 016 9094343. Nombor masih hidup cumanya entah bila baru kubuka. Nyakitkan hati sahaja kalau cuba dail.

Lalu mana melalui hp akan terjalin ikatan. Tak mungkin. Maka aku memang tertinggal dalam banyak hal, hilang rakan baik di alam maya pun di dunia nyata.

tak siapa sudi nak kontak aku dengan talian tetap ini 03 87371884 biar pun ianya telah lebih 20 tahun sentiasa boleh diakses. Boleh didail.

Seyogia aku semakin sendiri, duniaku lebih terdampar di impian lapangku, terkadang aku menulis blog, terkadang aku menulis puisi; & blog yang rajin aku buka sekarang adalah di Blogspot; lantaran jurnal yang ini (easyjournal) payah dibuka sebab servernya agak lembab.


Rasanya terlalu lama Dik Ieja dalam keadaan agak melelahkan; sebab catatan lalu di jurnal ini telah berlalu hampir sebulan. Dan rasanya blog Dik Ieja juga tertinggal begitu sejak lama. Kenapa?. Dari jauh sekadar dapat mendoakan agar dia tabahkan hatinya dalam merentas dugaan hidup ini. Agar ada seseorang yang dapat menyelami hati Dik Ieja. Agar ada jalan penyudah yang akan mengembalikan hidup teratur damai & tabah.

Terkadang kita sering terfikir bagaimana kita dapat menolong seseorang lantaran batas & jarak membuatkan kita amat terhalang segala. Itu yang berlaku seperti aku mahu melihat hubungan anakku Afiz teratur dengan kekasihnya dalam bab merisik pun ramai tak faham & lain pula tangkapannya. Seolah di pihak ibunya pun masih ada batas halangan. Maka merisik jadi perkara sia-sia.

Banyak hubungan serta ikatan tak dapat dijalin erat lantaran batas & keadaan yang menghalang. Mungkin itu yang terjadi dalam hubungan yang samar di alam maya ini. Maka Dik Ieja semakin sepi, terasa semakin jauh, tak tahu pun apa khabar & kedaaannya kini?. Apatah lagi jika terputusan talian internet atau apa jua ikatan. Payah menerima hakikat ini.

Apatah lagi bila seseorang itu mabuk dengan FaceBook(FB)nya maka takkan mungkin ada talian intim di dunia siber ini. Bayangkan sebulan aku cuba aktif dalam FB aku telah boleh bertemu dengan 300 org lebih pengunjung. Mahu tak mabuk diri. Maka itu aku lebih memilih dunia Blog.

Atau aku lebih suka dengan dunia nyata bak zaman aku remaja dulu lagi. Kenal nyata bukan kenal di dunia maya. Fatamorgana.


Sedarkah kita (Singgahsana)

Sedarkah kita, dalam diam-diam kita terusan kehilangan waktu yang senggang. Kita seharian terusan dikejar kesibukan mencari duit, menampung sara hidup yang tak pernah cukup.

Jika kita congak rata-rata kita adalah jutawan sebenarnya. Sebuah rumah tangga sekarang ini jika laki bini berkerja pasti boleh dapat sekitar RM5,000 sebulan, kalikanlah 30 tahun anda berkerja. Berapa? Tidakkah RM 1.8 juta. Tidakkah kita ini semuanya jutawan. Tetapi kenapa kita bila telah bersara sekadar hidup seperti orang biasa. Mana perginya duit sebanyak itu.

Kenapa ini yang seharusnya membuatkan kita kena berfikir secara terbuka & celik mata?.

Salah satu yang paling membebankan kita adalah masalah pengangkutan. Duit pendapatan kita terlalu banyak kita belanjakan untuk membeli kenderaan yang selesa buat keluarga. Kenapa harga kenderaan ini terlampau tinggi?. Susut harga yang melampau. Tidak adakah jalan untuk mengurangkan kos kita dalam senggaraan kenderaan ini. Belum ceritera belanja tol kita & permasalah perhubungan yang lain.

Kos yang kedua tinggi tentunya rumah; harga rumah untuk penginapan keluarga kita semakin melambung naiknya. Sekarang pun telah diluluskan pinjaman 2 generasi. Kenapa ini boleh berlaku. Mahukah kita biarkan mereka dari luar membolot harta di negara kita. Kita kaji berapa ramai orang dari Singapura membeli harta tanah kita. Mata wang mereka tinggi kita pula membiarkan mereka membeli harta tanah di Tanah Melayu ini. Sedangkan kita mampu membeli semahal mana sangat rumah & harta tanah yang lain. Bagaimana kita sediakan bekalan anak cucu kita dalam mewarisi harta di negara kita sendiri.

Cuba kita selidiki status kehidupan mereka di negara maju, kenapa mereka begitu murah dalam belanja membeli kenderaan mereka. Begitu juga kos kita membeli makanan cuba bandingkan negara maju bagaimana murahnya mereka dalam membeli keperluan dapur mereka.

Kita bukan negara maju, hanya menuju ke arah itu pada pada tahun 2020 nanti; apakah kita mahu hidup di negara maju yang sebegini keadaannya. Bersediakah kita hidup dengan keadaan ekonomi yang tambah meninggi lagi.

Aku telah bersara dapat rasai kehidupan mereka di alam Pesara tidaklah semewah mana. Betapa semakin hari aku terasa semakin tinggi kos hidup terpaksa dilalui sedangkan wang persaraan tak bertambah & sebanyak mana ianya dapat menguruskan kehidupan yang semakin meminta kenaikan itu & ini.

Mesti ada jalan membetulkan ini; sebabnya ramai kalangan orang di negara kita hidup mewah tidak seperti kita yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Agihan harta negara nampaknya masih tak seimbang. Yang kaya semakin kaya yang miskin terusan terhimpit.

Kenapa kita berdiam diri & terusan berkompromi mengejar kemewahan yang menguntung golongan kaya raya ini. Kita terusan sanggup berhutang dengan kadar yang amat tinggi; sampai mati pun belum tentu hutang kita langsai dibayar. Hidup apakah ini?. Kita & anak kita dipaksa... pun terus terpaksa berhutang belum pun anak kita dapat memegang ganjaran atau gaji sendiri. (PTPTN) Kehidupan apakah ini?.

Cubalah kita kita rungkaikan bersama.


'cunnya' bahasa

Eldy | Posted on 17.2.2010 at 7:50 AM
1st time visit.. wa, mantap penulisan abg ! erm, antara kos tertinggi juga : Mas khawin xD

Jumaat, 23 Oktober 2009

? PM akan Datang (Singgahsana)


22 Oktober 2009

Saya lebih berminat untuk membawa pembaca berfikir kenapa ramai kalangan Perdana Menteri (PM) kita keluar dari parti UMNO. Sedangkan UMNO itu adalah parti paling unggul & tunggak bagi bangsa Melayu.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990)

Segala perjalanan politik Ayahda Tunku ada tercatat di sini . Apa yang menarik di sini pada 22 September 1970, Ayahda Tunku terpaksa menarik diri dari UMNO lantaran tidak tahan lagi tohmahan & pelbagai isu yang membuatkan kesihatan Ayahda merosot. Ianya lebih kepada masalah tercetusnya masalah rusuhan kaum 13 Mei 1969. Bagi kita yang pernah membaca buku 13 Mei - Sebelum & Selepas luahan hati Ayahda Tunku tersirat siapa yang banyak membuat wawasan Ayahda tergugat. Ayahda Tunku meninggal dunia di luar UMNO. Semangat 46 yang disokong Ayahda Tunku turut terkubur.

Elok juga kita baca apa pandangan orang Indon terhadap Malaysia ketika pemerintahan Ayahda Tunku di sini

“ Dalam pernyataan saya yang terdahulu tentang agama, saya telah menyebut negara ini adalah negara sekuler. Maksudnya negara ini bukan negara Islam. ”

“ Walaupun orang-orang Islam ingin menyaksikannya berdiri, tidak akan wujud sebuah negara Islam di Malaysia. ”

Tidak banyak berlakunya percanggahan pendapat semasa Allahyaraham Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) mengambil alih pemerintahan. Allahyarham lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan. Tempoh perkhidmatan 22 September1970 - 14 Januari 1976. Sila Klik sini sejarah politik Allahyarham.

PM terpendek tempoh pemerintahan adalah Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Ayahda Tun Hussein lebih banyak menumpukan perpaduan antara kaum; Beliau digelar sebagai Bapa Perpaduan.

Ayahda Tun Hussein juga keluar UMNO lantaran menyokong Semangat 46. Sila klik sini jika ingin mengikuti perjalan politik beliau yang singkat.

& PM kita paling tersohor adalah Ayahda Tun Mahathir sila baca perjalanan politik beliau di sini .
Ayahda Ayahda Tun Mahathir dilahirkan di Alor Star Kedah, Semasa Perang Dunia ke II dia pernah jual goreng pisang. Ibunya orang Klang & ayahnya Mohamad Iskandar adalah warganegara India. Sila klik sini.

Beliau adalah pemimpin paling lama berkhidmat. Jasanya tidak dapat dinafikan membuatkan Malaysia gah seantero dunia. Maka itu beliau digelar Bapa Pemodenan Malaysia.

Pada 26 September 1969, Ayahda Tun Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.

Buku Dilema Melayu banyak mengecam perwatakan bangsa Melayu. Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum.

Pada 19 Mei 2008, Ayahda Tun Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO.

Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Ayahda Tun Mahathir bersama-sama isterinya, Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula.

Untuk rekod, bekas presiden-presiden UMNO terdahulu meninggal dunia selepas melepaskan jawatan presiden di dalam parti UMNO kecuali Tun Abdul Razak, yang meninggal ketika masih menjawat jawatan tersebut. Dato' Onn Jaafar keluar dari UMNO apabila cadangan beliau untuk menjadikan UMNO parti berbilang bangsa tidak dipersetujui. Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pula meninggal dunia selepas melepaskan jawatan di dalam parti UMNO kerana berselisih pendapat dengan Ayahda Tun Mahathir yang menjadi PM selama lebih 22 tahun.

Elok juga kita baca apa pandangan orang Indon tentang pemerintahan Ayahda Tun Mahathir di sini

Paling Akhir PM kita yang keluar UMNO adalah Pak Lah.

Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Perjalanan politik Pak Lah sila klik sini

31 Oktober 2003 – 3 April 2009 Menjadi PM.

Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet. Ramai berpendapat Pak Lah adalah penyokong Semangat 46 lantaran beliar lebih rapat dengan Team B.

Kesimpulannya di sini sejak merdeka hingga kini kita mempunyai PM dari BN tetapi sebenarnya di penghujung hayat atau perjalanan PM kita ramai yang menolak UMNO. Kenapa ini berlaku?

Kenapa UMNO sering bergolak?. Kenapa mesti PM kita masih dari UMNO tetapi menolak UMNO ketika menjadi PM?

Selepas YAB Datuk Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak nanti siapa agaknya PM kita?

(Yang menjadi persoalannya apakah Datuk Najib juga mengikut jejak PM lain keluar UMNO. Rasanya mungkin tidak lantaran ayahdanya sahaja yang kekal di dalam UMNO sepanjang menjadi PM.)

Misteri ini masih terukir, kita sekadar dapat menunggu & lihat sejarah politik kita di Malaysia... bagaimana penghujungnya.

iDAN


.............
mata kail | Posted on 30.10.2009 at 4:16 PM
TAKBIR !!!!!!!Bubar Dun Perak!!!

DSNR
Sam Saharan | Posted on 24.11.2009 at 7:51 PM
Assalam alaikum Saudari Idan, Seniman tanah air, Allahyarham Tan Sri. Dr. P. Ramlee ada mengungkap lebih kurang bengini bunyinya "alif nun tendag wau, sarkas" Mungkin ini menyebabkan Umno bergolak sehingga pemimpin tertingginya keluar dari parti dan kemudian kembali masuk ke dalam parti. Pada saya terlalu awal meramal sama ada Dato' Seri Najib dapat mengamalkan gaya kepimpinan Allahyarham bapanya. Mungkin tidak. Di dalam blog saya, http://bluechip-arena.blogspot.com saya mengkritik keras Umno/BN dan mana-mana parti politik Malaysia. Namun kritikan itu saya sertakan dengan sedikit pandangan dan pendapat yang mungkin membantu. Namun bagi saya, mengkritik tidak semestinya anti dan berbeza pendapat dan pandangan adalah teman berfikir yang baik. Wassalam

Mata Kail
iDAN | Posted on 19.1.2010 at 10:25 AM
Siapa tak inginkan perubahan songsang, terkadang kita amat leka mengejar dunia tanpa kita sedar segalanya kian terhakis & bumi kita kian dijual khazanahnya. Sedar tak sedar kita semakin tua dalam kemerdekaan ini.

DSNR
iDAN | Posted on 19.1.2010 at 10:29 AM
Saya tak nampak PM kini akan bertindak memimpin negaranya seperti arwah ayahnya. Sering berlaku kejayaan seorang lelaki adalah lantaran dorongan isteri. PM kini punyai masalah dalam mengikis pandangan serong masyarakat terhadap isterinya. Banyak isu yang boleh dimainkan olah pembangkang untuk mengaibkan PM kini. PM kini kenalah menangkis isu ini sebaiknya.

Sabtu, 1 Ogos 2009

Berikan aku Laluan (Singgahsana)
"Mana pula semua orang ini" Lengang amat suasana di Klinik Kordia, Hospital Serdang

"Semua doktor & sebahagian jururawat ke simposium" Jawab seorang jururawat berumur 30an.

"Saya nak ambil darah sahaja, bolehlah kot!..."

"Tenguklah nanti, sila encik ke kaunter tingkat bawah buat pendaftaran" Tak tahulah pula kena daftar di kaunter Tingkat 1, ingatkan kalau dah temujanji tak payah daftar.

"Daftar nak ambil darah, pesara!" Tiba dikaunter bawah agak ramai kaunter & cepatlah urusan pendaftaran.

"Tiap kali jika encik mahu jumpa doktor encik kena daftar di sini dulu.."

"Okey!" Ini kali ke tiga punyai temujanji dengan pakar jantung, tak perasanlah pula prosidur di hospital ini begitu. Harap-harap akan menjadi lebih cekap & sebaik PKupm.

Kenapa aku katakan sebaik & secekap PKupm. Mungkin anda tidak pernah ke sana, sesekali pergilah. Tenguk bagaimana cekap & cepatnya urusan di sana. Sampaikan tertulis di pintu setiap bilik doktor; ayat yang lebih kurang begini "Jika 22 minit ada masih tidak ketemu doktor sila buat aduan". Harapanku satu ketika nanti aku dapat melihat perkembangan akta cekap, cepat & pantas pun tak menyakitkan lagi pesakit ini diharapkan terlaksana.

PKupm itu kelebihan yang aku lihat adalah sebab punyai ramai doktor. Hospital Serdang aku memang tidak pasti. Cumanya pengalamanku yang kerap kali berulang alik ke Wad Kecemasan contohnya, teramatlah naif & menginsutnya layanan di sana. Bayangkan aku pernah dibawa naik Ambulan lantaran tekanan darah tinggiku melonjak naik sekitar 180/110 mmHg (milliliter air raksa). Terpaksa menunggu doktor sekitar tujuh ke lapan jam. Sampaikan tekanan darahku jadi normal semula. Perkara ini pernah ku tulis dalam jurnal ini.

Memang boleh buat ceritera panjang atau bangsawan; belenggu menunggu & sedih yang amat sukar untuk aku lupakan. Diri aku satu hal, pesakit yang lain yang rasanya amat menderita sakitnya terbiar menunggu. Punca yang dapat aku kesan adalah lantaran tidak cukup doktor yang bertugas. Mangsa kemalangan yang tetiba ramai terpaksa didahulukan membuatkan orang sakit seperti aku diketepikan. Sampai pihak hospital menampal carta di dinding siapakah yang lebih berhak didahulukan dengan perbagai peringkat kecemasan. Antara paling cemas atau kategori pertama kecemasan ialah pendarahan yang berterusan, pitam atau pengsan tak sedar diri, pesakit jantung yang kronik strok umpamanya, adalah lagi jenis sakit tak ingat semua. Sakit darah tinggi tak termasuk kategori pertama kecemasan sebab tak strok lagi atau sampai kena angin ahma.

Cemas memanglah semuanya cemas, cumanya cemas siapa yang lebih dekat dengan kematian berbanding siapa yang akan lebih bertahan dengan kematian. Seperti kes aku doktor di PKupm telah mengesahkan aku kritikal teta[i tiba di Hospital Serdang katanya tak kronik lagi. Terkadang aku terfikir jikalah aku ini VVIP apakah masih dilayan begini? - ayat geramlah ni!... iDAN titik.

"Encik Haridan..."

"Iyer! saya.."

"Jom ikut saya!... puasa tak hari ini? " Seorang jururawat agak gempal berwajah kampung mengiringi aku ke bilik mengambil sampel darah.

"Haa aah! sejak 11:00 malam tadi.."

Banyak bilik yang terpaksa aku lalui di klinik ini. Bilik ambil sampel darah nun jauh ke belakang sebelah kiri. Memang tak berpenghuni kebanyakan bilik yang aku lalui.

"Selalu ambil samel darah sebelah tangan mana..." Sambil mengambil tiub-tiub untuk diisikan darah. Jarum tentunya. Jarum itu macam gigi dracula.

"Sini..!" Aku menunjukkan tangan kananku, telah ada bintik-bintik hitam di dekatan pelipat tangan kananku.

"Isk! berapa tiub nak ambil iyer!" Aku agak panik tenguk ada lima tiub sebesar jari kelingking yang susun terbaring di meja.

"Memang perlukan sebanyak ini!" Sudah namanya pun doktor pakar jantung.

"Pengalaman saya paling banyak dua tiub sahaja, biasanya lama tak keputusannya baru tahu!." Di PKupm kalau ujian terapi untuk kolestrol, glukos & perbagai biasanya pagi diambil samel darah sebelah petang dapatlah keputusannya.

"Lambat lagi ikut jadual kami itu" Aku perasan bulan hadapan baru ketemu mereka lagi. Sebulan lagi.

"Tentunya ini lebih terperinci & banyak ujian yang akan dikaji kot!.." Aku bercakap sendiri, jururawat diam sahaja.

"Okey! saya cucuk jarum ini ke tangan encik iyer!.... genggam tangan tu! " Aku menoleh kelain, tenguk gigi dracula tu memang ngeri; Aku menarik nafas dalam mahu merasa pedihnya jarum menyucuk ke dagingku. Tak dengar suara Bismillah dari mulut jururawat, tentunya dalam hati... bisik hatiku. Jika di PKupm lazimnya dengar suara jururawatnya berBismillah. Amboi! pandai pula nak beda-bedakan orang ini, cucuk sampai habis jarum ini baru tahu.

Agak mengambil masa juga lantaran banyak sangat darah diperlukan. Hingga bersungut jururawat katanya "Makin perlahan keluarnya darah ini..."

"Lepas ini saya boleh balik tak?" Aku lihat jam tangan replikaku RM25K aku. Tak sampai pun sejam pun lagi aku berada di klinik ini.

"Ikut jadual kami kena buat ujian stres (stress test)..." Apa bendanya pulak tu. Tadi pun jururawat ada bertanya tentang apa nama ujian yang aku telah lakukan, aku tak pasti; bila dia tanya aku kata sudah saja. Bukannya apa, malas nak buat ujian pun satu hal. Takutnya nanti bila diuji sahaja bertambah lagi ubat-ubatan yang terpaksa dimakan. Sekarang pun yang mesti dimakan tak boleh tidak ada enam jenis pil kena ditelan. Campur kalau rasa sakit buah pinggang ini dua lagi aku makan ubatan herba. Lapan. Biar bebetul takkan tak kan nak makan sampai berbelas ubat.

Kes aku bertindih tiga kelompok doktor. Buah pinggang, batu karang sekitar anggotanya dirawat oleh doktor di Kajang. Darah tinggi kolestrol perbagai di PKupm. Jantung & hati di Hospital Serdang. Dulu kalau sesak sangat aku ke Klinik Husni, doktor panel. Sekarang tak boleh lagi sebab telah bersara. Kalangan doktor memang makin risau tentang kesihatanku.

"Bulan depanlah Encik Haridan buat Stress Test!" Aku lihat ada sepasang pasangan sahaja yang tinggal. Tadinya memang ada dalam empat atau lima kelompok pesakit. Semua pesakit berteman kecuali aku sendirian. Aku sempat berbual dengan seorang Apek. Ingatkan dia yang sakit tetapi bila ditanya isterinya di sebelah memang nampak uzur amat yang sakit.

Hakikatnya pesakit di Hospital Serdang ini kebanyakannya adalah setelah disaring yang perlu dibuat rawatan terapi. Kebanyak Hospital di Lembah Klang ini menghantar pesakitnya ke sini. Maka itu jika dilihat pengunjungnya memang padat. Temujanji pun hanya dari pagi ke tengah hari sahaja. Mila isteriku entah bila mahu menemani aku ke pakar jantung ini.

Sila ke jurnal@blog aku di Blogspot... untuk ceritera seterusnya. Server ini masih bermasalah; amat lembab terutama jika mahu dicapai imejnya.

http://idanradzi.blogspot.com


Posted on 1.8.2009 at 1:09 PM

Selasa, 28 Julai 2009

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 10 (Singggahsana)


Lanting Beach Resort - Pulau Pemanggil

Sekitar jam 5:00 ptg masing-masing telah terasa lesunya memancing sepanjang hari. Aku lihat Che Wan sudah melepak dengan sigarnya. Perjalanan kami masih panjang, dari menganggu perkampungan ikan di pengairan Karang Ngah kami menuju ke Karang Long. Aku tak pasti berapa banyak karang sepanjang Pulau Aur & Pulau Pemanggil ini; Fareez yang mahir dengan. Lazimnya kalau ada along & angah pasti ada alang. Pulau Lang menang ujud sekitar sini. Itu turutan dalam susunan keluarga Melayu.

Sebelum ke Karang Long kami mencari umpan di unjam yang banyak amat burung camar bagi bekalan memancing waktu malam nanti. Di langit aku masih nampak gumpalan mendung, awan mendung yang memang berat & menunggu masa untuk menyimbah bot kami. Riak arus nampaknya semakin deras, batu nombor 8 yang aku guna hanyut entah ke mana. Bila tenguk arus begini pastinya aku teringat akan Penyabong. Paling puas rasanya aku memancing malam adalah di Penyabong, perbagai ikan yang aku dapat hinggakan tak cukup umpan. Memancing malam nampaknya banyak ikan menyukai sotong segar.

Impianku untuk menjejaki Dewi Tenggiri nampaknya semakin kabur. Cuma Inang Tenggiri sahaja yang dapat dijinakkan. Hari merangkak senja bermakna tak mungkin Sang Tenggiri akan mencari makan lagi. Aku lihat Fairuz telah bertukar baju malam, telah mandi & siap berbedak lagi. Ke laut rutinnya memang begitu, sebelum menjelang malam elok mandi agar segar badan & tidak sampai mabuk kena angin malam. Che Wan & Amirul pun nampaknya mandi di sudut kiri bot.

"Fairuz pesan pada Pak Arip jangan lupa buat sambal..." Aku lihat Pak Arip & Pak Ali telah berkira-kira mahu memasak untuk makan malam. Sebelah Che Wan sedang enak meneguk kopi, Aru sebelahnya; aku perasan memang mereka rapat & Aru amat menghormati Che Wan. Mereka nampaknya macam kenal rapat. Lihat watak Aru nampak dia seorang jejaka yang bersopan-santun. Ajak biasalah masih leka dengan dunianya. Susah amat meramal watak Ajak ini, yang pasti dia serang remaja periang. Aku masih kagum tenguk semangat Brother Joe memancing, tak penat-penatkah dia ini.

"Pak Arip ada permintaan ini.."

"Apa dia?.."

"Ada orang mengidam nak makan sambal Pak Arip lagi!... si gelenggang ini!"

Aku lihat Pak Arip tersenyum & mencari-cari sesuatu.

"Entahlah! limau kita ada lagi tak?"

"Tak berlimau pun tak kisah Pak Arip asalkan ada sambal" Fairuz bagaikan mendesak. Pak Arip nampak telah memegang limau kasturi di tangannya. Aku merenung dari jauh.

Senja di tengah laut dalam adalah waktu yang paling sepi, sayu & sadis. Bermalam di tengah permukaan laut belum tentu menjanjikan ketenangan. Aku amat asyik melihat rona emas yang tumpah ke riak air. Bagaikan sutera kekuningan di ufuk barat. Jika di Marikh apakah benar mentari terbit dari barat?. Di sana tentunya awanan merah belaka kot!. Kita bertuah tercampak di bumi yang indah ini, arakan awan senja bagaikan tayangan wayang kulit tatarona. Aku yang sedang memakai kain pelikat leka menatap layar langit dengan perubahan bentukannya. Sesekali aku nampak kelibat bayangan Dewi Tenggiri di langit. Nampak bulu matanya yang melentik & celaknya yang terbekam rapi. Siripnya bagaikan bersunting mutiara, jelingan Dewi Tenggiri benar-benar buat aku asyik gila bagaikan tak mahu lagi pulang ke darat.

Sayangnya layar langit amat kejap, belum pun habis dua episod skripnya ianya telah bungkam digelapi tirai malam. Aku berharapa amat Sang Rang Bulan akan menyalakan lampunya di celah mendung nanti malam. Bukalah apa jua skripnya akan bakal menunggu tontonannya nanti.

Kami makan malam bersama lampu neon bot. Angin amat derasa menandakan hari akan hujan. Arus pun telah menampakkan taringnya. Berdesah tak tentu hujung pangkal. Nampaknya aktiviti memancing malam akan terbantut tentunya.

Tak sangka pula Pak Arip pandai buat gulai taucu ala Perak. Banyak kuahnya tidak bagai gulai taucu Orang Jawa kering & pedas semata. Mila selalu buat sambal taucu cicah dengan rebusan pucuk ubi. Sambal pun agak banyak Pak Arip buat. Aku sudah berkira-kira jika berjaga nanti kalau ada lebihan masakan akulah bakal penyelongkar malam. Curi makan ketika semua tidur; harap-harap banyak makanan lebih.

Perut pun rasa nak meragam sahaja. Segan pula nak ke tandas sebab sebelah dapur & ruang makan sahaja. Tunggulah sedikit larut malam.

Dua jejaka nampaknya bersemangat memancing malam, Fareez & siapa lagi kalau tak Brother Joe. Yang lain nampak berbual-bual, Ajak & Amirul telah lena. Aku nak berbual dengan Che Wan pun rasa macam tak kena isu sahaja. Bagaikan ada jurang penghalang, apatah lagi Che Wan ini jenis pendiam amat. Jadi masing-masing melayang fikiran. Fairuz nampak leka berbual dengan Tekong Abg Mat di kemudi bot. Tangkapan pun telah banyak kami sekadar memenuhi jadual sahaja. Akan pulang esok tengahhari.

"Arus kuat sangat abg iDAN, melayang umpannya!" Fareez agak kecewa dengan arus laut. Aku memandang langit; Mak datuk! bagaikan awannya bunting gajah. Mendung makin gelap, jangan bot kami di pukul ribut sudahlah. Tak elok berandaian di laut. Isk!.
Fareez pun geram tenguk ikan yang aku naikkan

Lewat malam hujan mula turun tapi tak lama hujannya, kejap sahaja berhenti. Arus masih deras lalu semuanya mencari ruang untuk melelapkan mata. Aku berbaring di pangkin ruang kanan bot. Badan terasa sengal sana sini. Mata tak mahu terlelap lalu aku ambil wuduk untuk solat jamak Isyak & Maghrib.

Sekitar jam 1:00 pagi , aku nampak akan silau cahaya Sang Rang Bulan di celahan mendung awan. Aku menunggu layar langit menayangkan sambungan episod Dewi Tenggiri siang tadi. Tetapi tidak. Lama amat aku menunggu, hanya watak-watak & iklan awan yang aku tidak faham. Hinggalah ke satu episod aku lihat seakan babak peperangan antara Malaysia & Singapura. Nampak jelas peta Malaysia dibentuk awan, kemudian kapal-kapal perang beriringan & Pulau Singapura berasap tebal. Aku tak nampak kapal terbang terbentuk dari kedua pihak tetapi bagaikan Singapura menaikkan benderanya. Apa sebenarnya yang mahu dikhabarkan skrip di layar langit ini.

Aku lihat dipermukaan air jam di tanganku telah hampir ke 4:00 pagi. Langit semakin hilang awannya. Cahaya bulan semakin terang. Namun laut masih bergelora. Aku lihat banyak sampah & dedaunan terapung di air. Kemudian aku terlelap sekitar 6:30 mahu solat Subuh.
yang panjang itu banang

Bila mentari terbit kami semua terkejut amat, bilamana Abg Mat berkata bot kami hanyut sampai ke Pulau Pemanggil. Setahu kami bot kami hanya berlabuh sekitar pengairan Pulau Aur. Tali sauh putus. Jauhnya kami hanyut

Huh! nasib baik tak kena langgar dengan kapal2 yang berulang-alik dari pulau tersebut." Fareez bersungut.

Aku pula memikirkan jika arus membawa kami ke laut dalam, Nun! jauh sampai ke Sabah atau Sarawak bagaimana kami nak balik.

Memandangkan perjalanan ke unjam Karang Ngah mengambil masa 2 jam dari pulau Pemanggil Abg Mat terus menekan suis turbonya supaya perjalanan dapat disingkatkan. Setibanya di unjam yang banyak burung camar berterbangan; macam biasa Apollo diturunkan. Laut masih mencemburui kami, masih lagi kuncah & tiada tanda2 untuk berhentikan diri. Setelah umpan cukup kami terus bergerak Karang Ngah.

Dipendekkan cerita 2 ekor lagi Inang Tenggiri berjaya didaratkan dan kedua2nya oleh Che Wan. Di sini banyak juga umpan kami diganggu oleh Sang Banang.
Che Wan dengan tenggiri terakhir

Sekitar Jam 12:00 tgh hari umpan yang digunakan telah habis dan Che Wan mengajak tekong untuk berlabuh saja di unjam sehingga balik. Sebelum pulang sempat juga kami memenuhkan tong-tong dengan ikan2 unjam.

Jam 4:00 petang kami selamat tiba di jeti. WarnJohoe telah sedia menunggu di Jeti. Sejuk rasa hati tenguk senyum WarnJohoe ini. Ikan dibahagi2 sama rata di rumah Aru yang terletak di Kota Tinggi. Selesai pembahagian ikan di rumah Aru kami bersalam-salaman dan menuju ke destinasi masing2. Yang menariknya trip ni tiada seorang pun di kalangan kami yang mabuk, kecuali Amirul itu pun sempat menaikkan Sang Tenggiri.
Aru

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada semua yang menyertai trip ini terutama pada rakan2 dari Johor Che wan & Aru atas layanan yang diberikan. Kalau ada silap dan salah mintak kurang halal. InsyaAllah kalau ada rezeki kita jumpa lagi di lain trip.

Aku sebenarnya amat teringin bersama Che Wan untuk memancing di laut dalam. Pertemuan yang tak sempat pun berkenalan rapat telah memisahkan dengan jarak & waktu.
Sebahagian yang kami pancing

Bilamana aku tiba di rumah, semua anaka-anak telah tidur. Pepaginya tentunya mereka terkejut dengan ikan yang banyak, aku terpaksa meminjam kekotak ais Fairuz lantaran peti aisku pastinya tak muat.

Selang beberapa minggu dari trip ini Malaysia bertelingkah dengan Singapura menuntut hak Pulau Putih. Aku teringat layar langit tentang episod peperangan itu. Awan & petala langit tidak menipu aku. Aku masih teringatkan tarian Sang Dewi Tenggiri entah bila dapat kujejaki ia lagi

Tammat.

tip dari PakLang

salam untuk kengkawan...
aku nak konsi sikit pengalaman untuk bertarung tenggiri...
bagi yang bujetnya ciput..dan tak rajin nak service barang pancing.. buleh cuba resepi nie...
untuk makluman resepi nie..modalnya sekitar... 20-30rm saja...
itupun dah kira mahal gile...
dan tenggiri pun tetap menjadi mangsa...
caranya...
korang gi beli tali....mainline yang panjangnya (+/-)300 mtr satu roll...
cap spider 30 paun (yang kokak pun tak'pe)...harganya 10-15rm jee...
nak tambah ketahanan...
beli daun teh (yang buat minum tuu...) harganya 1.00rm
lepas tuu... masak air...5-10 cawan..dalam periuk..dan masukkan daun teh tadi tuu..semuanya sekali....diikuti dengan tangsi..
biarkan ia mendidih 5-6 minit....(pastikan ada alas bahagian dalam periuk).. bukan apa, takut tangsi terkena dasar periuk yang panas)..
dah tu... angkat periuk tu...dan biarkan ia sejukkk... sendiri...
semuanya dah siap...
dah buleh masuk reel...
setakat tenggiri...10kg dah tentu tak tewas...
sudah tentu..kena beli perambut..hantu 20lb, 10-15 mtr (10rm..)
mata pun mau yang tajam skit...3/0, 4/0, 5/0..
aku dah cuba...aku dah berjaya...sudah 3 musim aku guna barang macam nie...

sekian...
jimat membeli..menang memakai..
ada problem e-mel kat aku..

Isnin, 27 Julai 2009

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 9 (Singggahsana)

Aku asyik memerhatikan Brother Joe memancing, bukan sekali dua umpannya disambar ikan besar tetapi gagal dinaikkan. Aku agak tergamam melihat dia merentap joran, punyalah kuatnya bagai koboi merembas tali belati ke arah lembu jantan sahaja lagaknya. Awak-awak pun menggeleng kepala. Takutnya bukan apa, kot joran yang patah atau habis rongak gigi sang ikan.

Ajak pun nampaknya lepas makan mula mengantuk, lelap di sebelah di Amirul, Fairuz pula masih tekun dengan umpanan tenggiri. Jarang Fairuz pulang tanpa ikan tenggiri. Che Wan pula kian putus asa lantaran banyak amat mata kail terputus, mungkin banang atau pun hulubalang Dewi Tenggiri menyakat pancingnya.

Kami pun berpindah unjam lagi, kali ini Che Wan memanggil Amirul cuba menaikkan sang ikan yang agak ganas tetiba merentap jorannya. Asyik pancing Che Wan sahaja yang mengena, manis amat kot umpannya. Amirul yang baru tingkatan dua. Amirul juga digelar King of "ketarap” oleh ayahandanya kerana berjaya mendaratkan ketarap 4 ekor sekaligus pada tahun 2004. Amirul yang pening-pening lalat mencapai pancing dari ayahnya. Agak lama juga dia melayan ikan agak berat ini. Akhirnya dapat juga dijinakkan. Dia berjaya memikat ikan tenggiri yang seberat sekitar 6 kg. Boleh tahan besarnya. Selang beberapa ketika pancing Fairuz pula direntap ikan. Tentunya ikan tenggiri dari kumpulan yang sama. Tapi terputus ketika hampir dapat di cangkuk oleh Pak Arip.

Laut kembali tenang, tak nampak pun burung camar terbang bermain deburan ombak. Tiada tangkapan ikan besar yang kami dapat, aku masih asyik dengan Apollo melayan mambong berumpan daging segar anak ikan kembung. Tentunya Sang Tenggiri di panggil oleh Dewinya, mungkin juga ada sang gerladangan menganggu kampung halam Sang Tenggiri ini.

Tetiba joran Che Wan direntap ganas amat. Sekali direntak itu direntapnya & mengena; kami semua menaikkan semua umpan kami.

"iDAN mari cuba naikkan ikan ini..!" Che Wan memang bagaikan putus asa lantaran banyak sangat ikan terlepas di tangannya. Paling tidak telah tiga atau empat ekor cuma nampak kelibatnya sahaja. Bila mahu sampai ke bot terputus lagi!. lalu dia bersandar harapan kepadaku.

Aku agak panik juga lantaran aku tak pernah menaikkan ikan besar biarpun kerap ke laut. Tambahan lagi pancing orang & harapan orang ; Che Wanlah pula yang baru aku kenali & aku amat kusegani. Aku mencapai joran Che Wan. Menggunakan pengalaman yang ada melalui pembacaanku. Jangan paksa ikan terlalu keras, jangan juga terlalu kendurkan tali. Pesanan itu lekat di ingatanku.

"Huh!... beratnya ikan ini.." Aku terusan memusing kekili serapi & sekedap mungkin.

"Pam... baik-baik! lagi... lagi..!" Che Wan menguatkan semangatku sambil dia memegang kameranya.

Lima minit, sepuluh minit, kejap ikan berenang kejap ke kiri, kejap ikan lari ke kanan. Sang ikan bermain dengan aku. Berdebar dadaku & aku berdiri menggeletar di sebelah kiri bot. Aku letakkan pangkal joran di perut boroiku, adui! beratnya; Aku pam pelahan-lahan agar sang warga laut ini rapat denganku. Lawan tetap lawan. Tidak sesekali aku benarnya tali terlalu tegang pun terlalu kendur. Apalah jenis ikan berat amat ini!, bagaikan ada kaki-kakinya mencakar karang di dasar laut. Sesekali aku nampak kelibatnya kekuningan. Sah bukan Dewi Tenggiri. Aku kenal kerlingan Dewi Tenggiri.

Peluh telah menitik di dahi, aku risau amat kalau-kalau ikan terlepas; apatah lagi kalau set Che Wan ini rosak, bukan murah harga satu set pancing Che Wan yang aku guna. Kecil ringan tetapi amat mantap kekilinya.

"Layan abg iDAN jangan sampai terlepas" Fairuz berdiri di belakangku memberikan semangat.

Sekitar lima belas minit barulah sang ikan yang berat amat ini rapat di bot. Itu pun bukan main payah untuk mencangkuknya naik ke bot. Hingga akhirnya ia tewas juga di tangan Penyair iDANRADZi. Memang aku pun tak menduga.

"Haruan Tasik abg iDAN, padanlah ganas sangat!" Fairuz teruja, Che Wan amat gembira & betalu-talu ambil gambarku bersama rekod pertama menaikkan ikan sebesar ini. Aku terduduk mengeletar, Fareez kata aku bagaikan kena penyakit parkinson Fareez berandaikan 12 kg beratnya. Aku pula rasakan bagaikan lebih 20 kg bila berada di dalam air berlawan dengan tenagaku, bagaikan hilang khudratku.
Klik gambar nak tenguk besarnya ikan Haruan Tasik ini

- bersambung

27 Julai 2009

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 8 (Singgahsana)

Ada beberapa Siri yang masih belum selesai di jurnal@blogku maka ini aku akan cuba menyudahkannya.
Ini antara siri yang aku gubah masih belum berpenghujung sila klik sini awal ceritera Dewi Tenggiri

Amirul dalam mabuk-mabuk boleh layan ngail ikan!

Melihat kotak ikan yang telah penuh dengan perbagai ikan unjam & karang tentunya telah meredakan rasa resah desahan ombak. Desahan ombak selalunya petanda halimunan, ikan pasti lari. Kebanyakan yang menaikkan ikan unjam adalah Pak Ali & Pak Arip. Mereka berdua menggunakan koyan bermata panjang. Ajak, Brother Joe begitu rajin dengan perbagai kemahiran yang ada untuk memujuk ikan naik ke bot. Brother Joe menggunakan perbagai mata dari kekili yang dihadiahkan oleh ayahnya. Kira-kira berbekalkan kekili pusaka yang tentunya telah pun hanyir dengan sentapan ikan di laut. Amirul masih termangu dengan mabuk laut. Lena di pondok bot.

Angin basah dari tenggara yang membawa deruan ganas terusan menguncahkan tenang laut. Bot menjadi bagaikan buaian besar bertalikan ombak ganas yang pastinya tambah melenakan tidurnya si Amirul. Aku yang sedari awal menelan ubat-ubatan pakej tua termasuk ubat tahan muntah nampaknya masih bertahan. Bilamana melihat sambaran ikan yang banyak tentunya menjadikan semangat semakin tinggi terus memancing.

ombak & mendung sering berbisik

Bilamana ombak semakin tenang. Tekong kami Abg Mat menuju ke unjam seterusnya. Hanya bot kami sahaja yang berada di Karang Ngah ketika itu. Banyak kedapatan camar laut berterbangan menangkap anak ikan di unjam ini. Petanda banyak ikan. Selang sekitar tak sampai sepuluh minit, joran Che Wan disambar ganas oleh warga laut. Apakah Dewi Tenggiri. Kami menaikkan semua joran takut terbelit tali pancing. Rentapan agak ganas, sesekali nampak bagaikan ianya mahu terlepas, melompat ke permukaan laut. Masing-masing teruja tertanya-tanya ikan apakah gerangan. Bila dekat dekat bot barulah kenal kelibatnya si ikan banang. Suku sakat si todak yang melanggar Singapura.

Brother Joe memasang tak kurang dua atau tiga set pancing. Tetiba salah satu pancingnya direntap kuat, Fareez yang berdekatan dengan pancing Brother Joe; merentap agar mata kail menyusuk mulut si ikan. Agak lama juga Fareez bertarung dengan warga laut ini, aku terbayang akan selendang Dewi Tenggiri telah terlerai. Bila ianya naik ke bot kami, ternyata sekadar Inang Tenggiri seberat sekitar 8 kilo. Boleh tahan besarnya. Tenggiri kedua. Yang anehnya bukan sangkut di mulut tapi di badannya. Pastinya si Inang tengah beronggeng terkena selendangannya laut tersangkut di pinggangnya. Teringat si Azim anaku yang bungsu di rumah yang suka amat makan daging tenggiri, setidak-tidaknya telah dapat kami sediakan barang sekeping juadah daging tenggiri buat keluarga.

Fareez dengan tenggirinya, nak rezeki kena di badan pun
boleh dijinakkan.


Mentari kian meninggi, Pak Arip makin sibuk di dapur dibantu oleh Pak Ali. Tentunya kami akan makan ikan kembung, selar segar; goreng pun sedap. Apatah lagi Pak Arip buat masakan asam pedas. Siap dia buat sambal belacan. Menyelerakan.

Inilah Pak Arip chef kami yang enak masakannya

Aku begitu yakin unjam ini banyak penghuni sang tenggirinya. Selang beberapa ketika pancing Aru pula direntap ikan besar. Che Wan menyambar set pancing. Aku memang perasan Aru selalu membiarkan pancingnya terdongak sendirian, senyap-senyap aku ikatkan ianya di badan bot. Serba salah aku, memang Che Wan suruh aku guna pancing yang itu; tapi Aru yang tetiba menyambarnya; mahu pakai pancing yang mana pula dia kalau kurampas semula. Belum pun sempat kami menaikkan tali pancing, tali pancing Aru telah pun tersangkut sesama sendiri. Che Wan menggunakan kepakarannya agar tali tidak putus, ikan dapat dinaikkan. Ianya berjaya tapi masih bukan Dewi Tenggiri. Inang Pengasuh Tenggiri juga yang sudi bertandang seberat kira 5 kg.

Amirul telah bangun, mungkin telah puas tidur. Dia terus mencari jus buahannya. Tenguk dia minum alangkah sedapnya, maka aku pun terasa perut sudah kian keroncong. Kami pun makan tengah hari dengan juadah yang disediakan menunya oleh Pak Arip dibantu Pak Ali. Ikutkan hati memang habis seperiuk aku baham gulai asam pedas Pak Arip. Sedap amat masakan Pak Arip. Terutama sambal belacannya. Pedas pun sedap. Setanding dengan sambal belacan arwah makku tumbuk.

Che Wan bersama layaran, ikan ini hanya boleh dipancing
tetapi tak boleh dimakan ... dilepaskan semula ke laut
.

Pertama kali aku naik bot bertandas. Jadi apa risau jika teringin makan banyak, selagi selera masih ada makan saja. Lupalah kata kitab, maunya dituruti! ... berhenti sebelum kenyang, Huh! berhenti selagi tak kenyanglah jawabnya.

Amirul biasalah, selera makannya ada tapi faham-faham sahajalah orang mabuk laut. Makan mesti keluar balik. Kasihan dia asyik tunduk di bendul bot menatap permukaan laut tak henti-henti muntah. Tapi Amirul ini penuh semangat, masih cuba bangun memancing bersama ayahnya.

- Bersambung

27 Julai 2009

Rabu, 22 Julai 2009

Masih sayang Server ini


Ramai yang keliru kenapa jurnal@blog saya di server ini lama sangat tidak dikemaskini.
Sejak saya guna pakej Combo Streamyx talian internet saya semakin lembab..
Sukar mahu muatturun catatan apatah lagi imej di server easyjournal ini.

Maka itu seharian saya bergantung dengan Blogspot;

Sila klik ke blogspot untuk akses catatan terkini saya.

Terima Kasih

http://idanradzi.blogspot.com

Posted on 22.7.2009 at 6:13 PM