Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 15 Februari 2009

Derita pendatang tanpa izin (Delima Merkah)


Orang yang berkelakuan seperti puan ini sebenarnya terlalu ramai. Datang ke Malaysia setelah bergadai golok harta di kampung, meninggalkan suami, anak dirindui, ibu tua yang sabar menunggu untuk menampung hidup, mencari sesuap nasi, rezeki halal tetapi akhirnya pengalaman kesusahan hidup di kampung asal itu dilupakan.

Sebab utama ialah tertipu oleh kenalan yang datang dari tempat yang sama, bekerja di Malaysia sebagai buruh binaan. Lupa segalanya kerana memenuhi kehendak nafsu.

Kalau beginilah, adalah lebih baik jangan datang ke Malaysia. Biarpun puan susah hidup ketika di kampung, setidak-tidaknya puan tetap menjadi seorang isteri kepada suami, juga tetap hidup di samping anak, juga ibu tua.

Lantaran pujuk rayu lelaki yang dikenali di tongkang puan lari meninggalkan majikan, yang telah membayar lebih daripada RM4,000 untuk uruskan kemasukan puan, akhirnya puan tersadai di rumah kongsi. Ketika ini baru puan sedar betapa susahnya hidup di rumah kongsi.

Puan masih ada peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Balik semula ke rumah majikan dengan menghubunginya semula, minta maaf dan menginsafi apa yang berlaku.

Persoalan utama sekarang ialah puan telah berkahwin, walaupun puan mempunyai suami yang sah di kampung. Kerana itu, perkahwinan yang dilakukan di Malaysia tidak sah. Perkara lain yang puan wajar fahami ialah perkahwinan yang sah kalau adanya lelaki dan perempuan, ada wali, ada saksi, ada sighah yang terdiri daripada ijab dan kabul, juga mahar.

Wali sekiranya ibu bapa tidak ada atau lain waris yang boleh menjadi wali. wali yang boleh menikahkan ialah wali hakim. Iaitu wali nikah yang dilantik oleh kerajaan yang sah, yang masih dalam tempoh yang dibenarkan.

Sekiranya seseorang itu dinikahkan oleh seseorang yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan tertentu, wakil-wakil tertentu, bukan daripada lantikan rasmi daripada pemerintah, maka pernikahan itu tidak sah.

Kerana itu, dalam apa keadaan sekalipun, hubungan puan dengan lelaki yang menjadi suami puan sekarang adalah seumpama zina kerana pernikahan itu tidak sah atas sebab yang dijelaskan dalam masa yang sama pun masih mempunyai suami di kampung.

Terlalu panjang tulisan tangan yang puan kirimkan kepada saya. Memperlihatkan puan adalah seorang yang bersekolah dan terpelajar. Sebagai yang terpelajar puan sewajarnya berupaya muhasabah diri.
Gambar sekadar hiasan

Daripada seorang ibu yang tidak mempunyai kerja tetap di Medan, menunggu di tempi jalan raya di pagi dingin menusuk tulang, puan menunggu bersama orang lain mengharapkan ada kerja pada hari itu, diangkut oleh mereka yang memerlukan, dimasukkan dalam van, untuk memetik buah tomato.

Puan menjelaskan bagaimana majikan atau taukeh di kebun menyuruh supaya buah tomato yang kecil, yang rosak diletakkan di bahagian bawah bakul, manakala yang baik, yang montok-montok, gebu diletakkan di atas. Taukenya lepas tangan kerana keranjang-keranjang tomato itu di bawa keluar untuk dijual di bandar-bandar mungkin sampai ke Jakarta.

Perbuatan seumpama ini tidak sewajarnya diteruskan di Malaysia. Budaya seumpama ini sebenarnya ada juga dilakukan di Malaysia yang menjual durian. Kadang-kadang dalam satu bakul keranjang durian, yang elok tidak sampai 10 biji. Perbuatannya adalah haram hukumnya. Allah tidak memberi keberkatan ke atas mereka yang melakukan perbuatan seumpama ini.

Kadang-kadang di tepi jalan raya, harga durian diletakkan RM1 sebiji, ditulis besar-besar, terlalu murah, tetapi apabila ditanya harga sebenarnya, seringgit sebiji itu ialah untuk durian yang kontot-kontot, yang diletakkan di atas tanah. Kaedahnya terlalu ghairah, namun ia tetap ada unsur-unsur penipuan. Satu amalan manusia tidak civilised, yang tidak dilakukan oleh negara maju, juga mempunyai penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Sebelum naik feri, puan ditempatkan di rumah Ibu Tenny, yang tugasnya mencari dan mengumpul mereka yang mahu bekerja di Malaysia. Puan dikumpulkan bersama lebih kurang seramai 70 orang perempuan. Makan nasi kawah, tinggal di rumah ini hampir tiga bulan, menunggu tamat transit sebelum belayar.

Puan menaiki bot lebih daripada empat jam. Bot kecil yang memuatkan lebih daripada 60 orang. Pelbagai ragam manusia puan temui dalam bot. Ada yang memujuk puan supaya bekerja dengannya, kerana gaji yang ditawarkan lebih daripada gaji yang akan diperoleh sebagai seorang pembantu rumah kononnya. Puan hanya diberi makan nasi bungkus penggalas perut dalam perjalanan atau memilih segumpal roti bersama air kosong.

Dari Pulau Pinang puan dibawa ke Kuala Lumpur bermula pukul 7 malam dan tiba di subuh hari. Setiap orang diberi lampin besar untuk dipakai. Tidak ada rehat dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Sesiapa yang hendak buang air kecil, dia boleh terus kencing dalam pampes yang dipakai.

Segala-galanya berlaku seumpama memelikkan, yang tidak terlintas dalam pemikiran kebanyakan orang. Tetapi hakikatnya terlalu banyak rahsia resah yang dialami oleh mereka yang terlibat seperti puan. Penderitaan fizikal dan mental, yang menepikan perasaan rindu kepada suami, anak kecil yang ditinggalkan, yang masih belum putus susu.

Nekad puan adalah satu, iaitu untuk mencari rezeki, menyara hidup diri dan keluarga yang pastinya telah berubah wajah apabila puan balik ke kampung pada satu ketika nanti. Segala-galanya musnah kerana puan gagal untuk muhasabah diri, memikiri tujuan asal kedatangan ke sini. Ramai pekerja luar yang datang ke Malaysia, kerja di ladang, di kilang juga di tempat-tempat tertentu yang tidak dibayar gajinya berbulan-bulan oleh majikan atau taukeh. Di antara mereka hanya diberi pinjaman wang yang cukup untuk menyara perut yang semakin genting. Keadaan menjadi lebih gawat bagi mereka yang tidak mempunyai permit kerja.

Di antara mereka ada yang ditangkap kerana majikan melaporkan kehadiran mereka yang tidak mempunyai permit kerja. Apabila ini terjadi, majikan lepas tangan daripada membayar gaji pekerja tersebut.

Ada di antara mereka gaji dipegang oleh "ketua" yang sama-sama datang dari seberang, tetapi lebih senior. Hingga 3 atau 4 bulan gaji tidak diberi. Kalau diberi, sedikit demi sedikit. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka orang baru an tidak mempunyai permit.

Sudahlah bekerja sebulan hanya 15 atau 16 hari, kerana hujan, sakit, ditipu pula oleh "ketua' atau tauke. Ada tauke cakap dengan saya, pekerjanya tidak perlukan wang yang banyak, asalkan ada rokok terkepit di bibir atau di jari telunjuk dan jari tengah.

Saya faham apa yang puan maksudkan. Malah saya sendiri beranggapan kehadiran pendatang haram hingga sekarang ini seumpama tidak terkawal. Saya juga merasa pelik, bagaimana seseorang itu boleh dibenarkan masuk ke Malaysia dengan mudah ketika berada di lapangan terbang. Kalau lapangan terbang KLIA boleh dibolos tentunya lebih mudah membolosi pantai-pantai di sepanjang Semenanjung.

Saya masih ingat semasa belajar di Aberdeen, Scotland. Seorang teman, Abdul Rahman, dari Chittagong yang sedang mengambil PhD forestri, bercadang untuk menunaikan umrah setelah tamat pengajiannya. Beliau telah menelefon Kedutaan Arab Saudi di London bertanyakan tentang visa. Pihak kedutaan menyuruhnya supaya berurusan ketika berada di lapangan terbang sahaja.

Saya menasihatkan dia ini supaya mengambil visa di London. Itu lebih selamat. Beliau tidak mahu mengalah, ia tetap terus mengambil tiket kapal terbang dan ke Jeddah. Tidak berapa hari kemudian saya dapati dia balik semula ke bilik kediamannya, iaitu di Masjid Aberdeen, di Spital Road. Dia memberitahu tidak mendapat visa, biarpun telah berada di lapangan terbang di Jeddah.

Simpati terhadapnya dan rasa kecewa pun ada. Menurut katanya, orang sepertinya kalau balik ke Chittagong, menjadi pegawai yang berkelulusan PhD, hanya akan berupaya pergi ke Mekah selepas bekerja lebih daripada 10 tahun. Kerana itu ia mesti ke Mekah ketika berada di Aberden. Tetapi kerana keras kepala, tidak mahu mendengar cakap, dia gagal. "Allah memberi ganjaran umrah biarpun saya gagal memasuki kota Mekah untuk umrah," katanya, insya-Allah. Bahasa orang kecewa agar ada rasa reda terhadap qada dan qadar.

Utusan Malaysia

Sabtu, 14 Februari 2009

Kecewa isteri kahwin lain (Ceritera)


MARAN: Seorang buruh lelaki warga Indonesia yang terlalu kecewa dan sedih selepas mengetahui isteri kesayangannya berkahwin lain, nekad meneguk sebotol racun serangga sehingga mati di Air Terjun Sungai Jerik, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, mangsa yang dikenali sebagai Adi, 40, ditemui seorang pekebun yang mendapati buruh terbabit mati di tempat kejadian.

Pekebun berusia 49 tahun yang panik selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri menghubungi Balai Polis Sugai Jerik untuk memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bandar Jengka (HBJ) untuk bedah siasat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang mendapat tahu berita perkahwinan isterinya di Indonesia melalui rakannya.

“Mangsa yang kecewa mengambil sebotol racun serangga di rumah kongsinya sebelum meneguknya di kawasan air terjun berkenaan,” katanya.

Harian Metro

Jumaat, 13 Februari 2009

7 lanun berseluar dalam ditahan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Tujuh lanun berseluar dalam, termasuk seorang cedera di rusuk kanan akibat terkena tembakan ditahan apabila cubaan mereka merompak sebuah kapal dagang di perairan Kuala Sedili, Kota Tinggi dekat sini, dipatahkan sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Selatan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, kumpulan lanun warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun itu ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira 20 kilometer apabila cuba meloloskan diri dengan menaiki bot laju menggunakan enjin 200 kuasa kuda.

Komander PGM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Isa Munir, berkata selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, lanun terbabit melarikan lari selama 40 minit sebelum dipintas kira-kira 10.4 batu nautika dari timur Tanjung Sedili Kecil.

Sebelum itu, katanya, unit risikan PGM menerima maklumat daripada ejen perkapalan mengenai kehadiran sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan Johor apabila cuba menghampiri kapal dagang Majulah Jasmin yang berdaftar di Panama dan berlabuh kira-kira 35 batu nautika di timur Tanjung Gemoh, Kuala Sedili.

“Sebaik menerima laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai yang menggunakan bot ronda RH 15, dikejarkan ke tempat kejadian dan apabila sampai, kami mendapati anak kapal Majulah Jasmin sedang menembak isyarat kecemasan.

“Kehadiran kami disedari lanun terbabit menyebabkan mereka memecut untuk melarikan diri. Ketika dikejar, mereka bertindak luar biasa apabila tiga terjun ke laut dan selebihnya menanggalkan pakaian sebelum mencampakkan semua barang dipercayai untuk mengelakkan dijadikan bahan bukti melakukan rompakan di laut.

“Mereka turut berkelakuan agresif dengan menghimpit bot polis sebelum membaling beberapa objek dipercayai bahan letupan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGM Wilayah Selatan di Tampoi, di sini, petang semalam.

Isa berkata, pihaknya mengambil masa 40 minit bagi memintas bot lanun terbabit yang cuba melarikan diri ke perairan negara jiran selain melepaskan beberapa das tembakan ke arah enjin bot mereka sebagai tindakan mempertahankan diri, sekali gus menghentikan bot mereka.

“Sebaik bot berkenaan dipintas, tujuh lanun yang hanya berseluar dalam ditahan dengan seorang daripadanya cedera akibat terkena tembakan di bahagian rusuk kanan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya dua rompakan laut di sekitar perairan Kuala Sedili.

“Mereka mensasarkan bot dagang baru yang berlabuh bagi mendapatkan wang tunai dan barang berharga,” katanya.

Lanun yang cedera kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan dan keadaannya dilaporkan stabil manakala enam yang lain ditahan untuk siasatan lanjut.

Utusan Malaysia

iDAN: Aku kerap memancing di sekitar peraliran Kuala Sedili ini.
Posted on 13.2.2009 at 6:10 PM

Rabu, 11 Februari 2009

Arab jahiliah taksub khurafat (Agama)

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PATUNG Hubal yang diperbuat daripada batu akek merah dan berbentuk manusia tidak sahaja memulakan tradisi penyembahan berhala di kalangan masyarakat Arab di zaman pra-Islam malah patung itu turut 'berjaya' merendahkan taraf pemikiran masyarakat itu.

Tidak cukup mereka mengadu nasib dan hal kepada berhala, masyarakat Arab itu juga melakukan pelbagai cara untuk meramal nasib.

Iaitu animisme atau khurafat yang begitu kuat berakar umbi dalam pemikiran dan kuat menjadi amalan.

Antara yang popular, mereka meramal nasib dengan azlam, iaitu anak panah yang belum dipasangkan bulunya yang digunakan ketika mereka hendak bermusafir, berkahwin dan sebagainya berdasarkan.

Jika anak panah yang dilepaskan mengenai perkataan "ya" atau "tidak" semua itu nanti akan mempengaruhi perbuatan mereka.

Mereka juga percaya kepada kepakaran individu yang dikenali sebagai kahin, arraf dan munajjim, iaitu bagi menentukan perbuatan dan cara gaya hidup mereka tanpa sebarang keraguan untuk mereka mempercayainya.

Ini apabila Kahin merupakan individu yang mempunyai kepakaran memberitahu mengenai berita-berita alam semesta yang akan berlaku pada masa akan datang. Kahin juga mendakwa mengetahui banyak perkara ghaib dan rahsia sebagaimana yang diberitahu oleh jin yang menjadi 'sahabat' si Kahin itu.

Arraf pula tidak ubahnya seperti pawang atau bomoh yang tempat mengadu kepada pelbagai masalah termasuk bantuan mencari barang yang hilang atau dicuri.

Munajjim pula yang meramalkan nasib seseorang itu menerusi ilmu-ilmu bintang. Namun yang lebih teruk lagi masyarakat Arab Jahiliah ini sangat mempercayai Al Yiyarah iaitu menganggap sial. Sehinggakan jika perjalanan mereka dipintas atau dihalang oleh binatang liar seperti ular dan sebagainya mereka menganggap ada kesialan dan menyebabkan mereka tidak meneruskan perjalanan.

Segala kepercayaan karut dan amalan-amalan khurafat dan tahyul oleh masyarakat Arab ini menjadi penyakit yang sukar disembuhkan. Menyebabkan turunnya banyak ayat dari Allah agar ramalan atau merenung nasib diharamkan dan menjadi sebahagian ajaran penting Islam agar umat ini tidak mempercayai khurafat.

Namun kehadiran agama lain terutamanya, Kristian (Nasrani atau Masihi), Yahudi, Majusi dan Sabiah memberikan lagi kepelbagaian rupa dan wajah masyarakat Arab.

Kemasukan agama-agama itu dan menjadi anutan kepada sebahagian masyarakat Arab dengan sebahagian lagi mengekalkan amalan menyembah berhala di samping ada sebahagian lagi mempertahankan agama Ibrahim dan sebagainya menjadi naluri mempercayai tuhan ada dalam setiap sanubari masyarakat ini.

Sesuatu yang agak positif walaupun sering terpesong. Mereka menyedari keterbatasan sebagai manusia yang memerlukan yang paling di atas untuk menyempurnakan kehidupan dan memberikan kepada mereka perlindungan.

Agama Kristian berada di tanah Arab khususnya tertumpu di Wilayah Yaman akibat yang dijajah oleh Habsyah (kini Sudan) dengan bantuan tentera Rom pada tahun 340 (SM). Ini menyebabkan gerakan penyebaran Kristian turut meresapi wilayah itu terutama ke Najran.

Dikatakan mereka tertarik memeluk agama Masihi atas faktor seorang lelaki Kristian yang bernama Pabimion yang dikatakan mempunyai pelbagai karamah menyebabkan ajakan beliau untuk memeluk Kristian dapat diterima oleh penduduk Najran.

Apabila Yaman kemudiannya di bawah pemerintahan Yusuf Dhu Nuwas tragedi menimpa umat Kristian. Semasa pemerintahan Dhu Nuwas inilah sebagai seorang penganut Yahudi beliau telah bertindak ganas membunuh penganut-penganut Kristian Najran. Iaitu setelah seruan beliau supaya mereka memeluk agama Yahudi enggan diterima oleh penduduk Najran.

Akibat enggan, beliau telah menggali beberapa batang parit yang besar yang dinyalakan api di dalamnya. Beliau kemudiannya menghumban penganut agama Nasrani itu ke dalam parit yang sedang menyala-nyala api. Lalu meratah sehingga hangus setiap mereka, tanpa mengira mangsa, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua habis kesemuanya dibakar di dalam parit itu.

Dalam peristiwa ini dikatakan seramai 20 hingga 30,000 penganut Kristian mati di tangan penguasa kejam yang beragama Yahudi ini. Peristiwa disebut dalam surah al Buruj ayat 14, melalui firman Allah yang bermaksud; "Celakalah kaum yang menggali parit...".

Akibatnya, saki baki pengikut Kristian yang ada mengadukan tragedi yang menimpa mereka itu kepada pemimpin-pemimpin atau Maharaja Rom supaya membalas perbuatan Yahudi itu. Sekali lagi bala tentera dari Habsyah yang terdiri daripada hampir 70,000 armada lautnya menyerang Yaman buat kali kedua. Akhirnya mereka menawan wilayah itu pada tahun 525 (SM).

Raja Najashi (Habsyah) meletakkan Ariyat sebagai pemerintah Yaman sehinggalah beliau berjaya dibunuh oleh Abrahah, yang merupakan salah seorang dari panglima perangnya.

Abrahah yang kemudiannya mendapat perkenan daripada Raja Najashi kemudiannya membina bangunan yang hampir serupa seperti Kaabah. Ia bagi mengalihkan tumpuan orang ramai ke Kaabah di Kota Mekah kepada binaannya itu. Namun usahanya gagal kerana penduduk Arab tetap tidak berganjak dari tumpuan yang mereka berikan kepada Kaabah.

Ini menyebabkan Abrahah mengepalai bala tentera yang besar, iaitu terdiri dari tentera bergajah (Ashabul Fil - Angkatan Bergajah) untuk menyerang Kota Mekah. Peristiwa ini seperti yang diketahui umum, Abrahah bukan sahaja gagal menawan malah kalah dengan teruk.

Selain Hasbyah, pengaruh Kristian turut datangnya dari Mesir dan Syria (Syam) ke Tanah Arab.

Namun seperti yang diceritakan kisah sepupu Siti Khadijah Khuwailid (isteri Rasulullah) iaitu Waraqah Bin Naufal. Dia memeluk Kristian dan menjadi seorang Kristian yang terpelajar. Beliau yang mengesahkan mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagaimana beliau temui dalam Kitab Injil.

Walaupun dia adalah saudara dan penasihat rohani Nabi Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas kematiannya, Nabi Muhammad dikatakan telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian putih dan mengambilnya sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.

Dalam masa yang singkat, iaitu di zaman pra-Islam itu, tidak dinafikan Kristian berjaya menjadi agama utama di Timur Tengah. Namun dikatakan ajarannya telah dipenuhi ajaran yang diperbaharui mengikut kepentingan pemimpin agama dan pengikutnya. Ini yang telah melahirkan kelompok-kelompok Kristian yang saling bertentangan antara satu sama lain, iaitu Katolik (Ortodoks), Anglican, Methodist dan Protestan.

Ramai yang keliru tentang fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka yang tidak berpeluang membaca Al-kitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil) untuk mengkaji isu-isu yang diperdebatkan

Ikuti bagaimana Yahudi melebarkan pengaruhnya sehingga terdapat banyak kabilah di Tanah Arab yang memeluk Yahudi. Adakah benar mereka Yahudi sedangkan agama itu merupakan agama bangsa (Bani Israel).

Utusan Malaysia
Posted on 11.2.2009 at 6:19 PM

Selasa, 10 Februari 2009

Minda: Apa kelebihan bomoh? (Delima Merkah)

Oleh Soraya Jamal

MASIH ingat lagi kisah bomoh tempatan yang penipuannya dibongkar penyelidik sebuah stesen televisyen Korea?

Bomoh yang menggunakan status ‘ustaz’ itu mendakwa boleh menyerap racun dalam badan pesakit dengan hanya menggunakan telur serta rawatan cas elektrik.

Ternyata telur yang digunakan bomoh berkenaan sebenarnya sudah menjalani beberapa kaedah saintifik yang mengubah isi kandungannya. Peralatan yang digunakan untuk rawatan cas elektrik pula sudah diubah suai.

Selain penipuan sedemikian, sudah berapa kali juga kita membaca di dada akhbar kes bomoh yang didakwa mencabul atau merogol pesakitnya.

Terbaru pada minggu lalu, gara-gara ingin membuang sial, 19 orang menjadi mangsa penipuan bomoh palsu yang membabitkan kerugian mencecah RM480,000.

Pun begitu, masih ramai terus-terusan mencari bomoh. Ibaratnya masyarakat Asia dan bomoh tidak boleh dipisahkan.

Mencari orang atau barang yang hilang? Ingin menjadi cantik dan disukai? Menghidapi penyakit, terutama penyakit misteri?

Pendek kata, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan bomoh.

Kerana itu masih ramai yang menggunakan khidmat mereka meskipun pelbagai cerita negatif mengenai bomoh didedahkan.

Seolah-olah cerita mengenai sesetengah bomoh yang bertindak liar sehingga melanggar batas kemanusiaan dan kesopanan itu tidak meninggalkan sebarang rasa cuak.

Zura Basri, 26, berkata ibunya mempercayai bomoh kerana daripada kecil lagi dia dibesarkan dengan kepercayaan sebegitu.

“Zaman dulu bukan senang nak jumpa doktor. Sakit demam jumpa bomoh. Anak degil tidak mahu mendengar kata pun jumpa bomoh minta ditawarkan. Lambat bernikah, mandi bunga untuk membuang sial pun guna bomoh.

“Malah pernah juga ibu beri saya rantai tali hitam yang loketnya berbalut kain kuning untuk keselamatan diri. Sebab ingin tahu saya buka gulungan kain itu dan mendapati ada ayat-ayat al-Quran di dalamnya,” katanya.

Katanya, kepercayaan itu sudah sebati dalam masyarakat kerana diamalkan sepanjang generasi.

“Sekarang apabila kehidupan semakin moden, bomoh pun makin berkurangan, kebergantungan terhadap bomoh pun kuranglah. Tapi kami adik-beradik faham, ibu lakukan semuanya untuk kebaikan kami,” katanya.

Seorang bomoh yang hanya ingin dikenali sebagai Zul, lewat 30-an, berkata kebanyakan yang datang meminta bantuannya terdiri daripada mereka berpendidikan tinggi dan ada yang membesar di luar negara dengan mentaliti moden.

Malah, Zul sendiri bertugas sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat swasta di ibu kota dan menyedari kemampuannya kira-kira 10 tahun lalu.

“Tanggapan bahawa hanya orang tua atau kolot yang meyakini kemampuan bomoh adalah salah sebab semua manusia tak kira latar belakang mempunyai keinginan,” katanya.

Zul keberatan mengulas mengenai bagaimana beliau mendapat ilmu mengubati penyakit itu dan berkata beliau hanya mengubat mereka yang benar-benar tiada pilihan lain.

Katanya, sesiapa boleh mengaku mampu mengubati penyakit atau mempunyai kebolehan istimewa, terutama yang pandai bermuslihat.

Tetapi dalam masa yang sama, ada juga yang benar-benar memiliki kebolehan merawat dan mengubat orang sakit.

Beliau berkata, bagi mereka yang benar-benar berkebolehan, perkataan bomoh seakan membawa konotasi yang agak negatif kerana itu ramai lebih senang digelar pengamal perubatan tradisional atau alternatif.

“Masyarakat jangan percaya membabi buta. Kalau kurang ilmu memang senang ditipu. Jangan tamak juga. Saya akui ramai terlalu meletakkan kepercayaan kepada bomoh kerana terdesak atau terlalu menginginkan sesuatu,” katanya.

Bagi Farina Jamal, 27, cukuplah sekali pengalamannya berdepan dengan pelbagai jenis bomoh.

Beliau berpendapat ramai mempercayai bomoh kerana mereka memberitahu apa mahu didengar.

Selain itu, tumpuan dialihkan kepada bomoh yang dijadikan sebagai sandaran apabila sains tidak dapat menjelaskan sesuatu perkara.

Katanya, lebih ‘senang’ untuk mempercayai yang pesakit disampuk hantu daripada menghidapi barah otak.

“Ketika bapa meninggal beberapa tahun lalu, adik saya sakit teruk tanpa diketahui penyebabnya. Sakit yang aneh-aneh, kadang-kadang hingga histeria.

“Maka saudara-mara mengusung dia ke sana ke mari berjumpa bomoh. Sampai dari luar negara. Beribu-ribu ringgit dihabiskan. Tapi tak juga pulih,” katanya.

Sebagai usaha terakhir, keluarga Farina membawa adiknya berjumpa pakar psikiatri.

Di situ Farina dan keluarga difahamkan kerana adiknya masih kecil, dia tidak tahu bagaimana untuk melepaskan tekanan. Maka tekanan emosi dilepaskan melalui kesakitan fizikal. Selepas beberapa sesi adiknya pulih dan kembali seperti sediakala.

“Memang tidak dinafikan kewujudan syaitan dan perkara mistik, tetapi bagi saya penyakit seperti banyak perkara lain adalah ‘mind over matters’ (kekuatan fikiran),” katanya.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Helmi Abd Rahim, berkata seperti ketua kultus (cult leader), bomoh selalunya ada kelebihan untuk meyakinkan dan pujukan.

Lazimnya juga, bomoh dikenali melalui testimonial daripada mulut ke mulut dan memiliki kepakaran khas seperti mengubati penyakit misteri, mencari barang, ilmu penunduk, melariskan perniagaan dan sebagainya.

“Kadangkala, dengan keizinan Tuhan, ia menjadi. Kadang-kadang sesuatu perkara memang nyata, tetapi kerana taksub, seseorang itu percaya atau yakin ia adalah dengan bantuan bomoh itu,” katanya.

Bomoh palsu mudah menipu kerana ‘pengetahuan khas’ yang dimiliki membuatkan mereka mempunyai autoriti ke atas pesakit yang takut melanggar pantang, misalnya.

“Orang yang terdesak akan jumpa sesiapa sahaja yang boleh menjanjikan sesuatu yang mereka perlukan,” katanya.

Sama ada berkesan atau tidak rawatan bomoh sebenarnya bergantung kepada individu untuk mempercayai.

Tetapi janganlah terlalu taksub hingga membelakangkan agama dan kewarasan yang akhirnya kita sendiri yang menggigit jari. - Bernama
Posted on 10.2.2009 at 6:17 PM

Isnin, 9 Februari 2009

Jangan ikut perangai Yahudi (Agama)

KITA sering mendengar ungkapan doa itu adalah senjata orang Mukmin. Allah dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayang telah menjanjikan setiap doa itu akan dimakbulkan.

Ini sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (Ghafir: 60)

Realitinya, tidak semua permohonan kita diperkenankan oleh Allah. Lebih-lebih lagi doa kita yang memohon agar sesuatu kaum seperti Israel itu dimusnah dan dihancur leburkan oleh Allah. Ini ekoran perbuatan kejam mereka ke atas rakyat Palestin.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah antara syarat untuk doa itu dimakbulkan?

AHMAD HUSNI: Sebagai manusia yang lemah, kita memang digalakkan berdoa kepada Allah memohon pertolongan pada setiap masa. Istiqamah ini penting, lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan masalah atau cubaan.

Malah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Doa itu adalah ibadah". (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Ada beberapa adab atau syarat berdoa yang mustajab. Pertama, ia perlu terbit daripada keikhlasan bukan dipaksa atau dibuat-buat.

Kedua, permintaan atau permohonan itu haruslah dalam bentuk biasa, tidak boleh terlalu hebat. Contohnya berdoa untuk kemenangan ketika bertemu musuh seperti di Gaza.

Adalah memadai berdoa memohon diselamatkan umat Islam di Palestin dan menghancurkan orang Yahudi yang memusuhi Islam. Bukannya memohon yang keterlaluan seperti minta dihancur leburkan Yahudi sehingga tidak tinggal sedikit pun.

Ini sebagaimana hadis Nabi SAW daripada Abdullah Abu Aufa yang bermaksud: Rasulullah pernah mendoakan atas kecelakaan pasukan yang bersekutu: Ya Allah, Zat yang menurunkan Kitab dan yang sangat cepat perhitungan-Nya, hancurkanlah pasukan yang bersekutu. Ya Allah, hancurkan dan goncangkanlah mereka. (riwayat Muslim)

Ketiga, doa itu hendaklah dipohon secara sederhana, bukan menjerit-jerit atau mendayu-dayu. Ia perlulah penuh pengharapan dan rasa rendah diri terhadap Allah.

Apakah pula antara sebab sesuatu doa itu belum lagi dimakbulkan?

AHMAD HUSNI: Allah berfirman yang bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186)

Dalam kes Gaza, misalnya, ada kemungkinan doa agar kemenangan berpihak kepada umat Islam itu ditangguhkan oleh Allah. Memanglah janji Allah bahawa Islam itu akan menang.

Cuma soalnya, Islam yang bagaimana? Sudah tentu umat Islam yang kembali kepada Allah dan Rasulnya sebagaimana firman Allah di atas tadi.

Kalau kita tidak ada kualiti yang sedemikian bagaimana Allah hendak memberi kemenangan? Apakah umat Islam kini layak mendapat bantuan malaikat utusan Allah sebagaimana pasukan tentera Perang Badar?

Kita masih mengamalkan budaya negatif seperti hedonisme malah ada juga yang 'berkelakuan' seperti Yahudi. Kita kata benci pada Yahudi tetapi kita masih tidak boleh tinggalkan perkara-perkara yang sepatutnya.

Kita memboikot barangan Yahudi tetapi fiil atau perangainya masih jadi ikutan. Contohnya, kita menolak kapitalis tetapi dalam muamalat ia masih diamalkan.

Boikot dari segi barangan mungkin boleh tetapi boikot hiburan belum tentu. Apa langkah menanganinya?

AHMAD HUSNI: Kebanyakan hiburan datang dari media Barat dan pihak yang menyokong agenda Israel.

Umat Islam perlu tabah dalam menghadapi situasi kini. Boikot ini pun bukan selama-lamanya. Sebaliknya, pihak yang terlibat dengan industri hiburan tempatan perlu mengisi kelompongan ini. Masalah sekarang, seolah-olah tidak ada alternatif hiburan Islam.

Ini juga adalah cabaran untuk menghidupkan hiburan Islam. Ruang dan bantuan perlu diberi kepada mereka untuk berkarya sebagai alternatif kepada hiburan Barat.

Hal ini juga adalah jihad bagi umat Islam. Bayangkan setiap kali kita berseronok menikmati hiburan Barat hasilnya disumbangkan kepada Israel yang menyerang penduduk Palestin.

Demikian juga dengan rokok. Sepatutnya umat Islam kena berhenti merokok yang berkaitan syarikat rokok Yahudi, Philip Morris. Memang ia bukan mudah tetapi bayangkan setiap batang rokok itu sama dengan sebutir peluru yang membunuh rakyat Palestin.

Ada pandangan bahawa, kalau mahu Allah boleh menangkan atau tinggikan kedudukan umat Islam tanpa perlu melalui ujian. Benarkah pandangan begini?

AHMAD HUSNI: Memang Allah itu berkuasa memenangkan umat Islam atau menjadikan semua manusia itu Islam.

Bagaimanapun, ujian itu seolah-olah tidak putus-putus. Contohnya di Palestin. Bagi sebilangan orang, keadaan ini pelik. Pada mereka tak kan selama-lamanya Palestin berhadapan ujian sebegini?

Hakikatnya, umat Islam masih duduk pada tahap yang sama. Kalau kita berdoa dijadikan orang yang sabar, Allah tidak bagi terus. Sebaliknya Allah bagi jalan bagaimana mahu mencapainya.

Ini yang harus difahami oleh umat Islam. Ujian-ujian Allah ini membuktikan keprihatinan Allah pada makhluknya. Sebabnya, setiap kali diuji, Allah membuka ruang kepada manusia meningkatkan darjat iman mereka jika mereka sabar.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Adakah manusia itu menyangka mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi? (al-Ankabut: 2)

Umat Islam mesti menonjolkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran. Kita perlu bersatu-padu, tolong menolong sesama Muslim. Malangnya, ini tidak berlaku.

Kita perlu buktikan, Islam boleh kembali kuat sebagaimana pada zaman Nabi SAW. Jika berjaya ke tahap itu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, barulah kemenangan akan datang, insya-Allah.

Napoleon Bonaparte pernah bertanya kepada perisiknya, bagaimana keadaan saf umat Islam pada waktu Subuh. Lalu dia berkata, umat Islam tidak akan menang sehingga bilangan yang solat subuh itu seramai yang solat Jumaat.

Realiti hari ini, ada umat Islam yang tidak solat Jumaat pun. Pandangan mereka ialah Islam benarkan tidak solat Jumaat tiga kali, cuma jangan berturut-turut.

Kekuatan ekonomi boleh menjadikan Islam itu kuat dan disegani. Apakah strategi ke arah mencapainya?

AHMAD HUSNI: Malangnya, kita hanya menjadi golongan pengguna bukannya golongan pengeluar. Suara-suara menjadi pengeluar itu hanya tinggal retorik. Namun tidak ada usaha sama memberi peluang, sokongan dan bantuan kepada usahawan Muslim.

Tak kanlah dalam bab libatkan wanita seperti tuala wanita pun kita nak serahkan pada Yahudi. Sepatutnya kita bantu usahawan Muslim mengembangkan potensi mereka. Baik dari segi modal atau peluang membuat penyelidikan dan pembangunan. Ini supaya produk keluaran mereka bukan sahaja setanding malah lebih baik daripada yang dihasilkan oleh Barat.

Ilmu yang dimiliki oleh umat Islam kini bukan sedikit. Kita sepatutnya telah bertindak dari dulu. Namun apabila sudah ada kesedaran kini, usaha-usaha begini perlu diwujudkan.

Jika ditakdirkan, barangan tersebut tidak ada alternatifnya, maka perlu timbul rasa berat hati dan kesal apabila kita membeli atau menggunakannya.

Insya-allah pencerobohan Israel di Gaza akan berakhir tetapi apa tindakan umat Islam selepas itu. Usaha untuk mengalahkan mereka dari sudut ekonomi mesti diteruskan. Jangan bermusim atau hanya hangat-hangat tahi ayam.

Utusan Malaysia
Posted on 9.2.2009 at 6:07 PM

Ahad, 8 Februari 2009

Rabun Jauh (Miopia) (Singgahsana)

Rabun jauh adalah keadaan di mana seseorang itu tidak dapat melihat benda yang jauh dengan jelas, misalnya membaca papan tanda tertentu atau isyarat di sepanjang jalan raya. Rabun jauh terjadi apabila bola mata menjadi terlalu panjang atau kornea terlalu melengkung. Ini akan menyebabkan sinar cahaya yang memasuki mata tidak dapat difokuskan dengan baik atau sempurna di retina. Rabun jauh biasanya berlaku pada umur belasan tahun dan bertambah teruk dalam beberapa tahun yang berikutnya kerana mata terus berkembang dan membesar dalam usia kanak-kanak.

Sesetengah teori mengatakan bahawa rabun jauh merupakan sejenis penyakit keturunan. Tetapi punca rabun jauh ini sebenarnya masih tidak begitu diketahui oleh sesiapa. Namun begitu, masa membaca yang terlalu lama atau dalam cahaya samar, metabolisme tubuh yang tidak baik, pemakanan yang kurang baik kedudukan tubuh yang tidak betul turut menyumbang kepada rabun jauh.

Kini, terdapat rawatan laser untuk menyembuhkan rabun jauh. Tetapi, rawatan ini masih baru dan tidak begitu dipastikan kesan jangka panjangnya. Untuk membetulkan masalah ini, cermin mata atau kanta lekap boleh digunakan secara pindaan laluan imej cahaya yang memasuki mata. Kanta yang digunakan adalah kanta cekung. Biasanya pada permulaannya, seseorang individu memerlukan beberapa hari untuk menyesuaikannya supaya melihat dengan jelas. Selepas itu, rabun jauh tidak lagi akan menjejaskan gaya hidup seseorang itu.

- Itu yang terpapar di internet tentang rabun jauh.

Mata sebelah kiriku sekitar 120 & kanan sekitar 100 sahaja rabun. Jika tidak memakai kacamata pun kira boleh nampak cumanya agak samar bila melihat imej yang jauh jaraknya.

Rabun dekatnya jangan tanya; memang melampau. Kalau membaca terpaksa guna kanta. Jika tulisan besar bolehlah dibaca agak jauh dari mata; jika tulisan kecil memang bermasalah.

Aku teringin juga mahu membuat kacamata rabun jauh & dekat. Kosnya agak mahal lalu jika aku ingin membaca aku sekadar membeli cermin mata murahan untuk membaca, Banyak terjual di pasar malam di MyDin atau kedai barangan dari China.

Cukuplah seadanya.

Posted on 8.2.2009 at 1:34 PM