Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 20 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 2 (Singgahsana)

Asal Usul Sedili

Sepanjang Jumaat seperti lazimnya aku akan menari maklumat tentang tempat yang bakal botku berlabuh. Sedili, Pulau Aur & perairan sekitarnya.

Tanjung Sedili

Tanjung Sedili ialah sebuah kawasan di timur laut negeri Johor, Malaysia. Terletak di muara Sungai Sedili di pinggir Laut China Selatan, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kota Tinggi, kawasan ini dibahagikan kepada tiga kawasan utama, iaitu Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Kampung ini ialah tanah kelahiran Sasterawan Negara Allahyarham Dato Dr Usman Awang, serta Allahyarhamah Rosiah Chik, penyanyi lagu asli negara yang terkenal.

Sejarah Sedili

Mengikut pendapat orang lama, asal-usul nama Tanjung Sedili yang dibuka pada tahun 1937 adalah sempena mengambil nama seorang penduduk awal iaitu Deli yang berasal dari Siam. Pada masa yang sama ada seorang Cina bernama Pongsai yang menetap dan menjadi peniaga di tempat tersebut. Suatu hari, Deli jatuh sakit dan penduduk bertanya sesama mereka yang berbunyi "Tak tengok si Deli ke?" dan akhirnya perkataan ini dikenali dengan Sedili. Pada masa itu, perkataan pelat Pongsai juga menyebabkan Kuala Sedili mendapat nama.

Penghulu pertama pada masa itu ialah Wan Muda yang berasal dari Sungai Rengit berketurunan Mengkabal dan pada masa yang sama mereka adalah pelopor kepada kawasan Tanjung Sedili ini. Pengganti kepada Wan Muda ialah Penghulu Md. Akhir Bin Kahar yang dilantik oleh Sultan Johor dan kemudiannya digantikan dengan Penghulu Hj. Md. Lazim Bin Md. Akhir disebabkan oleh keuzuran.

Mengikut pendapat yang kedua pula, asal-usul nama Tanjung Sedili berasal daripada dua orang adik-beradik yang berasal dari Pahang iaitu Ali Besar dan Ali Kechil. Mengkikut cerita, kedua-dua mereka telah bergaduh dan membawa haluan masing-masing. Ali Besar telah berpindah ke Sedili Besar dan Ali Kechil pula telah berpindah ke Sedili Kecil. Maka, disebabkan oleh adik-beradik inilah terciptanya nama Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Mengikut cerita orang tua-tua, pada asalnya kampung ini dinamakan Tanjung Lembu yang mana ia telah dibuka dan mula diterokai oleh beberapa orang yang tidak dikenali asal-usul mereka. Mereka menetap di bahagian tanjung dan menjalankan aktiviti penternakan lembu selain menjadi nelayan. Disebabkan ternakan lembu tersebut mula membiak dan terus bertambah bilangannya, maka mereka terus menetap dan menamakannya sebagai Tanjung Lembu. Ketua Kampung yang dilantik secara rasmi ialah Mohd Salleh Bin Mohamad dan digantikan oleh Syed Salim Bin Omar. Selepas tamat tempoh memegang jawatan tersebut beliau digantikan oleh Hj. Esa Bin Abdullah mulai tahun 80-an. Pada masa kepimpinan beliau, nama Tanjung Lembu telah ditukarkan kepada Tanjung Sedili secara rasminya. Bermula dari pertengahan tahun 90-an sehingga kini, Ketua Kampung Tanjung Sedili ialah Tuan Haji Ibrahim Bin Yahya.

Bot kami bakal bertolak dari Jeti Sedili Besar.

Pulau Aur

Pulau Aur, seperti Pulau Dayang, Pulau Lang dan Pulau Pinang yang terletak di Taman Laut Johor berhampiran Mersing terkenal sebagai salah sebuah destinasi menyelam skuba yang terunggul. Kawasan laut yang lebih dalam di sekitar pulau ini menjanjikan jarak penglihatan bawah laut yang jelas serta pelbagai jenis spesis hidupan laut yang mempesona yang dapat menarik ramai pelancong dan penyelam di hujung minggu.

Keadaan hidupan laut yang sihat dan pelbagai di sini juga menarik minat pemancing ikan yang berharap dapat menangkap spesis ikan besar seperti ikan mersuji atau ikan layaran di luar kawasan Taman Laut yang terlindung. Banyak kapal-kapal layar bersauh di perairan laut tenang antara Pulau Aur dan Pulau Dayang.

Terumbu karang utama terletak di sebelah selatan Pulau Aur dan Pulau Pinang. Bahagian teratas terumbu di sini terletak di kedalaman lebih kurang 12 meter dan melandai ke bawah sedalam lebih 25 meter membuatkan lokasi ini amat menarik untuk diselam.

Tips

Sekiranya anda merancang untuk pergi menyelam di sini, anda boleh mengambil kesempatan pakej percutian yang merangkumi penginapan, makanan dan aktiviti menyelam skuba yang ditawarkan oleh pengendali tempat penginapan di pulau ini.

Pengangkutan

Jalan Darat

Dari kesibukan pusat bandar Johor Bahru, gunakan jalanraya Johor Bahru - Kota Tinggi hingga sampai ke jalanraya Kota Tinggi - Mersing (Lebuhraya 3). Dari Lebuhraya Utara-Selatan, ambil susur keluar Ayer Hitam (Persimpangan 244) dan pandu terus menghala ke Kluang melalui Jalanraya Kluang-Jemaluang (Lebuhraya 50). Selepas pekan Jemaluang, masuk ke jalanraya Kota Tinggi-Mersing menghala ke Mersing. Ikuti arahan papan-papan tanda yang menunjukkan jalan untuk ke Jeti Mersing.

Talian Untuk Dihubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai Johor Bahru, sila hubungi Pusat Penerangan Pelancongan Johor (JOTIC) di talian 607-2242000.

Penginapan

Terdapat tempat penginapan calet yang kadangkala tutup sewaktu hari minggu sekiranya tiada pengunjung yang datang di sini.

Abstrak

Laporan ini mendokumentasikan penyelidikan arkeologi di Pulau Aur, Mersing, Johor. Tercetusnya idea untuk membuat kajian arkeologi itu disebabkan maklumat dan laporan tentang adanya artifak-artifak di sekitar Pulau Aur. Hasil daripada tinjauan serta galicari yang dilakukan itu, pulau itu didapati kaya dengan artifak-artifak dari dalam dan luar negeri, termasuk porselin biru putih dari negeri Cina, porselin Belanda, tembikar berglais dari Cina, tembikar tanah dari Aceh, tempayan Cina, meriam lama, tapak meriam dan kubur lama. Selain itu, Teluk Meriam, Teluk Berhala, Teluk Galing, Pasir Teluran dan Teluk Miyang pernah menjadi tempat persinggahan pedagang dari negeri Cina, Aceh, Belanda, dan Portugal untuk mengambil bekalan makanan dan air di samping berurus niaga dengan penduduk tempatan sekitar abad yang ke-17.

Kata kunci: Pulau Aur, Mersing, survei arkeologi, carigali arkeologi...

Banyak maklumat boleh didapati di Alam Maya tentang Pulau Aur. Ada banyak gugusan pulau, seperti Pulau Pinang (Bukan satu saja Pulau Pinang di Malaysia) , Pulau Dayang, & Pulau Lang segugus yang cantik batu karangnya. Berdekatan Pulau Pemanggil:

Pulau Pemanggil merupakan salah satu dari gugusan pulau di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor, Malaysia. Pulau Pemanggil terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain iaitu Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. Pulau Pemanggil merupakan salah satu tapak penyemaian Kerang Gergasi (giant cockles). (Ada ceritera menarik tentang Pulau Pemanggil ini... nanti)

Pasir di pantai sekitar Pulau-Pulau ini memang putih bersih.

Pulau Tioman entah kali ke berapa aku nampak lambaiannya. Sejak di Penyabong lagi. Pulau impian yang teringin sangat aku bercuti. Tak sangka pula Pulau Aur, pun Pulau Pemanggil cantik & ada rumah resort yang memang menarik.

Sasaran menjejaki Dewi Tenggiri hanyalah di sekitar Pulau Aur.

Fairuz sempat mengikat mata kail untuk tenggiri. Masalah yang timbul bagaimana mahu mendekati Dewi Tenggiri jika tiada kekili yang sesuai. Diam-diam Fareez telah SMS Che Wan agar menyediakan aku satu set pancing untuk tenggiri.

Aku membuat keputusan setelah syolat Jumaat terus sahaja pulang ke rumah. Terlalu suntuk masanya jika mahu balik ke rumah setelah cop jari 5:30 petang.

Seperti yang aku jangkakan bilamana aku balik ke rumah Mila telah lepak di depan TV. Hasrat mahu lari dari rumah nampak terbatal!.

"Nak ke mana nampak kemas-kemas barangan ini!"

"Biasalah tuntutan hobi, nak turun ke laut mancing!" Nampak wajah Dewi Tenggiri siap bergincu.

"Bila pula baliknya.. nak baliknya bila...!" Macam lain saja ayatnya.

"Ahad petang sampailah rumah!"Dalam hati yakin memang takkan sampai petangnya!.

"Mak kat hospital lagi, Mila nak lawat emak esok!" Emmm! boleh katakan dalam sebulan dua mesti akan ditahana di wad. Mak mertuaku ini sudah malas nak makan ubat.

"Okey, kirim salam kat emak!" Aku memang tak berani bual panjang. Dari lirik wajah Mila jelas bagaikan wajah isteri yang tidak gumbira suaminya turun ke laut.

Kerahkan Aziq untuk angkat barangan ke kereta perangku. Kena cepat bertolak dari rumah. Lagi pun telah jam 4:45 petang. Jenaris ke UPM sekitar setengah jam berkereta.

Subuh nan mengejutkan

- bersambung

Jumaat, 19 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 1 (Singgahsana)


Che Wan merenung jauh ... Amirul dibelai mimpi Sang Puteri si Dewi Tenggiri. Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi!! Dalam mabuk² boleh lagi naikkan tenggiri...

Ini Pengenalannya sedikit

“Ada tiga orang lagi tidak pasti ikut trip kami” Awal pagi Rabu Fairuz bersungut.

“Dari sini Fairuz berkereta dengan siapa?” Aku cuba mengungkai trip memancing yang did rancang sejak tahun lalu.

“Saya dengan adik saya sahaja”

Aku mula terbayang bagaimana kecewanya aku ketika di Perairan Wan Man. Aku tumbang. Misi utama mahu mancandat sotong gagal. Memang tak puas memancing bilamana laut bergelora & aku terkapar menatap bintang di celahan awan menggamit aku.

Bukan sotong yang dapat aku candat tetapi berkhayal dengan Mambang Masjid Kristal & Geisha Bunian Jepun bercakaran.

“Bagaimana aku mengikut trip Fairuz ini demi menebus rasa tidak puas di Perairan Wan Man” Aku berbisik dalam hati.

“Jika aku nak ikut boleh tak?” Aku terbayang Fairuz , Fareez, rakan lain & aku akan …menjejak Dewi Tenggiri. Sedili memang perkampungan keluarga tenggiri. Aku memang teringin menjejaki Dewi tenggiri. Belum pernah aku melihat senyum Dewi Tenggiri dalam khayalanku.

“Jika abg iDAN nak pergi bayar RM170 pun tak kisah yang lain saya boleh tampung” Fairuz macam beriya-iya ingin aku pergi.

“Perbelanjaan itu bukan isunya Fairuz…Siapa iyer rakan lain itu”

“Che Wan & pemancing Johorlah abg iDAN” Aku memang teringat akan sapaan Che Wan di MFN untuk bersama memancing di Penyabong kira-kira dua tahun lalu. Malahan dia ingin menampung semua perbelanjaan aku jika sudi bersama memancing dengannya. Mungkin ketika itu dia terbaca ceritera Pari Jelmaan yang aku tulis di MFN.

Siapa Che Wan ini memang menjadi misteri bagiku. Tetiba begitu baik & bersungguh-sungguh mahu bersama memancing denganku memang membuat aku tertanya-tanya.

Senyap-senyap aku ke Penyabong kali kedua.

Bila terkenang Che Wan aku terasa bersalah lantaran aku pergi ke Penyabong tanpa pengetahuan Che Wan; ada aku tulis ceritera Sayunya si ikan Yu. Trip kecewa dengan Tekong di Penyabong. Teringat akan Penyabong memang aku rindu amat untuk ke sana lagi. Terutama mahu ketemu dengan Tekong Tenang.

Bilamana aku amati pelawaan Che Wan memang teringin mengenali siapa sesungguh Moderator MFN ini Kerap aku bertanya dengan Fairuz bagaimana perwatakan Che Wan. Sebab aku tahu Fairuz & Fareez kerap telah memancing dengan Che Wan selaku ketua kumpulan.

Di desiran ombak ganas inikah Dewi Tenggiri menyendiri!...

“Okeylah jadi!!!… abg kau nak ikut!, emmm! aku suka guna duit aku sendiri tak sedap hati kalau orang sponser, Fairuz sendiri faham perangai aku kan? Fairuz pastikan berapa tambang bot…”

“Betul ini abg iDAN , saya telefon Fareez & Che Wan kasi tahu abg iDAN ikut sekali!.. abg iDAN bayar tambang bot sahaja duit minyak & tol tu kami tampung!”

Fairuz terus menelefon Che Wan, dari bualan di telefon bimbit Fairuz, tambang bot sahaja RM200. Aku mencongak tambang perjalanan kami duit tol & minyak sekitar RM150. Selalunya setiap kali trip yang Fairuz kelolakan kami kira bersama perbelanjaannya & membahagikan samarata dengan ahli rombongan. Memancil@mengail bagiku adalah aktiviti rekreasi & salah satu cara mencari rakan sehobi. MFN adalah satu wadah yang cepat & tepat untuk kita mencari rakan memancing; itupun jika kita pandai membawa diri & ikhlas.

Episod i

Dari Pengesahan Doktor Imah Pusat Kesihatan UPM (PKUPM) Kesihatan aku kembali normal. Tekanan darahku jarang dapat sebaik ini 127/78 mm Hgsystolic, Glukos yang hampir ke 7 mmol ( 6.7 mmol glukosa/liter ) Kini telah pun normal sekitar 5 mmlol. Pastinya satu perkhabaran gembira buatku.

Malahan Dr Imah telah mengurangkan kadar dos ubat tekanan darah tinggi. Sakit buah pinggang pula aku masih yakin dengan Dukun Kim Loy. Memandangkan tekanan darahku aku telah normal, seharusnya aku buat ujian kolestrol dibatalkan.

"Bulan Jun nantilah kita buat ujian.." Pastinya aku gumbira, ambil darah untuk ujian kolestrol selalunya bukan sekadar sedikit. PKUPM sudah bagaikan markas Drakula, asyik sedut darahku. Sebaba itu bebaru ini aku demam lebih dari seminggu tak mahu aku ke klinik, aku telah pasti mesti darahku akan jadi mangsa.

Jika diamati tekanan darahku di bukan Februari 20.2.2008 sekitar
141/99 mm Hgsystolic masih tak normal, biarpun aku sudah makan ubat. Bagi mereka yang senasib sakitnya denganku pasti tahu betapa beratnya ingin bangun pagi pun betapa terketar-ketar tangan jika terlewat makan ubat.

Aku juga banyak memakan ubatan herba dengan secara ulaman, seperti berulam pucuk mengkudu. Tuju jarum, misai kucing jika terasa buah pinggang sengal-sengal aku akan rebus daun pecah kaca.

Jadi aku terfikir apa salahnya jika aku menyambut kejayaanku menentang pakej sakit tua ini untuk mengikut trip Che Wan. Lagipun pastinya Che Wan memerlukan pemancing di saat-saat akhir ini. Demi mengurangkan kos sewaan bot dan lain-lain.

Lagipun aku, Fairuz & Fareez memang rasanya rakan yang sepadan untuk ke laut.

Sedili memang menjanjikan banyak tenggiri. Rekod Fairuz mendapat 27 ekor tenggiri masih belum pecah lagi bagi dia & Fareez. Aku membayangkan pasti ada Dewi Tenggiri yang masih bersembunyi di Sedili. Kenapa aku katakan ada Dewi Tenggiri. Selalunya begitu jika terlalu banyak lebah berkumpul mencari makan mesti ada Ratu Lebah. Semut juga begitu; jadi pasti ada Dewi Tenggiri yang tentunya bersaiz ratu & anggun menggemparkan. Aku ingin menjejakinya!.

Cuma masalahnya bagaimana aku mahu meminta izin dari Mila. Baru sangat aku turun ke laut.

"Petang Jumaat aku akan bertolak dari rumah, Mila selalunya balik sekitar magrib; emmm! pesan kat anak-anak sahaja yang ayahnya turun ke laut... lagipun dua malam sahaja di laut!" Aku merancang cara terbaik lari dari rumah. Jika bersemuka dengan Mila silap-silap dapat ayat yang panas telinga mendengarnya.

Jenaris lama tak turun hujan, harap-harap Sedili juga begitu

"Abg iDAN cuba baca forum di MFN tentang trip kita ini.." Fairuz mengganggu menunganku.

Trip Karang Ngah (sedili)

http://www.fishing.net.my/forum/topic.asp?TOPIC_ID=13020&whichpage=4

Che Wan...

sebarau..tolong inform semua kaki2 yang akan ikut serta dalam trip may ini. kawan rasa kita buat trip 2 hari 1 malam sahja dikarang ngah kerana tenggiri sedang frenzy sekarang. dan tolong konfemkan dgn tekong berapakah kos sebenar untuk karang ngah 2 hari 1 malam.

Aku kasi respon...

Salam...
Tak sangka pula boleh ikut trip ini, insyAllah kami boleh sampai sekitar 1 pagi, kami merancang bertolak sebelum magrib sbb ada agenda hantar & mengambil seseorang di perjalanan. C.Wan... dah berapa orang yg pasti pergi selain kami bertiga. Sy punya tambang bot dah kasi kat Fairuz.

C. Wan sebagai sifu kena turunkan segala ilmu@saka ngail kat sy baru amat kenal dengan persekitaran laut ini.

Che Wan:

a.alaikum kenkawan..
kawan sangat berbesar hati dapat memancing bersama gelenggang. insyaallah sepanjang trip nanti kita akan kongsikan bersama tip, ilmu, info dan pengalaman kita semua. semoga allah swt permudahkan segala urusan...insyaallah.

kami seperti biasa akan berada di Restoran Jenggo jam 1 pagi hingga jam 2.30 pagi. sekiranya bro nak join datanglah kesana.

"Jika jam 1:00 pagi ... sempatkah kita sampai jika mahu bertolak selepas magrib?." Aku persoalkan perancangan Fairuz; sebab ada dua agenda yang terpaksa dia tunaikan.

Pertama mahu menghantar rakannya ke Terminal Bas Kajang selepas magrib; Kedua mahu menjemput Fareez di rumah mertua di Banting setelah ke Kajang. Sempatkah?.

Aku membayangkan Kota Tinggi itu terlalu jauh; aku macam biasa tidak sabar jika mahu ke laut. Apatah lagi memang aku pernah ke Kota Tinggi; sungguh teramat jauh. Rasanya empat jam belum tentu boleh sampai.

"Elok kita bertolak sekitar jam 6:30 petang dari Bangi; aku telah mencongak waktu jika selepas magrib memang tidak sempat tiba sekitar 1:00 pagi di Kota Tinggi..."

Sebenarnya jika boleh aku tidak mahu ketemu Mila ketika Magrib Jumaat itu. Maka itu lebih suka cepat keluar rumah.

Khamis malam Jumaat itu aku telah mengemaskan semua baranganku. Kebetulan Mila melawat ibunya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR). Jadi tidak timbul dia persoalkan kenapa aku berkemas. Setelah kemas semua aku terus tidur awal. Dari kebiasaannya Mila pasti akan pulang sekitar 10:00 ke 11:00 malam.

Telahanku meleset!. Pagi Jumaat dia lewat bertolak ke ofis, selalunya jika dia lewat mesti ke klinik; bagaimana aku ingin lari dari rumah; Mila senyap-senyap bercuti tentunya, masalah sakit di bahunya tidak selesai. Dia jarang meminta aku menghantarnya. Bagaimana aku mahu minta izin ke laut petang nanti!

- Bersambung

Khamis, 4 Disember 2008

Syor penempatan sementara : Tanah Runtuh (Ceritera)



KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan kerajaan menyediakan penempatan sementara kepada mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Hulu Klang yang sehingga kini masih tidak mempunyai tempat tinggal.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, cadangan itu boleh dibuat dengan pelbagai cara termasuk menempatkan mereka di hotel atau kawasan lain yang dianggap bersesuaian dan tidak membebankan.

"Langkah proaktif perlu diambil bagi membantu mereka seperti menempatkan mangsa di hotel atau tempat bersesuaian.

"Ia untuk mangsa yang masih tiada tempat tinggal atau saudara atau sahabat di ibu kota untuk menumpang sementara sehingga keadaan pulih," katanya ketika melawat kawasan tanah runtuh di sini, semalam.

Turut mengiringi Muhyiddin ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Panglima 11 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral, Datuk Md Azman Rosli.

Muhyiddin berkata, beliau membuat cadangan itu supaya mangsa tidak terus berfikir dan mencari tempat tinggal baru sedangkan masalah mereka sudah berat.

"Kita tidak bimbang jika mangsa menumpang sama saudara mara atau sahabat-handai tetapi ada juga penduduk yang masih tiada tempat berlindung," katanya.

Muhyiddin berkata, perkara itu perlu segera dilaksanakan bagi membolehkan taman perumahan berhampiran kawasan tanah runtuh dikosongkan sehingga keadaan kembali selamat.

Ketika ditanya pampasan kepada mangsa, Muhyiddin berkata, perkara itu di luar bidang kuasa beliau.

Berita Harian

Rabu, 3 Disember 2008

Ada Masalah (Singgahsana)


Sila ke Blogspot... jurnal ini ada masalah dalam seminggu dua ini;

Penyair iDANRADZi di Blogspot

Terlelap di kerusi (Singgahsana)



Wednesday, December 03, 2008

"Aku perasan kau terlelap, sebab itu aku senyap² buka pintu & biarkan kau tidur" Tok Perak tersengeh.

"Berdengkur kuatlah aku... berapa lama aku tidur iyer! Zali"

"Lama jugak!" Aku melihat jam di tangan. Emmm! dah dekat Asar. Sampai hati betul si Zali ini biarkan aku terlelap di kamarnya. Rungut hatiku.

Aku bergegas ke bilik air basuh muka sekali gus ambil air sembahyang. Sejak kebelakang ini sudah menjadi masalah rutin harian. Aku asyik mengantuk. Terlelap di kerusi. Dah jadi perkara biasa.

Aku teringat akan Kak Kencoon di Desa Tualang. Semasa aku berbual dengan dia, dia juga mendapat sakit yang sama. Kolestrol. Ceritanya sama. Asyik mengantuk. Tak dapat aku bayangkan bagaimana rupa Kak Kencoon terlelap di kerusi malasnya. Mesti tambah tembam. Aku adalah peminat sejati Kak Kencoon sejak zaman remaja lagi. Kak Kencoon masa zaman remajanya memang menggoda. Aku pernah menceritakan kisah bualan aku dengan dia di jurnalku lalu. Di DesaTualang@Jenaris.

Masalah mengantuk ini bukan dibuat². Memang mengantuk yang amat² tak boleh dikawal. Maka itu kalau memandu jarak jauh, tiba saat mengantuk, aku terpaksa mencari tempat rehat. Basuh muka atau hisap rokok agar hilang mengantuk. Aku tak berani minum kopi sebab sejak aku mendapat masalah buah pinggang aku telah berpantang lama tidak minum kopi lagi. Katanya kopi boleh membuat ubat kurang mengantuk.

Jika dulu aku rajin sarapan di Gerai Roti Canai Ali PKNS Seri Kembangan. Sebut sahaja.

"Ali... minum biasa " Dia tahulah akan sediakan Kopi Ais. Sesekali kalau cuaca hujan aku akan minum Kopi O panas. Sekarang kenangan ketagih kopi telah menjadi kenangan sahaja. Aku tak berani pun nak minum Kopi Jantan, Kopi Tongkat Ali & entah apa² kopi lagi yang diwar²kan di pasaran.

Sekarang aku kerja di Unit IT, memang ceritanya sama, Salleh jenis kaki forum payah ajak berbual. Asyik dengan forum gengnya orang Perak. Klik² kekunci dari pagi hingga ke petang. Jika aku di meja aku di Pejabat Am lagilah mengantuk. Yang rajin aku ajak berbual ialah si Leez atau Azahana; Leez mejanya jauh dariku. Azahana pula tengah berbulan pantang. Mati kutu betul aku jika duduk di mejaku di Pejabat Am itu. Asyik terlelap di kerusi saja.

Bagaimana mahu mengelaknya masalah mengantuk ini memang aku masih buntu. Aku mengatakan dalam diri ianya berpunca dari masalah usia & kesihatan. Memang sudah sampai masanya begitu. Gasaklah:

Posted by iDANRADZi at 6:53 PM

Sisipan Dari BlogSpot

Selasa, 2 Disember 2008

Twilight (Singgahsana)

www.twilightthemovie.com

"Ibu nak tenguk tak kami tengah depan kaunter tiket ini" Aziq & Afiz berpakat untuk memujuk ibunya sama menonton. Padahal kami masih dalam Avanza perjalanan ke Cheras Selatan.

"Ok Ayah... ibu kata bolehlah... dia nak ikut kita!"

Memang lama Mila tak pernah mahu mengikut aku menonton, entah kenapa terbuka hatinya pergi menonton bersama kami. Aku memang tak berani nak mengajak Mila menonton. Selalunya akan terbit ayat-ayat yang mengejutkan hatiku. Antaranya:

"ayah pergilah dengan hiburan ayah tu!" Huh! tak terdaya aku mendengarnya.



Sebelum ini kami menonton cerita James Bond pun secara senyap-senyap. Sudah balik baru dia teringin nak menonton cerita itu. Cerita James Bond dapat banyak bintang. Tapi entah kenapa tak seorang pun mengatakan bagus ceritanya.

Tapi Twilight memang sedap cerita. Macam cerita cerita hindustan pun ada. Di Imdb dia mendapat enam bintang sahaja. Tapi aku memang suka cerita ini. Tak rugi Mila ikut kami menonton. Aku boleh meletakkan ianya antara filem yang paling menarik sepanjang tahun.

http://www.imdb.com/title/tt1099212/

Jika aku memberi bintang pastinya aku meletakkannya paling tidak 9 bintang. Ianya berkisar tentang kasih sayang. Kisah keretakan rumah tangga & cinta remaja yang luhur. Serigala pun amat menyayangi kekasihnya. Sanggup berkorban nyawa agar kekasihnya tidak sampai menjadi sepertinya ada ketikanya terpaksa menjadi Serigala Jelmaan. Amat asyik melihat pasangan kekasih remaja ini bercinta dari dahan ke dahan pepohonan.


Posted on 2.12.2008 at 3:00 PM

Isnin, 1 Disember 2008

Hotel hanya untuk penghuni rumah yang ranap (Ceritera)



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menjelaskan hanya mangsa dari 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu, yang layak mendapat penginapan di hotel.

Beliau berkata kerajaan hanya akan menanggung kos penginapan di hotel bagi mangsa yang berkenaan dan bukan untuk penghuni yang diarahkan supaya mengosongkan rumah mereka.

“Mangsa yang tinggal sehelai sepinggang saja yang akan ditanggung kerajaan. Mangsa yang terbabit diminta mendaftar di pusat operasi Yang Dipertua MPAJ di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.

Khalid berkata timbul kekeliruan di kalangan penghuni yang diarah mengosongkan kediaman mereka mengenai penginapan di hotel yang ditanggung kerajaan.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang pembantu rumah warga Sri Lanka, diteruskan pagi ini dengan lokasi mencari diperluaskan.

“Kita guna dua mesin pengorek dalam operasi hari ini dan akan diteruskan sampai pukul 2 petang. Operasi akan dibantu oleh beberapa pegawai dari Ikram yang ditugaskan untuk menilai struktur tanah.

“Pada jam 2 petang tadi kita hentikan operasi seketika untuk bermesyuarat bersama Ikram dan operasi akan diteruskan selepas mesyuarat selesai,” katanya.

Khalid berkata penghuni-penghuni dibenarkan masuk ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan mereka dengan pengawasan pasukan SAR.

Beliau berkata masih terdapat penduduk yang kurang jelas mengenai arahan pindah yang dikeluarkan.

Katanya hanya kawasan kondominium Impian Selatan, Jalan 9 dan 11, Taman Wangsa Ukay, Jalan 6, Taman Bukit Jaya dan Taman Bukit Mewah diarahkan untuk kosongkan rumah.

“Kawasan lain selain daripada kawasan itu tak perlu pindah tapi, kalau ada juga nak keluar kita tidak halang. Arahan pindah dikeluarkan untuk tempoh 10 hari bermula Sabtu lepas sebelum pihak berkuasa membuat penilaian sama ada kawasan berkenaan selamat atau tidak.

“Kita telah sediakan tempat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, tetapi jika mangsa tidak mahu tinggal saya minta mereka meninggalkan nombor telefon di pos pendaftaran operasi untuk mudah dihubungi,” katanya. - Bernama

Usul tanah runtuh dibahas petang ini

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini membenarkan pembentangan usul bagi membahaskan isu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku Sabtu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul yang dibentangkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berdasarkan peraturan mesyuarat 18 (1).

"Isu itu menepati peraturan mesyuarat iaitu perkara tertentu, mempunyai kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Usul ini akan dibahaskan bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang ini," katanya.

Berita Harian

Mangsa boleh mohon kuarters di Putrajaya

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan yang tinggal berhampiran kawasan tanah runtuh, Taman Bukit Mewah yang terpaksa mengosongkan kediaman boleh memohon kuarters di Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata keutamaan diberikan kepada kakitangan kerajaan di sekitar kawasan tragedi itu.

"Kerajaan akan melihat jumlah kekosongan dan permohonan mendiami kuarters kerajaan terlebih dulu.

"Cara permohonan tetap melalui prosedur biasa, cuma kita memberikan keutamaan kepada mangsa tragedi itu," katanya, semalam.

Beliau mengulas saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang meminta kerajaan membenarkan kakitangan yang terpaksa mengosongkan rumah di Bukit Antarabangsa tinggal di kuarters di Putrajaya.

Kelmarin, polis mengarahkan 3,000 penduduk lima kawasan kediaman sekitar lokasi tragedi yang meragut empat nyawa di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, mengosongkan kediaman serta-merta kerana berbahaya.

Arahan dikeluarkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian Polis Diraja Malaysia itu membabitkan penduduk seluruh Taman Bukit Mewah iaitu lokasi 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh itu.

Kawasan lain ialah Kondominium Impian Selatan, rumah berkembar di Jalan 6A Taman Bukit Jaya serta rumah teres dua tingkat di Jalan 9 dan Jalan 11, Taman Wangsa Ukay.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata arahan pengosongan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesahkan kawasan berkenaan tidak selamat kerana runtuhan susulan boleh berlaku bila-bila masa.

Mohd Sidek berkata, kerajaan juga belum mendapat maklumat jumlah kakitangan kerajaan yang terpaksa mengosongkan kediaman akibat tragedi itu.

Berita Harian